Category: Kemalangan / Bencana

  • KPM urus pusat peperiksaan SPM terjejas banjir

    KPM urus pusat peperiksaan SPM terjejas banjir

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) telah membuka bilik gerakan banjir dan Lembaga Peperiksaan sedang mengambil tindakan bagi menguruskan pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas di Terengganu dan Kelantan.

    Perkara itu dimaklumkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

    “Saya mengambil maklum tentang situasi banjir di Terengganu dan Kelantan yang turut menjejaskan beberapa pusat peperiksaan SPM di negeri tersebut.

    “Sama-sama kita doakan semoga banjir tidak berlarutan dan anak-anak calon SPM 2021 dapat membuat persediaan untuk menduduki peperiksaan dalam keadaan selamat,” menurut hantaran itu.

    SPM akan berlangsung dari 2 hingga 29 Mac ini. – BERNAMA

  • Empat sekeluarga maut dalam kemalangan

    Empat sekeluarga maut dalam kemalangan

    EMPAT beranak maut selepas terlibat kemalangan membabitkan dua kenderaan di Lebuhraya Sultan Iskandar, Kuala Lumpur, hari ini.

    Dalam kejadian pukul 10.40 pagi, semua mangsa yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Hyundai Starex dilaporkan dirempuh pacuan empat roda Toyota Hilux yang hilang kawalan.

    Dalam satu kenyataan, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 10.52 pagi.

    “Dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dan BBP Sri Hartamas dikejarkan ke lokasi kejadian.

    “Setiba di lokasi anggota melakukan kerja-kerja menyelamat dan mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan terbabit,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Menurut kenyataan tersebut, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai P Milan Damani,32; C Thinisha, 31 dan dua kanak-kanak lelaki D Ishaan Ivaan,3 serta D Rihaan Ivaan,4.

    Sementara itu pemandu Toyota Hilux mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan lanjut

  • Bot nelayan selamatkan 14 pemancing, 4 kru yang dilapor hilang

    Bot nelayan selamatkan 14 pemancing, 4 kru yang dilapor hilang

    SEMUA 14 pemancing dan empat kru yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka dikhuatiri karam dipercayai dipukul ribut di Langkawi, hari ini, dilaporkan selamat.

    Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis memaklumkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) masih dalam usaha menyelamatkan semua mangsa.

    “Kapal KM Tenggol dan Bot Penyelamat 5 milik Maritim Malaysia dalam perjalanan ke posisi bot nelayan yang dilaporkan menyelamatkan mangsa. “Kita masih dalam usaha menyelamat,” katanya melalui kenyataan, sebentar tadi.

    Sebelum itu, mereka dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki dilaporkan hampir karam di Pulau Beras Basah, Langkawi pukul 2 petang.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata pihaknya melalui Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi hari ini mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) bagi mengesan bot tersebut di kedudukan sekitar 9.4 batu nautika barat pulau itu.

    Katanya, KM Tenggol, Blbot Perkasa 1225 dan Bot Penyelamat 5 telah diatur gerak bagi operasi CARILAMAT sebaik menerima laporan daripada MRSC Langkawi berkaitan kejadian berkenaan.

  • 14 pemancing bersama 4 kru dikhuatiri hilang di Langkawi

    14 pemancing bersama 4 kru dikhuatiri hilang di Langkawi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SERAMAI 14 pemancing bersama empat kru dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki mereka dilaporkan hampir karam di Pulau Beras Basah, Langkawi pukul 2 petang tadi.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata pihaknya melalui Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi hari ini mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) bagi mengesan bot tersebut di kedudukan sekitar 9.4 batu nautika barat pulau itu.

    Katanya, KM Tenggol, Blbot Perkasa 1225 dan Bot Penyelamat 5 telah diatur gerak bagi operasi CARILAMAT sebaik menerima laporan daripada MRSC Langkawi berkaitan kejadian berkenaan.

    “Maklumat kejadian juga turut disalurkan kepada agensi sahabat seperti Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) , Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta komuniti nelayan setempat.

    “Sektor operasi diperluaskan daripada lima batu nautika hingga ke 10 batu nautika berikutan penemuan beberapa objek timbul seperti tong ikan, tin biskut dan gabus yang dipercayai milik bot berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mohd Zawawi berkata, penemuan barangan tersebut adalah pada jarak 4.8 batu nautika, barat daya dari posisi akhir bot berkenaan dilaporkan hilang.

    Katanya, sehingga kini pencarian masih dilakukan bagi mengesan bot terbabit.

    Sementara itu Warta Rakyat difahamkan,o kejadian tersebut dilaporkan oleh wakil pemilik bot tersebut yang menerima laporan mengenai keadaan berkenaan dari seorang kru dalam bot itu.

    Berikutan itu, KM Tenggol telah diarahkan ke lokasi namun tiada sebarang petunjuk ditemukan di situ.
    Habis

  • Gegaran gempa bumi: Ramai penghuni diarah kosongkan bangunan tinggi

    Gegaran gempa bumi: Ramai penghuni diarah kosongkan bangunan tinggi

    GEMPA bumi kuat yang melanda utara Sumatera, Indonesia hari ini dirasai sehingga pantai barat Semenanjung Malaysia menyebabkan ramai petugas dan penghuni di bangunan tinggi diarah mengosongkan bangunan.

    Antara negeri dilapor merasai gegaran ialah Pahang, Putrajaya, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, dan Johor.

    Kejadian pada 9.39 pagi itu menyebabkan rata-rata petugas swasta dan awam serta penghuni di bangunan tinggi di negeri-negeri terlibat yang berasa bangunan beralun atau bergegar, mengambil langkah keluar untuk berkumpul di kawasan lapang, sehingga keadaan benar-benar selamat.

    Lebih 30 panggilan kecemasan bangunan susulan gegaran itu diterima oleh pasukan Bomba dan Penyelamat di sekitar Lembah Klang, melibatkan antaranya kawasan Taman Miharja, Menara Glomac, Wisma BSN, Menara AmBank dan Apartment Pantai Indah di Kuala Lumpur.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, panggilan kecemasan bangunan diterima pihaknya melibatkan Shah Alam, Cyberjaya, Sepang, Kapar, Banting, Puchong, Kajang, Subang Jaya dan Petaling Jaya.

    Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini melaporkan gempa bumi kuat berukuran 6.1 pada skala Richter melanda utara Sumatera, Indonesia pada 9.39 pagi tadi diikuti gempa bumi lemah berukuran 4.9 pada skala Richter pada 12.02 tengah hari.

    Gempa dengan kedalaman 10 kilometer (km) itu berlaku pada jarak 87 km barat laut dari Payakumbuh, Indonesia dan 324 km barat daya dari Port Dickson, Negeri Sembilan. Kedua-dua gempa itu tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia.

    MetMalaysia bagaimanapun menasihati orang ramai untuk mencari tempat perlindungan dan keluar dari bangunan apabila merasai gegaran.

    Gegaran yang sama turut dirasai di Kuantan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian bangunan bergegar melibatkan tiga premis iaitu Menara Zenith, Bangunan Tabung Haji dan Bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

    “Semua kakitangan di bangunan terlibat didapati telah mengosongkan premis dan berkumpul di lokasi selamat. Pemeriksaan mendapati tiada yang mengalami kecederaan,” menurut kenyataan jabatan itu.

    Di PUTRAJAYA, tinjauan Bernama mendapati penjawat awam di beberapa lokasi antaranya di Kementerian Pengangkutan, Jabatan Audit Negara dan Jabatan Peguam Negara berada di luar bangunan sebagai langkah keselamatan susulan gegaran itu.

    Operasi pejabat kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Audit Negara dilihat berjalan seperti biasa kira-kira tiga jam selepas gegaran dirasai.

    Di SEREMBAN, tinjauan mendapati beberapa pejabat kerajaan dan swasta di daerah itu keluar dari premis masing-masing selepas pengumuman pengosongan bangunan oleh organisasi masing-masing, manakala di JOHOR, beberapa kawasan perumahan di Johor Bahru turut merasai gegaran susulan gempa bumi melanda utara Sumatera itu.

    Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Larkin Pegawai Bomba Kanan II Syuhaidy Fazly Yahya berkata pihaknya menerima satu panggilan kecemasan daripada penduduk di Pangsapuri Amari Larkin melibatkan penghuni sebuah rumah di tingkat 10 dan dua rumah di tingkat 20.

    Kesemua penghuni terbabit telah berkumpul di kawasan lapang sebelum pihak bomba tiba, katanya sambil memberitahu kejadian itu tidak melibatkan kerosakan harta benda dan kecederaan.

    Di MELAKA, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri menerima tujuh panggilan berkaitan gegaran antaranya melibatkan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Seri Negeri, bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, bangunan Hang Tuah Jaya dan Bangunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka Tengah. – BERNAMA

  • Terengganu dilanda banjir, 383 mangsa dipindahkan di 8 PPS

    Terengganu dilanda banjir, 383 mangsa dipindahkan di 8 PPS

    HUJAN lebat berterusan sejak malam tadi menyebabkan beberapa kawasan di Terengganu mula dilanda banjir.

    Memetik laporan Sinar Harian, seramai 383 mangsa banjir daripada 114 buah keluarga mula dipindahkan di lapan buah pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Kemaman dan Setiu pada hari ini.

    Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, sehingga pukul 2 petang, seramai 345 mangsa daripada 100 buah keluarga ditempatkan di tujuh buah PPS di Kemaman yang mula diaktifkan pukul 8.45 pagi.

    “Antara PPS terlibat ialah di Dewan Sivik Air Putih, Dewan Orang Ramai Kampung Teladas, Balai Raya Padang Kubu, Masjid Kampung Dadong, Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jabor dan Balai Raya Padang Kemunting.

    “Sebuah lagi PPS iaitu di PPS SK Air Putih menempatkan tujuh mangsa daripada dua buah keluarga yang menjalani tempoh kuarantin Covid-19,” katanya dalam kenyataan pada hari ini.

    Menurut kenyataan itu, sebuah PPS di daerah Setiu iaitu di Balai Raya Kampung Hulu Seladang dibuka pukul 11.30 pagi tadi bagi menempatkan 38 mangsa banjir membabitkan 14 keluarga.

    Jelas kenyataan itu, sehingga ini keadaan semasa cuaca di Terengganu hujan lebat masih berterusan di kebanyakan kawasan.

    Sementara itu, menurut laman web infobanjir, sehingga pukul 1.30 petang, 10 stesen sungai utama di Terengganu telah melepasi paras bahaya.

    Antara stesen terlibat ialah Sungai Besut di Jambatan Keruak, Sungai Besut di Kampung La, Sungai Dungun di Kuala Jengai, Empangan Tembat di Hulu Terengganu, Sungai Berang di Kampung Menerong, Sungai Telemong di Kuala Ping, Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih, Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Sungai Chalok dan Sungai Setiu.

  • Bomba Selangor terima 15 laporan gegaran selepas gempa

    Bomba Selangor terima 15 laporan gegaran selepas gempa

    SEBANYAK 15 laporan gegaran diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor di sekitar negeri tersebut susulan gempa bumi yang berlaku di Sumatera, Indonesia pagi tadi.

    Memetik laporan BH, Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, panggilan pertama diterima pada jam 9.48 pagi oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting susulan gegaran berlaku di Mahkamah Telok Datok.

    “Kes kedua diterima BBP Puchong pada jam 9.48 pagi juga membabitkan gegaran di Taman Perindustrian Sime UEP, manakala BBP Penchala menerima panggilan dari Jalan Zamrud PJS 5/27 Taman Medan.

    “BBP Kajang menerima panggilan dari Jalan Zamrud 1 juga pada jam 9.48 pagi, manakala BBP Subang Jaya menerima dua laporan dari lokasi USJ 10/1 lokasi PJ Hilton.

    “BBP Shah Alam menerima laporan dari lokasi Jalan Cangkut 19/3 dan sekitar Taman Sri Muda, manakala BBP Kota Anggerik menerima laporan dari Seksyen U8, U1 & U2 dan BBP Sungai Pinang menerima panggilan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Meru.

    “Selain itu, BBP Cyberjaya menerima panggilan dari lokasi Jalan Impact, BBP Rawang pula dari Taman Tun Teja, BBP Damansara menerima panggilan dari Jalan TG Bandar Utama 8, BBP Sepang pula di Bagan Lalang dan BBP KLIA dari Pejabat Korporat Malaysia Airport BHD,” katanya kepada BH, hari ini.

    Beliau menambah, 14 lokasi berkenaan dipantau balai bomba terbabit.

    “Sehingga kini, tiada sebarang kecederaan dilaporkan. Pihak bomba sentiasa bersedia dan membuat pemantauan di lokasi kejadian,” jelasnya.

    Terdahulu, bomba menerima laporan daripada Jabatan Meteorologi berhubung kesan gempa bumi di Bukit Tinggi Sumatera pada jam 9.40 pagi tadi.

  • Gempa bumi di Sumatera, gegaran hingga barat Semenanjung

    Gempa bumi di Sumatera, gegaran hingga barat Semenanjung

    GEMPA bumi berukuran 6.1 pada skala Richter melanda utara Sumatera, Indonesia pada pukul 9.39 pagi tadi.

    MetMalaysia menerusi ciapan di Twitter memaklumkan gegaran tersebut turut dirasai di bahagian barat Semenanjung terutama di Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

    “Tiada ancaman tsunami kepada Malaysia. Gegaran dirasai di bahagian Barat Semenanjung terutama di Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Johor,” katanya dalam kenyataan.

    Gempa di 76 kilometer barat laut Payakumbuh itu turut mengakibatkan gegaran dirasai di bahagian barat Semenanjung Malaysia.

    Berdasarkan pengalaman wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), gegaran dapat dirasai kurang lima saat.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur,Nordin Paudzi berkata gegaran dipercayai dirasai seluruh ibu negara berdasarkan aduan oleh petugas bomba sendiri.

    “Namun, setakat ini, belum ada lagi sebarang laporan kecemasan yang diterima berhubung kejadian ini.

    “Bagaimanapun, pihak bomba sentiasa bersiap sedia dalam segala apa jua kemungkinan. Kejadian ini juga akan disemak pihak bomba melalui Met Malaysia,” katanya.

    Berdasarkan pemerhatian Bernama, ramai pengguna media sosial menyatakan dapat merasai gegaran yang berlaku.

    Rata-rata melahirkan rasa cemas dan bimbang tatkala khuatir akan kejadian yang boleh meragut nyawa itu.

    Sementara itu, Ketua Pengarang Bernama Khairdzir Md Yunus berkata,semua kakitangan pertubuhan ini telah diarahkan turun dari tingkat masing-masing sebagai langkah keselamatan.

    “Ini merupakan prosedur operasi standard (SOP) jika ada bencana berlaku dan keselamatan kakitangan menjadi keutamaan selain gempa bumi mungkin boleh berlaku kecemasan lain.

    “Seperti dapat dilihat semua kakitangan telah diminta berkumpul di perkarangan parkir di pertubuhan ini,” katanya di pekarangan Bernama, di Kuala Lumpur.

    Beliau berkata, pihaknya akan turut meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk membuat pemeriksaan bangunan untuk memastikan ia tidak terjejas akibat gegaran itu.

    Di Putrajaya, gegaran turut dirasai di pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan dan warga kerja di beberapa kementerian telah diarahkan mengosongkan bangunan.

    Antara kementerian yang terlibat adalah di Presint 4 seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Setia Perdana yang dahulunya dikenali sebagai Kompleks B dan Kementerian Wilayah Persekutuan.

    Petugas-petugas kementerian diminta berkumpul di kawasan lapang berhampiran kementerian masing-masing.

    Seorang warga Jabatan Perdana Menteri di Kompleks B berkata mereka telah dibenarkan memasuki premis kira-kira 10.25 pagi setelah keadaan disahkan terkawal. – BERNAMA

  • Maut terkena renjatan elektrik

    Maut terkena renjatan elektrik

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG lelaki maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika sedang melakukan kerja-kerja menyelenggara bumbung di sebuah rumah di Lorong Pauh di Derga, Alor Setar, hari ini.

    Mangsa berusia 38 tahun itu ditemui terbaring di atas bumbung sebelum dibawa turun oleh pasukan bomba.

    Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba II, Ahmad Naufal Abdullah, pihaknya menerima panggilan pada pukul 11.46 pagi berhubung kejadian itu.

    Katanya, seramai enam anggota dan seorang pegawai bersama jentera dan kenderaan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Alor Setar di kerah ke lokasi kejadian.

    “Setibanya di lokasi, didapati terdapat seorang mangsa lelaki terbaring di atas bumbung dan dipercayai terkena renjatan elektrik semasa kerja-kerja penyelanggaraan di atas bumbung

    “Komander operasi melakukan kerja menyelamat membawa mangsa turun menggunakan alat pengusung.

    “Lelaki berusia 38 tahun itu disahkan telah meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ahmad Naufal berkata mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

  • Lelaki maut MPV terbakar langgar pembahagi jalan

    Lelaki maut MPV terbakar langgar pembahagi jalan

    SEORANG lelaki maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya hilang kawalan dan kemalangan sebelum terbakar di Kilometer 428 Lebuhraya Utara-Selatan, berhampiran susur keluar Tol Bukit Tagar, hala selatan, awal pagi tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, MPV itu dipercayai terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik dan terbakar.

    “Mangsa dikenali sebagai Hong Beng Aun, 46 tahun. Mayatnya berjaya dibawa keluar dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut ,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 1.08 pagi dan mengerakkan sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan sembilan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa ke lokasi kejadian.

    Bomba melakukan operasi pemadaman dengan anggaran kemusnahan kira-kira 90 peratus.