Category: Jenayah

  • Kompaun RM1,500 gagal buktikan lengkap divaksin

    Kompaun RM1,500 gagal buktikan lengkap divaksin

    GARA-gara gagal menunjukkan sijil digital vaksinasi lengkap semasa pemeriksaan pihak berkuasa, Polis Perak mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,500 terhadap beberapa individu di negeri ini.

    Ketua Polisnya, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya mengeluarkan kompaun itu selepas individu terbabit gagal membuktikan mereka sudah lengkap dua dos vaksin untuk membolehkannya merentas daerah.

    “Individu terbabit turut tidak membawa telefon bersama bagi menunjukkan bukti lengkap dua dos,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Mior Faridalathrash berkata, dalam satu kejadian berasingan, kompaun RM1,500 juga dikeluarkan kepada seorang individu yang makan di kedai makan tanpa lengkap dua dos vaksin.

    Menurutnya, sebanyak 14 kompaun berjumlah RM21,000 dikeluarkan bagi mereka yang merentas daerah tanpa kebenaran bermula 10 Ogos lepas.

    Ujarnya, selain itu sebanyak 78,703 permit daripada 80,473 permohonan diluluskan Polis Perak sejak 5 Julai sehingga 19 Ogos lalu.

    “Sebanyak 1,995 jumlah kompaun dikeluarkan mulai 5 Julai hingga 19 Ogos lalu,” tambahnya.

  • 11 wanita ditahan tawar khidmat seks menerusi WeChat

    11 wanita ditahan tawar khidmat seks menerusi WeChat

    Oleh Wartawan WartaRakyat

    POLIS Pulau Pinang menumpaskan sindiket pelacuran yang menawarkan perkhidmatan seks menerusi aplikasi WeChat dengan penahanan 11 wanita tempatan dan warga asing di Seberang Perai semalam.

    Kesemua mereka ditahan sekumpulan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang menerusi Ops Noda Bersepadu.

    Operasi bermula pukul 3 petang itu dilakukan di empat buah hotel bajet di sekitar Bukit Mertajam, Butterworth dan Simpang Ampat.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais, wanita warga asing itu terdiri daripada warga Thailand, Indonesia serta Vietnam dengan semua yang ditahan berusia antara 25 hingga 47 tahun.

    Jelas beliau, mereka dipercayai menawarkan perkhidmatan seks menerusi aplikasi WeChat dengan pelanggan dikenakan bayaran antara RM120 hingga RM200.

    “Dalam serbuan itu, polis turut merampas tisu, kondom, minyak pelincir, wang tunai serta telefon bimbit.

    “Turut ditahan ialah dua lelaki yang merupakan pelanggan serta penjaga hotel,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Menurut Rahimi, kesemua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan.

    Selain itu katanya, pengusaha hotel juga dikenakan kompaun di bawah Peraturan 17(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

    “Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kegiatan menyalahi undang-undang dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat.

    “Operasi ini akan dilakukan dari semasa ke semasa dan orang ramai diminta untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi bersama-sama membanteras aktiviti tidak bermoral sebegini,” katanya.

  • Laporan polis dibuat terhadap Ambiga

    Laporan polis dibuat terhadap Ambiga

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SATU laporan polis telah dibuat terhadap peguam, Ambiga Sreenevasan kerana didakwa telah menimbulkan syak dan menyoal integriti proses pelantikan Perdana Menteri oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong yang jelas termaktub dalam Perlembagaan.

    Dalam laporan polis yang dibuat, Gerakan Peguam Islam Se-Malaysia (GPIS) telah mendakwa ambiga melakukan kesalahan tersebut dalam satu ciapan Twitternya pada 19 Ogos 2021.

    Menurut GPIS dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Ambiga dalam ciapannya yang turut dilaporkan media, mendakwa sokongan ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional PN bagi Perdana Menteri baharu yang telah disampaikan kepada Agong adalah tidak sah.

    Ini menurut GPIS adalah percubaan menganggu proses perlantikan yang sedang dijalankan dan adalah amat biadap dan secara langsung ini adalah juga satu tindakan menggugat demokrasi berparlimen.

    “Laporan-laporam polis akan dibuat terhadap anasir ini demi keselamatan negara dan ummah di seluruh negara,” kata pertubuhan tersebut.

    Pertubuhan itu turut mendakwa, Ambiga telah melakukan kesalahan yang amat serius di bawah Akta Hasutan, Seksyen 124 Kanun Keseksaan serta Sosma, Seksyen 505 Kanun Keseksaan serta undang-undang lain.

  • PDRM sahkan buat pemeriksaan rumah Ebit Lew semalam

    PDRM sahkan buat pemeriksaan rumah Ebit Lew semalam

    POLIS Diraja Malaysia mengesahkan membuat pemeriksaan di kediaman pendakwah terkenal Ebit Irawan Ibrahim Lew atau lebih dikenali sebagai Ustaz Ebit Lew, pada petang semalam.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata pihaknya hanya melakukan pemeriksaan bagi tujuan siasatan selepas polis merakam keterangan dari pendakwah berkenaan di Bukit Aman, di sini semalam.

    “Ia adalah proses pemeriksaan biasa bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

    Semalam, Ebit telah dipanggil ke Bukit Aman bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan berhubung kes gangguan seksual mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    Sementara itu, Ebit semasa bercakap kepada media semalam memaafkan semua pihak yang memfitnahnya.

    Beliau berkata, kemaafan itu diberikan susulan beliau dipanggil ke Bukit Aman, bagi membantu siasatan berhubung kes gangguan seksual yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

    “Saya percaya hidup ini Allah sayang, saya maafkan apa yang terjadi, saya maafkan sesiapa sahaja pun dengan apa yang terjadi.

    “Perkara ini membuatkan saya lebih bersemangat dan saya akan terus membuat kebaikan sampai saya mati,” katanya.

  • Polis tahan 31 ahli SSR berhimpun di Dataran Merdeka

    Polis tahan 31 ahli SSR berhimpun di Dataran Merdeka

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menahan 31 ahli Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) yang juga penganjur perhimpunan #Lawan pada pukul 8 malam kerana berhimpun di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur malam tadi.

    Menurut kenyataan dikeluarkan IPD Dang Wangi, semua mereka dibawa ke IPD berkenaan dan dikenakan kompaun RM2,000 setiap seorang.

    Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, sebelum itu pasukan pematuhan IPD Dang Wangi mengesan kumpulan tersebut berhimpun di Dataran Merdeka.

    “Mereka berhimpun dalam program memorial memperingati mereka yang gugur disebabkan Covid-19 oleh SSR.

    “Didapati seramai 31 individu terdiri daripada ahli SSR yang sedang berhimpun sambil membakar lilin dan memegang kain rentang warna putih bertulis ‘belasungkawa jiwa-jiwa yang telah pergi’,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

    Noor Dellhan berkata, pihak polis akan menyiasat kejadian tersebut di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana berhimpun tanpa notis dan Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

    “Pada masa sama, kes akan disiasat di bawah Peraturan 10, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) Pelan Pemulihan Negara (PPN)(No.2) 2021, kawalan berhimpun.

    Orang ramai dinasihatkan supya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    “Kegagalan mematuhi SOP membolehkan tindakan diambil di bawah peruntukan undang-undang,” ujarnya.

  • Dua dipercayai kumpulan Abu Sayyaf ditembak mati

    Dua dipercayai kumpulan Abu Sayyaf ditembak mati

    POLIS menembak mati dua individu dipercayai anggota kumpulan Abu Sayyaf di Pulau Timbang, Sandakan, awal pagi ini.

    Dalam kejadian tersebut, anggota pasukan keselamatan yang dalam operasi mengesan anggota kumpulan itu berbalas tembakan dengan individu terbabit pada 5 pagi tadi.

    Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali mengesahkan kejadian itu dan siasatan masih dijalankan.

    “Ya benar kejadian itu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

    Polis dijadual mengadakan sidang media mengenai kejadian itu pada 10 pagi ini di Sandakan. 

  • Seleweng wang: SPRM tahan bekas pegawai Ahli Parlimen

    Seleweng wang: SPRM tahan bekas pegawai Ahli Parlimen

    RIZQI ZABIDI

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas pegawai kepada Ahli Parlimen di Kedah bagi membantu siasatan terhadap kes penyelewengan wang berjumlah RM140,600.

    Menurut sumber, lelaki berusia 43 tahun itu dan pernah memegang jawatan Pegawai Tugas-Tugas Khas ditahan kira-kira pukul 4.30 petang tadi di Pejabat SPRM Cawangan Sungai Petani.

    “Lelaki itu ditahan susulan aduan dibuat terhadapnya yang mendakwa dia menggunakan tujuh invois palsu untuk menuntut bayaran bagi pelbagai kerja dan pembekalan.

    “Tuntutan dibuat itu bernilai antara RM9,500 hingga RM34,000,” katanya.

    Tambah sumber itu lagi, wang yang diseleweng itu dipercayai merupakan peruntukan khas Jabatan Perdana Menteri bagi kawasan Parlimen tersebut.

    “Kejadian itu dipercayai berlaku antara Ogos 2019 hingga Januari 2020.

    “Lelaki itu akan dibawa ke Mahkamah Sungai Petani esok untuk mendapatkan perintah reman,” katanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 18, Akta SPRM 2009

    Sementara itu Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dilakukan pihaknya.

    Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

  • Tiada aktiviti pembalakan di Gunung Jerai-JBPM

    Tiada aktiviti pembalakan di Gunung Jerai-JBPM

    Oleh Rizqi Zabidi

    JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan tinjauan udara sekitar Gunung Jerai bagi mengesan sekiranya terdapat sebarang akitiviti pembalakan yang didakwa menyebabkan berlakunya fenomena kepala air semalam.

    Timbalan Ketua Pengarah Operasi JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin yang mengetuai tinjauan udara itu berkata, tidak berlaku sebarang aktiviti pembalakan di kawasan itu dan hanya menemukan beberapa saiz aliran air terjun dari puncak gunung.

    “Ini yang dipercayai menjadi punca kepada fenomena kepala air. Apa yang kita nampak hanyalah tiga saliran air yang jelas dan empat lagi terlindung di balik pokok-pokok hutan. Saliran itu ada yang besar, sederhana dan kecil saiznya.

    “Aliran itu mungkin berpecah di atas tetapi bercantum pada titik tertentu di bahagian bawah hingga menyebabkan arus menjadi terlalu deras apabila ia sampai ke pusat-pusat peranginan terlibat dan kampung penduduk,” katanya kepada pemberita.

    Sebelum ini terdapat dakwaan dalam media sosial mengatakan fenomena tersebut berpunca daripada aktiviti pembalakan tidak terkawal.

    Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor ketika mengadakan lawatan ke lokasi kejadian semalam berkata, tiada sebarang aktiviti pembalakan berlaku di Hutan Simpan Gunung Jerai kerana kawasan itu telah diwartakan sebagai Hutan Perlindungan.

    Dalam perkembangan sama, Abdul Wahab berkata, fenomena kepala air itu tidak mustahil boleh berulang sekiranya jumlah hujan berterusan dalam kuantiti yang banyak.

    “Dalam tinjauan udara dilakukan tadi, kami tidak boleh pergi sampai ke puncak kerana awan terlalu rendah selain cuaca mendung. Disebabkan itu, kita tidak dapat melihat akan kedudukan takungan air sebenar.

    “Namun bersandarkan pemerhatian, kami menjangkakan memang terdapat satu takungan air besar di atas gunung ini.

    “Apabila berlaku hujan turun dalam kuantiti yang banyak untuk tempoh lama, itu boleh sebabkan kepala air ini turun bersama sisa-sisa hutan termasuk kayu dan batu,” katanya.

    Ditanya sekiranya terdapat kemungkinan fenomena sama akan mengundang bencana seteruk itu jika ia berlaku sekali lagi, Abdul Wahab berkata, segalanya bergantung kepada jumlah hujan.

    “Disebabkan telah wujud beberapa aliran air dalam pelbagai saiz yang saya sebutkan tadi, mungkin air yang berada dalam dalam takungan di puncak gunung boleh turun secara terus ketika ini tanpa perlu menampung kuantiti terlalu banyak.

    “Tetapi untuk tempoh yang lama, semua pihak masih perlu berjaga-jaga. Jika terdapat sisa hutan atau batu yang menyekat pergerakan air dalam tempoh lama, tidak mustahil situasi sama seperti ini akan berulang,” katanya.

  • Penghantar makanan OKU maut dalam kemalangan

    Penghantar makanan OKU maut dalam kemalangan

    Oleh Mohd Lazim Endut

    SEORANG penghantar makanan Orang Kurang Upaya (OKU) maut apabila motosikal ditunggangnya terbabas sebelum dirempuh sebuah kereta di Jalan Kampung Pak Katak, Kuala Nerus, hari ini.

    Dalam kejadian pada pukul 12.05 tengah hari itu, Nik Muhammad Haikal Nik Zulkifli, 18, yang pekak dan bisu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat luka parah di bahagian kepala.

    Menurut laporan Harian Metro, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Batu Enam menghala ke lampu isyarat jalan Semarak.

    Bagaimanapun, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha NVX dikatakan hilang kawalan sebelum melanggar sebatang pokok di pembahagi jalan.

    Ekoran kejadian itu menyebabkan mangsa tercampak ke laluan bersebelahan sebelum dirempuh sebuah kereta Perodua Kancil dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun yang tidak sempat mengelak.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

    Menurutnya, mayat mangsa yang juga seorang OKU kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Mayat keempat mangsa fenomena kepala air ditemukan

    Mayat keempat mangsa fenomena kepala air ditemukan

    Oleh Rizqi Zabidi

    MAYAT keempat fenomena kepala air di Kuala Muda dan Yan ditemukan di kawasan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Sungai Udang hari ini.

    Penemuan mayat Mohamad Faizal Zohir, 28, pada jam 3.10 petang itu selepas pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan khidmat unit anjing pengesan (K9).

    Menurut Timbalan Ketua Pengarah Operasi JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin, usaha mengesan dua lagi mangsa sedang dilakukan.

    “Dua lagi mayat mangsa yang dilaporkan hilang ialah Ridwan Poniman dan Ku Shuib Ku Abdullah,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Kawasan Peranginan Titi Hayun, Jerai hari ini.

    Mayat pertama mangsa fenomena tersebut, Ahmad Din, 64, ditemukan tersangkut di pokok pisang di Kampung Setoi, malam tadi.

    Sementara mayat kedua adalah pekerja Jerai Hill Resort ditemukan di sebalik timbunan ranting kayu, daun dan lumpur kira-kira 200 meter dari pusat peranginan tersebut pukul 10.35 malam tadi.

    Mayat ketiga pula, Zahinor Murad, 65, ditemukan maut pukul 12.10 pagi tadi di lokasi berhampiran.

    Abdul Wahab berkata, selain menggunakan kepakaran unit K9, pihaknya menggunakan dron untuk mengesan mangsa.

    Jelasnya, 70 pegawai dan anggota bomba terdiri daripada pelbagai kepakaran, bergandingan bersama-sama polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta malim gunung bagi mencari mangsa.

    Pencarian dipecahkan kepada dua sektor merangkumi jarak sejauh antara enam hingga tujuh kilometer,” katanya.

    “Bagaimanapun kita berdepan beberapa cabaran antaranya sisa kau dan batu besar yang dihanyutkan arus.

    “Malah kita tidak menolak kemungkinan mangsa tertindih atau tertimbus yang memerlukan misi menyelamat dilakukan dengan amat teliti,” katanya.