Category: Jenayah

  • Dua maut termasuk pejalan kaki terpelanting dilanggar kereta

    Dua maut termasuk pejalan kaki terpelanting dilanggar kereta

    SEORANG pejalan kaki terpelanting dan meninggal dunia selepas dilanggar sebuah kereta dalam kemalangan di Jalan Bukit Putera, Setiu, pukul 7.10 malam tadi.

    Selain pejalan kaki itu, Azuka Muhamad, 46, seorang remaja yang membonceng basikal elektrik, Muhammad Adif Danial Azman, 10, turut maut.

    Sementara sepupu kepada Muhammad Adif Danial yang menunggang basikal elektrik tersebut, Ahmad Syahiran Saiful Razali, 13, cedera parah.

    Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, kemalangan melibatkan tiga buah kereta dan sebuah basikal elektrik.

    “Ketika kejadian, Muhammad Adif Danial dan Ahmad Syahiran dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Bukit Putera selepas menyaksikan pertandingan bola sepak berhampiran rumah mereka.

    “Kejadian dipercayai apabila Perodua Myvi dipandu lelaki berusia 36 tahun dalam perjalanan dari arah Telaga Papan menghala Bukit Putera,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, kereta terbabit dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar basikal elektrik dinaiki dua sepupu terbabit.

    “Kereta turut melanggar sebuah Proton Wira yang diparkir di bahu jalan sehingga menyebabkan kenderaan sama bergerak dan melanggar seorang lagi mangsa yang juga pejalan kaki.

    “Kejadian itu menyebabkan pejalan kaki terpelanting ke atas Proton Persona yang diparkir di bahu jalan,” katanya.

    Afandi berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk bedah siasat, manakala mangsa parah dirawat di hospital sama.

    Beliau berkata, pemandu Perodua Myvi tidak mengalami sebarang kecederaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Lelaki maut, seorang lagi cedera jatuh dari buaian ‘fun fair’

    Lelaki maut, seorang lagi cedera jatuh dari buaian ‘fun fair’

    SEORANG lelaki maut manakala rakannya cedera selepas terjatuh dari buaian berpusing di tapak pesta ria (fun fair) berhampiran pusat beli-belah di Cheras Selatan, Kajang, tengah malam tadi.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintendan Mohd. Nasir Drahman, pekerja tapak pesta ria berkenaan memaklumkan kejadian tersebut kepada pihak polis pada jam 12.05 tengah malam.

    “Saksi memaklumkan dua lelaki terjatuh dari buaian permainan fun fair.

    “Salah seorang mangsa berusia 39 tahun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi. Seorang lagi mangsa berusia 30-an mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd. Nasir berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras untuk bedah siasat, manakala mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan.

    Katanya, siasatan di lokasi mendapati tiada unsur jenayah dan setakat ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

    “Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar kejadian sama ada terdapat unsur kecuaian pada pihak pemilik fun fair mahupun mangsa sendiri,” katanya.

    Beliau meminta individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Mohd Emran Mohd Noor di talian 013-7638512 atau balai polis berdekatan.

  • Dua PATI sanggup melarikan diri berenang ke laut

    Dua PATI sanggup melarikan diri berenang ke laut

    POLIS berjaya menahan dua lagi tahanan yang melarikan diri dari Pusat Tahanan Sementara (PTS) di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Kimanis, Sabah, hari ini.

    Perkembangan itu menjadikan jumlah keseluruhan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan setakat ini berjumlah sembilan orang.

    Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintenden Batholomew Ak Umpit berkata, lima lagi PATI masih diburu dikenali sebagai Nadzwin Usma, 24; Herman Bilau dan Tuliang Maddalani masing-masing berusia 35 tahun; Pertama Lapanji, 40, serta Husin Japar, 43.

    “Menurut maklumat awam, Pertama dan Tuliang berjaya dikesan namun mereka bertindak melarikan diri dengan berenang ke laut.

    “Kita percaya mereka masih berada dalam kawasan Papar dan kawasan pencarian juga masih berada di dalam daerah ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

    Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung terus dengan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar di talian 088-912222 dan 088-916064 (Hotline).

    Media semalam melaporkan, seramai 14 PATI warga Filipina bertindak melarikan diri kira-kira jam 3.30 pagi dengan memanjat bumbung tandas dan memotong pagar depoh berkenaan.

    Bagaimanapun, tujuh daripadanya berjaya ditahan semula seawal pukul 5 pagi sehingga pukul 10.45 pagi kira-kira dua kilometer dari depoh berkenaan.

  • Lelaki ceroboh pusat jagaan warga emas cabul nenek

    Lelaki ceroboh pusat jagaan warga emas cabul nenek

    Oleh: RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG lelaki ditangkap selepas menceroboh pusat jagaan orang tua untuk melakukan perkara terkutuk terhadap seorang warga emas berusia di Rumah Kebajikan Orang Tua di Seri Alam, tengah malam semalam.

    Dalam kejadian pukul 12.30 tengah malam, suspek yang merupakan pencari besi buruk itu telah menceroboh masuk ke pusat jagaan berkenaan melalui tingkap di tingkat bawah yang tidak bertutup.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian itu oleh pemilik rumah kebajikan orang tua tersebut setelah dia dimaklumkan pekerja pada pukul 8 pagi hari sama.

    Katanya, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) terlihat seorang lelaki tempatan telah menceroboh masuk dan melakukan perkara tidak senonoh terhadap mangsa wanita tempatan berusia 71 tahun yang merupakan penghuni di situ.

    “Berdasarkan rakaman CCTV yang diperolehi, suspek berusia 45 tahun itu ditahan di kawasan sekitar Desa Cemerlang di sini kira-kira pukul 8 malam hasil maklumat risikan.

    “Penahanan suspek itu dilakukan susulan satu laporan polis yang dibuat oleh pemilik rumah kebajikan orang tua berkenaan yang mendakwa pihaknya telah merakam satu perbuatan memecah masuk ke premis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd. Sohaimi berkata, penahanan suspek itu turut membawa kepada penemuan beberapa barangan termasuk pakaian yang dipercayai digunakan suspek ketika melakukan kesalahan berkenaan.

    “Berdasarkan barangan dirampas dan rakaman CCTV yang diperolehi, polis mendapati ia adalah sama dengan pakaian digunakan suspek ketika kejadian itu.

    “Semakan rekod lampau juga mendapati suspek turut mempunyai satu empat rekod jenayah termasuk tiga membabitkan dadah,” katanya.

    Suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari sehingga Rabu depan bagi membantu siasatan.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan pencerobohan dan Seksyen 376 kanun sama.

  • Kotor, menjijikkan! Kilang kicap, roti diarah tutup

    Kotor, menjijikkan! Kilang kicap, roti diarah tutup

    KITAR semula botol kicap untuk berjimat tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan pelbagai objek asing ditemukan di dalam tong perapan kacang soya.

    Itu antara kesalahan yang dikesan ketika pemeriksaan menerusi Ops Bersih oleh sekumpulan pegawai Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Jabatan Kesihatan Pulau Pinang (JKNPP) di sebuah kilang pemprosesan kicap di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

    Malah, kilang itu yang sudah beroperasi sejak 50 tahun lalu turut menggunakan tong gentian kaca yang sama sejak 20 tahun lalu yang sudah terlalu buruk dan mula mereput untuk proses perapan kacang soya.

    Menurut Pegawai Kesihatan Persekitaran BKKM JKNPP, Mohd. Wazir Khalid, pemeriksaan juga mendapati, tong gentian kaca yang digunakan sejak 20 tahun lalu mulai mereput ekoran berada di tempat terbuka selain sudah terdedah lama kepada cahaya matahari.

    Lebih menjijikkan katanya, pihaknya turut menjumpai daun dan bulu binatang di dalam tong perapan kacang soya malah tidak menolak kemungkinan terdapat najis burung semasa proses pemerapan kacang soya.

    Premis dikenakan kompaun kerana tidak mengikut SOP ditetapkan dan pelbagai objek asing ditemukan di dalam tong perapan kacang soya.

    “Kita juga mendapati terdapat kulat di atas pelapik pengering kacang soya yang dikhuatiri boleh menyebabkan keracunan makanan,” katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi itu hari ini.

    Sementara itu dalam serbuan di sebuah kilang roti di Raja Uda, Butterworth pula, pasukan berkenaan mendapati terdapat dulang roti yang kotor dan berkerak malah turut dipenuhi tahi tikus.

    Sehubungan itu kata Mohd. Wazir, kilang roti terbabit turut dikenakan kompaun kerana gagal mematuhi Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM).

    “Kita juga mengeluarkan arahan menutup kedua-dua premis terbabit selama dua minggu bermula hari ini mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983,” katanya.

    Tambah beliau, secara keseluruhan juga sebanyak sembilan kompaun berjumlah kira-kira RM9,000 dikeluarkan ke atas kedua-dua premis terbabit atas pelbagai kesalahan.

  • Dadah bawah timbunan ikan sejuk beku diseludup guna MASKargo ke Hong Kong

    Dadah bawah timbunan ikan sejuk beku diseludup guna MASKargo ke Hong Kong

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    POLIS membongkar kegiatan pengedaran dadah yang menggunakan taktik menyembunyikan bahan terlarang terbabit dibawah timbunan ikan sejuk beku seberat 1.3 tan dalam empat serbuan berasingan pada Sabtu lalu.

    Empat serbuan terbabit yang dijalankan di Kajang, Gelang Patah dan Pekan Nanas menyaksikan seramai 12 individu termasuk seorang wanita berusia antara 36 hingga 53 tahun berjaya ditahan.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, sindiket antarabangsa yang telah beroperasi sejak akhir tahun lalu itu mensasarkan pasaran Hong Kong.

    “Modus operandi yang digunakan adalah dengan menyembunyikan dadah yang dibungkus nipis sebelum diletakkan di bahagian bawah tong ikan sejuk beku untuk dieksport menggunakan MASKargo ke Hong Kong.

    Rampasan yang melibatkan 20.41 kilogram dadah jenis heroin bernilai RM1.9 juta itu merupaka kali kesembilan membuat penghantaran ke Hong Kong

    “Berdasarkan siasatan, rampasan yang melibatkan 20.41 kilogram dadah jenis heroin bernilai RM1.9 juta itu merupakan kali kesembilan sindiket berkenaan membuat penghantaran ke Hong Kong,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini.

    Turut hadir, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

    Razarudin berkata, walaupun jumlah rampasan yang dibuat kecil, namun sindiket ini merupakan pengedar dadah dengan rangkaian antarabangsa yang turut mendapat permintaan daripada sindiket lain di Australia.

    “Modus operandi ini juga merupakan yang pertama kali dikesan dengan membawa dadah masuk melalui sempadan utara tanah air, sebelum dibawa ke sebuah rumah di Pekan Nanas, Pontian untuk dibungkus dan dihantar ke Hong Kong melalui MASKargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

    “Dadah berkenaan juga dibungkus dengan bungkusan nipis seberat antara 270 gram hingga 275 gram setiap satu. Teknik berkenaan membolehkan mereka melepasi saringan pihak MASKargo kerana sukar dikesan.

    “Pembekal dadah bagi sindiket ini juga telah dikenal pasti dan siasatan lanjut masih berjalan,” ujarnya yang turut memaklumkan kesemua 12 suspek itu kini direman selama tujuh hari hingga 13 November ini untuk membantu siasatan.

    Dadah berkenaan juga dibungkus dengan bungkusan nipis seberat antara 270 gram hingga 275 gram setiap satu

    Tambah beliau, sindiket berkenaan membuat aktiviti tersebut dengan menyalahgunakan lesen import sebuah syarikat yang berdaftar untuk menjalankan kegiatan import ikan sejuk beku.

    “Siasatan lanjut dibuat terhadap suspek mendapati tujuh daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau, manakala seorang daripada mereka didapati positif dadah jenis methamphetamine.

    “Dua daripada mereka juga merupakan ahli kongsi gelap yang masih bergiat aktif khususnya di negeri ini,” ujarnya.

    Selain itu, polis turut merampas beberapa aset sindiket terbabit antaranya kenderaan, wang tunai, wang dalam akaun, barang kemas dan jam tangan yang dianggarkan bernilai RM710,851.98.

  • Syabu disorok dalam sofa untuk dihantar ke Malaysia

    Syabu disorok dalam sofa untuk dihantar ke Malaysia

    PIHAK berkuasa Thailand merampas 210 kilogram (kg) methamphetamine yang dijumpai disembunyikan di dalam sofa untuk dihantar ke Malaysia.

    Setiausaha Agung Biro Pencegahan Narkotik (NCB) Wichai Chaimongkol berkata, pegawai Seaport Interdiction Task Force (SITF), pada Isnin, menjumpai 210 bungkusan uncang teh Cina yang disorok di dalam 19 sofa.

    Bertindak atas maklumat, beliau berkata, SITF mengadakan operasi bersama dan turut menahan seorang wanita rakyat Thailand berusia 26 tahun.

    “Dadah itu dibungkus dalam 210 uncang teh Cina, setiap satu seberat satu kg dan disembunyikan dalam sembilan peti kayu kecil dan satu peti kayu besar yang mengandungi sofa,” katanya pada sidang media di Bangkok, semalam.

    Beliau berkata, suspek dipercayai akan menghantar dadah itu kepada sebuah syarikat logistik swasta dan kemudiannya dihantar ke Malaysia.

    Media tempatan melaporkan suspek mendakwa dia dibayar 35,000 baht (RM4,400) untuk menghantar sofa berkenaan.

    Sementara itu, Wichai berkata pihak berkuasa sudah merampas pelbagai jenis dadah membabitkan 68 kes sejak Januari tahun ini.

    Beliau berkata, dadah itu termasuk 204.14 kg methamphetamine , 21.6 kg heroin, 10.02 kg ganja, 515 kg ketamin, 730gm kokain, 990 pil ekstasi dan 6,040 pil methamphetamine. – Bernama

  • 124 dipercayai terlibat kongsi gelap ditahan di pusat KTV

    124 dipercayai terlibat kongsi gelap ditahan di pusat KTV

    KESERONOKAN seramai 124 individu yang dipercayai sedang meraikan sambutan hari jadi di sebuah pusat karaoke (KTV) di Pulau Tikus, Pulau Pinang terbantut apabila premis tersebut diserbu sepasukan polis kerana disyaki terlibat dalam kegiatan kongsi gelap dan dadah.

    Operasi hasil risikan polis dan maklumat awam itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian Judi, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7), IPK Pulau Pinang bersama Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Timur Laut kira-kira pukul 1 pagi tadi.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Mohd. Ra’ais, kesemua yang ditahan termasuk beberapa warga asing itu berumur antara 15 hingga 70 tahun.

    Jelasnya, ketika serbuan mereka yang terdiri daripada 99 lelaki dan 25 wanita sedang leka berhibur dengan alunan muzik yang kuat bagi meraikan sambutan hari jadi salah seorang pelanggan di premis tersebut.

    “Pemeriksaan juga mendapati 26 daripada mereka disyaki mempunyai tatu ahli kumpulan kongsi gelap.

    “Hasil ujian air kencing yang dijalankan ke atas 124 individu yang ditahan mendapati 21 daripada mereka positif pelbagai jenis dadah,” katanya menerusi kenyataan di Facebook PDRM Pulau Pinang hari ini.

    Tambah Rahimi, kes itu disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Kesalahan Kecuaian yang boleh menyebabkan jangkitan penyakit merbahaya); Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 (Kesalahan menganggotai pertubuhan yang menyalahi undang-undang) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 (Kesalahan melindungi atau menggaji Pendatang Asing Tanpa Izin).

    Jelasnya, kesemua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk tindakan lanjut.

    Dalam pada itu, beliau berterima kasih kepada orang awam atas maklumat yang disalurkan dan mengalu-alukan kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat kepada pihak polis.

    “Tindakan tegas tanpa teragak-agak akan diambil ke atas mana-mana individu yang melanggari undang-undang,” katanya.

  • RM680,276 lesap ditipu rakan baik sendiri

    RM680,276 lesap ditipu rakan baik sendiri

    SEORANG ahli perniagaan mendakwa kerugian RM680,276 selepas melabur dalam projek perumahan tidak wujud yang diperkenalkan rakan baiknya, tiga tahun lepas.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, wanita berusia 42 tahun itu berkata, suspek yang juga seorang wanita mendakwa projek itu dilaksanakan di Ulu Tiram, Johor.

    “Mangsa mendakwa mempercayai suspek kerana sering berkunjung ke rumahnya pada awal perkenalan mereka pada 2017 sebelum mula bercerita mengenai adik perempuannya yang menguruskan projek perumahan pada pertengahan 2018.

    “Selepas mendengar penerangan suspek, mangsa bersetuju untuk melabur sebanyak RM780,276 yang dimasukkan ke beberapa akaun diberikan suspek secara berperingkat antara Jun hingga Ogos 2018,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Wazir berkata, mangsa mendakwa hanya menerima pulangan sebanyak RM100,000 yang dibayar sekitar 2019, sebelum suspek memaklumkan individu yang menjalankan projek perumahan itu telah meninggal dunia.

    Sehubungan itu, ahli perniagaan berkenaan meminta supaya wang modalnya dipulangkan, namun suspek yang juga rakan baik mangsa dikatakan tidak mengendahkan permintaan tersebut.

    “Pada awal bulan ini, suspek dikatakan telah memarahi mangsa untuk tidak lagi meminta wang atau suspek akan membunuh diri dan mangsa akan dipersalahkan atas kematian itu,” katanya.

    Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Karak, Bentong semalam dan siasatan lanjut mengenai kes itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – BERNAMA

  • 27 kru selamat selepas tiga bot barter trade karam, hampir tenggelam

    27 kru selamat selepas tiga bot barter trade karam, hampir tenggelam

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 27 kru terselamat selepas dua buah bot barter trade yang dinaiki karam manakala satu lagi hampir tenggelam disebabkan cuaca buruk di tiga lokasi berasingan sekitar perairan Pulau Pisang, Batu Pahat, semalam.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Zon Maritim Batu Pahat menerusi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima panggilan kejadian tersebut daripada sebuah syarikat kalal pada pukul 11 pagi.

    “MRSC Johor Bahru menerima panggilan daripada ejen bot barter trade terbabit yang memaklumkan tiga buah bot barter trade syarikatnya iaitu KLM Budiman, KLM Alam Makmur dan KLM Firman Jaya 3 telah mengalami kecemasan di laut.

    “Susulan itu pihak maritim mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat pada jam 11.30 pagi bagi menjejaki tiga buah bot barter trade itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, pada pukul 12.27 tengah hari, MRSC Johor Bahru menerima maklumat daripada pihak ejen kapal itu yang memaklumkan KLM Budiman telah dijumpai dan hampir tenggelam pada kedudukan 8.1 batu nautika Tanjung Laboh.

    Jelasnya, bot barter trade itu ditemukan sebuah kapal kargo yang berada berhampiran dan kesemua 10 kru warga Indonesia tersebut dilaporkan selamat.

    Beliau berkata, sekitar pukul 12.57 tengah hari, MRSC Johor Bahru menerima pula maklumat daripada Jabatan Laut Wilayah Selatan mengenai penemuan tujuh kru KLM Alam Makmur oleh sebuah kapal pasir pada kedudukan 7.4 batu nautika barat daya Pulau Pisang.

    “KLM Alam Makmur dilaporkan telah karam di lokasi yang tidak diketahui kedudukannya dan disyaki akibat cuaca buruk,” katanya.

    Sementara pada pukul 3.45 petang katanya, MRSC Johor Bahru menerima maklumat mengenai 10 kru KLM Firman Jaya 3 telah diselamatkan oleh sebuah bot barter trade berhampiran dan telah dibawa ke Tanjung Balai, Indonesia.

    “KLM Firman Jaya 3 juga telah karam di lokasi yang tidak diketahui kedudukannya berikutan cuaca buruk,” ujarnya.

    Tiga buah bot barter iaitu KLM Budiman, KLM Alam Makmur dan KLM Firman Jaya 3 telah mengalami kecemasan di laut

    Kesemua 27 kru tiga bot barter trade itu katanya, telah berjaya diselamatkan tanpa melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

    Operasi tersebut ditamatkan pada pukul 5.30 petang semalam dan maritim Johor merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap semua agensi serta komuniti yang terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa.