NASIB malang menimpa seorang lelaki warga emas apabila dia maut selepas digilis lori dalam motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 28.5 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar berhampiran lampu isyarat Jalan Lintang, di Sungai Siput, pagi tadi.
Mangsa dikatakan tidak berhenti dan terus melintas walaupun lampu isyarat berwarna merah.
Lelaki berumur sekitar 60-an itu meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah.
Kemalangan melibatkan motosikal jenis Modenas ditunggang mangsa dan sebuah lori tanah itu berlaku kira-kira pukul 8.15 pagi.
Menurut Ketua Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin, siasatan awal mendapati, mangsa membelok ke kanan menghala ke Kuala Kangsar apabila lampu isyarat menunjukkan warna merah.
“Apabila tiba di persimpangan lampu isyarat itu, motosikal mangsa secara tiba-tiba melintas menyebabkan lori tanah dipandu lelaki berusia 30-an tidak sempat memberhentikan kenderaan berat terbabit lalu merempuh dan menggilis mangsa.
“Ketika kejadian, lampu isyarat dari arah lori tanah berkenaan menunjukkan warna hijau,” katanya.
Beliau menambah, pemandu lori itu ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
DUA anggota polis berpangkat Lans Koperal dan Konstabel Sokongan antara 14 individu ditahan polis dipercayai menyertai parti liar di sebuah kondominium mewah di Changkat Raja Chulan, di sini, Sabtu lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur ACP Sahar Abd Latif berkata tujuh lelaki dan tujuh wanita berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun ditahan dalam operasi pada 9.30 malam itu juga positif dadah jenis ketamin.
Beliau berkata hasil pemeriksaan polis turut menjumpai dadah jenis ketamin seberat kira-kira 5.56 gram dianggarkan bernilai RM834.
“Hasil semakan lanjut identiti pengunjung mendapati dua lelaki yang ditahan adalah anggota polis berpangkat Lans Koperal dan Konstabel Sokongan dari Cawangan Tugas Am.
“Penganjur parti liar itu adalah seorang lelaki berusia 39 tahun dan pengunjung dijemput hadir melalui panggilan telefon oleh penganjur di kondominium mewah yang disewa dengan harga RM220 sehari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sahar berkata semua pengunjung dikenakan kompaun sebanyak RM4,000 setiap seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Mereka turut disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 melibatkan Seksyen 12(2) dan 15(1)(a) kerana memiliki dadah,” katanya.
Beliau berkata pihaknya memberi amaran keras kepada orang ramai agar tidak terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam aktiviti parti liar.
“Pihak pengurusan hotel, servis apartment dan kondominium dimohon memberi kerjasama untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti ini. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai aktiviti tidak bermoral ini boleh menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau menghubungi balai polis berdekatan,” katanya.
POLIS menahan tujuh lelaki serta merampas 112 liter ubat batuk dan 1.84 tan daun ketum bernilai kesuruhan RM73,400 dalam dua serbuan berasingan di Kampung Chenerai, Alor Pasir, Jeram Perdah dan Kampung Binjai Manis, Ketereh, Kota Bharu, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, dalam serbuan pertama yang dilakukan di Kampung Chenerai, polis menahan seorang lelaki dan merampas 112 liter ubat batuk bernilai RM9,000.
Menurut beliau, serbuan dilakukan pada pukul 10 malam dan semasa pemeriksaan ke atas tubuh suspek yang bekerja sebagai buruh, polis menemui kunci rumah di dalam poket seluar yang dipakai lelaki itu.
“Setelah suspek membuka pintu rumah tersebut dan apabila pemeriksaan lanjut dilakukan, polis menemui tujuh kotak mengandungi ubat batuk di ruang tamu rumah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan kepada media petang ini.
Mohd Nasaruddin memberitahu, setelah soal siasat ke atas suspek, lelaki itu mengakui barangan tersebut miliknya dan diperoleh daripada seorang lelaki yang dikenali sebagai Heri yang tinggal di Kampung Gelang Mas.
Tmbah beliau, pemeriksaan juga mendapati lelaki itu negatif dadah, tetapi mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
Ekoran tangkapan pertama itu katanya, polis terus melakukan serbuan kedua di Kampung Manis, Ketereh, Kota Bharu pada pukul 12.30 tengah malam.
“Dalam serbuan kedua itu, polis merampas 1.84 tan daun ketum bernilai RM64,400 dan enam lagi suspek berusia 18 hingga 58 tahun ditahan untuk membantu siasatan,” jelasnya.
Menurut beliau, seorang suspek berusia 29 tahun mengaku kesemua daun ketum itu miliknya dan mendapat bekalan daripada seorang lelaki dikenali dengan panggilan Mamat yang tinggal di Jertih, Terengganu.
Ujarnya, lima suspek yang ditahan itu bekerja sebagai penjaga daun ketum di premis tersebut.
SEORANG lelaki parah apabila tangan kirinya putus terkena libasan ‘pedang samurai’ oleh jirannya dalam pergaduhan di hadapan sebuah rumah di Kampung Kelubi Dalam, Jitra, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, berkata jirannya turut cedera pada perut akibat terkena libasan parangnya, dalam kejadian jam 2.10 petang itu.
“Polis percaya berlaku pertengkaran mulut sebelum itu, dan ekoran tidak berpuas hati mangsa (lelaki putus tangan) datang ke rumah suspek membawa sebilah parang.
“Suspek (jiran) yang berang bertindak mengeluarkan sebilah ‘pedang samurai’ lalu melibas dan terkena tangan kiri mangsa sehingga putus,” katanya seperti dilapor Astro Awani.
Beliau berkata, lelaki yang berusia 27 tahun itu kemudian dihantar ke Hospital Jitra oleh saksi yang berada di lokasi kejadian.
Katanya, jirannya berusia 29 tahun yang cedera pada perut dihantar ke hospital sama oleh anggota Unit Anggota Peronda (MPV).
Rodzi berkata, susulan kejadian polis merampas sebilah pedang samurai dan parang yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
POLIS akan meningkatkan pemantauan terhadap pengguna jalan raya terutamanya penunggang basikal dalam memastikan tiada sebarang pelanggaran undang-undang lalu lintas, sekali gus mengelakkan kemalangan yang membahayakan nyawa masyarakat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Muhammed Rizal Kamarudin berkata pihaknya mendapati semakin ramai individu yang berbasikal di jalan raya bagi aktiviti riadah, selari dengan kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan dalam Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Meskipun beriadah, kita minta semua pihak patuhi peraturan jalan raya untuk elak sebarang perkara tidak diingini berlaku, sekali gus membahayakan nyawa,” katanya kepada pemberita di Balai Polis Trafik Kuantan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan seorang penunggang basikal mengekori rapat sebuah treler yang dipercayai berlaku di Jalan Kuantan-Gambang di sini pada 17 Sept lalu, yang videonya tular di media sosial baru-baru ini.
Tambah beliau, polis sedang mencari maklumat lanjut berhubung video berkenaan dan akan memanggil individu tersebut untuk membantu siasatan.
Katanya, mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang boleh didakwa mengikut Seksyen 54/42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Pindaan 2020), iaitu menunggang basikal secara melulu dan merbahaya selain boleh dikompaun di bawah Kaedah 42 LN166/59. – BERNAMA
SERAMAI 2,300 penghuni Penjara Marang, menerima suntikan vaksin Covid-19 bermula hari ini.
Program vaksinasi yang diadakan selama tiga hari bermula pukul 9 pagi di mana seramai 1,000 penghuni menerima vaksin jenis CanSino pada hari pertama.
Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr. Kasemani Embong, daripada jumlah tersebut seramai 300 penghuni dikecualikan daripada divaksin pada program berkenaan.
“Mereka yang dikecualikan menerima suntikan vaksin buat sementara waktu kerana beberapa faktor seperti tidak menepati syarat ditetapkan termasuk masalah kesihatan dan sedang dikuarantin.
Bagaimanapun katanya, baki 300 penghuni yang tidak menerima suntikan vaksin itu akan berbuat demikian selepas mereka menepati syarat yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui pada Program Vaksinasi Penjara Marang, hari ini.
Turut hadir ialah Pengarah Penjara Marang, Penolong Kanan Komisioner Nik Robidin Ab. Rahman dan Pegawai Daerah Marang Lizan Che Mat.
Menurut Dr. Kasemani, kesemua penghuni diberikan suntikan vaksin dalam usaha untuk membendung penularan Covid-19 di dalam penjara.
“Orang Kena Tuduh (OKT) termasuk penghuni penjara dan Orang Asli akan diberikan suntikan Covid-19 jenis Cansino.
“Sehingga ini terdapat sebanyak 364 kes positif di Penjara Marang sejak penularan Covid-19 di negeri ini.
“Jangkitan ini berpunca daripada pergerakan kakitangan dan penghuni sendiri walaupun sekatan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di penjara ketat,” ujar beliau.
SEORANG pemandu maut akibat tersepit selepas lori yang dipandu merempuh belakang lori lain dalam satu kemalangan di Kilometer 225.6 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah timur, malam semalam.
Kemalangan berlaku pada pukul 11.40 malam dan mangsa, Bin Shou Chang, 32, beralamat di Taman Putri, Kulai, Johor disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud, dalam kejadian itu, pemandu sebuah lagi lori, S. Santhiran, 49, dan kelindan, S. Segar, 45 tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut beliau, berdasarkan siasatan awal, kemalangan dikatakan berlaku ketika kedua-dua buah lori tersebut dalam perjalanan dari arah sama menghala ke Kuantan.
Katanya, semasa tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaannya sebelum merempuh bahagian belakang lori dipandu Santhiran yang berada di lorong kiri.
“Ekoran rempuhan tersebut menyebabkan mangsa tersepit dalam kenderaannya dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Kamarulzaman memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
SATU sindiket pengedaran dadah tumpas selepas polis menahan tujuh individu termasuk dua wanita dalam tujuh serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang pada 10 hingga 16 September lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, kesemua suspek yang ditahan itu berusia 27 hingga 57 tahun.
“Kita menahan empat lelaki dan seorang wanita warga asing, serta seorang lelaki dan seorang wanita tempatan.
“Dalam serbuan itu, kita merampas dadah jenis kokain seberat 4.87 kilogram yang dianggarkan bernilai lebih RM50 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, hari ini.
Pihaknya turut merampas sebanyak 174 guni serbuk ‘ephedrine’ dianggarkan berat 5.4 tan yang disyaki digunakan untuk membuat dadah jenis MDMA dan syabu dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Seri Kembangan di sini.
“Kita turut menyita wang tunai, kenderaan dan jam tangan mewah yang dianggarkan bernilai RM1.22,” jelasnya.
Beliau berkata, berdasarkan risikan, sindiket dadah tersebut bukan sahaja menjual untuk pasaran tempatan, malah diseludup ke Qatar dan Hong Kong.
“Kita percaya mereka aktif menjalankan kegiatan itu lebih enam bulan lalu. Mereka ada pembeli dalam negara dan luar negara.
“Kita juga sedang menyiasat kokain ini datang dari negara mana, sama ada dari Columbia, Amerika Syarikat, Mexico atau negara lain,” katanya.
Tambah beliau, saringan awal urin mendapati hanya seorang lelaki warga asing positif dadah jenis kanabis.
“Kesemua individu tersebut ditahan reman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1957,” katanya.
HASRAT dua pelancong wanita bercuti ke Langkawi terbantut selepas diarahkan polis berpatah balik ke Kuala Perlis yang mendapati suntikan dos vaksin Covid-19 mereka belum cukup tempoh matang 14 hari.
Dalam kejadian di Terminal Feri Kuah, Langkawi pada pukul 12 tengah hari semalam, kedua-dua wanita berusia 32 dan 35 tahun itu didapati melakukan kesalahan terbabit semasa pemeriksaan polis ke atas semua penumpang.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, mereka dilaporkan bersama-sama menaiki feri penumpang dari Terminal Feri Kuala Perlis untuk bercuti ke Langkawi.
Katanya, pemeriksaan anggota polis bertugas di balai ketibaan Terminal Feri Kuah mendapati kedua-dua wanita berkenaan menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19.
“Namun pemeriksaan lanjut mendapati, tempoh matang suntikan dos kedua diterima mereka belum genap 14 hari atau kurang tiga hari seperti ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Shariman berkata, kedua-dua wanita itu kemudiannya dirujuk kepada Pegawai Perubatan yang berada di lokasi pemeriksaan bagi tujuan pengesahan status vaksin mereka.
“Berikutan itu, kedua-duanya diarah berpatah balik ke Kuala Perlis dengan menaiki feri kenderaan dan penumpang dari Dermaga Tanjung Lembung pada pukul 2 petang semalam,” ujar beliau.
Pada soalan mengenai projek rintis gelembung pelancongan Langkawi yang masuk hari kelima hari ini, Shariman memberitahu, pihaknya belum mengeluarkan sebarang kompaun ke atas pelancong kerana kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) sehingga hari ini.
Namun beliau menegaskan, semua pelancong yang ingin masuk dan ketika berada di Langkawi dinasihatkan agar terus mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengelak tindakan diambil.
PELBAGAI jenis dadah seberat 1,765 kilogram (kg) dan 3,717 liter dianggarkan bernilai RM28.91 juta akan dilupuskan polis setelah kes berkaitan berjaya diselesaikan termasuk membawa pesalah ke muka pengadilan.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua dadah yang dilupuskan itu merupakan barang rampasan bagi 17,535 kes yang direkodkan antara tahun 2000 sehingga tahun lalu.
“Pada tahun lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor telah melupuskan pelbagai jenis dadah yang dirampas iaitu 877.4kg dan 251.63 liter dianggarkan bernilai RM14.6 juta melibatkan 3,844 kes yang selesai.
“Hari ini, JSJN Johor sekali lagi akan melupuskan pelbagai jenis dadah sebanyak 1.765kg dan 3,717 liter yang dianggarkan bernilai RM28.91 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.
Antara dadah yang dirampas dan dimusnahkan sebelum dihantar ke Pusat Kualiti Alam, Bukit Pelandok, Negeri Sembilan
Antara dadah yang dilupuskan adalah heroin sebanyak 191.3kg, kanabis (84.7kg), ketamin (24.5kg), methamphetamine (92.3kg) dan methylenedioxy methamphetamine (48.3kg) selain pelbagai jenis dadah lain seberat 1.32 tan serta 3,717 liter.
Ayob Khan berkata, semua dadah dirampas akan dilupus dan dimusnahkan mengikut prosedur pelupusan barang kes yang ditetapkan serta akan dihantar ke Pusat Kualiti Alam di Bukit Pelandok, Negeri Sembilan untuk dilupuskan menggunakan kaedah pelupusan secara insinerator.
Dalam pada itu, katanya, Polis Johor merekodkan jumlah tangkapan tertinggi dalam usaha membanteras jenayah dadah apabila menahan seramai 18,837 orang tangkapan pada tahun lalu sekali gus menjadi kontinjen tertinggi.
Kata beliau, daripada jumlah itu, sebanyak 8,390 kes adalah bagi kesalahan memiliki dan membekal dadah selain tangkapan yang dibuat turut melibatkan 15 sindiket yang berjaya ditumpas pada tahun lalu.
“Untuk tahun lepas kita telah buat tangkapan membabitkan seramai 18,837 yang mana jumlah tertinggi antara kontinjen. Daripada jumlah itu, bagi kesalahan memiliki dan membekal adalah sebanyak 8,390.
“Tahun ini pula tangkapan setakat ini sahaja adalah 9,506 individu dan daripada jumlah itu 5,016 adalah bagi kesalahan memiliki dan membekal dadah.
“Jadi, kita lihat daripada peratusan kes yang dituduh juga telah meningkat. Pada tahun ini setakat September, sebanyak 70 peratus kes sudah dituduh di mahkamah membabitkan 16 buah sindiket,” katanya.
Antara dadah yang dilupuskan adalah heroin, kanabis, ketamin, methamphetamine dan methylenedioxy methamphetamine selain pelbagai jenis dadah lain
Ayob Khan berkata, peratus kes yang dituduh itu mencatatkan peningkatan berbanding 51 peratus pada tahun lalu.
Katanya, statistik ini menunjukkan kesungguhan Kontinjen Johor dalam memerangi jenayah dadah hingga memastikan suspek dihadapkan ke muka pengadilan.
“Kes dadah ini melibatkan tempoh masa yang panjang, bukan tangkap hari ini dan esok sudah boleh dituduh. Untuk menyelesaikan kes ini, mungkin makan masa bertahun-tahun,” katanya.
Sejak Januari lalu, sebanyak 10.91 tan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM352 juta telah dirampas. – SB