HANYA seorang mangsa insiden pelanggaran bot pelancong dengan sebuah bot nelayan masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata individu tersebut bagaimanapun menunjukkan perkembangan kesihatan yang semakin baik, boleh bernafas sendiri dengan bantuan mesin oksigen dan kini berada di wad biasa.

“Enam lagi pesakit telah dibenarkan pulang ke rumah setelah kita berpuas hati dengan tahap kesihatan mereka. Empat orang dibenarkan keluar dari wad HSNZ pada semalam dan dua orang lagi pada hari ini.

“Kesemua mereka akan menjalani pemeriksaan susulan di klinik kesihatan berdekatan sekiranya perlu untuk memastikan kesihatan yang optimum,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada petang Isnin lepas, sebuah bot pelancong berlanggar dengan sebuah bot nelayan di muara Sungai Besut berhampiran Jeti Pelancongan Kuala Besut.

Akibat pelanggaran itu, 29 penumpang serta dua kru bot pelancong serta tiga nelayan jatuh ke dalam air, namun berjaya diselamatkan oleh anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta orang awam.

Kesemua penumpang yang cedera menerima rawatan awal di Klinik Kesihatan Kuala Besut dan Hospital Besut manakala tujuh lagi dihantar ke HSNZ untuk rawatan lanjut. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here