Oleh RAHIMI MOHAMAD
POLIS membongkar kegiatan pengedaran dadah yang menggunakan taktik menyembunyikan bahan terlarang terbabit dibawah timbunan ikan sejuk beku seberat 1.3 tan dalam empat serbuan berasingan pada Sabtu lalu.
Empat serbuan terbabit yang dijalankan di Kajang, Gelang Patah dan Pekan Nanas menyaksikan seramai 12 individu termasuk seorang wanita berusia antara 36 hingga 53 tahun berjaya ditahan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, sindiket antarabangsa yang telah beroperasi sejak akhir tahun lalu itu mensasarkan pasaran Hong Kong.
“Modus operandi yang digunakan adalah dengan menyembunyikan dadah yang dibungkus nipis sebelum diletakkan di bahagian bawah tong ikan sejuk beku untuk dieksport menggunakan MASKargo ke Hong Kong.

“Berdasarkan siasatan, rampasan yang melibatkan 20.41 kilogram dadah jenis heroin bernilai RM1.9 juta itu merupakan kali kesembilan sindiket berkenaan membuat penghantaran ke Hong Kong,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.
Razarudin berkata, walaupun jumlah rampasan yang dibuat kecil, namun sindiket ini merupakan pengedar dadah dengan rangkaian antarabangsa yang turut mendapat permintaan daripada sindiket lain di Australia.
“Modus operandi ini juga merupakan yang pertama kali dikesan dengan membawa dadah masuk melalui sempadan utara tanah air, sebelum dibawa ke sebuah rumah di Pekan Nanas, Pontian untuk dibungkus dan dihantar ke Hong Kong melalui MASKargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
“Dadah berkenaan juga dibungkus dengan bungkusan nipis seberat antara 270 gram hingga 275 gram setiap satu. Teknik berkenaan membolehkan mereka melepasi saringan pihak MASKargo kerana sukar dikesan.
“Pembekal dadah bagi sindiket ini juga telah dikenal pasti dan siasatan lanjut masih berjalan,” ujarnya yang turut memaklumkan kesemua 12 suspek itu kini direman selama tujuh hari hingga 13 November ini untuk membantu siasatan.

Tambah beliau, sindiket berkenaan membuat aktiviti tersebut dengan menyalahgunakan lesen import sebuah syarikat yang berdaftar untuk menjalankan kegiatan import ikan sejuk beku.
“Siasatan lanjut dibuat terhadap suspek mendapati tujuh daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau, manakala seorang daripada mereka didapati positif dadah jenis methamphetamine.
“Dua daripada mereka juga merupakan ahli kongsi gelap yang masih bergiat aktif khususnya di negeri ini,” ujarnya.
Selain itu, polis turut merampas beberapa aset sindiket terbabit antaranya kenderaan, wang tunai, wang dalam akaun, barang kemas dan jam tangan yang dianggarkan bernilai RM710,851.98.

Leave a Reply