Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SERAMAI 45 penumpang bas kilang selamat dengan hanya 10 mengalami cedera ringan, selepas bas yang dinaiki terbabas dan terbalik berhampiran Bandar Datuk Onn, menuju ke lebuh raya arah Johor Bahru di Johor Bahru, Johor, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Shamsul Khomari Bakar, berkata kemalangan itu berlaku kira-kira jam 8.39 malam.

Katanya terdapat 45 penumpang bas kilang terbabit, namun 35 daripadanya tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Ketika Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di tempat kejadian, orang awam turut membantu mengeluarkan mangsa.

“Tujuh mangsa termasuk enam wanita dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) menggunakan van Unit Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS), manakala tiga lagi mangsa dibawa ambulans Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, selain BBP Tebrau, operasi turut dibantu BBP Larkin dan BBP Kempas yang keseluruhan membabitkan 24 anggota.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here