Category: Jenayah

  • 2 maut, 6 cedera dalam kemalangan libat 4 kenderaan

    2 maut, 6 cedera dalam kemalangan libat 4 kenderaan

    DUA maut manakala enam cedera ringan dalam kemalangan melibatkan empat kereta di Km59 Jalan Kuantan-Segamat dekat Pekan hari ini. 

    Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zin berkata kejadian kira-kira 2 petang itu menyebabkan seorang penumpang kereta Perodua Aruz, Nur Alya Fakhira Ariffen, 18, dan pemandu kereta Honda City, Mohd Said Husen, 67, meninggal dunia di tempat kejadian.

    Beliau berkata kemalangan itu dipercayai berlaku apabila sebuah kereta Toyota Hilux dari Kuantan menghala ke Segamat terbabas memasuki laluan bertentangan lalu bergesel dengan Perodua Aruz tersebut.

    “Susulan itu, Perodua Aruz itu dipercayai terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta Nissan Almera dan Honda City yang mengakibatkan kedua-dua kenderaan itu rosak teruk di bahagian depan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Beliau berkata pemandu Perodua Aruz dan Nissan Almera serta empat penumpang dua kenderaan itu hanya cedera ringan manakala pemandu dan penumpang Toyota Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Katanya kesemua mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk tindakan lanjut dan kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.  – BERNAMA

  • 118 penunggang p-hailing dikompaun langgar lampu merah

    118 penunggang p-hailing dikompaun langgar lampu merah

    SERAMAI 118 penunggang motosikal khidmat penghantaran makanan (p-hailing) dikenakan kompaun kerana melanggar lampu isyarat merah dalam Ops Merah yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang sejak 8 Oktober lalu.

    Mereka merupakan sebahagian daripada 236 penunggang motosikal yang dikesan melakukan kesalahan sama sepanjang operasi berkenaan yang akan dijalankan sehingga 7 November ini.

    Jumlah itu juga menunjukkan penunggang p-hailing berkenaan merupakan kumpulan pengguna jalan raya tertinggi yang melakukan kesalahan melanggar lampu isyarat merah seperti mana yang sering menjadi rungutan banyak pihak sebelum ini.

    Menurut Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md Isa, antara alasan popular penunggang p-hailing berkenaan melanggar lampu isyarat merah meskipun menyedari risiko berlaku kemalangan kerana mahu mengejar trip melakukan khidmat menghantar makanan.

    Bagaimanapun jelas beliau, tindakan mereka itu bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri, malah turut merisikokan pengguna jalan raya yang lain lebih-lebih lagi sekiranya berlaku nahas atau kemalangan.

    “Apatah lagi ketika ini keadaan jalan raya semakin sesak ekoran banyak aktiviti sosial seperti rentas negeri sudah dibenarkan, jadi kita perlu bertindak tegas dan tanpa kompromi mengeluarkan saman kepada mana-mana pihak yang melakukan kesalahan jalan raya,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas menyertai Ops Merah itu di Jalan Tenggiri, Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

    Dalam perkembangan berkaitan tambah Adenan, operasi yang sama setakat ini turut merekodkan sebanyak 537 kesalahan membabitkan penunggang motosikal di Pulau Pinang termasuk tiada lesen memandu membabitkan 142 kes.

    Kesalahan lain tambahnya, adalah melanggar isyarat lalu-lintas jalan sehala sebanyak 25 kes; tidak memakai topi keledar (27); memandu bawah umur (2); nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (79) serta lain-lain kesalahan (26).

  • Kes seleweng RM42 juta dana SRC:Najib perlu jalani hukuman

    Kes seleweng RM42 juta dana SRC:Najib perlu jalani hukuman

    TUN Dr. Mahathir Mohamad berpendapat, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu menjalani hukuman yang diputuskan mahkamah berhubung kes menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn. Bhd.

    Jelas beliau, selagi mahkamah belum memutuskan kes rayuan Najib, bekas Perdana Menteri itu dianggap bersalah.

    “Mahkamah (Tinggi Kuala Lumpur) mendapati Perdana Menteri keenam itu bersalah. Itu keputusan mahkamah. Selagi ia tidak didapati tidak bersalah, ia bersalah.

    “Ia patut jalan hukuman. Ada rakyat Malaysia yang belum pun didakwa (charge) telah dimasuk dalam tahanan, kenapa tidak orang yang sudah pun dihukum salah menjalani hukuman,” katanya ketika membahaskan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

    Najib ketika ini dibebaskan selepas diikat jamin sebanyak RM2 juta dengan dua penjamin sementara menunggu rayuan.

    Beliau mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lalu yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan, melibatkan RM42 juta dana SRC International.

    Membahas lagi, Dr. Mahathir (PEJUANG-Langkawi) berkata rayuan yang dibuat terhadap kes tersebut telah memakan masa hampir setahun.

    Bahkan, Ahli Parlimen Pekan itu katanya turut dibenarkan ke luar negara.

    “Jika rayuan mendapati banduan tidak salah, bebaskan sahaja.

    “Sudah hampir satu tahun rayuan dibuat. Tetapi belum ada keputusan dibuat. Dengan izin ‘justice delayed is justice denied’,” katanya.

    Sebelum ini, tiga hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Najib untuk meminda tarikh pelepasan dan pemulangan pasport untuk melawat anaknya di Singapura.

    Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, Datuk Muhammad Jamil Hussin dan Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu, selepas pihak pendakwaan tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap permohonan berkenaan.

    Ini membabitkan pindaan daripada 20 Oktober hingga 22 November kepada 25 Oktober hingga 6 Disember depan.

    Dalam masa yang sama, Dr. Mahathir mempersoalkan apakah kerajaan serius untuk mendapat balik wang kerajaan yang telah diseleweng.

  • Kes samun guna pisau kad adalah kes lama: Bukit Aman

    Kes samun guna pisau kad adalah kes lama: Bukit Aman

    POLIS menafikan berlakunya kes samun menggunakan pisau tersorok pada kad seperti yang tular dalam media sosial. 

    Menurut Pegawai Komunikasi Korporat Bukit Aman, Superintendan S. Anandan, kejadian itu adalah kes lama yang disebarkan semula pihak tertentu. 

    Ketika ini, kecoh di media sosial mengenai dua keping gambar yang didakwa sebagai mangsa samun menggunakan pisau yang disorok pada kad. 

    Penjenayah dikatakan mengetuk kenderaan mangsa untuk bertanyakan sesuatu sebelum mencederakan mangsa menggunakan pisau kecil pada kad.

    “Hasil semakan mendapati, sebaran maklumat tersebut telah mula tular pada tahun 2014, dan ditularkan semula oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

    “Pihak polis mengesahkan tiada sebarang laporan berkaitan kejadian samun yang menggunakan modus operandi sedemikian,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

    Tambah beliau, wanita yang cedera adalah mangsa samun dalam kejadian yang berlainan, manakala lelaki yang cedera pada bahagian muka adalah mangsa pergaduhan di sebuah pusat hiburan di luar negara.

    “Orang ramai dinasihati untuk tidak mudah percaya dengan berita-berita yang tidak berasas dan tidak tentu kesahihannya.

    “Tindakan berkongsi atau menyebar berita-berita sedemikian akan menimbulkan keresahan dan kebimbangan masyarakat,” katanya.

  • Wanita mati dibunuh kekasih:Kaki, rangka, tulang ditanam tepi sungai

    Wanita mati dibunuh kekasih:Kaki, rangka, tulang ditanam tepi sungai

    POLIS mengesahkan penemuan tulang bahagian kaki di tebing Sungai Jebong, Kuala Sepetang, Taiping pada Rabu lalu melibatkan kejadian bunuh seorang wanita berusia 31 tahun.

    Tulang tersebut yang ditemukan orang awam adalah milik manusia dalam keadaan tidak sempurna dan reput.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, siasatan lanjut oleh pasukan Forensik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak turut menjumpai bungkusan kain batik, selimut dan sejadah yang ditanam di kawasan berhampiran.

    “Dalam bungkusan tersebut terdapat rangka dan tulang dipercayai bahagian tubuh badan manusia dari bahagian kepala hingga ke pinggang dalam keadaan reput sepenuhnya.

    “Hasil bedah siasat yang dijalankan oleh Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh tidak dapat mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Anuar berkata, mangsa dipercayai mati dalam tempoh antara dua atau empat minggu lalu.

    “Bertindak atas maklumat, polis melakukan tangkapan ke atas seorang lelaki yang berusia 34 tahun yang merupakan orang pengawasan polis (OPP) pada Jumaat.

    “Suspek didapati telah melanggar syarat pengawasan di bawah Seksyen 15(4) Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959,” katanya.

    Katanya, hasil soal siasat mendapati suspek telah bergaduh dengan mangsa yang juga teman wanitanya di sebuah bilik sewa di Taiping.

    “Suspek mengakui bertindak memukul kepala mangsa menggunakan batang mop hingga mati sebelum menanam mangsa di lokasi tersebut.

    “Suspek turut menunjukkan kepada pihak polis lokasi mangsa telah dibunuh dan ditanam,” katanya.

    Katanya, suspek direman selama tujuh hari untuk disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • Mayat warga emas ditemui reput dalam apartmen

    Mayat warga emas ditemui reput dalam apartmen

    MAYAT seorang lelaki warga emas ditemukan dalam keadaan reput dan terbaring dalam sebuah apartmen di Damansara Damai, Petaling Jaya, kelmarin.

    Kejadian pesara kerajaan berusia 63 tahun dan masih bujang ditemukan mati itu dilaporkan kepada polis pada pukul 3.40 petang.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pegawai kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah Petaling telah hadir ke tempat kejadian dan membuat penilaian mangsa telah meninggal dunia dalam satu tempoh yang agak lama.

    “Mayat dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

    “Setakat ini, tiada unsur-unsur jenayah dikesan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat.

    “Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kesini boleh menghubungi hotline Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya melalui kenyataan, hari ini.

  • Tiga sekeluarga maut Perodua Alza bertembung lori

    Tiga sekeluarga maut Perodua Alza bertembung lori

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG cucu bersama datuk dan neneknya maut selepas Perodua Alza dinaiki mereka bertembung lori pasir di Jalan Johor Kampung Pinggir, di Kluang kira-kira 9 pagi tadi.

    Mangsa yang maut ialah pemandu kereta iaitu Izzah Shahirah Sahri, 22, dan datuknya, Md. Salleh Kosran, 75, serta nenek, Miskina Naining, 70.

    Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Fauzi Md. Nor berkata, ketiga-tiga mereka dikatakan dalam perjalanan ke Simpang Renggam untuk mengambil ubat.

    “Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan kemalangan jalan raya melalui talian Mers999 dan sebuah jentera FRT dari BBP Renggam dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Terdapat tiga mangsa tersepit di dalam kereta Perodua Alza dan anggota bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Mohd. Fauzi berkata, ketiga-tiga mangsa disahkan maut di tempat kejadian dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

    Pemandu lori yang berusia 52 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan dan operasi terbabit ditamatkan pada pukul 11.25 pagi.

  • Tujuh kanak-kanak lari dari rumah penjagaan

    Tujuh kanak-kanak lari dari rumah penjagaan

    TUJUH kanak-kanak lelaki yag dipercayai melarikan diri dari rumah penjagaan kanak-kanak, di Kuantan, semalam.

    Susulan itu, polis melancarkan operasi mencari kanak-kanak tersebut yang berumur antara 12 dan 15 tahun itu selepas menerima laporan kehilangan mereka.

    Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, berdasarkan siasatan awal, kehilangan kanak-kanak terbabit disedari seorang rakan mereka sebelum memaklumkan kepada pengurusan.

    “Oleh itu, kerjasama masyarakat amat diperlukan untuk mengesan kanak-kanak ini yang mungkin berlindung di tempat tertentu.

    “Jika melihat kanak-kanak dalam keadaan mencurigakan, orang ramai diminta memaklumkan kepada polis. Kita percaya mereka masih berada di daerah ini,” katanya pada sidang media kes Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) di Ibu Pejabat Kontinjen Pahang, hari ini.

    Mengulas motif kanak-kanak terbabit melarikan diri, beliau berkata, pihaknya masih lagi menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

    Katanya, siasatan turut mengenal pasti punca mereka melarikan diri sama ada melalui pintu pagar atau memanjat pagar.

    “Semua masih lagi dalam siasatan dan polis berharap mereka pulang demi keselamatan,” katanya.

  • Kilang tutup akibat Covid-19 jadi punca bekalan minyak masak paket kurang

    Kilang tutup akibat Covid-19 jadi punca bekalan minyak masak paket kurang

    TINDAKAN sebuah pengilang minyak masak paket di daerah Timur Laut, Pulau Pinang yang terpaksa menutup operasi akibat Covid-19 dikesan menjadi antara punca bekalan produk itu khususnya di bahagian pulau negeri tersebut terjejas sejak minggu lalu.

    Lebih memburukkan keadaan apabila pengilang itu merupakan antara pengilang terbesar di bahagian pulau yang membungkus semula minyak masak paket untuk diedarkan kepada peruncit dan ejen.

    Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, pengilang yang diberi kuota mengeluarkan 150 tan minyak masak paket sebulan itu terpaksa menutup operasi selama tujuh hari sejak minggu lalu.

    Bagaimanapun ujar beliau, pihaknya yakin masalah kekurangan bekalan minyak masak paket itu akan pulih selepas pengilang terbabit akan meneruskan semula operasi minggu ini.

    Dalam masa sama jelas beliau, kekurangan bekalan minyak masak paket minggu lalu juga disebabkan pengeluarannya dikawal memandangkan berada pada minggu akhir bulan Oktober.

    “Kebiasaan kuota yang ditetapkan untuk Pulau Pinang adalah sebanyak 3,434 kilogram minyak masak paket dan terdapat 25 pengilang yang diberi kebenaran untuk membungkus semula minyak masak paket ini.

    “Bagaimanapun, pada minggu akhir Oktober, kita dapati jumlah pengeluaran telah menghampiri kuota yang ditetapkan dan pengilang mengawal bekalan kerana tidak mahu melepasi kuota yang ditetapkan,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2021 di Pasar Chowrasta, Georgetown, Pulau Pinang, hari ini.

    Sebelum ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa menyiasat masalah kekurangan bekalan minyak masak paket selepas menerima banyak aduan daripada orang ramai yang bimbang berikutan sambutan Deepavali tidak lama lagi.

    Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Ridzuan berkata, pihaknya akan menjalankan pemantauan setiap hari sempena SHMMP Deepavali bagi memastikan tiada kenaikan harga melampau dan bekalan mencukupi ketika musim perayaan.

    Tegasnya, mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga yang tidak munasabah akan dikenakan tindakan dibawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

  • PGA tumpas kegiatan arak dan rokok seludup

    PGA tumpas kegiatan arak dan rokok seludup

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PASUKAN Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan arak dan rokok membabitkan nilai yang mencecah RM127,318 hasil penahanan tiga lelaki tempatan dalam dua serbuan di Kluang, semalam.

    Sindiket terbabit dipercayai mensasarkan jualan di kedai runcit sekitar daerah itu selepas menyeludup masuk bekalan terbabit dari luar negara.

    Malah, mereka juga menggunakan pelekat Kastam palsu disyaki sebagai helah atau bagi mengaburi mata pihak berkuasa supaya tidak mengesan kegiatan itu.

    Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintenden Dimin Awang berkata, berdasarkan risikan dan maklumat, tiga lelaki terbabit yang berusia 20, 28 dan 33 tahun ditahan di Taman Delima dan Taman Saujana, di sini.

    Dua daripada tiga lelaki yang berusia 20, 28 dan 33 tahun ditahan di Taman Delima dan Taman Saujana, Kluang.

    “Dalam operasi pertama kira-kira 9.30 pagi, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Batalion 5 PGA telah menahan dan membuat pemeriksaan ke atas dua orang lelaki di sebuah premis di Jalan 1, Taman Delima.

    “Antara barang yang berjaya dirampas adalah 54 karton rokok pelbagai jenama dan 1,745 botol arak pelbagai jenama. Semua barang tersebut tidak memiliki cukai kastam serta menggunakan pelekat kastam yang disyaki palsu,” katanya dalam kenyartaan, hari ini.

    Dimin berkata, hasil soal siasat, kedua-dua suspek membawa pasukan ke lokasi kedua di sebuah premis di Jalan Saujana Perdana 1, Taman Saujana sebelum menahan seorang lagi lelaki yang terlibat dalam kegiatan itu.

    Suspek ketiga ditahan di sebuah premis di Jalan Saujana Perdana 1, Taman Saujana, Kluang

    Katanya, di lokasi terbabit, 168 tin arak pelbagai jenama dan 175 botol arak pelbagai jenama yang tidak memiliki cukai kastam dirampas.

    Beliau berkata, tangkapan serta barangan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kluang untuk tindakan Ianjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (I) Akta Kastam 1967.

    “Orang awam diminta terus menyalurkan maklumat kepada polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi jalan yang tidak diwartakan melalui talian hotline 07-7557280,” katanya.