Category: Jenayah

  • Tiada lagi AKSEM, PGA ambil alih tugas di sempadan secara rasmi

    Tiada lagi AKSEM, PGA ambil alih tugas di sempadan secara rasmi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PASUKAN Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini secara rasmi mengambil alih sepenuhnya tugas-tugas dijalankan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) di seluruh negara.

    Menyifatkannya sebagai sesuatu yang bersejarah, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, langkah itu diyakini mampu meningkatkan fokus terhadap usaha mengawal sempadan tanah air.

    Dalam masa sama katanya, pelaksanaan operasi dari pihak atasan kepada anggota yang berada di bawah juga dapat dilaksanakan secara lebih berstruktur.

    “Kawalan sempadan tanah air juga selepas ini akan lebih berfokus dengan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani turut menyatakan bahawa terdapat perancangan rapi dalam melaksanakan kawalan di sempadan.

    “Beberapa pasukan PGA akan diletakkan di negeri-negeri terlibat antaranya Perlis dan Kelantan. Di Sabah dan Sarawak juga, kita akan tengok batalion tertentu untuk dipastikan memiliki fokus terhadap masalah dihadapi di sempadan,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Penyerahan tugas dan Fungsi AKSEM kepada PDRM di Padang Kawad di Kompleks AKSEM di Bukit Kayu Hitam, hari ini.

    AKSEM ditubuhkan pada 29 Disember 2017 dengan pewartaan Akta 799 melalui gabungan keanggotaan tiga agensi induk iaitu PDRM, Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

    Bermula 1 Januari 2018, AKSEM berfungsi sebagai agensi kerajaan persekutuan dengan kekuatan 900 perjawatan dan beroperasi di empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan.

    Mengulas lanjut katanya, kesemua aset termasuk bangunan milik AKSEM akan diserahkan kepada PGA.

    “Semua pegawai dan anggota AKSEM selepas ini akan kembali ke agensi masing-masing. Sesetengahnya akan ditanya sama ada mahu terus bertugas bersama PGA atau tidak.

    “Selepas ini anggota polis yang belum pernah melakukan tugasan di bawah bidang kuasa AKSEM akan diberi pengetahuan baharu. Mungkin latihan dalam PGA akan ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya.

    Dalam sidang akhbar sama, Hamzah turut menafikan bahawa kementeriannya memberikan sebarang kerja penyimpanan data dan maklumat peribadi rakyat negara ini kepada pihak swasta.

    Katanya, dakwaan sedemikian yang ditimbulkan pihak tertentu hanyalah bersifat andaian semata-mata.

    Beliau turut menjelaskan, pembukaan pintu sempadan negara bagi membenarkan kemasukan pelancong asing ke negara ini hanya akan ditentukan selepas negara beralih ke fasa endemik Covid-19.

    ”Pada masa ini negara masih berada dalam fasa pandemik wabak itu dan kesediaan untuk peralihan ke fasa endemik akan ditentukan oleh Kementerian Kesihatan,” katanya.

    Apabila sudah bersedia katanya, Kementerian Kesihatan akan mengumumkan, sekarang ini masih dalam isu fasa pandemik, kalau kita sudah bersedia boleh masuk ke fasa endemik.

    “Sebenarnya, (agensi penguatkuasaan yang mengawal pintu masuk sempadan) Jabatan Imigresen Malaysia sudah bersedia, Pasukan Gerakan Am (PGA) sudah bersedia, kami sudah bersedia (untuk pintu sempadan negara dibuka),” katanya.

    Hamzah berkata, kebenaran rentas pintu sempadan negara oleh rakyat negara ini atau warga asing itu juga nanti akan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditentukan kemudian.

  • Pemandu lori rentung pesan jangan ratapi pemergian

    Pemandu lori rentung pesan jangan ratapi pemergian

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PERUBAHAN ketara Muhammad Mustaqim Ismadi ke arah yang lebih baik disedari ahli keluarganya sejak akhir-akhir ini sebelum pemandu lori syarikat logistik dan penghantaran bungkusan itu maut akibat kemalangan di Jalan Tasik Utara-Larkin, kelmarin.

    Ibunya, Maglita Varshay Ibrahim, 49, berkata, perubahan anak sulungnya itu bukan hanya disedari ahli keluarga tetapi penduduk setempat dan rakan-rakan di tempat kerjanya.

    Malah, arwah juga pernah berpesan kepada ibunya agar jangan menangisi pemergian orang, tetapi sebaliknya mendoakan mereka setelah kehilangan ibu saudaranya akibat Covid-19, empat bulan lalu.

    “Kakak saya meninggal dunia akibat Covid-19 sebelum ini, ketika saya sedang bersedih, Mustaqim nasihatkan agar jangan menangis sebaliknya sedekah doa.

    “Kerana katanya itu adalah perkara yang lebih baik untuk dilakukan berbanding hanya meratapi pemergian orang tersayang,” katanya di sini hari ini.

    Muhammad Mustaqim

    Selasa lalu, lori dipandu Muhammad Mustaqim terbabas melanggar pokok sebelum terbakar kerana dipercayai mengelak kon yang berada di atas jalan.

    Akibat kemalangan itu, mangsa yang mula berkhidmat dengan syarikat tersebut pada April lalu tersepit dan disahkan rentung setelah kenderaan itu terbakar.

    Terdahulu, keluarga mangsa menerima skim Faedah Orang Tanggungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membabitkan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000 dan pencen bulanan RM1,333.50.

    Faedah disampaikan Pengarah Perkeso Johor, Tong Sing Chuang dan turut dihadiri Ahli Majlis Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar.

    Dalam pada itu, Maglita mengucapkan terima kasih kepada anggota bomba yang bertindak pantas mengeluarkan anaknya daripada kebakaran tersebut.

    “Terima kasih kepada anggota bomba kerana tindakan pantas mereka memadamkan api, sekurang-kurangnya mayat tidak terlalu teruk terbakar,” ujarnya.

  • Pemuda maut motosikal ditunggang rempuh kereta dipandu wanita

    Pemuda maut motosikal ditunggang rempuh kereta dipandu wanita

    TINDAKAN seorang pemandu wanita yang dipercayai cuba membelok keretanya untuk pulang ke rumah secara tiba-tiba, menyebabkan sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki gagal mengelak lalu dirempuhnya dalam kejadian di Kilometer 15, Jalan Lipis-Merapoh, dekat Kampung Relong, petang semalam.

    Akibat rempuhan tersebut, mangsa, Che Muhammad Fikri Che Hussin, 21, dari Kampung Kemuning Berchang, disahkan meninggal dunia di hospital akibat cedera parah di kepala dan kaki.

    Menurut Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd. Noor, berdasarkan siasatan awal mendapati, kereta jenis Perodua Axia yang dipandu seorang wanita berusia 35 tahun dalam perjalanan dari arah Lipis untuk pulang ke rumahnya di Kampung Relong.

    Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, pemandu kereta tersebut telah membelok ke kanan jalan secara tiba-tiba menghala ke arah Merapoh untuk pulang ke rumahnya.

    “Ekoran itu, mangsa yang menunggang motosikal dari arah sama secara tiba-tiba telah melanggar bahagian tepi sebelah kanan kereta tersebut,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

    Menurut Azli, pemandu kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan manakala penunggang motosikal itu pula cedera parah dan telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

    Bagaimanapun katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Kuala Lipis pada pukul 7 malam tadi.

  • 1.8 tan makanan haiwan dari Itali dirampas

    1.8 tan makanan haiwan dari Itali dirampas

    SEBANYAK 1.8 tan makanan haiwan dari Itali dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang di Pelabuhan Dermaga Air Dalam (DAD), Butterworth Pulau Pinang petang semalam selepas didapati cuba dibawa masuk tanpa permit import sah.

    Produk yang dimuatkan di dalam 1,800 pek seberat masing-masing satu kilogram itu dirampas ketika pemeriksaan rutin anggota jabatan berkenaam di tapak pemeriksaan Gudang Zon Bebas DAD pada pukul 5.40 petang.

    Maqis Pulau Pinang dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pemeriksaan mendapati keseluruhan makanan haiwan tersebut yang cuba dibawa masuk menggunakan sebuah kontena tidak mempunyai permit import Maqis yang sah.

    Antara makanan haiwan dari Itali yang dirampas kerana tiada permit import yang sah

    “Sehubungan itu, produk makanan haiwan bernilai RM10,557.85 tersebut ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

    Menurutnya, perbuatan mengimport dagangan tanpa permit import Maqis yang sah adalah kesalahan dibawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta728].

    Jika sabit kesalahan katanya, boleh dihukum dibawah Seksyen 11(3), Akta yang sama dan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Maqis sentiasa melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar, serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan,” tambahnya.

  • Lima lagi PPS baharu dibuka di kedah

    Lima lagi PPS baharu dibuka di kedah

    LIMA lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka, menjadikan keseluruhan 15 PPS terdapat di Kedah yang menempatkan 264 mangsa banjir daripada 99 keluarga setakat 8 pagi ini.

    Ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, PPS itu melibatkan empat di daerah Baling manakala selebihnya di Sik.

    “Empat PPS di Baling ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Malau, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Parit Panjang, Surau Barakah Tembak B dan Kampung Padang Kupang manakala satu PPS lagi dibuka di SK Sik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Saifuddin berkata sebanyak 12 PPS beroperasi di Baling keseluruhannya yang menempatkan 235 mangsa daripada 89 keluarga manakala di Sik pula melibatkan 19 mangsa daripada empat keluarga yang ditempatkan di SK Gulau dan SK Sik.

    “Jumlah mangsa banjir di Padang Terap berkurangan kepada 10 orang daripada enam keluarga yang berada di SK Bukit Tampoi,” katanya.

    Lapan PPS lain yang masih aktif di Baling ialah SK Tunku Putera, SK Siong, SK Bandar, SK Tanjung Pari, SK Bayu, SK Titi Gantung, Dewan Banggol Derom dan Maktab Mahmud Baling. – Bernama

  • Wanita baru berjinak-jinak sindiket dadah dicekup

    Wanita baru berjinak-jinak sindiket dadah dicekup

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG wanita dicekup selepas dia didapati bersekongkol dengan sindiket pengedaran dadah yang dipercayai baru berjinak-jinak dengan aktiviti haram terbabit.
     

    Perbuatan wanita berusia 22 tahun itu terbongkar selepas sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda menyerbu rumah dua tingkat yang disewanya di Laguna, Merbok, Sungai Petani, Selasa lalu.
     

    Dalam serbuan jam 7.30 malam itu, polis berjaya menemui dan merampas sepuluh paket syabu seberat 1.05 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM37, 850 di rumah terbabit.
     

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, siasatan awal mendapati suspek tidak bekerja dan dia berperanan sebagai pembantu untuk menyimpan bekalan dadah di rumah berkenaan.
     

    “Kita percaya suspek mungkin menerima upah untuk melakukan kerja berkenaan dan siasatan turut menjurus sama ada dia juga terbabit mengedar dadah.
     

    “Sindiket terbabit didalangi warga tempatan dan dipercayai baru beroperasi pertengahan tahun ini dengan hanya menjalankan aktiviti mengedar dadah sekitar bandar ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
     

    Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati dia negatif dadah dan suspek juga tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
     

    “Suspek kini direman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
     

    Sementara itu, dalam kejadian berasingan jam 6.30 petang pada hari sama, dua penagih tegar ditahan anggota unit Expressway Mobile Patrol Vehichles (EMPV) Bukit Aman zon utara dalam sekatan jalan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Gurun.
     

    Adzli berkata, hasil pemeriksaan lanjut berjaya menemui heroin seberat 906.5 gram (g) yang dianggarkan bernilai RM12,000, syabu  0.6g, ganja (1g) serta alat penimbang dan membungkus dadah.
     

    Menurutnya, dua lelaki berusia 34 dan 41 tahun itu masing-masing mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes dadah dan jenayah.
     

    “Ujian air kencing mendapati dua suspek terbabit positif morfin dan selain menghisap mereka turut mengedar dadah sekitar kawasan  bandar ini.
     

    “Mereka kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
     

    Menurutnya, polis akan sentiasa mempergiatkan usaha memburu dan menumpas kegiatan ahli sindiket ini bagi membanteras sehabis-habisan aktiviti haram terbabit.

  • Ahli perniagaan wanita rugi RM95,000 ditipu saudara sendiri untuk rawatan kecantikan

    Ahli perniagaan wanita rugi RM95,000 ditipu saudara sendiri untuk rawatan kecantikan

    SEORANG wanita yang merupakan ahli perniagaan kerugian sejumlah RM95,000 selepas ditipu oleh saudaranya sendiri untuk mendapatkan rawatan kecantikan, malah turut mengalami kesan sampingan terhadap kesihatannya.

    Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata pada Ogos tahun lepas, mangsa telah ditawarkan suspek iaitu seorang wanita untuk rawatan suntikan pemutihan kulit dengan pengakuan bahawa suspek mempunyai kelayakan dan pengalaman bagi rawatan itu.

    Beliau berkata menurut mangsa yang berusia lewat 20-an itu, suspek juga mengakui merupakan seorang kakitangan di pusat rawatan kecantikan yang dikenali di ibu negara ini.

    “Dalam tempoh dua bulan pada awal tahun ini, mangsa telah menjalani 17 rawatan di rumah suspek, selepas pengadu (mangsa) dimaklumkan suspek mempunyai sijil kelayakan dan mendapat bekalan ubat-ubatan daripada pusat rawatan kecantikan tersebut.

    “Dalam tempoh sama, mangsa telah membuat beberapa bayaran kepada suspek berjumlah RM95,000 bagi mendapatkan dua jenis rawatan iaitu ‘face jab’ dan ‘dripping’”, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Shafien berkata pada Mac lepas, mangsa mula mengalami masalah kulit yang teruk dan setelah mendapatkan rawatan di pusat perubatan, wanita itu dipercayai telah menerima rawatan kulit yang salah dan kini menghadapi risiko penyakit buah pinggang.

    “Mangsa yang tidak berpuas hati menghubungi pusat rawatan kecantikan tersebut dan dimaklumkan bahawa suspek bukan kakitangan di pusat kecantikan berkenaan, serta mereka juga tidak pernah memberi kebenaran untuk rawatan kecantikan dijalankan di luar premis.

    “Mangsa telah membuat laporan polis di daerah Tumpat kerana mengesyaki telah ditipu suspek,” katanya sambil menambah kes itu dalam siasatan kerana kesalahan menipu dengan jalan samaran mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan.

    Beliau berkata pesalah boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

    “Pihak polis ingin mengingatkan kepada masyarakat supaya berhati-hati dan sentiasa membuat semakan dengan pihak sewajarnya, sebelum mendapatkan sebarang jenis perkhidmatan yang ditawarkan dan tidak sewenang-wenangnya mempercayai walaupun dakwaan daripada individu dikenali,” tambahnya. – BERNAMA

  • AGC terima kertas siasatan kehilangan wang AS$6.94 juta

    AGC terima kertas siasatan kehilangan wang AS$6.94 juta

    JABATAN Peguam Negara (AGC) telah menerima kertas siasatan berhubung kes berkaitan kehilangan wang AS$6.94 juta daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    AGC dalam kenyataan hari ini memaklumkan Bahagian Pendakwaan Pejabat Peguam Negara telah menerima kertas siasatan berkaitan kes berkenaan semalam.

    “Bahagian pendakwaan akan mengkaji dengan teliti dan menyeluruh kertas siasatan tersebut sebelum membuat keputusan sama ada untuk membuat pertuduhan atau mengeluarkan arahan untuk siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu.

    Pada 23 Sept lepas, Bernama melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil tiga pegawai kanan SPRM yang sebelum ini direman selama enam hari oleh SPRM bagi melengkapkan siasatan berhubung kehilangan wang berkenaan.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata pihaknya juga akan memanggil pemilik wang berkenaan, bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid. – BERNAMA

  • 3 beranak antara ditahan dalam kes dadah RM2.19 juta

    3 beranak antara ditahan dalam kes dadah RM2.19 juta

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Sebanyak 54.72 kilogram dadah bernilai hampir RM2.19 juta dirampas polis menerusi tiga siri tangkapan terhadap empat individu Sungai Petani, Kedah, kelmarin.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tiga individu yang ditahan terdiri daripada seorang warga emas berusia 70 tahun dan anak lelaki serta anak perempuannya yang masing-masing berumur 30 dan 36 tahun.

    Selain katanya, seorang lagi lelaki yang merupakan kenalan mereka berusia 41 tahun turut ditahan.

    “Pada pukul 8.10 pagi Isnin lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah menahan sebuah kenderaan jenis Mistubishi Triton di depan sebuah rumah di Bandar Amanjaya. Pemandunya cuba melarikan diri dengan keluar dari kereta tetapi berjaya ditahan.

    “Selain itu, polis turut menahan seorang lagi lelaki yang menaiki kereta Honda City di sebelah Mitsubishi Triton tersebut. Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat dua guni dan satu plastik hitam di bahagian penumpang belakang Mitsubishi Triton berkenaan,” katanya.

    Tambahnya, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua guni dan plastik itu mengandungi bungkusan plastik hijau berisi bahan disyaki dadah jenis syabu.  

    “Dadah itu disyaki dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran di negeri-negeri utara tanah air. Jika terlepas di pasaran, dadah tersebut boleh digunakan oleh kira-kira 540,000 penagih,” katanya.

    Susulan penangkapan dan rampasan dadah itu katanya, polis membuat serbuan di sebuah rumah dalam kawasan perumahan sama kira-kira pukul 8.30 pagi.

    “Di situ, kami menahan seorang wanita berusia 36 tahun dan setengah jam kemudian kami menyerbu pula sebuah premis di Pusat Komersial Saujana dan menahan warga emas terbabit.

    “Bagaimanapun tiada barangan yang menyalahi undang-undang ditemukan di rumah serta premis tersebut,” katanya.

    Tambahnya ujian urin dijalankan terhadap kesemua individu tersebut didapati negatif dadah.

    “Dua lelaki berusia 30 dan 41 tahun itu memiliki rekod jenayah manakala wanita dan warga emas berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod.

    “Enam kenderaan disita bagi membantu siasatan. Selain itu kami turut menyita duit sebanyak RM5,466 yang ditemui ketika serbuan serta lima akaun bank yang memiliki wang berjumlah RM411,121,” katanya.

    Katanya, keempat-empat individu tersebut direman antara tiga hingga tujuh hari dengan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

  • Dakwaan tiga remaja di Perak, Sabah meninggal dunia akibat vaksin  tidak benar

    Dakwaan tiga remaja di Perak, Sabah meninggal dunia akibat vaksin tidak benar

    DAKWAAN dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai di sini meninggal dunia akibat vaksin COVID-19 menerusi rakaman video yang tular adalah tidak benar.

    Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata semakan mendapati dua pelajar sekolah berkenaan dilaporkan meninggal dunia sebelum Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja yang bermula pada 20 Sept lepas di negeri ini.

    “Seorang pelajar perempuan meninggal dunia disebabkan positif COVID-19 pada 18 Julai manakala seorang lagi pelajar lelaki meninggal dunia akibat sakit jantung pada 17 Sept lepas.

    “Pelajar perempuan itu mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi yang kronik dan kritikal selama dua bulan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Susulan itu, Mior Faridalathrash berkata pihak polis akan menjalankan siasatan berhubung video yang tular itu.

    Rakaman video menunjukkan seorang wanita mendakwa empat pelajar termasuk dua pelajar SMK Tasek Damai meninggal dunia selepas divaksinasi tular menerusi media sosial sejak semalam.

    Sementara itu, di KOTA KINABALU, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menafikan dakwaan dalam sebuah video tular yang menyatakan kematian seorang remaja di Lahad Datu adalah disebabkan oleh suntikan vaksin COVID-19.

    Pengarah JKNS Dr Rose Nani Mudin berkata pihaknya memandang serius perkara berkenaan dan telah membuat laporan polis terhadap dakwaan itu.

    “Perbuatan individu ini boleh menimbulkan perasaan panik dan kebimbangan orang ramai terutamanya ibu bapa dan remaja yang bakal menerima suntikan vaksin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dr Rose Nani mengingatkan kepada mana-mana individu atau pihak yang musykil dan masih tidak faham tentang vaksin boleh menghubungi JKNS melalui talian PICK 019-6051196 atau e-mel ke [email protected].

    Beliau turut menyeru ibu bapa atau penjaga agar mendaftarkan remaja di bawah jagaan masing-masing menerusi aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan suntikan vaksin sebagai perlindungan diri dan keluarga.

    “Daripada pemantauan JKNS, 80 hingga 90 peratus pesakit di Unit Rawatan Rapi adalah individu yang belum divaksin,” katanya.