Category: Kemalangan / Bencana

  • Veteran tentera meninggal dunia selepas persidangan

    Veteran tentera meninggal dunia selepas persidangan

    Seorang Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Negeri Sembilan meninggal dunia selepas rebah di bilik sebuah hotel di Seremban kira-kira pukul 4.30 petang semalam.

    Terdahulu Shaharuddin Abd. Manan, 62 hadir Majlis Persidangan Perwakilan PVATM Negeri Sembilan kali ke-68 yang berlangsung di hotel itu.

    Yang Dipertua PVATM Negeri Sembilan, Adnan Ahmad berkata, Allahyarham yang merupakan seorang duda sememangnya mempunyai penyakit jantung.

    “Pagi semalam saya ada terserempak dengan arwah ketika sarapan pagi dan apabila saya cuba berbual dengannya, dia tiba-tiba memegang dadanya.

    “Saya tahu dia ada sakit jantung, tapi selepas itu keadaannya baik saja dan arwah sempat berpesan kepada saya supaya letakkan namanya untuk sertai perbarisan PVTM nanti,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Bagaimanapun katanya, Allahyarham yang berehat di bilik hotel selepas selesai persidangan rebah selepas keluar dari tandas.

    Ujarnya, Allahyarham sebelum itu sempat makan ubat.

    “Kejadian ini sangat mengejutkan kami kerana ia berlangsung ketika persidangan. Jenazahnya telah dibawa pulang ke tempat tinggalnya di Kota, Rembau untuk dikebumikan,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof mengesahkan menerima laporan kematian mangsa.

  • Tiada pembalakan aktif di Hutan Simpan Gunung Inas – Takiyuddin

    Tiada pembalakan aktif di Hutan Simpan Gunung Inas – Takiyuddin

    LAPORAN rasmi Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) mengesahkan tiada aktiviti pembalakan aktif di kawasan Hutan Simpan Gunung Inas sehingga mengakibatkan kejadian kepala air dan banjir kilat di Baling, semalam.

    Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sebaliknya, terdapat pembangunan ladang hutan di kompartmen lapan, Hutan Simpan Gunung Inas sejak 2019 yang mendapat kelulusan kerajaan negeri Kedah.

    Beliau berkata, tujuan pembangunan ladang hutan itu adalah bagi penanaman semula, yang setakat ini melibatkan penanaman lebih 5,000 pokok di kawasan seluas 52 hektar.

    “JPSM telah membuat semakan dan siasatan serta mengesahkan bahawa pokok yang dihanyutkan itu adalah bukan daripada kayu-kayu balak yang dijalankan pembalakan. Ini adalah kerana kayu-kayu itu dihanyutkan bersama akar-akarnya sendiri.

    “Jadi kita mahu betulkan anggapan sesetengah pihak bahawa berlakunya pembalakan aktif yang menjadi punca berlakunya kepala air di sungai (Sungai Kupang) itu,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Jendela Fikir di Bernama Radio hari ini.

    Banjir lumpur di Baling semalam mengakibatkan beratus-ratus penduduk dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) dengan lebih 80 rumah terjejas serta meragut tiga nyawa, dalam kejadian kira-kira 4 petang semalam.

    Takiyuddin berkata, pihaknya juga amat dukacita atas kejadian bencana alam itu.

    “Ini merupakan satu bencana alam, mungkin ada banyak sebab ia berlaku dan oleh sebab itu kementerian amat serius dalam menjaga biodiversiti dan alam sekitar,” katanya. – BERNAMA

  • Mayat 3 beranak dihanyut kepala air Baling ditemukan

    Mayat 3 beranak dihanyut kepala air Baling ditemukan

    MAYAT dua daripada tiga sekeluarga yang dilaporkan hilang dalam kejadian banjir dan fenomena kepala air yang melanda Kampung Iboi, Kupang di Baling petang semalam, ditemukan pasukan penyelamat pada 9.30 pagi tadi.

    Dua mangsa tersebut, Salmah Mat Akib, 53, dan menantunya, Nurul Anis Abu Hassan, 23, yang hamil empat bulan, ditemukan dalam keadaan berpelukan di bawah timbunan kayu balak kira-kira 100 meter dari lokasi rumah mereka yang dihanyutkan arus deras.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata operasi mencari mangsa bermula pukul 8 pagi yang dipecahkan kepada tiga pasukan, sebelum menemukan kedua-dua mayat pada 9.30 pagi

    “Kedua-dua mangsa ditemukan di bawah timbunan kayu, mungkin mangsa hanyut bersama bongkah kayu dan tersangkut di kawasan itu,” katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian banjir di Kampung Iboi di Baling hari ini.

    Katanya, mayat berkenaan ditemukan dalam keadaan sempurna dan telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    Sementara itu, mayat remaja lelaki daripada tiga sekeluarga yang dilaporkan hilang dalam kejadian banjir dan fenomena kepala air yang melanda Kampung Iboi, Kupang di sini petang semalam, ditemukan pada 11.55 pagi tadi.

    Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, yang merupakan pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai itu ditemukan tidak jauh dari lokasi dua mayat yang ditemukan sebelum ini.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata mayat mangsa ketiga ditemukan kira-kira dua jam selepas penemuan dua mayat pada 9.30 pagi tadi di lokasi berhampiran.

    “Mayatnya ditemukan di bawah timbunan kayu dan berjaya dikeluarkan oleh pihak kami yang kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian banjir di Kampung Iboi, Kupang hari ini.

    Katanya mayat remaja itu dalam keadaan sempurna tanpa kesan kecederaan.

    Dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam, ketiga-tiga mangsa berada di dalam sebuah rumah yang kemudian dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir dan fenomena kepala air yang berlaku selepas hujan lebat berterusan selama tiga jam. – BERNAMA

  • JAKIM diarah selaras bantuan Musa’adah bantu mangsa banjir Baling

    JAKIM diarah selaras bantuan Musa’adah bantu mangsa banjir Baling

    JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah diarah menyelaras segera bantuan Musa’adah bersama-sama pihak berkuasa di Kedah bagi membantu penduduk yang terkesan dan terjejas akibat banjir di Baling, semalam.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, selain JAKIM, agensi-agensi hal ehwal Islam di bawah jabatannya juga telah diminta untuk turut bersama turun ke lapangan bagi menghulurkan bantuan.

    “Saya mengikuti laporan media yang melaporkan kejadian banjir lumpur melanda beberapa kawasan di daerah Baling, Kedah. Dari lubuk hati yang dalam, saya berasa amat dukacita dan bersimpati dengan para penduduk yang terlibat,” katanya dalam catatan di laman Facebooknya.

    Beliau turut mendoakan semua pihak yang terlibat dikurniakan kesabaran serta ketabahan menghadapi ujian itu, selain menyeru seluruh masyarakat termasuk jemaah haji di Makkah bersama-sama mendoakan keselamatan dan kesejahteraan negara.

    Setakat pukul 2 pagi tadi 334 mangsa banjir dari sembilan kampung di Baling dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) dengan 85 rumah dilaporkan terjejas ekoran bencana banjir kilat kira-kira pukul 4 petang semalam.

    Sementara itu Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, Jabatan Pendidikan Kedah serta Pejabat Pendidikan Baling telah diminta bersiap sedia dan mengambil tindakan sewajarnya, termasuk membuka sekolah untuk dijadikan PPS banjir.

    “Saya akan terus mengikuti perkembangan situasi ini dan memastikan kebajikan warga pendidikan yang terkesan diberikan perhatian. Sama-sama kita doakan semoga banjir tidak berlarutan dan usaha membantu serta menyelamatkan penduduk terlibat dipermudahkan,” katanya menerusi catatan di Facebooknya.

    Beliau berkata, setakat ini kira-kira sembilan sekolah di bawah KPM di kawasan itu dilaporkan terkesan akibat banjir. – BERNAMA

  • Warga emas berpaut pada pokok elak dihanyut arus deras

    Warga emas berpaut pada pokok elak dihanyut arus deras

    SEORANG wanita warga emas yang dihanyutkan air dalam kejadian banjir yang melanda beberapa kampung di Baling petang semalam, sempat berpaut pada sebatang pokok pinang sebelum diselamatkan.

    Mangsa, Hasnah Ismail, 58, berkata, sebaik melihat air naik dengan cepat dan masuk ke dalam rumah, dia dan suami memanjat sebatang pokok rambutan berhampiran rumah mereka.

    “Bila nampak pokok rambutan macam nak tumbang, mak cik dan pak cik cuba berpaut pada kayu balak hanyut, tapi tangan pak cik terlepas dan dihanyutkan arus banjir.

    “Mujurlah dia sempat mencapai ranting buluh, mak cik pula hanyut bersama kayu balak sebelum berpaut pada pokok pinang…lebih kurang sejam juga kami kesejukan di dalam air menunggu sehingga pasukan penyelamat datang menyelamatkan kami kira-kira pukul 8 malam tadi,” katanya ketika ditemui Bernama di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai dekat sini malam tadi.

    Menurutnya, dia cuba menjerit meminta pertolongan, namun tiada siapa yang mendengar dan hanya mampu menunggu diselamatkan, malah suaminya, Che Nai Isa, 59, juga hanya berpaut pada ranting buluh.

    “Mak cik hanya ingat mati masa itu, tak nampak siapa yang boleh tolong…namun rasa bersyukur bila nampak bot penyelamat datang dan selamatkan kami berdua.

    “Sambil menahan sejuk di dalam air banjir, belakang mak cik beberapa kali berlanggar dengan kayu balak hanyut, mujur kami berdua tak cedera,” katanya.

    Hasnah berkata, dia yang sudah tinggal di Kampung Padang Empal sejak kecil, sering menyaksikan kejadian banjir di situ namun banjir yang berlaku kali ini adalah yang terburuk.

    “Selalu kalau air naik, sampai buku lali atau betis, ini kali pertama naik sampai ke bumbung rumah, tak tau apa nasib 30 ekor kambing di dalam kandang, barang dalam rumah semua tak sempat diselamatkan termasuklah dua motosikal.

    “Duit tunai kira-kira RM2,000 hasil jualan kambing baru-baru ini pun dihanyutkan air banjir,” katanya.

    Tambahnya, mujurlah anaknya, Nor Alia, 20, seorang kurang upaya sejak lahir telah diselamatkan oleh seorang saudara lelakinya lebih awal.

    “Dia gendong anak saya walaupun masa itu air sudah naik ke paras leher…alhamdulillah dua-dua selamat,” katanya.

    Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir, Siti Mariam Abdul Isa, 70, berkata, suaminya yang lumpuh separuh badan sejak sembilan tahun lepas sudah terendam dalam air banjir sewaktu dia bersama anak dan cucu lelakinya sedang sibuk memindahkan barang ke tempat lebih tinggi.

    “Kami terlupa yang pak cik tidur di atas tilam di lantai…bila sedar sahaja terus kami bertiga angkat dan bawa dia ke tingkat atas rumah, dia menggigil juga sebab sejuk terendam dalam air banjir.

    “Sebelum air naik, mak cik suapkan nasi untuk pak cik, tak sangka air naik cepat sangat, anak dan cucu masa tu sedang angkat motosikal yang baru dibeli sebulan lepas ke tingkat atas rumah. Tapi dengan motosikal itu sekali tenggelam dalam banjir,” katanya.

    Seorang lagi mangsa, Siti Hajar Said, 32, berkata, dia tidak sempat menyelamatkan sebarang harta bendanya, termasuk kucing dan arnab kesayangan anak-anaknya juga gagal dijumpai dalam kejadian itu.

    “Hujan turun pada jam 4 petang, dalam jam 5 petang air mula naik, tak sampai setengah jam air sudah naik sampai bumbung rumah.

    “Kesemua enam buah rumah yang terletak dekat dengan sungai, semuanya tenggelam. Kali terakhir banjir di sini, sebelum raya puasa lepas, tapi tidak seteruk banjir kali ini,” katanya. – Bernama

  • Wanita hamil anak sulung antara tiga sekeluarga hilang dalam  banjir di Baling

    Wanita hamil anak sulung antara tiga sekeluarga hilang dalam banjir di Baling

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PASUKAN mencari dan penyelamat kini giat mencari tiga individu sekeluarga yang dilaporkan hilang setelah rumah mereka dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir di Kampung Iboi, Kupang, Baling, semalam.

    Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, laporan mengenai kejadian itu dibuat oleh seorang warga emas, Abdul Rahman Said, 71, di Balai Polis Kupang kira-kira pukul 5 pagi tadi.

    Menerusi laporan polis dibuat katanya, Abdul Rahman mendakwa kira-kira pukul 4.50 petang dia yang sedang berada di Sekolah Kebangsaan Kuala Pegang, Kupang, menerima panggilan daripada menantunya yang sedang hamil anak sulung empat bulan, Nurul Anis Abu Hassan, 23, yang memaklumkan rumah jiran mereka telah dinaiki air.

    “Sebaik menerima panggilan itu, dia kemudiannya memandu kereta untuk pulang ke rumah. Namun tidak lama kemudian, anaknya yang menetap di Pulau Pinang menelefon dan memaklumkan rumah mereka telah dinaiki air.

    “Apabila tiba berhampiran rumahnya, Abdul Rahman mendapati rumahnya sudah dihanyutkan arus banjir. Dia kemudiannya cuba menghubungi Nurul Anis namun gagal ,” katanya.

    Selain Nurul Anis, dua lagi individu sekeluarga yang dipercayai berada dalam rumah tersebut adalah isteri Abdul Rahman, Salmah Mat Akib, 53, yang mengalami sakit angin ahmar sejak setahun lepas serta anak tirinya, Khairul Ikwan Nor Azam, 14.

    banjir baling sekeluarga
    Muhammad Sanusi Mohd Nor menziarahi mangsa banjir.

    Kejadian yang menimpa keluarga itu turut mendapat perhatian Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang meluangkan masa menziarahi Abdul Rahman, malam tadi.

    Difahamkan terdapat sekurang-kurangnya 15 kampung yang terjejas akibat kejadian itu antaranya Kampung Hangus, Kampung Bukit Ibor, Kampung Ibor, Kampung Pisang, Kampung Bendang Padang, Kampung Belakang Sekolah, Kampung Sadek, Kampung Gerik-Baling, Kampung Tanjung Merbau, Kampung Bukit Tinggi dan Kampung Bukit Tok Saba.

    Lain-lain kampung yang terlibat adalah Kampung Bendang Becah di Kupang, Kampung Kitang, Kampung Padang Ampang, Kampung Lata Celak, Kampung Pekan Khamis dan Kampung Banggol Cicar.

    Sementara itu, memetik laporan Bernama, suami Nurul Anis, Khairul Ashraf Nor Azman, 24, berkata ketika kejadian dia sedang bekerja di Pulau Pinang dan sepatutnya pulang hari ini bagi membawa isteri melakukan pemeriksaan kandungan.

    Katanya, dia menerima panggilan daripada kakaknya mengenai kejadian banjir itu dan terus bergegas pulang, namun apabila sampai rumah yang didiami isterinya itu telah hilang dibawa arus deras.

    “Saya dan isteri tinggal di Pulau Pinang, namun isteri saya minta balik ke kampung dan tinggal dengan emak saya untuk jaga dia sebab emak saya kena strok,” katanya yang mendirikan rumah tangga pada Februari lepas.

    Khairul Ashraf berkata kali terakhir dia bertemu dengan isterinya pada minggu lepas dan isterinya sempat meninggalkan pesan supaya menjaga dirinya baik-baik.

    “Sebelum kejadian kami juga sempat berbalas mesej dan dia meminta saya membelikan dia makanan dan macam-macam benda lain, tapi bila kejadian ini berlaku tak sempat saya nak tunaikan permintaan dia,” katanya.

    Khairul Ashraf berharap isterinya dan ahli keluarganya yang lain dapat ditemukan dengan selamat, namun dia reda dengan segala ketentuan.

  • Kereta dipandu lawan arus, warga emas maut

    Kereta dipandu lawan arus, warga emas maut

    SEORANG lelaki warga emas maut apabila kereta yang dipandunya secara melawan arus bertembung dengan sebuah kereta dalam kemalangan di kilometer 32.8 Lebuhraya Persekutuan menghala Klang pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dalam kejadian pada pukul 1.45 pagi, mangsa berusia 72 tahun memandu kereta jenis Proton Wira secara melawan arus sebelum bertembung dengan sebuah kereta jenis Honda City.

    “Pemandu Proton Wira itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, orang ramai yang melihat atau berada di tempat kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor R Navalan di talian 014-2536820 bagi membantu siasatan.

  • Buruh maut motosikal langgar lori sampah, diseret 40 meter

    Buruh maut motosikal langgar lori sampah, diseret 40 meter

    SEORANG buruh maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas sebelum melanggar sebuah lori sampah Di Kilometer 11, Jalan Chukai-Ibok, berhampiran Kampung Ibok, di Kemaman pukul 1.50 petang semalam.

    Mangsa, Mazlan Yahya, 49 tahun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di badan dan kepala selepas terseret kira-kira 40 meter.

    Lelaki itu dikatakan dalam perjalanan dari arah Bandar Chukai menuju ke arah Kampung Kemasek apabila motosikal yang ditunggangnya dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori terbabit.

    Mangsa yang cedera parah disahkan meninggal dunia ditempat kejadian.

    Sementara pemandu lori yang berusia 39 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Sementara itu Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

  • 2 beranak Orang Asli maut dalam kemalangan

    2 beranak Orang Asli maut dalam kemalangan

    SEORANG kanak-kanak dan bapanya maut apabila motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dekat Ipoh hari ini.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak dalam kenyataan berkata, kanak-kanak itu yang dianggarkan berusia 12 tahun dan bapanya, 62, dipercayai berketurunan Orang Asli, meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Empat individu lain termasuk seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan yang menaiki kereta jenis Toyota Alphard hanya mengalami kecederaan, katanya.

    “Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai menerima panggilan pada pukul 10.45 pagi tadi dan anggota bomba mendapati kedua-dua kenderaan itu bertembung dalam kemalangan itu sehingga mengakibatkan dua mangsa yang menaiki motosikal tercampak ke dalam semak,” katanya.

    Katanya, kedua-dua mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat pada 11.50 pagi tadi. – BERNAMA

  • Lelaki maut, rakan parah dalam kemalangan 3 kereta

    Lelaki maut, rakan parah dalam kemalangan 3 kereta

    SEORANG lelaki maut manakala rakannya cedera parah selepas kereta Perodua Axia dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan dua lagi kenderaan dalam kejadian di Jalan Raja Uda, di Butterworth tengah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), ACP Mohd Radzi Ahmad berkata, lelaki berusia 29 tahun yang merupakan penumpang hadapan maut ketika menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan rakannya berumur 20-an yang duduk di kerusi belakang dalam keadaan kritikal dirawat di hospital sama.

    Katanya, pemandu kereta Perodua Axia iaitu seorang lelaki berusia 20-an mengalami cedera ringan dalam kemalangan yang berlaku pada 12.15 tengah malam itu.

    “Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Axia yang sedang membelok ke kanan jalan bertembung dengan kereta Honda City yang datang dari arah bertentangan.

    “Akibat perlanggaran itu, kereta Perodua Axia berpusing dan melanggar Perodua Alza yang sedang berhenti di tepi jalan di situ, kedua-dua lelaki yang memandu Honda City dan Perodua Axia mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Radzi berkata, siasatan lanjut berhubung kemalangan itu masih dijalankan menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA