Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

SEORANG pemandu maut akibat tersepit selepas lori yang dipandu merempuh belakang lori lain dalam satu kemalangan di Kilometer 225.6 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah timur, malam semalam.

Kemalangan berlaku pada pukul 11.40 malam dan mangsa, Bin Shou Chang, 32, beralamat di Taman Putri, Kulai, Johor disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman [email protected] Daud, dalam kejadian itu, pemandu sebuah lagi lori, S. Santhiran, 49, dan kelindan, S. Segar, 45 tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan awal, kemalangan dikatakan berlaku ketika kedua-dua buah lori tersebut dalam perjalanan dari arah sama menghala ke Kuantan.

Katanya, semasa tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaannya sebelum merempuh bahagian belakang lori dipandu Santhiran yang berada di lorong kiri.

“Ekoran rempuhan tersebut menyebabkan mangsa tersepit dalam kenderaannya dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

Kamarulzaman memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here