Category: Kemalangan / Bencana

  • Shidee kemalangan ketika mahu ke surau

    Shidee kemalangan ketika mahu ke surau

    PENYANYI popular era 1980-an, Shidee terlibat dalam kemalangan apabila skuter eletrik yang ditunggang terbabas ketika mahu menunaikan solat Asar di sebuah surau.

    Dalam kejadian tersebut, Shidee dibantu oleh orang ramai yang terus dibawa ke Hospital Cencelor Tunku Mukhriz (HTCM) Cheras untuk mendapatkan rawatan.

    Menurut kenyataan isterinya, Siti Fairunnisa Aziz, dia dihubungi seseorang yang memaklumkan suaminya terlibat dalam kemalangan.

    “Ada orang maklumkan kepada abang terlibat dalam kemalangan dalam perjalanan ke surau. Bila sampai ke tempat kejadian dia sudah terbaring.

    “Mereka terus bawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Syukur tiada apa-apa yang serius,” tambahnya lagi.

    Mengulas mengenai perkembangan terkini penyanyi itu, isterinya mendedahkan dia sudah menjalani beberapa ujian termasuklah x-ray namun tiada kecederaan serius.

    “Alhamdulillah tiada kecederaan berat, sebaliknya suami luka kecil dan juga bengkak di bahagian muka akibat terjatuh.

    “Selepas menjalani ujian imbasan sinar X dan didapati tiada keretakan di mana-mana bahagian tulang, abang dibenarkan pulang,” katanya.

    Terdahulu, nama Shidee kembali popular apabila menyertai Gegar Vaganza musim ke-8.

  • Kes saman fitnah Anwar:Mahkamah Rayuan tolak rayuan Khairy

    Kes saman fitnah Anwar:Mahkamah Rayuan tolak rayuan Khairy

    MAHKAMAH Rayuan di Putrajaya hari ini menolak rayuan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar terhadap saman fitnah yang difailkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2008.

    Sinar Harian melaporkan, ia juga merujuk kepada perintah Mahkamah Tinggi sebelum ini, supaya Ahli Parlimen Rembau itu membayar RM150,000 sebagai ganti rugi am kepada Anwar.

    Keputusan itu dibuat selepas panel tiga hakim dipengerusikan oleh Datuk Lee Swee Seng bersidang bersama Datuk Darryl Goon Siew Chye dan Datuk Ghazali Cha sebulat suara mengekalkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi pada 2017.

    Panel kemudian menolak rayuan berkenaan dengan kos sebanyak RM50,000.

    Mahkamah turut menolak rayuan Khairy terhadap keputusan hakim Mahkamah Tinggi yang membatalkan permohonannya untuk meminda penyataan pembelaan bagi menyatakan bahawa kenyataan beliau itu adalah komen yang wajar, dengan kos sebanyak RM10,000.

    Ketika membacakan penghakiman dalam prosiding secara dalam talian, Hakim Darryl berkata, panel mendapati tiada merit dalam rayuan Khairy malah ganti rugi yang diberikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi juga tidak berlebihan.

    Sebelum ini, Anwar menyaman Khairy, yang ketika itu Menteri Belia dan Sukan serta Naib Ketua Pemuda UMNO, pada 7 Mac 2008.

    Beliau mendakwa Khairy membuat kenyataan memfitnahnya dalam ceramah di Lembah Pantai pada 20 Februari tahun sama dan menyebabkan klip video bertajuk ‘Anwar and kin no threat’ disiarkan di portal berita.

    Pada September 2017, Hakim Mahkamah Tinggi, Azizul Azmi Adnan membenarkan saman Anwar terhadap Khairy dan memerintahkan beliau membayar RM150,000 sebagai ganti rugi am kepada Anwar.

    Hakim itu turut menolak permohonan Khairy untuk meminda penyataan pembelaannya bagi menyatakan bahawa kenyataan beliau adalah komen yang wajar.

    Khairy kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi namun pada Februari 2018, Mahkamah Rayuan menolaknya selepas membenarkan permohonan Anwar.

    Pada 15 Disember tahun lepas, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Khairy agar merit kes itu didengar sepenuhnya di Mahkamah Rayuan.

  • Banjir Sabah: Tiga PPS dibuka di Pitas, tempatkan 311 mangsa

    Banjir Sabah: Tiga PPS dibuka di Pitas, tempatkan 311 mangsa

    TIGA pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Pitas bagi menempatkan seramai 311 mangsa daripada 97 keluarga di enam kampung yang terjejas akibat banjir susulan hujan berterusan sejak semalam.

    Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah, tiga PPS itu ialah Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Pitas II yang menempatkan 108 mangsa daripada 41 keluarga; Dewan SK Rukom (135 mangsa daripada 36 keluarga) dan Dewan Kampung Kusilad (68 mangsa daripada 20 keluarga), setakat 8 pagi tadi.

    Semua PPS itu dibuka sejak petang semalam, berikutan paras air yang semakin meningkat di kampung terbabit iaitu Kampung Tambilidon, Kampung Kalumpang, Kampung Taka, Kampung Saab Darat, Kampung Rukom Ulu dan Kampung Kusilad.- Bernama

  • Ayah maut, anak cedera motosikal dirempuh kereta di Tapah

    Ayah maut, anak cedera motosikal dirempuh kereta di Tapah

    SEORANG bapa maut manakala anak lelakinya berusia empat tahun cedera selepas motosikal dinaiki dirempuh sebuah kereta dari arah bertentangan di Kilometer 50, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Chenderiang, Tapah, hari ini.

    Kemalangan jam 4 petang menyebabkan Annuar Zakariah, 48, parah dan disahkan maut di tempat kejadian.

    Anaknya yang juga pembonceng patah tulang kaki kanan dan kini masih dirawat di Hospital Tapah.

    Ketua Polis Daerah Tapah, Wan Azharuddin Wan Ismail, berkata siasatan mendapati dua beranak terbabit menaiki motosikal jenis Modenas Kriss manakala kereta jenis Perodua Axia dipandu remaja lelaki berusia 18 tahun.

    Menurutnya, mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya Kampung Batu Masjid, Temoh, Perak.

    “Siasatan awal mendapati kereta terbabit dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur, memasuki lorong bertentangan dan merempuh motosikal terbabit.

    “Penunggang cedera parah dan mayatnya dibawa ke unit forensik hospital sama untuk dibedah siasat,” katanya lapor Sinar Harian.

    Menurutnya, bedah siasat dijalankan esok selepas menerima keputusan ujian Covid-19 bagi mengetahui punca kematian.

    “Pemandu kereta terbabit tidak cedera dan ditahan untuk siasatan untuk menjalani ujian saringan air kencing dan lain-lain,” katanya sambil menjelaskan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Anggota JPJ maut kemalangan ketika kejar penunggang motosikal

    Anggota JPJ maut kemalangan ketika kejar penunggang motosikal

    SEORANG  anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) maut dalam kemalangan jalan raya ketika mengejar seorang penunggang motosikal di Kilometer 13 Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala ke Plaza Tol Gombak di Kuala Lumpur hari ini.

    Sebelum kejadian kira-kira 10 pagi itu, Muhammad Azizi Azizan, 30-an, dikatakan sedang meronda bersama beberapa anggota lain dengan menunggang motosikal di lokasi sekitar tol berkenaan.

    Mangsa dikatakan mengejar penunggang motosikal itu kerana penunggang terbabit cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya.

    Motosikal mangsa terbabas dan menyebabkannya terjatuh lalu dilanggar sebuah kereta dari arah belakang.

    Pegawai perubatan yang tiba di tempat kejadian mengesahkan Muhammad Azizi meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

    Pengarah JPJ Kuala Lumpur Mohd Zaki Ismail ketika ditemui di lokasi mengesahkan kejadian dan memaklumkan mayat Muhammad Azizi dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat.

    — BERNAMA

  • Padah lawan arus, penunggang motosikal parah langgar kereta

    Padah lawan arus, penunggang motosikal parah langgar kereta

    PERBUATAN seorang lelaki menunggang motosikal secara melawan arus membawa padah apabila dia cedera parah selepas terlibat kemalangan dengan dua kereta pagi tadi.

    Memetik laporan FMT, kejadian tersebut berlaku di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Kampung Pandan menghala ke Gombak.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian kira-kira pukul 5.25 pagi itu melibatkan tiga kenderaan iaitu sebuah Perodua Bezza, sebuah Proton Saga dan sebuah motosikal Honda Wave.

    “Hasil siasatan awal dijalankan di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal dipercayai ditunggang secara melawan arus di lorong tengah MRR2 dan berlanggar dengan Proton Saga yang berada di lorong tengah.

    “Kejadian mengakibatkan Perodua Bezza yang berada di belakang tidak sempat brek dan melanggar belakang Proton Saga,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau memberitahu, akibat kemalangan itu penunggang motosikal yang berusia 22 tahun parah di muka serta kaki dan menerima rawatan di Zon Merah Hospital Ampang.

    Tambahnya, pemandu kedua-dua kereta bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Kerajaan Selangor anggar kerugian akibat banjir berjumlah RM1.4 bilion

    Kerajaan Selangor anggar kerugian akibat banjir berjumlah RM1.4 bilion

    KERAJAAN Selangor menganggarkan kerugian akibat banjir yang melanda negeri itu pada Disember tahun lepas adalah sekitar RM1.4 bilion termasuk kos baik pulih infrastruktur kira-kira RM400 juta.

    Menteri Besar Datuk Amirudin Shari berkata jumlah itu dikira secara kasar iaitu melibatkan 100,000 rumah atau keluarga yang terjejas dengan anggaran kerosakan paling minimum iaitu RM10,000. 

    “Jika kereta atau rumah mereka rosak mungkin angka (kerugian) lebih besar… Dalam catatan yang dibuat Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), seingat saya adalah RM3 bilion hingga RM4 bilion,” katanya pada sidang media khas di Shah Alam, Selangor, hari ini.

    Beliau berkata bagaimanapun, jumlah itu adalah anggaran DOSM dengan mengambil kira setiap rumah terjejas mengalami kerugian kira-kira RM14,000.- Bernama

  • Mayat ditemukan terdampar di persisiran pantai

    Mayat ditemukan terdampar di persisiran pantai

    SATU mayat lelaki ditemukan terdampar di hadapan kunci air lorong 1 dekat persisiran pantai Bagan Sungai Tiang, Bagan Datuk, pukul 11.30 malam tadi.

    Mangsa yang berusia 36 tahun itu dipercayai mati lemas selepas hanyut semasa memasang jaring ikan sebelum mayatnya ditemukan orang ramai iaitu kira-kira lima jam selepas dilaporkan hilang.

    Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, laporan kehilangan mangsa dibuat seorang lelaki pada jam 6.15 petang yang ternampak mangsa terkapai-kapai menjerit meminta pertolongan.

    Menurutnya, belum sempat lelaki itu berbuat apa-apa, mangsa telah tenggelam dan tidak timbul lagi.

    “Usaha mencari dan menyelamat awal telah dijalankan oleh penduduk dan nelayan setempat, namun tidak menjumpai mangsa.

    “Sehinggalah pukul 11.30 malam, polis dimaklumkan mangsa dijumpai dalam keadaan terlentang dan masih lengkap berpakaian di persisiran pantai, berhampiran tempat kejadian memasang jaring ikan,” katanya seperti dipetik Sinar Harian, hari ini.

    Beliau berkata, pemeriksaan ke atas tubuh mangsa mendapati, tiada sebarang kesan luka, lebam atau cedera yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah.

    Katanya, semasa kejadian air dalam keadaan surut dan polis tidak menolak kemungkinan mangsa lemas akibat tidak tahu berenang.

    “Mayat mangsa dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat dan buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

  • Insiden pelanggaran bot: Seorang mangsa masih dirawat di HSNZ

    Insiden pelanggaran bot: Seorang mangsa masih dirawat di HSNZ

    HANYA seorang mangsa insiden pelanggaran bot pelancong dengan sebuah bot nelayan masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

    Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata individu tersebut bagaimanapun menunjukkan perkembangan kesihatan yang semakin baik, boleh bernafas sendiri dengan bantuan mesin oksigen dan kini berada di wad biasa.

    “Enam lagi pesakit telah dibenarkan pulang ke rumah setelah kita berpuas hati dengan tahap kesihatan mereka. Empat orang dibenarkan keluar dari wad HSNZ pada semalam dan dua orang lagi pada hari ini.

    “Kesemua mereka akan menjalani pemeriksaan susulan di klinik kesihatan berdekatan sekiranya perlu untuk memastikan kesihatan yang optimum,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Pada petang Isnin lepas, sebuah bot pelancong berlanggar dengan sebuah bot nelayan di muara Sungai Besut berhampiran Jeti Pelancongan Kuala Besut.

    Akibat pelanggaran itu, 29 penumpang serta dua kru bot pelancong serta tiga nelayan jatuh ke dalam air, namun berjaya diselamatkan oleh anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta orang awam.

    Kesemua penumpang yang cedera menerima rawatan awal di Klinik Kesihatan Kuala Besut dan Hospital Besut manakala tujuh lagi dihantar ke HSNZ untuk rawatan lanjut. – Bernama

  • HRV terlibat kes samun terbakar, tiga maut termasuk dua rentung

    HRV terlibat kes samun terbakar, tiga maut termasuk dua rentung

    DUA mangsa rentung dalam kemalangan maut melibatkan tiga mangsa yang menaiki kenderaan jenis Honda HRV di Jalan Wakaf Bharu Palekbang, Tumpat awal pagi tadi.

    Memetik laporan BH, kenderaan terbabit dipercayai terbabas sebelum terbakar,

    Menurut Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd Azmir Damiri, salah seorang daripada mangsa ialah lelaki berumur 33 tahun.

    Beliau menambah, identiti dua lagi mangsa yang rentung sedang dikenal pasti.

    Mohd Azmir berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, Honda HRV berkenaan dalam perjalanan dari Cabang Tiga Kepulau menghala ke Wakaf Bharu.

    “Sebaik tiba di lokasi, kereta itu dipercayai terbabas menyebabkan seorang daripada mereka tercampak keluar beberapa meter dan meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Dua lagi rakannya rentung dalam kereta yang sedang terbakar dan kita sedang mengena pasti identiti mereka,” katanya.

    Beliau memberitahu, kejadian itu turut menyebabkan sebuah lagi kereta terbakar iaitu jenis Proton Wira milik penduduk kampung yang diletakkan berhampiran serta sebuah rumah kosong yang mengalami 30 peratus kebakaran.

    Kata Mohd Azmir, semua mayat dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tumpat, Penolong Penguasa Bomba Wan Baijuri Wan Hassan menjelaskan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.04 pagi.

    “Sebaik tiba, kami dapati api sedang marak dan kelihatan seorang mangsa berada beberapa meter sahaja dari kereta itu dan sudah meninggal dunia manakala dua lagi masih dalam kenderaan yang sedang terbakar.

    “Kereta itu dipercayai terbabas sebelum terbakar dan turut terlanggar tiang garaj sebuah rumah kosong yang menyebabkan rumah itu turut mengalami kebakaran 30 peratus manakala sebuah kereta Proton Wira milik seorang penduduk juga hangus.

    “Api dapat dikawal sepenuhnya pada jam 3.35 pagi,” ujarnya.

    Sementara itu, memetik laporan Sinar Harian, tiga lelaki yang maut tersebut dipercayai terlibat dengan kes samun sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger sebelum kemalangan berlaku.

    Mohd Azmir berkata, siasatan awal polis mendapati kenderaan Honda HRV tersebut dinaiki oleh empat lelaki yang kemudian telah pergi ke sebuah rumah di Kampung Palekbang.

    “Salah seorang daripada penumpang Honda HRV itu kemudian bertindak melarikan sebuah kenderaan Ford Ranger dari rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

    Beliau memberitahu, pemilik Ford Ranger itu yang mendengar bunyi enjin kenderaan tersebut dihidupkan kemudian keluar untuk melakukan pemeriksaan.

    Mohd Azmir menambah, pada masa yang sama, seorang lagi penumpang Honda HRV itu telah keluar lalu melibaskan senjata tajam ke arah pemilik kenderaan tersebut.

    Menurut beliau, salah seorang suspek kemudian melarikan diri menggunakan kenderaan pacuan empat roda yang dicuri itu manakala tiga lagi lelaki melarikan diri dengan menaiki Honda HRV terbabit.

    “Pemilik Ford Ranger itu kemudian bertindak mengejar suspek yang melarikan pacuan empat rodanya menggunakan kereta jenis BMW.

    “Honda HRV dinaiki tiga suspek yang melarikan diri itu kemudian terbabas dan melanggar tiang sebuah rumah di Kampung Morak di sini semasa dikejar,” katanya.

    Mohd Azmir berkata, Honda HRV yang terbabas itu kemudiannya terbakar namun pemilik pacuan empat roda berkenaan terus mengejar kenderaannya sehingga ke Kubang Kerian sebelum Ford Ranger itu terbabas di hadapan pejabat Pos Kubang Kerian, Kota Bharu.

    Beliau berkata, polis membuka kertas siasatan bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan serta Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Polis turut mengesan suspek yang berjaya melarikan diri itu,” jelasnya.