Category: Jenayah

  • Kon penghadang jalan undang bahaya, perlu diletak pemberat

    Kon penghadang jalan undang bahaya, perlu diletak pemberat

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KONTRAKTOR selenggaraan jalan diingatkan untuk memastikan setiap kon penghadang jalan yang digunakan perlu diletakkan pemberat.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memberi peringatan itu disebabkan pihaknya menerima laporan seorang penunggang motosikal terjatuh akibat terlanggar kon yang bergerak secara tiba-tiba pada pukul 2 pagi, beberapa hari lalu.

    Katanya, akibat daripada perlanggaran itu, penunggang motosikal berusia 28 tahun berkenaan terjatuh sebelum hampir dirempuh sebuah lori di Jalan Kempas Lama-Seelong.

    “Sehubungan itu, semua kontraktor terlibat dalam kerja penyelenggaraan jalan raya, pastikan kon yang diletak mesti berisi sama ada air atau pasir, agar kon itu tidak bergerak dan statik,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Operasi Bersepadu Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Johor di Taman Impian Emas, Johor Bahru, hari ini.

    Pada 5 Oktober lalu, tular sebuah video di media sosial berdurasi 34 saat yang dirakam sebuah kereta lain memaparkan penunggang tersebut berhenti selepas melanggar kon yang jatuh di tepi jalan dalam penyelenggaraan.

    Dalam pada itu, Ayob Khan turut mengingatkan kontraktor untuk membuat pemakluman kepada Ketua Polis Daerah bagi sebarang kerja penyelenggaraan jalan yang memerlukan diletakkan kon.

    “Pemakluman perlu dibuat dan lepas ini kita akan ambil tindakan kepada pihak yang cuai.

    “Saya tidak mahu bila sudah berlaku sesuatu insiden baru hendak ambil tindakan, sudah banyak insiden yang berlaku sebelum ini dan ia perlu dijadikan pengajaran,” tambahnya.

  • 13 motosikal musnah terbakar ketika pemilik sedang nyenyak tidur

    13 motosikal musnah terbakar ketika pemilik sedang nyenyak tidur

    SEBANYAK 13 buah motosikal hangus dalam kejadian kebakaran di Flat Desa Mawar, Ayer Itam, Pulau Pinang awal pagi ini.

    Kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu berlaku di kawasan letak kenderaan flat berkenaan ketika kebanyakan penghuninya sedang nyenyak tidur.

    Kejadian berlaku di kawasan letak kenderaan flat berkenaan ketika kebanyakan penghuninya sedang nyenyak tidur

    Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 4.12 pagi sebelum tiba di lokasi kejadian kurang 10 minit kemudian.

    “Apabila tiba, kita mendapati berlaku kebakaran melibatkan 13 buah motosikal di kawasan parkir kenderaan yang mengakibatkan motosikal berkenaan terbakar hampir keseluruhannya,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Tujuh anggota termasuk penyelia dari Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong berjaya memadamkan kebakaran

    Beliau berkata, operasi membabitkan tujuh anggota termasuk penyelia dari Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong itu berjaya memadamkan kebakaran pada pukul 4.32 pagi sebelum operasi tamat sepenuhnya pukul 4.46 pagi.

    Ujarnya, tiada mangsa terlibat dalam kejadian tersebut.

  • Ketua Pemuda UMNO Tampin meninggal dunia

    Ketua Pemuda UMNO Tampin meninggal dunia

    KETUA Pemuda UMNO Bahagian Tampin Muhammad Hafez Hezmi, 38, meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung di kediamannya di Krubong, Melaka kira-kira pukul 2.30 pagi ini.

    Perkara itu disahkan Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir ketika dihubungi Bernama, hari ini.

    “Saya dapat maklumat Muhammad Hafez telah pergi awal pagi tadi, satu berita yang mengejutkan kerana kali terakhir saya jumpa dia semalam sewaktu penamaan calon pada Pilihan Raya Negeri Melaka, arwah nampak sihat.

    “Malam tadi pun saya dimaklumkan arwah sempat mengadakan perbincangan bersama jentera UMNO Bahagian Tampin, ia satu kehilangan besar kepada parti,” katanya.

    Mohd Zaidy berkata, Allahyarham merupakan seorang yang sangat berjasa dalam UMNO dan sentiasa aktif berkhidmat memberi bantuan kepada rakyat khususnya di Bahagian Tampin.

    Muhammad Hafez sebelum ini pernah memegang beberapa jawatan dalam politik dan pertubuhan bukan kerajaan termasuk Pengerusi Belia 4B Pekan Gemas sejak 2004.

    Allayarham meninggalkan seorang isteri dan seorang anak perempuan.

    Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Bukit Masjid, Gemas sebelum zuhur.

    Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menerusi catatan dalam Facebooknya turut melahirkan rasa dukacita atas pemergian Allahyarham. – Bernama

  • Banyak dakwaan Edisi Siasat sengaja diada-adakan

    Banyak dakwaan Edisi Siasat sengaja diada-adakan

    KEBANYAKAN berita salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah oleh pengendali akaun Twitter Edisi Siasat @edisi_siasatmy di media sosial, adalah berita yang sengaja diada-adakan, kata Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

    Beliau berkata, akaun media sosial berkenaan dibuat bagi mewujudkan satu suasana sensasi dengan menyiarkan berita-berita mengenai penyelewengan dalam kalangan agensi kerajaan.

    “Sebanyak 13 kertas siasatan telah dibuka melibatkan akaun Twitter berkenaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengenal pasti individu yang berada di sebalik akaun media sosial tersebut,” katanya selepas menghadiri majlis pelancaran Kempen Pencegahan Jenayah Komersial (Jenayah Dalam Talian) 2021 di Kuala Lumpur, hari ini.

    Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai pendedahan pemilik akaun Twitter Edisi Siasat yang mendakwa segelintir pegawai kanan polis dipercayai terlibat masalah salah laku, selain mendakwa pengurusan tertinggi sebuah badan pencegahan rasuah melindungi sindiket jenayah dan terlibat dengan rasuah.

    Sebelum ini, PDRM menerima 11 laporan polis daripada individu yang dikaitkan dengan dakwaan kes salah guna kuasa dan rasuah, menerusi pendedahan akaun Twitter tersebut.

    Acryl Sani berkata, dakwaan melibatkan PDRM diserah kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, untuk disemak kebenarannya.

    Dalam perkembangan lain, beliau berkata, PDRM akan memastikan prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dipatuhi semua pihak.

    “Pada malam nanti, insya-Allah saya akan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka untuk mendengar taklimat daripada Ketua Polis Negeri, mengenai SOP dan gerak kerja bagi polis memastikan setiap panduan dilaksanakan sebaik mungkin, sepanjang tempoh PRN,” katanya.

    PRN Melaka bermula hari ini dengan proses penamaan calon dan tarikh mengundi ditetapkan pada 20 Nov depan. – BERNAMA

  • Penghantar makanan, pemandu ambulans antara 62 penagih dadah ditahan

    Penghantar makanan, pemandu ambulans antara 62 penagih dadah ditahan

    JABATAN Siasatan Jenayah Negeri (JSJN) Pulau Pinang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut
    menahan 62 individu dalam Op Sarang selepas terlibat kes penyalahgunaan dadah di sekitar daerah Timur Laut, Georgetown, hari ini. 

    Ketua JSJN Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, mereka terdiri daripada 59 lelaki dan tiga wanita berusia antara 21 hingga 60 tahun.

    Beliau memberitahu, turut ditahan seorang penghantar makanan berusia 39 tahun dan pemandu ambulans berusia 53 tahun.

    “Op Sarang yang bermula pukul 12 tengah malam tadi hingga pukul 3 petang ini digerakkan sekumpulan enam pegawai dan 31 anggota daripada JSJN Pulau Pinang serta IPD Timur Laut di bawah Program Jihad Dadah yang dilancarkan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah pada 18 Ogos lalu. 

    “Operasi ini dijalankan di sekitar kawasan Sungai Nibong; Bandar Baru Air Itam; Pulau Tikus dan Tanjung Tokong serta sekitar pusat bandar Georgetown. 

    “Antara yang ditahan dalam operasi itu ialah seramai lapan tokan jalanan serta masing-masing 27 orang yang memiliki dadah dan penagih,”  katanya dalam sidang akhbar, di Georgetown, hari ini. 

    Katanya, polis turut merampas dadah jenis heroin seberat 400 gram (g) bernilai RM14,000; 16.68g syabu (RM1,670) dan 0.67g ketamin (RM100) dengan nilai keseluruhan rampasan RM15,770. 

    Kebanyakan yang ditahan ini merupakan penagih tegar dan sudah beberapa kali ditahan polis, katanya. 

    “Sehubungan itu, kita akan meneruskan operasi sebegini pada masa depan dengan kerjasama agensi berkaitan seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK)  dalam memerangi kegiatan penyalahgunaan dadah dan memperkasa penguatkuasaan undang-undang,” katanya.

    Sementara itu, Mustafa Kamal berkata, polis Pulau Pinang sepanjang tahun ini setakat semalam telah melakukan sebanyak 27 Op Sarang dengan seramai 480 tangkapan. 

    Secara keseluruhan pula tambahnya, operasi pencegahan penyalahgunaan dadah lain turut berjaya menahan seramai 6,597 orang iaitu 1,723 pembekal dadah; memiliki dadah (3,594) dan penagih tegar (1,280) sejak awal tahun ini hingga semalam. 

  • Cermin kereta retak, orang baling batu dari atas jambatan

    Cermin kereta retak, orang baling batu dari atas jambatan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Polis mengesahkan menerima laporan berhubung tindakan individu tidak bertanggungjawab yang membaling batu dari atas sebuah jambatan, ke lebuh raya hingga mengakibatkan kerosakan terhadap cermin sebuah kereta seperti yang tular di media sosial sejak semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superitendan Rodzi Abu Hassan, kejadian itu berlaku di Jambatan Bandar Darul Aman di Kilometer 32.6 Lebuh Raya Utara Selatan, arah utara.

    “Satu laporan polis telah diterima dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti suspek kejadian kerana mempunyai unsur khianat.

    “Polis Kubang Pasu memandang serius hal ini dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Bilik Gerakan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu di talian 04-9176999,” katanya.

    Semalam, seorang pengguna Facebook dengan nama Nxzm Syafriel memuat naik klip video tik tok yang memaparkan rakaman ‘dashcam’ keretanya menunjukkan seorang individu tidak dikenali melemparkan beberapa ketul batu ke arah lebuh raya dari atas jambatan tersebut.

    Tindakan tersebut mengakibatkan cermin kereta berkenaan pecah manakala beberapa bahagian kereta kemek dengan Nxzm mendakwa dia perlu menanggung kerugian besar berikutan daripada kejadian itu.

    “Kejadian itu berlaku pada 6 Oktober 2021 pada pukul 12.53 tengah hari. Setibanya jambatan tersebut, kereta kami telah dilempar batu. Mohon jasa baik polis untuk ambil tindakan supaya kejadian sama tidak berulang.

    “Semua pihak diminta berhati-hati di kawasan itu sebab semasa kami singgah di kawasan tol untuk keluar ke Jitra, jurutol ada memberitahu bahawa kejadian sama telah terjadi banyak kali. Minta jasa baik PLUS untuk mengambil tindakan segera supaya kejadian sama tidak berulang atau memikirkan cara seperti memasang kamera litar tertutup di kawasan tersebut,” tulisnya di Facebook.

  • 16 PATI warga Indonesia ditahan tentera Malaysia

    16 PATI warga Indonesia ditahan tentera Malaysia

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SERAMAI 16 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia ditahan Tentera Darat Malaysia (TDM) berhampiran muara Pulau Kerengga, Teluk Ramunia, di Kota Tinggi, hari ini.

    Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam kenyataan memaklumkan, anggota petugas pemerhati telah mengesan bunyi bot berhampiran muara tersebut pada pukul 1 pagi.

    Katanya, kumpulan PATI warga Indonesia tersebut dikesan sedang turun dari bot dan menuju ke arah pantai sebelum TDM segera menghantar Tim Quick Reaction Force (QRF) bagi menjejakinya.

    “QRF melaksanakan serbuan pada jam 1.20 pagi dan berjaya menahan 16 PATI yang baru mendarat itu iaitu 13 lelaki dan tiga wanita berusia 19 hingga 46 tahun.

    “Mereka dipercayai baru saja tiba dan cuba memasuki negara ini menerusi jalan yang tidak sah,” jelasnya.

    Seramai 16 PATI warga Indonesia ditahan Tentera Darat Malaysia berhampiran muara Pulau Kerengga, Teluk Ramunia, di Kota Tinggi, hari ini.

    Tambah kenyataan itu, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM12,000 melibatkan RM2,925, matawang Rupiah Indonesia IDR15,184,420 (RM1,503) bersama-sama 13 buah telefon bimbit serta jam tangan pelbagai jenama.

    Kesemua PATI dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan serta saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia di Setia Tropika, Kempas, Johor Bahru.

    Laporan kejadian tersebut dibuat di Balai Polis Bayu Damai.

    “Pasukan meneruskan atur gerak Tim QRF dan Tim Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) serta bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI sekitar kawasan tangkapan,” katanya.

  • Tokan dadah ganas cuba tikam anggota polis

    Tokan dadah ganas cuba tikam anggota polis

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEMATA-MATA mahu mengelak daripada ditahan, seorang tokan dadah bertindak melampau apabila cuba menikam anggota polis di tepi jalan, Kampung Baru Tepi Laut, Kuala Sanglang dalam daerah Kubang Pasu, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supritenden Rodzi Abu Hassan berkata, percubaan suspek berusia 38 tahun itu bagaimanapun berjaya dihalang anggota berumur 31 tahun berkenaan.

    Namun katanya, anggota tersebut tetap mengalami kecederaan di belakang tapak tangan sebelah kanan.

    “Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 6.55 petang apabila sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu menahan sebuah kereta jenis Proton Iswara berwarna putih.

    “Setelah polis memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa dan mengarahkan suspek keluar dari kenderaan, suspek segera menghidupkan enjin kereta dan menggilis kaki anggota tersebut sebelum melanggar dua kenderaan milik anggota serbuan,” katanya.

    Bagi menyelamatkan diri, katanya, polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar kereta dipandu suspek.

    Keadaan itu katanya, menyebabkan kereta tersebut terbabas ke sawah.

    “Suspek keluar dari keretanya dan cuba melarikan diri. Keadaan itu menyebabkan berlaku pergelutan antara suspek dan anggota berkenaan.

    “Dalam keadaan itu, suspek mengeluarkan pisau dan cuba menikam anggota polis tersebut. Tindakan itu menyebabkan anggota polis berkenaan mengalami kecederaan di belakang tapak tangan kanan,” katanya.

    Tambahnya, anggota berkenaan kemudiannya dibawa ke Hospital Jitra sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar bagi menerima rawatan.

    “Suspek bagaimanapun berjaya ditangkap dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat dadah jenis syabu dalam poket seluarnya.

    “Semakan lanjut mendapati dia memiliki 10 rekod kesalahan lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. Ujian air kencing dijalankan mendapati dia positif methamphetamine,” katanya.

    Tambahnya, kes kini disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 bagi kesalahan dadah dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

    “Siasatan lanjut masih dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan Bilik Gerakan IPD Kubang Pasu di talian 04-9176999,” katanya.

  • Remaja lelaki maut, rakan parah dalam kemalangan

    Remaja lelaki maut, rakan parah dalam kemalangan

    Oleh RIZQI ZABIDI  

    SEORANG remaja lelaki maut manakala rakannya mengalami kecederaan parah apabila motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di simpang empat lampu isyarat Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) 4 di Kulim, Kedah, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 2.12 petang mengakibatkan mangsa, Mohammad Shaharuddin Shah Iran, 17, yang menunggang motosikal tersebut, menghembuskan nafas terakhir di lokasi kejadian.

    Katanya, pembonceng motosikal tersebut, Mohamad Daniel Haikal Kasturi, 17, pula mengalami kecederaan parah di kepala, dada dan patah kedua-dua kakinya.

    “Siasatan awal mendapati motosikal dinaiki kedua-dua remaja lelaki itu yang datang dari arah Kulim Utama menghala ke Lebuh Raya Butterworth Kulim (BKE) untuk pulang ke Penanga, Pulau Pinang, telah melanggar lampu isyarat merah.

    “Keadaan tu mengakibatkan motosikal tersebut telah dilanggar oleh kenderaan pacuan empat roda berkenaan yang datang dari arah Hospital Kulim,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    remaja lelaki maut
    Kenderaan pacuan empat roda yang terlibat dalam kemalangan bersama sebuah motosikal dinaiki dua remaja di KHTP, Kulim.

    Tambahnya, pemandu kenderaan pacuan empat roda itu yang berusia 45 tahun dan bekerja sebagai seorang mekanik bagaimanapun tidak cedera.

    “Semakan rakaman kamera litar tertutup di situ mengesahkan lampu isyarat di laluan motosikal tersebut, memang berwarna merah sewaktu kejadian itu berlaku.

    “Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kulim untuk dibedah siasat manakala mangsa yang cedera turut dihantar ke jabatan kecemasan hospital sama untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

    Menurutnya, kes tersebut masih disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • 26 ditahan berparti liar di kondo mewah

    26 ditahan berparti liar di kondo mewah

    REMAJA berusia 13 tahun merupakan antara 26 individu yang ditahan polis ketika sedang berhibur dalam parti liar di sebuah kondominium mewah yang disewa mereka di Georgetown, Pulau Pinang malam tadi.

    Malah, mereka sanggup berkongsi duit dengan bayaran RM30 bagi perempuan dan RM50 bagi lelaki untuk menyewa kondominium mewah berharga RM500 semalam itu semata-mata untuk berhibur.

    Bagaimanapun, keseronokan kesemua mereka yang terdiri daripada 15 lelaki dan 11 perempuan berusia antara 13 hingga 21 tahun itu terbantut selepas parti liar terbabit diserbu polis kira-kira pukul 1.30 pagi tadi.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, operasi itu dilakukan selepas polis menerima maklumat awam berhubung parti dengan alunan muzik kuat di kondominium terbabit.

    Sehubungan itu jelasnya, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang kemudiannya bertindak menyerbu kondominium mewah terbabit.

    “Siasatan awal mendapati kesemua mereka merupakan kenalan masing-masing dan menyewa Kondominium tersebut untuk sehari menerusi laman sosial untuk mengadakan parti liar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurut beliau, serbuan itu turut disertai sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Timur Laut.

    Katanya, hasil ujian air kencing yang dijalankan keatas semua peserta didapati kesemua mereka negatif dadah dan pihak polis turut merampas peralatan sistem audio yang digunakan untuk berparti.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (kesalahan kecuaian yang boleh menyebabkan jangkitan penyakit merbahaya) dan Peraturan 17(1) Peraturan Peraturan Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Negara) (No 2) 2021,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau berterima kasih kepada orang awam yang memberikan maklumat berkaitan parti liar berkenaan selain mengalu-alukan kerjasama sama orang ramai dalam menyampaikan kegiatan jenayah kepada pihak polis.