KITAR semula botol kicap untuk berjimat tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan pelbagai objek asing ditemukan di dalam tong perapan kacang soya.

Itu antara kesalahan yang dikesan ketika pemeriksaan menerusi Ops Bersih oleh sekumpulan pegawai Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Jabatan Kesihatan Pulau Pinang (JKNPP) di sebuah kilang pemprosesan kicap di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

Malah, kilang itu yang sudah beroperasi sejak 50 tahun lalu turut menggunakan tong gentian kaca yang sama sejak 20 tahun lalu yang sudah terlalu buruk dan mula mereput untuk proses perapan kacang soya.

Menurut Pegawai Kesihatan Persekitaran BKKM JKNPP, Mohd. Wazir Khalid, pemeriksaan juga mendapati, tong gentian kaca yang digunakan sejak 20 tahun lalu mulai mereput ekoran berada di tempat terbuka selain sudah terdedah lama kepada cahaya matahari.

Lebih menjijikkan katanya, pihaknya turut menjumpai daun dan bulu binatang di dalam tong perapan kacang soya malah tidak menolak kemungkinan terdapat najis burung semasa proses pemerapan kacang soya.

Premis dikenakan kompaun kerana tidak mengikut SOP ditetapkan dan pelbagai objek asing ditemukan di dalam tong perapan kacang soya.

“Kita juga mendapati terdapat kulat di atas pelapik pengering kacang soya yang dikhuatiri boleh menyebabkan keracunan makanan,” katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi itu hari ini.

Sementara itu dalam serbuan di sebuah kilang roti di Raja Uda, Butterworth pula, pasukan berkenaan mendapati terdapat dulang roti yang kotor dan berkerak malah turut dipenuhi tahi tikus.

Sehubungan itu kata Mohd. Wazir, kilang roti terbabit turut dikenakan kompaun kerana gagal mematuhi Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM).

“Kita juga mengeluarkan arahan menutup kedua-dua premis terbabit selama dua minggu bermula hari ini mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983,” katanya.

Tambah beliau, secara keseluruhan juga sebanyak sembilan kompaun berjumlah kira-kira RM9,000 dikeluarkan ke atas kedua-dua premis terbabit atas pelbagai kesalahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here