Category: Jenayah

  • Lelaki tempatan maut ditetak dalam bilik sewa

    Lelaki tempatan maut ditetak dalam bilik sewa

    SEORANG lelaki tempatan berusia 40 tahun ditemukan mati dipercayai dibunuh di bilik sewanya di Taman Serdang Utama, Seri Kembangan, Kuala Lumpur petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, mayat lelaki itu ditemukan terbaring dengan beberapa kesan tetakan pada kepala, rusuk kanan, belakang badan dan kedua-dua lengan.

    Polis menerima panggilan kecemasan daripada seorang wanita pada pukul 6.13 petang semalam yang memaklumkan seorang lelaki telah meninggal dunia di biliknya.

    “Lelaki yang masih bujang itu merupakan pekerja kedai perabut dan menyewa di bilik berkenaan sejak lima tahun lepas.

    “Dalam rumah berkenaan terdapat beberapa bilik lain yang dipisahkan dengan papan dan disewa kepada penyewa yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membantu siasatan. – BERNAMA

  • PDRM mulakan siasatan terhadap akaun Twitter @khalids

    PDRM mulakan siasatan terhadap akaun Twitter @khalids

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) telah memulakan siasatan terhadap pemilik akaun Twitter khalid@khalids yang didakwa mengeluarkan kenyataan tidak benar mengenai senarai kematian guru disebabkan vaksin COVID-19 susulan laporan polis oleh Kementerian Kesihatan (KKM) semalam.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata siasatan itu dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menfitnah, Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana dengan niat hendak mengapikan atau yang mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain.

    “Pemilik akaun berkenaan turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penyalahgunaan tidak wajar kemudahan rangkaian,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata ciapan yang dimuat naik mengenai kematian 41 guru akibat vaksin COVID-19 semalam telah mengundang pelbagai reaksi dan maklum balas warganet.

    “PDRM menasihati orang ramai supaya cakna dan peka terhadap pihak yang cuba mengganggu kelancaran program vaksinasi COVID-19 yang sedang dilaksanakan kerajaan dan orang ramai juga digesa menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah serta tidak menggunakan platform terbabit untuk menyebarkan maklumat yang belum dipastikan kesahihannya,” katanya.

    Abdul Jalil juga berkata tindakan tegas bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman dan keselamatan awam.

    Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi hantaran di Twitter berkata beliau telah mengarahkan KKM membuat laporan polis terhadap pengguna laman sosial itu yang didakwa menyebarkan berita palsu berkaitan vaksin COVID-19.

    Sebelum ini, tular video berdurasi 31 saat yang memaparkan hantaran dilakukan pengguna Twitter berkaitan senarai kematian guru sekolah akibat divaksinasi.

    Bagaimanapun, semakan Bernama terhadap akaun Twitter terbabit mendapati ia gagal diakses.

    Bernama difahamkan laporan polis itu dibuat oleh pegawai KKM di Balai Polis Presint 7, Putrajaya pada kira-kira 9.45 malam.

    — BERNAMA

  • Pemilik rumah maut dalam tragedi kutip sewa tertunggak

    Pemilik rumah maut dalam tragedi kutip sewa tertunggak

    POLIS menahan empat lelaki termasuk seorang pesara tentera bagi membantu siasatan kes seorang pemilik rumah maut selepas bergelut dengan penyewanya ketika datang mengutip sewa tertunggak di Kampung Guar Sabun, Kangar, malam tadi

    Ketua Polis Daerah Kangar, Superitendan Wari Kiew berkata, kejadian berlaku pukul 8.30 malam selepas mangsa, Kamarul Izahar Mat Nanyan, 49, terbabit pergaduhan dengan seorang lagi lelaki di kampung berkenaan.

    “Siasatan awal polis, mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada pertikaian tunggakan sewa rumah di mana mangsa sebelum itu pergi ke rumah suspek sambil membawa sebilah parang.

    “Mangsa bertindak mengarahkan suspek yang menganggur itu segera membayar sewa rumah yang diduduki bersama isterinya namun suspek tidak mahu melayan tuntutan mangsa sambil mendakwa sewa itu sudah dibayar kepada seorang jiran di kampung itu dikenali sebagai Nana,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Wari berkata, jawapan suspek itu membuatkan mangsa berang, lantas menetak cermin kereta suspek yang diletakkan di hadapan rumah berkenaan.

    “Melihatkan tindakan mangsa itu, suspek kemudian menghampirinya menyebabkan mangsa terus menetak sebelum berlaku pergelutan di antara mereka.

    “Isteri suspek yang melihat kejadian itu kemudian menghubungi jiran yang bernama Nana terbabit dan apabila Nana tiba di tempat kejadian, mangsa dan suspek masih bergelut di tepi rumah, sebelum meminta bantuan empat jiran lain yang berada berhampiran.

    “Ketika keempat-empatnya sampai, mereka terus membantu suspek menangkap dan mengikat mangsa sebelum mendapati mangsa sudah tidak bergerak. Susulan itu, mereka menghubungi polis dan paramedik,” katanya.

    Wari berkata, polis yang tiba di lokasi menemui mangsa dalam keadaan terlentang di luar rumah dalam keadaan tangan terikat di bahagian belakang menggunakan tali berwarna kuning.

    “Pemeriksaan luaran badan mangsa juga mendapati ada luka kecil di atas dahi mangsa.

    “Suspek turut mendapat cedera di kepala akibat tetakan parang oleh mangsa dan kini dalam rawatan di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar manakala mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat.

    Katanya, susulan daripada kejadian itu, polis menahan empat lelaki berusia 39 hingga 55 tahun yang berasal dari Jalan Kelab Golf Putra, Kangar dan Kuala Perlis bagi membantu siasatan kes berkenaan.

    Mereka kini direman sehingga 15 Oktober hadapan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • Lelaki mabuk pandu lawan arus di Kerinchi Link ditahan

    Lelaki mabuk pandu lawan arus di Kerinchi Link ditahan

    SEORANG lelaki yang dipercayai mabuk dan memandu secara melawan arus di kilometer 6.5 Kerinchi Link dari arah Plaza Tol A ke Plaza Tol B di Kuala Lumpur ditahan pada awal pagi tadi.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, lelaki berusia 33 tahun itu ditahan polis bantuan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP)-Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint) sekitar pukul 1.15 pagi.

    “Suspek memandu sebuah kenderaan jenis Proton Saga berwarna emas secara melawan arus dari arah Plaza Tol A ke Plaza Tol B dengan jarak sejauh kira-kira 50 meter.

    “Suspek disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol. Anggota polis yang melakukan tugas rondaan kawasan tanggung jawab di Lebuhraya LDP-Sprint telah membawa suspek dan kenderaannya ke Balai Polis Jalan Tun H.S Lee,” katanya ketika dihubungi.

    Sarifudin berkata, keputusan ujian pernafasan atau Evidential Breath Analyzer (EBA) terhadap suspek menunjukkan terdapat sebanyak 254 miligram alkohol dalam 100 mililiter darah.

    Tambahnya, suspek ditahan di bawah Seksyen 28A Kanun Tatacara Jenayah.

    “Kita buka siasatan di bawah Seksyen 45(a) dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • 2 beradik, sepupu cari kepah ditemukan lemas

    2 beradik, sepupu cari kepah ditemukan lemas

    PENCARIAN tiga kanak-kanak yang dilaporkan hilang ketika mencari kepah berakhir, apabila mayat kesemua mangsa ditemukan di Sungai Kuala Baru, Kampung Mangkok, Setiu awal pagi ini.

    Menurut Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Husin, mayat pertama Nur Amni Insyirah Saiful Tarmizi, 9, ditemui pada pukul 1.08 pagi manakala adiknya, Muhammad Arryan Faheem, 7, ditemui pada pukul 1.47 pagi.

    Afandi yang merupakan Ketua Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) memberitahu, mayat mangsa ketiga pula iaitu Nurul Hasya Humaira Che Mohd Humaizi, 11, ditemui pada pukul 8.15 pagi tadi.

    “Kesemua mayat mangsa diditemui berada tidak jauh dari lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui media, hari ini.

    Menurut Afandi, sebaik sahaja ditemui, mayat dua beradik dan seorang sepupu itu dihantar ke Bilik Forensik Hospital Setiu untuk proses bedah siasat.

    Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa disertai 107 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), agensi berkaitan dan orang awam.

    Katanya, dengan penemuan ketiga-tiga mayat mangsa, operasi mencari dan menyelamat yang dimulakan pada pukul 6 petang srmalam ditutup secara rasmi pada pukul 8.45 pagi ini.

    “Kami menasihati orang awam yang ingin berkelah di pantai atau mencari kepah supaya lebih berhati-hati disamping memahami keadaan pasang surut air di muara sungai untuk mengelak berlakunya kejadian tidak diingini.

    Terdahulu Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Jabi, Dr Azman Ibrahim turut hadir menemui keluarga mangsa di lokasi kejadian.

  • 15 nelayan tempatan, asing ditahan positif dadah

    15 nelayan tempatan, asing ditahan positif dadah

    SERAMAI 15 nelayan tempatan dan asing ditahan dalam kerana didapati positif dadah ketika diperiksa dalam Ops Bersama di sekitar perairan Kuantan dan Kuala Rompin, Kuantan.

    Mereka yang terdiri daripada tujuh nelayan tempatan dan lapan nelayan asing berusia 20 hingga 46 tahun ditahan kerana positif dadah jenis methamphetamine.

    Ops Bersama itu dijalankan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pahang baru-baru ini.

    Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, semua nelayan tempatan yang ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah (Rawatan Dan Pemulihan)1983 pindaan 1988 diserahkan kepada pihak AADK untuk siasatan lanjut.

    “Nelayan asing diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

    Rata-rata nelayan yang ditahan memberi alasan terpaksa mengambil dadah untuk menghilangkan tekanan ketika bekerja di tengah laut.

    “Dalam operasi itu, sebanyak 14 bot nelayan tempatan dengan 71 orang nelayan tempatan dan nelayan asing serta lapan pekerja kapal pengangkut pasir diperiksa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Amran berkata, operasi melibatkan sembilan pegawai dan 28 anggota itu dijalankan dalam dua siri pada 29 hingga 30 September di sekitar perairan Kuantan dan pada 7 Oktober lalu di sekitar perairan Kuala Rompin.

    “Sebuah bot ronda dan Kapal Maritim (KM) Tatau juga digerakkan dalam operasi itu bagi membanteras kegiatan penagihan dan penyalahgunaan dadah dalam kalangan komuniti maritim di sekitar perairan Pahang di samping mencegah aktiviti jenayah maritim lain,” katanya.

    Sementara itu, beliau berkata, Maritim Malaysia mengalu-alukan operasi bersama agensi penguatkuasa lain pada masa hadapan terutama yang melibatkan operasi memantau dan mencegah aktiviti yang menyalahi undang-undang di laut.

    “Sebarang maklumat berkaitan kejadian kecemasan dan kegiatan jenayah di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999,” katanya.

  • Jurujual rugi RM21,000 ditipu ‘pegawai polis, LHDN’

    Jurujual rugi RM21,000 ditipu ‘pegawai polis, LHDN’

    SEORANG jurujual di Jerantut mengalami kerugian sebanyak RM21,000 apabila wang simpanannya lesap ditipu individu yang menyamar sebagai pegawai polis dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa, 59, didakwa membuat pembayaran ke akaun yang diberikan sindiket penipuan itu selepas diperdaya kononnya dia mempunyai tunggakan cukai syarikat.

    Katanya, lelaki itu dikatakan mendapat panggilan telefon pukul 12.55 tengah hari daripada individu yang mendakwa dirinya sebagai pegawai LHDN dengan memperkenalkan diri sebagai James David pada Khamis lalu.

    “Melalui panggilan berkenaan, individu itu memaklumkan bahawa mangsa mempunyai tunggakan cukai syarikat berjumlah RM58,509.82 yang tidak dibayar selama enam bulan yang didaftarkan atas nama mangsa di Kota Bharu, Kelantan.

    “James memberitahu untuk selesaikan perkara itu, lelaki itu perlu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan selain perlu menghubungi dan bercakap dengan seorang lelaki dikenali dengan Asisten Komisioner Datuk Mohd Nizam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mohd. Wazir berkata, dalam perbualan tersebut, lelaki itu memberitahu mangsa bahawa syarikat yang didaftarkan atas nama mangsa terlibat dengan sindiket penggubahan wang haram dan sindiket dadah.

    Menurutnya, mangsa yang mengakui tidak pandai berurusan secara dalam talian kemudiannya dibimbing oleh ‘pegawai polis’ terbabit dan terus bercakap hingga sampai ke sebuah bank di Jerantut.

    “Pada pukul 3.35 petang hari sama (Khamis) semasa berada di bank terbabit, mangsa telah memasukkan wang berjumlah RM21,000 selepas diarahkan oleh ‘pegawai polis’ itu ke dalam satu akaun bank CIMB.

    “Semasa sampai di rumah, perbualan mereka terputus namun tidak disyaki oleh mangsa sebelum keesokan hari (Jumaat), mangsa berasa tidak sedap hati dan ingin membuat semakan di bank,” katanya.

    Tambahnya, semakan di bank tersebut mendapati ada transaksi wang sebanyak RM21,000 daripada akaun mangsa ke satu nombor akaun yang tidak pasti.

    “Mangsa yang berasa dirinya telah ditipu kemudiannya membuat laporan polis,” ujarnya dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

  • Hampir 300,000 menjadi OKU selepas terlibat kemalangan

    Hampir 300,000 menjadi OKU selepas terlibat kemalangan

    Hampir 300,000 daripada 600,000 yang berdaftar sebagai orang kurang upaya (OKU) di negara ini terdiri daripada individu yang mengalami kecacatan selepas terbabit dengan kemalangan jalan raya.

    Menurut Pegawai Penyelidik Kanan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Yusof Ghani, ramai daripada individu berkenaan dilahirkan normal namun terlantar dan koma selepas terbabit nahas jalan raya.

    “Menurut Senator Datuk Ras Adiba Radzi, daripada 600,000 OKU di negara ini, 40 peratus daripadanya menjadi OKU kesan terbabit dengan nahas jalan raya, sedangkan sebelum ini mereka boleh bekerja dan belajar.

    “Antara kes yang saya temui ialah mangsa nahas yang koma selama lapan tahun selepas jatuh dari motosikal tanpa mengenakan topi keledar pada usianya baru 15 tahun.

    “Kejadian ini sememangnya pengajaran yang besar. Bukan saja mangsa tidak lagi produktif, malah ia memberi kesan ekonomi dan sosial, termasuk kepada keluarga terutamanya yang perlu menjaga mangsa 24 jam sehari,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam acara Sepetang Bersama MIROS – Bicara Kewartawanan dan Laporan Nahas Jalan Raya yang diadakan secara dalam talian, hari ini.

    Acara itu sebahagian kluster MIROS@rt yang diadakan bertujuan menggerakkan elemen seni menerusi kepelbagaian medium membabitkan kemahiran penulisan kreatif dan komunikasi media.

    Antara lain ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran petugas media dan masyarakat mengenai isu keselamatan jalan raya.

    Turut serta Pengarah di Pusat Penyelidikan Keselamatan Kenderaan dan Biomekanik MIROS, Zulhaidi Jawi dan Ahli Lembaga Pengarah MIROS, Shahrim Tamrin.

    Sementara itu, Shahrim berkata, mengikut statistik, kadar kematian disebabkan nahas jalan raya di negara ini sudah menunjukkan trend penurunan sejak 2017.

    Katanya, meskipun ada andaian kadar kematian akibat nahas jalan raya akan semakin menurun jika trend kekal buat tahun ketiga atau keempat, tetapi MIROS tidak akan menghentikan usaha meningkatkan kesedaran awam.

  • Lelaki ditemui mati terapung dalam parit selepas tiga hari hilang

    Lelaki ditemui mati terapung dalam parit selepas tiga hari hilang

    SEORANG lelaki yang menunggang motosikal sendirian dipercayai telah hilang kawalan dan melanggar tiang elektrik sebelum jatuh ke dalam parit ketika melalui Jalan Taiping-Selama, pada Rabu lalu.

    Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, mangsa yang tidak sedarkan diri dalam parit itu telah dihanyutkan sejauh hampir 40 meter dari lokasi asal kemalangan akibat hujan lebat.

    “Tiada laporan awal diterima semasa kemalangan itu berlaku, sebaliknya maklumat mengenai insiden hanya diketahui selepas penemuan mayat mangsa.

    “Polis sedang mendapatkan maklumat diri mangsa dan berusaha menjejak waris serta majikan untuk membantu siasatan,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Katanya, motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangi mangsa turut ditemui di lokasi kemalangan dengan kesan lampu hadapan pecah, meter tertanggal dan lain-lain kerosakan.

    Beliau berkata, mayat lelaki tersebut ditemukan terapung-apung dalam sebuah parit di jalan itu berhampiran Masjid Mohd Ali Rouse, Kampung Ulu Sepetang, Taiping, hari ini.

    Jelasnya, keadaan mangsa yang belum dikenal pasti identiti itu disedari orang awam sekitar jam 11.30 pagi, kira-kira tiga hari selepas kemalangan berlaku.

    “Tiada laporan awal diterima semasa kemalangan itu berlaku, sebaliknya maklumat mengenai insiden hanya diketahui selepas penemuan mayat mangsa.

    “Polis sedang mendapatkan maklumat diri mangsa dan berusaha menjejak waris serta majikan untuk membantu siasatan,” katanya.

    Katanya, pemilik motosikal terbabit telah dikenal pasti dan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping untuk soal siasat.

    “Punca kematian sebenar akan diperoleh sebaik bedah siasat dijalankan. Buat masa ini kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • 2 tekong, 15 awak-awak nelayan Vietnam didenda RM3.7 juta

    2 tekong, 15 awak-awak nelayan Vietnam didenda RM3.7 juta

    PADAH bagi dua tekong bersama 15 awak-awak nelayan Vietnam yang meceroboh perairan untuk merompak hasil laut negara, apabila mereka didenda RM3.7 juta selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut kelmarin.

    Menurut Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid, nelayan berusia 17 hingga 42 tahun itu menerima hukuman tersebut selepas dihadapkan di Mahkamah Seksyen Kemaman.

    Menurut beliau, sebelum ini nelayan terbabit ditahan dalam dua siri operasi diadakan pihaknya pada 3 Ogos lalu.

    Katanya, dalam kes pertama, seorang tekong bot didenda RM300,000 mengikut Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 kerana gagal memaklumkan pegawai berkuasa melalui radio, teleks atau faksmili tentang nama, bendera, lokasi dan destinasi serta keadaan vesel terbabit memasuki perairan Malaysia.

    “Selain itu, tekong tersebut juga turut didenda RM200,000 atas kesalahan menangkap ikan tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia JPM,” lapor Berita Harian, hari ini.

    Menurut Rashidilhadi, pada masa sama, tekong itu turut berdepan hukuman penjara antara lapan dan lima bulan sekiranya gagal menjelaskan kedua-dua denda yang dikenakan.

    Sementara empat awak-awak tekong itu pula masing-masing didenda RM200,000 disamping berdepan hukuman lima bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda dikenakan.

    Ujarnya, bagi kes kedua pula, seorang lagi tekong betsama 11 awak-awak masing-masing didenda RM200,000 dan penjara lima tahun sekiranya gagal menjelaskan denda atas kesalahan sama.

    Beliau memberitahu, pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd. Hakim.

    Menurut beliau, Wan Suhaila juga mengarahkan kedua-dua bot nelayan Vietnam berkenaan dan semua peralatan menangkap ikan dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.