Usah salahkan PAS, UMNO yang jadi punca masalah

Tun Faisal UMNO PAS MN Veteran PAS UMNO Muafakat Nasional Zahid Hamidi
PAS UMNO

RATA-RATA ahli dan penyokong UMNO menuduh PAS membelakangkan parti itu apabila memilih untuk bersama Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Tidak kurang juga yang menghamburkan kata-kata kesat dalam media sosial terhadap sekutu mereka dalam Muafakat Nasional (MN) itu.

Memang tidak wajar mereka berbuat demikian kerana yang merosakkan semangat kerjasama UMNO-PAS dalam MN adalah pemimpin-pemimpin UMNO sendiri.

Sebelum kempen PRN Melaka bermula, pemimpin-pemimpin PAS telah berulang kali menyeru UMNO agar mencari jalan penyelesaian untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru.

Malangnya, pemimpin-pemimpin UMNO masih bersikap bongkak dan ego menolak sebarang kerjasama yang melibatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN).

Mereka seolah-olah terlalu yakin bahawa Barisan Nasional (BN) yang didominasi UMNO mampu beroleh majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka tanpa bantuan daripada parti-parti Melayu yang lain.

UMNO mungkin terlupa bahawa pemimpin-pemimpin parti itu yang menjadi punca krisis politik Melaka yang mencetuskan PRN dalam situasi pandemik COVID-19 belum reda sepenuhnya.

Mereka yang bertelagah sesama sendiri sehingga menyebabkan kerajaan negeri Melaka pimpinan UMNO tumbang.

Rakyat Melaka ramai yang mengeluh kerana mereka turut diheret dalam kancah krisis politik yang disebabkan oleh UMNO dan berazam untuk menghukum parti itu pada PRN yang berlangsung 20 November ini.

Ahli-ahli dan penyokong UMNO sepatutnya membuka mata seluas-luasnya bahawa sikap angkuh yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin mereka menyebabkan PAS tidak mempunyai pilihan lain.

Tambahan pula struktur hubungan antara PAS dan UMNO adalah agak longgar berbanding keanggotaan parti Islam itu yang lebih formal dalam PN yang telah didaftar secara rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

UMNO juga yang mengumumkan bahawa BN akan bertanding di kesemua 28 kerusi DUN Melaka ketika PAS sedang berusaha merintis jalan perdamaian antara UMNO dan Bersatu.

Namun, ahli-ahli dan penyokong tegar UMNO nampaknya sudah buta mata dan hati sehingga tidak dapat melihat kepincangan yang berpunca daripada kelemahan pucuk pimpinan parti sendiri.

Mereka mengambil jalan mudah dengan menyalahkan PAS dan Bersatu sebagai punca yang menyebabkan pertembungan tiga penjuru atau lebih di semua kerusi.

Mungkin mereka akan sedar hakikat yang pahit itu apabila UMNO / BN kalah teruk pada 20 November ini.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *