Oleh RIZQI ZABIDI

Polis mengesahkan menerima laporan berhubung tindakan individu tidak bertanggungjawab yang membaling batu dari atas sebuah jambatan, ke lebuh raya hingga mengakibatkan kerosakan terhadap cermin sebuah kereta seperti yang tular di media sosial sejak semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superitendan Rodzi Abu Hassan, kejadian itu berlaku di Jambatan Bandar Darul Aman di Kilometer 32.6 Lebuh Raya Utara Selatan, arah utara.

“Satu laporan polis telah diterima dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti suspek kejadian kerana mempunyai unsur khianat.

“Polis Kubang Pasu memandang serius hal ini dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Bilik Gerakan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu di talian 04-9176999,” katanya.

Semalam, seorang pengguna Facebook dengan nama Nxzm Syafriel memuat naik klip video tik tok yang memaparkan rakaman ‘dashcam’ keretanya menunjukkan seorang individu tidak dikenali melemparkan beberapa ketul batu ke arah lebuh raya dari atas jambatan tersebut.

Tindakan tersebut mengakibatkan cermin kereta berkenaan pecah manakala beberapa bahagian kereta kemek dengan Nxzm mendakwa dia perlu menanggung kerugian besar berikutan daripada kejadian itu.

“Kejadian itu berlaku pada 6 Oktober 2021 pada pukul 12.53 tengah hari. Setibanya jambatan tersebut, kereta kami telah dilempar batu. Mohon jasa baik polis untuk ambil tindakan supaya kejadian sama tidak berulang.

“Semua pihak diminta berhati-hati di kawasan itu sebab semasa kami singgah di kawasan tol untuk keluar ke Jitra, jurutol ada memberitahu bahawa kejadian sama telah terjadi banyak kali. Minta jasa baik PLUS untuk mengambil tindakan segera supaya kejadian sama tidak berulang atau memikirkan cara seperti memasang kamera litar tertutup di kawasan tersebut,” tulisnya di Facebook.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here