Category: Kemalangan / Bencana

  • Pekerja kilang maut dalam mesin bancuh simen yang berputar

    Pekerja kilang maut dalam mesin bancuh simen yang berputar

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pekerja maut selepas termasuk dalam mesin bancuh simen yang sedang berputar di sebuah kilang mozek di Taman Perindustrian Nusa Cemerlang Industrial Park, Iskandar Puteri, semalam.

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, semasa kejadian pada pukul 11.30 pagi, mangsa, Fenddy Asim, 19, sebelum itu sedang membersihkan mesin tersebut.

    “Pada masa kejadian mangsa dikatakan tunduk semasa membersihkan mesin bancuh simen untuk membuat mozek tanpa terlebih dahulu menutup suis utama mesin tersebut, menyebabkan mesin tersebut tiba-tiba berpusing.

    “Keadaan berkenaan menyebabkan kepala dan bahu mangsa terkena mesin tersebut. Seorang rakan sekerja mangsa yang menyaksikan kejadian tersebut telah bergegas mematikan suis mesin.

    “Dia kemudian memanggil rakan sekerja yang lain untuk membantu mengeluarkan mangsa dari dalam mesin tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, mangsa kemudian dikejarkan klinik berhampiran pada jam 11.35 pagi untuk mendapatkan rawatan awal di Taman Nusa Perintins.

    “Mangsa yang dalam keadaan berlumuran darah di bahagian kepala dan telinga telah disahkan meninggal dunia oleh doktor,” katanya.

    Hasil siasatan awal katanya, mendapati tiada sebarang kesalahan jenayah berlaku dan mayat dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk ujian Covid-19 dan bedah siasat.

    Menurut beliau, difahamkan mangsa sudah enam bulan bekerja di kilang berkenaan.

  • Gempa bumi kuat melanda Selatan Sumatera

    Gempa bumi kuat melanda Selatan Sumatera

    GEMPA bumi kuat berukuran 6.7 pada skala Richter melanda Selatan Sumatera, Indonesia pada 5.09 pagi tadi.

    Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gempa itu berlaku pada kedudukan 89 kilometer (km) barat laut dari Siberut, Indonesia dengan kedalaman 10 km.

    “Gegaran dirasai di bahagian barat Semenanjung terutama Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor,” menurut kenyataan itu.

    Bagaimanapun, berdasarkan penilaian awal, gempa berkenaan tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia.

    Sementara itu menerusi ciapan di Twitter, MetMalaysia memaklumkan gempa bumi sederhana berukuran 5.7 pada skala Richter turut melanda Selatan Sumatera pada 5.38 pagi, 79 km dari Siberut, Indonesia.

    Gempa bumi itu juga tidak membawa ancaman tsunami kepada negara.- Bernama

  • Pengawal keselamatan, jurusolek maut dalam kemalangan

    Pengawal keselamatan, jurusolek maut dalam kemalangan

    SEORANG pengawal keselamatan dan jurusole maut selepas terlibat dalam kemalangan tiga kenderaan di Jalan Tengku Mizan berhampiran Kampung Bukit Tunggal, Kuala Terengganu, hari ini.

    Kemalangan pada pukul 1.25 tengah hari itu mengakibatkan Mohammad Faiz Azmi Harun, 31 yang beralamat di Kampung Tanjung Sabtu, Manir dan Annur Izatul Dawiah Mohd Razali, 24, dari Kampung Kesom Che Nordin, Manir, maut di lokasi kejadian.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu, Superintendan Ismail Man berkata, kejadian dipercayai berlaku setelah kereta Proton Waja dipandu Mohammad Faiz dari arah Jambatan Sultan Mahmud hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan dan masuk ke laluan bertentangan.

    Menurutnya, kereta mangsa kemudian merempuh dua buah kenderaan lain termasuk Honda Civic yang dipandu Annur Izatul Dawiah.

    “Kejadian itu menyebabkan kereta dipandu Mohammad Faiz tercampak ke kawasan semak di seberang jalan dan kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Menurut Ismail, pemandu Perodua Viva yang turut dirempuh tidak mengalami kecederaan manakala penumpangnya dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.

    “Mayat mangsa yang maut dalam nahas itu dihantar ke Unit Forensik HSNZ untuk tindakan lanjut dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

  • Budak perempuan maut tercampak dalam kemalangan di Tapah

    Budak perempuan maut tercampak dalam kemalangan di Tapah

    SEORANG kanak-kanak perempuan maut dalam kemalangan selepas tercampak keluar dari kereta yang dinaikinya di Kilometer 340.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dekat Tapah hari ini.

    Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata mangsa N. Ashvika, 11, disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan manakala adik perempuannya N.Yaashika, enam, disyaki mengalami patah kaki dan tangan kiri.

    “Dalam kejadian pada 1.30 tengah hari, kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan jenis Nissan Almera yang dipandu bapanya berusia 38 tahun dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Selangor telah hilang kawalan dan terbabas melanggar besi pembahagi jalan.

    “Akibat kejadian itu, mangsa tercampak keluar melalui cermin belakang kenderaan itu dan mengalami kecederaan parah serta telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan.

    Beliau berkata bagaimanapun bapa serta ibunya berusia 37 tahun dan seorang lagi adik perempuan mangsa berusia 10 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Katanya mangsa dibawa ke Hospital Tapah untuk dibedah siasat yang dijalankan esok selepas keputusan ujian COVID-19 diperoleh. – BERNAMA

  • Bas kilang terbabas: 10 cedera ringan

    Bas kilang terbabas: 10 cedera ringan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 45 penumpang bas kilang selamat dengan hanya 10 mengalami cedera ringan, selepas bas yang dinaiki terbabas dan terbalik berhampiran Bandar Datuk Onn, menuju ke lebuh raya arah Johor Bahru di Johor Bahru, Johor, malam tadi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Shamsul Khomari Bakar, berkata kemalangan itu berlaku kira-kira jam 8.39 malam.

    Katanya terdapat 45 penumpang bas kilang terbabit, namun 35 daripadanya tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Ketika Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di tempat kejadian, orang awam turut membantu mengeluarkan mangsa.

    “Tujuh mangsa termasuk enam wanita dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) menggunakan van Unit Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS), manakala tiga lagi mangsa dibawa ambulans Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, selain BBP Tebrau, operasi turut dibantu BBP Larkin dan BBP Kempas yang keseluruhan membabitkan 24 anggota.

  • Tanah runtuh:Wanita warga emas mangsa kedua disahkan maut

    Tanah runtuh:Wanita warga emas mangsa kedua disahkan maut

    SEORANG wanita warga emas berusia 85 tahun, mangsa kedua ditemui dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang, disahkan meninggal dunia.

    Berita Harian melaporkan, mangsa kedua yang ditemui itu adalah isteri kepada mangsa pertama yang diselamatkan pada pukul 6.54 petang.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata wanita warga emas terbabit dikeluarkan pada pukul 9.10 malam.

    “Dia ditemui dalam rumah No 2, yang terletak bersebelahan lokasi tanah runtuh di Jalan T1/2J.

    “Dia kemudian dibawa keluar oleh pasukan penyelamat sebelum disahkan sudah meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan,” katanya.

    Sementara itu, Sinar Harian melaporkan, kira-kira 15 buah rumah mengalami kerosakan termasuk dua tertimbus selepas berlaku kejadian tanah runtuh di taman itu.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 5.54 petang sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

    Beliau berkata, berdasarkan laporan awal, sebanyak 15 buah rumah terkesan termasuk dua daripadanya tertimbus serta 10 buah kenderaan di lokasi kejadian turut dilaporkan terjejas.

    “Mangsa terbabit melibatkan penghuni di dalam rumah dan pekerja binaan yang menjalankan kerja di kawasan berhampiran rumah,” katanya.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, usaha menyelamat mangsa masih diteruskan dan maklumat mengenai kejadian akan dimaklumkan selepas usaha menyelamat mangsa selesai.

  • Tanah runtuh:4 mangsa dikhuatiri tertimbus

    Tanah runtuh:4 mangsa dikhuatiri tertimbus

    EMPAT mangsa dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Teratai, Taman Bukit Permai di Ampang pada lewat petang ini.

    Mangsa dipercayai membabitkan penghuni dalam rumah dan pekerja binaan berhampiran.

    Bagaimanapun kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, maklumat lanjut akan dimaklumkan kemudian dan kerja-kerja mengeluarkan mangsa terbabit sedang giat dijalankan.

    “Kita menerima panggilan pada pukul 5.64 petang dan saya dimaklumkan ada beberapa orang dilaporkan cedera dan maklumat awal ada empat mangsa.

    “Mangsa terbabit dipercayai melibatkan penghuni di dalam rumah dan pekerja binaan yang menjalankan kerja di kawasan berhampiran rumah tersebut.

    “Maklumat lanjut kita akan maklumkan kemudian,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

  • Lelaki maut dibaham buaya di muara sungai

    Lelaki maut dibaham buaya di muara sungai

    SEORANG lelaki meninggal dunia akibat dibaham buaya ketika mencari kerang di muara Sungai Kampung Mapan-Mapan, Pitas, semalam.

    Bagaimanapun mayat mangsa yang belum diketahui identitinya dikatakan telah dibawa ahli keluarga ke Pulau Banggi, Kudat.

    Pihak bomba menerima laporan berhubung kejadian itu daripada Balai Polis Pitas pada pukul 1.30 petang.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Rony Sikawan berkata, dimaklumkan seorang mangsa dipercayai dibaham buaya ketika mengutip kerang di muara sungai berkenaan.

    “Bagaimanapun, menurut maklumat polis juga, mangsa kemudian ditemukan kira-kira jam 5 petang hari yang sama dan dibawa ke Pulau Sibugo, Banggi,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

    Katanya lagi, maklumat mangsa tidak dapat diperoleh disebabkan keluarga mangsa enggan memberi kerjasama dan operasi ditamatkan pada pukul 4.30 petang Rabu.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, usaha mengesan semua saksi berhubung kejadian itu sedang dilakukan.

    “Setakat ini kejadian belum dapat disahkan dan hanya sekadar dakwaan.

    “Dipercayai mangsa yang terlibat seorang Palauh dan usaha mengesan saksi-saksi sedang dilakukan bagi mengesan di mana mayat dibawa,” katanya.

  • Pemandu lori rempuh 9 motosikal direman tiga hari

    Pemandu lori rempuh 9 motosikal direman tiga hari

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Seorang pemandu lori direman selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kemalangan yang melibatkan sebuah lori dan sembilan motosikal yang mengakibatkan dua kematian di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), dekat Gurun, Kedah, semalam.

    Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret, Nurul Ainna Ahmad terhadap suspek yang berusia 28 tahun itu di Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ini.

    Individu berkenaan yang memakai pakaian serba hitam tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Sungai Petani pada pukul 10.10 pagi tadi dengan diiringi beberapa anggota polis dan tangan bergari.

    Difahamkan, kejadian itu berlaku ketika dia bersama kelindannya sedang dalam perjalanan ke Pulau Pinang bagi menghantar set sofa kepada pelanggan.

    Mereka dipercayai datang dari Kelantan dan terlebih dahulu pergi ke Kuala Nerang, Kedah sebelum bertolak ke destinasi terakhir iaitu di Pulau Pinang.

    Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2.40 petang semalam, dua penunggang motosikal iaitu Mohd Amirul Ismail, 28, dan Muhammad Khairul Azwan Maula Hashim, 31 maut di Kilometer 92.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) apabila mereka yang sedang berlindung dari hujan lebat di bawah jambatan, dirempuh dari belakang oleh lori yang dipandu individu berkenaan.

    Selain kedua-dua mangsa itu, seramai tujuh lagi penunggang motosikal yang berlindung di bawah jambatan di lokasi yang sama turut cedera.

  • Kawasan Lembah Klang banjir, ribuan kereta ditenggelami air

    Kawasan Lembah Klang banjir, ribuan kereta ditenggelami air

    Beberapa kawasan utama di Lembah Klang ditenggelami air berikutan hujan lebat kira-kira satu jam, bermula pukul 3 petang tadi.

    Kejadian itu turut menyebabkan puluhan kereta terperangkap di jalan raya dan ada antaranya tenggelam apabila kawasan parkir dinaiki air.

    Antara kawasan terlibat ialah Jalan Chan Show Lin, Jalan Tun Razak, Jalan Kia Peng, Jalan Raja Chulan, Jalan Kuching dan Jalan Raja Laut.

    Berikutan itu, Terowong SMART ditutup untuk pengoperasian banjir.

    Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerusi perkongsian di laman Facebook memaklumkan, pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Kelab Sultan Sulaiman telah dibuka, dan anggota polis dari Balai Polis Chow Kit kini sedang membantu kerja-kerja pemindahan.

    Hujan lebat itu turut mengakibatkan paras air beberapa sungai di sekitar Lembah Klang berada dalam trend menaik, antaranya Sungai Gombak (Jalan Tun Razak) yang melepasi aras bahaya, manakala Sungai Batu (Sentul), Sungai Klang (Jambatan Sulaiman dan Lebuh Pasar) dan Sungai Gombak (Jalan Parlimen) melepasi aras amaran.

    “NADMA ingin mengingatkan orang awam agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga, peka dengan keadaan sekeliling dan mengutamakan keselamatan diri ketika banjir berlaku,” menurut hantaran itu.

    Dalam pada itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur mengesahkan sebuah video tular berdurasi 25 saat, yang menunjukkan beberapa kenderaan awam ditenggelami air akibat banjir kilat di Jalan Kuchai Lama kira-kira 4.15 petang tadi.

    “Kami menerima puluhan panggilan kecemasan memaklumkan kejadian banjir kilat di kawasan Lembah Klang. Pihak JBPM akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat,” katanya kepada Bernama.

    Dalam video tular itu, kelihatan beberapa kenderaan terkandas berikutan laluan jalan raya telah dinaiki air, sekal  gus mengakibatkan kesesakan lalu lintas.

    — BERNAMA