POLIS menahan empat lelaki termasuk seorang pesara tentera bagi membantu siasatan kes seorang pemilik rumah maut selepas bergelut dengan penyewanya ketika datang mengutip sewa tertunggak di Kampung Guar Sabun, Kangar, malam tadi

Ketua Polis Daerah Kangar, Superitendan Wari Kiew berkata, kejadian berlaku pukul 8.30 malam selepas mangsa, Kamarul Izahar Mat Nanyan, 49, terbabit pergaduhan dengan seorang lagi lelaki di kampung berkenaan.

“Siasatan awal polis, mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada pertikaian tunggakan sewa rumah di mana mangsa sebelum itu pergi ke rumah suspek sambil membawa sebilah parang.

“Mangsa bertindak mengarahkan suspek yang menganggur itu segera membayar sewa rumah yang diduduki bersama isterinya namun suspek tidak mahu melayan tuntutan mangsa sambil mendakwa sewa itu sudah dibayar kepada seorang jiran di kampung itu dikenali sebagai Nana,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wari berkata, jawapan suspek itu membuatkan mangsa berang, lantas menetak cermin kereta suspek yang diletakkan di hadapan rumah berkenaan.

“Melihatkan tindakan mangsa itu, suspek kemudian menghampirinya menyebabkan mangsa terus menetak sebelum berlaku pergelutan di antara mereka.

“Isteri suspek yang melihat kejadian itu kemudian menghubungi jiran yang bernama Nana terbabit dan apabila Nana tiba di tempat kejadian, mangsa dan suspek masih bergelut di tepi rumah, sebelum meminta bantuan empat jiran lain yang berada berhampiran.

“Ketika keempat-empatnya sampai, mereka terus membantu suspek menangkap dan mengikat mangsa sebelum mendapati mangsa sudah tidak bergerak. Susulan itu, mereka menghubungi polis dan paramedik,” katanya.

Wari berkata, polis yang tiba di lokasi menemui mangsa dalam keadaan terlentang di luar rumah dalam keadaan tangan terikat di bahagian belakang menggunakan tali berwarna kuning.

“Pemeriksaan luaran badan mangsa juga mendapati ada luka kecil di atas dahi mangsa.

“Suspek turut mendapat cedera di kepala akibat tetakan parang oleh mangsa dan kini dalam rawatan di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar manakala mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat.

Katanya, susulan daripada kejadian itu, polis menahan empat lelaki berusia 39 hingga 55 tahun yang berasal dari Jalan Kelab Golf Putra, Kangar dan Kuala Perlis bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Mereka kini direman sehingga 15 Oktober hadapan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here