Oleh RAHIMI MOHAMAD

KONTRAKTOR selenggaraan jalan diingatkan untuk memastikan setiap kon penghadang jalan yang digunakan perlu diletakkan pemberat.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memberi peringatan itu disebabkan pihaknya menerima laporan seorang penunggang motosikal terjatuh akibat terlanggar kon yang bergerak secara tiba-tiba pada pukul 2 pagi, beberapa hari lalu.

Katanya, akibat daripada perlanggaran itu, penunggang motosikal berusia 28 tahun berkenaan terjatuh sebelum hampir dirempuh sebuah lori di Jalan Kempas Lama-Seelong.

“Sehubungan itu, semua kontraktor terlibat dalam kerja penyelenggaraan jalan raya, pastikan kon yang diletak mesti berisi sama ada air atau pasir, agar kon itu tidak bergerak dan statik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Operasi Bersepadu Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Johor di Taman Impian Emas, Johor Bahru, hari ini.

Pada 5 Oktober lalu, tular sebuah video di media sosial berdurasi 34 saat yang dirakam sebuah kereta lain memaparkan penunggang tersebut berhenti selepas melanggar kon yang jatuh di tepi jalan dalam penyelenggaraan.

Dalam pada itu, Ayob Khan turut mengingatkan kontraktor untuk membuat pemakluman kepada Ketua Polis Daerah bagi sebarang kerja penyelenggaraan jalan yang memerlukan diletakkan kon.

“Pemakluman perlu dibuat dan lepas ini kita akan ambil tindakan kepada pihak yang cuai.

“Saya tidak mahu bila sudah berlaku sesuatu insiden baru hendak ambil tindakan, sudah banyak insiden yang berlaku sebelum ini dan ia perlu dijadikan pengajaran,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here