Oleh RIZQI ZABIDI

SEMATA-MATA mahu mengelak daripada ditahan, seorang tokan dadah bertindak melampau apabila cuba menikam anggota polis di tepi jalan, Kampung Baru Tepi Laut, Kuala Sanglang dalam daerah Kubang Pasu, semalam.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supritenden Rodzi Abu Hassan berkata, percubaan suspek berusia 38 tahun itu bagaimanapun berjaya dihalang anggota berumur 31 tahun berkenaan.

Namun katanya, anggota tersebut tetap mengalami kecederaan di belakang tapak tangan sebelah kanan.

“Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 6.55 petang apabila sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu menahan sebuah kereta jenis Proton Iswara berwarna putih.

“Setelah polis memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa dan mengarahkan suspek keluar dari kenderaan, suspek segera menghidupkan enjin kereta dan menggilis kaki anggota tersebut sebelum melanggar dua kenderaan milik anggota serbuan,” katanya.

Bagi menyelamatkan diri, katanya, polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar kereta dipandu suspek.

Keadaan itu katanya, menyebabkan kereta tersebut terbabas ke sawah.

“Suspek keluar dari keretanya dan cuba melarikan diri. Keadaan itu menyebabkan berlaku pergelutan antara suspek dan anggota berkenaan.

“Dalam keadaan itu, suspek mengeluarkan pisau dan cuba menikam anggota polis tersebut. Tindakan itu menyebabkan anggota polis berkenaan mengalami kecederaan di belakang tapak tangan kanan,” katanya.

Tambahnya, anggota berkenaan kemudiannya dibawa ke Hospital Jitra sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar bagi menerima rawatan.

“Suspek bagaimanapun berjaya ditangkap dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat dadah jenis syabu dalam poket seluarnya.

“Semakan lanjut mendapati dia memiliki 10 rekod kesalahan lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. Ujian air kencing dijalankan mendapati dia positif methamphetamine,” katanya.

Tambahnya, kes kini disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 bagi kesalahan dadah dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan Bilik Gerakan IPD Kubang Pasu di talian 04-9176999,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here