SEORANG lelaki meninggal dunia akibat dibaham buaya ketika mencari kerang di muara Sungai Kampung Mapan-Mapan, Pitas, semalam.

Bagaimanapun mayat mangsa yang belum diketahui identitinya dikatakan telah dibawa ahli keluarga ke Pulau Banggi, Kudat.

Pihak bomba menerima laporan berhubung kejadian itu daripada Balai Polis Pitas pada pukul 1.30 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Rony Sikawan berkata, dimaklumkan seorang mangsa dipercayai dibaham buaya ketika mengutip kerang di muara sungai berkenaan.

“Bagaimanapun, menurut maklumat polis juga, mangsa kemudian ditemukan kira-kira jam 5 petang hari yang sama dan dibawa ke Pulau Sibugo, Banggi,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

Katanya lagi, maklumat mangsa tidak dapat diperoleh disebabkan keluarga mangsa enggan memberi kerjasama dan operasi ditamatkan pada pukul 4.30 petang Rabu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, usaha mengesan semua saksi berhubung kejadian itu sedang dilakukan.

“Setakat ini kejadian belum dapat disahkan dan hanya sekadar dakwaan.

“Dipercayai mangsa yang terlibat seorang Palauh dan usaha mengesan saksi-saksi sedang dilakukan bagi mengesan di mana mayat dibawa,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here