Category: Jenayah

  • Tiga tahan dipercayai seleweng minyak masak, diesel bersubsidi

    Tiga tahan dipercayai seleweng minyak masak, diesel bersubsidi

    PEJABAT Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang merampas kira-kira 2.4 tan minyak masak dan empat tan diesel bersubsidi dalam serbuan di sebuah stor di Taman Limau Manis, Bukit Mertajam semalam.

    Dalam operasi kira-kira pukul 12 tengah hari itu, tiga lelaki warga tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan kes dipercayai penyelewengan minyak bersubsidi tersebut.

    SEBAHAGIAN minyak masak dan diesel bersubsidi yang dipercayai
    cuba diseleweng yang dirampas pihak berkuasa di sebuah stor di Taman Limau Manis, Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam.

    Pengarah PPDNHEP negeri, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, ketika ditahan tiga lelaki berkenaan sedang memotong plastik minyak masak bersubsidi satu kilogram untuk dipindahkan ke dalam tangki fiber.

    Jelas beliau, serbuan itu dilakukan hasil  risikan pihaknya selama sebulan selepas menerima aduan daripada orang ramai.

    “Selain mengesan aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi, kita turut menemui minyak diesel yang yang dipercayai tidak mempunyai lesen atau permit yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Menurut beliau, minyak masak dan diesel itu serta sebuah lori yang keseluruhannya bernilai RM28,000 disita bagi siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

    Tambahnya, kesalahan itu boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kedua atau seterusnya.

    “Bagi pertubuhan atau perbadanan, denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta untuk kesalahan kedua dan seterusnya,” katanya.

  • Lelaki dikhuatiri lemas kereta terjunam dalam Sungai Batang Lassa

    Lelaki dikhuatiri lemas kereta terjunam dalam Sungai Batang Lassa

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SEORANG lelaki dikhuatiri lemas selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya merempuh penghadang besi jambatan yang sedang dalam pembinaan sebelum terjunam dalam Sungai Batang Lassa, Daro, Mukah, hari ini.

    Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak dalam satu kenyataan memberitahu, lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro digerakkan ke tempat kejadian selepas menerima laporan pada pukul 4.45 pagi.

    Apabila tiba di tempat kejadian, bomba mendapati kenderaan yang dipercayai dipandu Kevin Lau Beng Song, 25, yang berasal dari Ulu Sungai Merah, Sibu telah tenggelam di hujung jambatan tersebut, 800 meter dari daratan.

    “Maklumat awal yang diterima menyatakan saksi melihat Toyota Hilux berwarna perak tersebut sedang bergerak di atas jambatan itu dan tiba-tiba hilang dari pandangan.

    “Saksi mendapati pagar yang menjadi penghalang keselamatan pada hujung jambatan telah patah dan mengesyaki kenderaan tersebut jatuh dan tenggelam ke dalam sungai,” demikian menurut kenyataan tersebut.

    Operasi mencari dan menyelamat dijalankan menggunakan tiga bot tunda milik pemaju projek jambatan tersebut manakala Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Sungai Merah, Sibu juga diminta bersiap-siaga untuk digerakkan bagi membantu operasi.

  • 4 anggota TUDM maut dalam insiden tembak

    4 anggota TUDM maut dalam insiden tembak

    SEBANYAK empat anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut dalam kejadian tembak di Kem SKN 330 TUDM CRC, Kota Samarahan, Sarawak pagi ini.

    Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, kejadian berlaku pada pukul 7.50 pagi di Balai Pengawal Handau Skuandron 330 TUDM.

    Menurutnya, kejadian itu dipercayai berlaku ketika masa serah tugas membabitkan anggota bertugas di balai pengawal berkenaan.

    “Salah seorang anggota TUDM dipercayai menembak tiga rakannya sebelum menembak diri sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Aidi berkata, dua rakannya yang ditembak meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian manakala seorang lagi cedera parah.

    Ujarnya, mangsa yang cedera parah sempat memandu kenderaan sendiri untuk mendapatkan rawatan di klinik tentera dalam kem berkenaan.

    “Bagaimanapun, mangsa yang cedera di bahagian perut dan kritikal meninggal dunia ketika menerima rawatan di Pusat Jantung Kota Samarahan,” katanya.

    Aidi memberitahu, pihak Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak dan Forensik Hospital Umum Sarawak hadir di tempat kejadian.

    Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti kejadian.

    Sementara itu, TUDM dalam satu kenyataan mengesahkan insiden itu melibatkan empat warganya yang berlaku pada pukul 7.15 pagi.

    Jelas kenyataan itu, kejadian berlaku ketika waktu anggota bertugas kira-kira pukul 7.15 pagi dan akan menubuhkan satu lembaga penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

    “Pihak TUDM menyerahkan kes kejadian kepada PDRM untuk menjalankan siasatan.

    “Pihak TUDM juga menggesa semua pihak agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan oleh pihak polis selesai,” katanya.

  • Kanak-kanak lelaki 12 tahun ditemui lemas

    Kanak-kanak lelaki 12 tahun ditemui lemas

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ditemui lemas selepas mandi dalam longkang besar di Jalan Padi Mahsuri, Bandar Baru Uda, Johor Bahru, semalam.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid berkata, kejadian kira-kira pada jam 5 petang itu berlaku ketika air longkang tersebut naik dan menjadi deras selepas hujan lebat.

    Menurut Rupiah, sebelum kejadian, rakan-rakan mangsa telah menasihatinya supaya tidak mandi dalam longkang besar itu.

    “Mangsa bagaimanapun tidak menghiraukan nasihat rakannya apabila tetap terjun tanpa menyedari arus deras dalam longkang tersebut.

    “Pihak polis menerima maklumat daripada orang awam pada pukul 5.15 petang berkenaan kejadian lemas membabitkan seorang kanak-kanak lelaki lemas di sebuah longkang besar di sekitar Jalan Padi Mahsuri.

    “Pihak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) telah berjaya mengeluarkan mangsa daripada longkang tersebut dan disahkan telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, jenazah telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada waris untuk urusan pengebumian.

    Jelasnya, sehingga kini tiada sebarang unsur jenayah ditemui dalam kejadian tersebut.

    Tambahnya, kertas siasatan kematian mengejut (SDR) telah dibuka dan siasatan masih diteruskan.

    “Pihak polis menyeru orang ramai supaya memantau pergerakan anak-anak agar insiden sebegini tidak menimpa keluarga mereka,” katanya.

  • Lelaki disyaki jadi orang tengah pegawai kanan MBJB ditahan SPRM

    Lelaki disyaki jadi orang tengah pegawai kanan MBJB ditahan SPRM

    SEORANG pesara yang dipercayai bertindak sebagai orang tengah kepada pegawai kanan di Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) untuk mendapatkan wang rasuah, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Johor Cawangan Kluang di Johor Bharu, malam tadi.

    Menurut sumber, lelaki berusia 60 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Johor kira-kira 9 malam bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

    Sumber berkata hasil siasatan mendapati lelaki itu ketika bekerja sebagai penjawat awam, telah bertindak sebagai orang tengah kepada pegawai kanan MBJB itu bagi mendapatkan wang rasuah daripada kontraktor-kontraktor sebagai balasan meluluskan kerja yang dilaksanakan oleh kontraktor bagi projek-projek yang dikeluarkan oleh pihak MBJB pada 2020 dan 2021. 

    Siasatan ke atas lelaki itu dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan permohonan reman ke atas lelaki berkenaan akan dibuat di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

    Pada 10 Ogos lepas, seorang pegawai kanan di MBJB ditahan SPRM kerana disyaki menerima rasuah daripada kontraktor ketika berkhidmat di Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, di sini.

  • Wang pereka dalaman RM36,496 lesap ditipu ‘Michelle’

    Wang pereka dalaman RM36,496 lesap ditipu ‘Michelle’

    Oleh Mohd Lazim Endut

    SEEORANG pereka dalaman terpaksa berputih mata apabila wang simpanannya sebanyak RM36,496 lesap sekelip mata selepas ditipu seorang wanita menerusi iklan pekerjaan tidak wujud, semalam.

    Mangsa berusia 27 tahun berasal dari Sungai Lui, Raub Pahang terpedaya dengan tawaran iklan itu selepas melayari laman sosial Facebook dan tertarik dengan tawaran kerja sebagai agen jualan barangan.

    Menurut Ketua Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof, kejadian bermula Isnin lalu pukul 12.45 tengah hari apabila mangsa tertarik dengan tawaran iklan kerja yang terpapar di Facebook menerusi pemilik akaun bernama ‘Michelle’.

    Katanya, mangsa mula menekan pautan iklan itu dan terus disambungkan ke aplikasi WhatsApp suspek.

    “Michelle mengatakan mangsa boleh menggunakan namanya sebagai agen jualan namun perlu membuat pembayaran ke atas barang yang ditawarkan.

    “Sekiranya barangan berkenaan berjaya dijual, mangsa akan menerima komisyen sebanyak lima peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Mohd Wazir, semalam, mangsa yang berminat dengan syarat dinyatakan suspek telah melakukan pemindahan wang secara dalam talian ke akaun CIMB Bank milik Lai Kien Wei sebanyak RM3,599 untuk bayaran pertama.

    Pada hari yang sama katanya, lebih kurang pukul 11 pagi mangsa sekali lagi membuat pemindahaan wang kali kedua ke dalam akaun Hong Leong Bank atas nama Qamarus Salihin Jahana.

    “Kemudian, pengadu memasukkan lagi wang ke dalam kedua-dua akaun bank diberikan suspek sebanyak tujuh kali berjumlah RM36,496.

    “Setelah mangsa membuat semua transaksi namun masih tidak menerima sebarang komisyen daripada suspek, dia mula merasakan ditipu lalu tidak lagi menghubungi suspek,” ujarnya.

    Mohd. Wazir berkata, ekoran itu mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub, semalam dan tindakan lanjut akan diambil mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

  • 2 warga asing ditahan, dadah lebih RM670,000 dirampas

    2 warga asing ditahan, dadah lebih RM670,000 dirampas

    POLIS Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket dadah yang berpangkalan di Lembah Klang menerusi tangkapan dua suspek ahli sindiket itu di dua lokasi berbeza di negeri ini pada Ahad lalu.

    Turut dirampas daripada suspek warga asing masing-masing lelaki Myanmar berusia 56 tahun dan wanita Vietnam berusia 31 tahun itu adalah pelbagai jenis dadah seberat hampir 19 kilogram (kg) bernilai lebih RM670,000.

    Suspek wanita yang merupakan teman wanita kepada ketua sindiket itu ditahan di sebuah kondominium di Gelugor di sini pukul 10.50 malam manakala suspek lelaki ditahan di sebuah rumah teres di Bukit Tengah, Bukit Mertajam pukul 10 malam hari sama.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh, dalam serbuan di rumah teres yang didiami suspek lelaki, polis merampas dadah disyaki syabu seberat 18.58 kg bernilai RM668,772.

    Katanya, turut dirampas adalah 12 gram (g) pil erimin 5 (RM690); 50 butir peluru jenis A USA 9 MM Luger; 56 liter cecair kimia dan pelbagai peralatan untuk memproses dadah.

    Jelas beliau, penahanan lelaki itu membawa kepada serbu di kondominium yang disewa suspek wanita terbabit yang dijadikan lokasi menyimpan dadah yang mana polis turut merampas sebanyak 45.5 g syabu bernilai RM1,634.

    Selain itu ujar beliau, polis turut menyita wang tunai dalam pelbagai mata wang, jam tangan berjenama dan pelbagai barangan kemas dalam serbuan terbabit yang keseluruhannya bernilai RM48,730.

    “Sindiket ini dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah sejak Ogos tahun lalu.

    “Mereka mendapatkan bekalan dadah dari Lembah Klang untuk diedarkan di negeri ini dan ke negara jiran menggunakan jalan darat serta laut,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat kontinjen (IPK) polis negeri di Georgetown, Pulau Pinang hari ini.

    Beliau memberitahu, siasatan polis mendapati suspek lelaki sudah menetap di negara ini sejak 10 tahun lalu itu namun pasport serta dokumen perjalanan dirinya telah tamat tempoh sejak 2017, manakala suspek wanita memasuki negara ini dua tahun lalu.

    Tambahnya, susulan penahanan dua warga asing itu juga, polis berjaya menahan seramai 10 lagi suspek lain iaitu tujuh lelaki dan tiga wanita berusia antara 27 hingga 65 tahun termasuk dipercayai ketua sindiket terbabit di Lembah Klang.

    Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 39B; Seksyen 39A(1); Seksyen 12(3); Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 39(2) Akta Dadah Berbahaya 1952; Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

  • Polis Terengganu tubuh 147 pasukan pantau ‘dine-in’ kedai makan, restoran

    Polis Terengganu tubuh 147 pasukan pantau ‘dine-in’ kedai makan, restoran

    Oleh Mohd Lazim Endut

    POLIS Terengganu menubuhkan sebanyak 147 pasukan pemantau bagi digerakkan membuat pemeriksaan di premis-premis kedai makan dan restoran di negeri itu yang menjalankan perniagaan secara ‘dine-in’.

    Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa, langkah itu diambil setelah pihaknya mendapati masih ramai yang keliru dengan prosedur Operasi Standard (SOP) baharu berhubung kebenaran ‘dine-in’ yang dibenarkan sejak Selasa lalu.

    Malah katanya, berdasarkan pemantauan dibuat, kekeliruan tersebut menyebabkan ada pihak yang tidak mematuhi peraturan SOP ‘dine-in’ sebagaimana ditetapkan.

    “Kita mendapati masih ramai yang keliru mengenai perkara ini, sejak hari pertama makan secara ‘dine-in’ dibenarkan, kita dapat mengesan beberapa kesalahan dilakukan oleh pengusaha kedai makan dan juga pelanggan.

    “Namun, buat masa ini kita tidak mengambil sebarang tindakan penguatkuasaan, sebaliknya pendekatan diambil ialah memberi kefahaman serta mendidik orang ramai,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pemantauan ke atas restoran dan medan selera di Pusat Membeli Belah Kuala Terengganu City Centre (KTCC), hari ini.

    Menurut Rohaimi, buat masa ini beliau mengarahkan semua ketua polis daerah agar tidak mengenakan kompaun dalam tempoh tiga hari ini bagi memberi kefahaman kepada orang ramai khususnya pengusaha dan pekerja kedai makan serta pelanggan mengenai SOP baharu yang ditetapkan ini.

    Mengenai program pemantauan di KTCC, Rohaimi memberitahu, pendekatan dibuat adalah lebih kepada aspek penerangan berhubung SOP baharu terhadap peniaga dan pelanggan secara ‘dine-in’.

    “Kita berharap, selepas ini pengusaha kedai makan dan restoran di semua lokasi di negeri dapat mematuhi SOP dengan menetapkan setiap pelanggan mereka yang ‘dine-in’ mestilah telah mengambil dua dos suntikan vaksin penuh.

  • Dua sindiket pengedaran dadah tumpas, rampas RM1.2 juta syabu

    Dua sindiket pengedaran dadah tumpas, rampas RM1.2 juta syabu

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    DUA sindiket pengedaran dadah tumpas dan merampas 34.69 kilogram syabu berjumlah RM1.2 juta
    dalam operasi khas yang dilakukan secara berasingan di Batu Pahat dan Seri Alam di sini pada awal bulan ini.

    Operasi di Batu Pahat yang melibatkan tiga serbuan dilakukan dari jam 12 tengah malam pada 7 Ogos hingga 3 pagi pada 8 Ogos.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam serbuan pertamadi Batu Pahat, seorang lelaki berusia 43 tahun ditahan bersama sejumlah rampasan dadah.

    “Susulan itu, pihak polis melakukan dua lagi serbuan berasingan dan menahan tiga individu termasuk pasangan suami isteri berusia 30 hingga 43 tahun.

    “Dalam serbuan itu, polis merampas dadah jenis syabu seberat 29.48 kilogram (kg) dianggarkan bernilai lebih RM1 juta dan menyita wang tunai RM30,210. Jumlah keseluruhan nilai rampasan dan sitaan adalah lebih RM1 juta,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

    Ayob Khan berkata, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati kesemua suspek positif dadah.

    Tambah beliau, semakan rekod lampau juga mendapati suspek yang mula aktif dalam jenayah itu sejak bulan lalu mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan penyalahgunaan dadah.

    “Modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan mengambil bekalan dadah dari Pendang, Kedah untuk pasaran negara jiran,” katanya.

    Sementara itu, beliau berkata, menerusi operasi kas di Seri Alam pada 3 Ogos lalu, pihaknya merampas 5.21kg syabu bernilai RM187,848.

    Menurut beliau, dalam serbuan itu polis menahan tiga suspek lelaki berusia 29 hingga 40 tahun.

    “Hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine selain turut memiliki rekod lampau bersabit penyalahgunaan dadah dan jenayah.

    “Sindiket yang telah beroperasi sejak awal tahun ini juga memasarkan bekalan dadah mereka untuk pasaran tempatan sekitar bandar raya ini,” katanya.

    Katanya, dalam serbuan itu polis turut merampas empat buah kenderaan, wang tunai RM4,810, pelbagai barangan kemas dan akaun bank bernilai RM100,000.

    “Jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan bagi kedua-dua kes adalah RM1.789 juta, manakala bekalan dadah berkenaan boleh digunakan seramai 173,450 penagih.

    “Kesemua suspek dikenakan tahanan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Maqis rampas 32 tan metrik kayu Akasia dari Vietnam

    Maqis rampas 32 tan metrik kayu Akasia dari Vietnam

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menahan sebuah kontena yang membawa masuk kayu Akasia dari Vietnam di Pelabuhan Pasir Gudang, Pasir Gudang, kelmarin.

    Maqis Johor dalam satu kenyataan memberitahu, hasil pemeriksaan rutin dijalankan Pegawai Penguat Kuasa Maqis pada pukul 5.30 petang menemukan kayu berjumlah 32 tan metrik yang dianggarkan bernilai RM13,653.

    “Kayu tersebut ditahan untuk tindakan selanjutnya. Hasil pemeriksaan lanjut, mendapati nombor rujukan permit tidak tertera pada sijil fitosanitasi sebagaimana yang dinyatakan dalam syarat permit import.

    “Perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa mematuhi syarat-syarat dalam permit import Maqis adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(2) Akta yang sama,” jelas kenyataan itu, hari ini.

    Tambah kenyataan itu, jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

    Pihak Maqis sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di semua pintu masuk negara bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan kerajaan.