Beberapa kawasan utama di Lembah Klang ditenggelami air berikutan hujan lebat kira-kira satu jam, bermula pukul 3 petang tadi.

Kejadian itu turut menyebabkan puluhan kereta terperangkap di jalan raya dan ada antaranya tenggelam apabila kawasan parkir dinaiki air.

Antara kawasan terlibat ialah Jalan Chan Show Lin, Jalan Tun Razak, Jalan Kia Peng, Jalan Raja Chulan, Jalan Kuching dan Jalan Raja Laut.

Berikutan itu, Terowong SMART ditutup untuk pengoperasian banjir.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerusi perkongsian di laman Facebook memaklumkan, pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Kelab Sultan Sulaiman telah dibuka, dan anggota polis dari Balai Polis Chow Kit kini sedang membantu kerja-kerja pemindahan.

Hujan lebat itu turut mengakibatkan paras air beberapa sungai di sekitar Lembah Klang berada dalam trend menaik, antaranya Sungai Gombak (Jalan Tun Razak) yang melepasi aras bahaya, manakala Sungai Batu (Sentul), Sungai Klang (Jambatan Sulaiman dan Lebuh Pasar) dan Sungai Gombak (Jalan Parlimen) melepasi aras amaran.

“NADMA ingin mengingatkan orang awam agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga, peka dengan keadaan sekeliling dan mengutamakan keselamatan diri ketika banjir berlaku,” menurut hantaran itu.

Dalam pada itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur mengesahkan sebuah video tular berdurasi 25 saat, yang menunjukkan beberapa kenderaan awam ditenggelami air akibat banjir kilat di Jalan Kuchai Lama kira-kira 4.15 petang tadi.

“Kami menerima puluhan panggilan kecemasan memaklumkan kejadian banjir kilat di kawasan Lembah Klang. Pihak JBPM akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat,” katanya kepada Bernama.

Dalam video tular itu, kelihatan beberapa kenderaan terkandas berikutan laluan jalan raya telah dinaiki air, sekal  gus mengakibatkan kesesakan lalu lintas.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here