Category: Jenayah

  • Sedia siasat laporan pekerja asing dipukul polis-Ayob Khan

    Sedia siasat laporan pekerja asing dipukul polis-Ayob Khan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS sedia menyiasat laporan artikel berita Reuters yang mendakwa seorang bekas pekerja ATA IMS Bhd. didakwa dipukul polis Jun lalu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya mengambil maklum kejadian tersebut namun sehingga hari ini tiada sebarang laporan polis dibuat.

    “Tiada laporan polis dibuat berkenaan seorang pekerja syarikat tersebut dipukul di balai polis semasa disiasat tentang perkongsian maklumat mengenai keadaan kilang tempatnya bekerja sepertimana dilaporkan.

    “Polis Johor akan menjalankan siasatan sekiranya wujud apa yang dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Kelmarin Reuters melaporkan, pegawai syarikat berkenaan membawa seorang pekerja warga Nepal ke sebuah balai polis untuk berkongsi maklumat tentang keadaan di kilang berkenaan.

    Pekerja asing tersebut yang bimbang dan takut kemudian melarikan diri dari Malaysia selepas kejadian berkenaan dan pengalaman semasa disoal siasat itu kemudian diceritakan kepada peguam Dyson Manufacturing Sdn. Bhd.

    Reuters sebelum ini melaporkan Dyson Operations Pte Ltd dan Dyson Manufacturing Sdn Bhd telah menamatkan kontrak dengan syarikat penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS), ATA IMS berikutan audit terhadap amalan buruh yang diterima.

    Menerusi artikel berita itu memaklumkan bekas pekerja ATA IMS itu yang ditemu bual, mendakwa telah dibawa ke balai polis untuk disoal siasat sebelum mendakwa dipukul pihak polis dan insiden tersebut dimaklumkan kepada aktivis sosial.

    Menurut ATA IMS dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada 25 November lepas, Lembaga Pengarahnya mengambil perhatian mengenai artikel berita itu dan rujukan telah dibuat membabitkan penamatan tiga kontrak dengan anak syarikat milik penuhnya, ATA Industrial (M) Sdn Bhd (ATAIM) yang berkuat kuasa 1 Jun 2022 serta audit amalan buruh syarikat.

  • Langgar kereta peronda polis elak ditangkap

    Langgar kereta peronda polis elak ditangkap

    CUBAAN seorang penunggang motosikal untuk melarikan diri daripada ditahan polis gagal apabila terlibat kemalangan di Jalan Lingkaran Tengah 2, Kampung Pasir, Ampang semalam.

    Dalam kejadian pada pukul 11.40 malam, lelaki berkenaan melanggar sebuah kereta peronda polis jenis Proton yang mengejarnya.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian berlaku semasa anggota polis yang memandu kereta peronda itu di Taman Melawati terserempak suspek yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dalam keadaan mencurigakan.

    Menurutnya, pemandu kereta peronda polis menyalakan lampu ‘beacon light’ sebagai tanda amaran dan mengarahkan penunggang motosikal itu berhenti untuk pemeriksaan.

    “Bagaimanapun lelaki tersebut bertindak melarikan diri dengan menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya secara zig zag.

    “Polis terus mengekorinya sejauh 500 meter sebelum dia mengubah haluan secara tiba-tiba dan terus melanggar bahagian hadapan sebelah kanan kereta peronda,” katanya melalui kenyataan, hari ini.

    Mohamad Farouk berkata, akibat pelanggaran itu lelaki tersebut terjatuh di atas jalan dan mengalami kecederaan di bahagian muka serta kepala.

    “Lelaki itu dibawa ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut dan hasil semakan lanjut mendapati dia mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kes dadah,” katanya.

    Katanya, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Inspektor Navine Gunasegaran di talian 012-6436327.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Kes rogol meningkat 8.1 peratus di Kelantan

    Kes rogol meningkat 8.1 peratus di Kelantan

    SEBANYAK 96 kes dilaporkan di Kelantan setakat ini dalam tahun ini berbanding 86 kes pada tahun lalu, sekali gus meningkat 8.1 peratus.

    Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, semua daerah menunjukkan peningkatan kadar kes terutama Kota Bharu dan Bachok.

    “Kebanyakan kes berkenaan adalah melibatkan mangsa yang berumur bawah 18 tahun sama ada dengan teman lelaki atau pun suka sama suka.

    “Jumlah berkenaan adalah yang dilaporkan kepada polis oleh ibu bapa serta pihak hospital.

    “Kita menyeru kepada semua pihak untuk melaporkan perkara ini kepada polis jika berlaku kes seperti ini.

    “Kesedaran ibu bapa sangat penting bagi memastikan kita dapat menghindari anak-anak daripada terjebak dengan perkara seperti ini,” katanya kepada pemberita di Pasir Mas, hari ini.

    Shafien sebelum itu hadir pada Majlis Apresiasi Media bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, sehingga November tahun ini, kadar jenayah di Kelantan menurun sebanyak 21.2 peratus berbanding dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.

    Katanya, indeks jenayah di Kelantan mencatatkan penurunan iaitu 1,652 kes berbanding 2,097 kes tahun lalu.

    Sementara itu mengulas mengenai penubuhan Unit Media berkenaan, Shafien berkata, ia ditubuhkan untuk memberi pendedahan yang lebih tepat mengenai isu-isu semasa terutamanya yang sering ditularkan melalui laman-laman sosial.

    Katanya, seramai lima anggota dan seorang pegawai ditugaskan untuk mengawal selia unit media berkenaan supaya masyarakat lebih faham dan jelas mengenai sesuatu isu terutamanya dalam dunia yang cukup pantas kini.

  • Heroin, syabu bernilai RM134,800 dirampas dari sindiket di Pulau Pinang

    Heroin, syabu bernilai RM134,800 dirampas dari sindiket di Pulau Pinang

    POLIS Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dengan tertangkapnya tiga lelaki warga tempatan bersama-sama dadah jenis heroin dan syabu bernilai RM134,800.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah, kesemua mereka yang berusia antara 38 hingga 47 tahun itu ditahan dalam serbuan di sekitar Seberang Perai Tengah (SPT) pada 23 November lalu.

    Kata beliau, tangkapan pertama iaitu dua lelaki dilakukan selepas polis menyerbu sebuah rumah di Permatang Pauh yang mana polis turut merampas sebanyak 10 peket heroin seberat 171.35 gram (g) bernilai RM2,296; sembilan peket syabu seberat 13.25g bernilai RM1,325 dan sembilan biji pil Eramin 5 (RM135).

    Tambahnya, seorang lelaki suspek ditahan di tepi jalan di Bukit Tengah ketika sedang menaiki motosikal yang mana polis turut bersama-samanya satu peket plastik heroin seberat 457g bernilai RM6,124.

    Susulan penangkapan ketiga-tiga suspek itu jelas beliau, polis menyerbu sebuah pangsapuri di Bukit Mertajam yang mana disewa oleh suspek untuk menyimpan bekalan dadah mereka sebelum diedarkan ke pasaran.

    “Di rumah tersebut, kita berjaya merampas sembilan peket heroin seberat 4.125 kilogram bernilai RM55,275 dan dua ketulan mampat heroin base seberat 750g bernilai RM69,645.

    “Selain itu, kita turut menyita barang kemas iaitu dua utas rantai leher dan dua bentuk cincin serta seutas gelang tangan yang bernilai kira-kira RM12,500 daripada kesemua suspek,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Mustafa Kamal Gani, siasatan awal mendapati sindiket itu mula bergiat aktif mengedar dadah untuk pasaran di sekitar Seberang Perai sejak Jun tahun ini.

    Ujarnya, polis juga sudah mengenal pasti saki baki ahli sindiket itu dan sedang giat mengesan mereka.

    Tambahnya, ujian saringan air kencing ke atas ketiga-tiga suspek yang merupakan penganggur dan pemandu lori itu turut mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan morfin.

    Kata beliau, kesemua suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau dengan salah seorangnya memiliki sehingga 18 rekod kesalahan berkaitan kes dadah.

    “Seorang suspek kini direman sehingga 29 November ini manakala dua lagi sehingga 30 November ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Wanita diperdaya rugi RM17,800 ditipu pinjaman tidak wujud

    Wanita diperdaya rugi RM17,800 ditipu pinjaman tidak wujud

    SEOARNG wanita diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud hingga mengalami kerugian RM17,800 selepas melihat satu iklan pinjaman wang dalam satu Facebook pada Khamis lalu.

    Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, mangsa yang merupakan ibu tunggal berusia 28 tahun kemudian berminat membuat pinjaman berjumlah RM10,000 sebelum menekan pautan yang diberikan.

    “Selepas itu, mangsa menerima mesej dari aplikasi WhatsApp memaklumkan dia perlu membayar RM1,000 untuk urusan pinjaman.

    “Mangsa membuat pindahan wang secara dalam talian berjumlah RM1,000 ke akaun bank milik seorang lelaki.

    “Mangsa juga diminta masukkan wang berjumlah RM2,000 untuk urusan insurans dan mangsa telah masukkan wang tersebut ke akaun bank nama lelaki lain sebelum diminta lagi membuat pembayaran RM2,800 ke dalam akaun sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Chang Hook berkata, pada jam 10.40 pagi Jumaat, mangsa menerima mesej daripada nombor yang sama memberitahu sistem untuk memproses pinjamannya mempunyai masalah dan diminta membayar RM4,000.

    “Selepas itu, mangsa diminta pula membuat dua kali pindahan wang ke akaun yang sama berjumlah RM8,000.

    “Bagaimanapun, permintaan suspek meminta bayaran RM5,000 bagi urusan cukai pendapatan tidak dilayan selepas mangsa menyedari ditipu,” katanya.

    Katanya, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Bahau dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

  • Perompak kantoi tertidur semasa ‘buat kerja’

    Perompak kantoi tertidur semasa ‘buat kerja’

    SEORANG lelaki yang sedang menunggu dua lagi rakan jenayah melarikan barangan sebuah rumah di Jalan Mangga 2, Taman MGBM Bachang, Melaka, kelmarin berjaya diberkas polis selepas tertidur dalam keretanya.

    Rakaman video perompak tersebut berjaya diberkas dengan berdurasi 1 minit 15 saat turut tular dalam laman sosial Facebook.

    Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, suspek berusia 30 tahun itu berjaya dicekup dengan bantuan orang awam.

    Katanya, mengikut laporan polis dibuat oleh pengadu, rumah tersebut merupakan milik arwah ibunya dan kejadian pecah masuk berkenaan dimaklumkan oleh jiran kira-kira pukul 5 petang. 

    “Pengadu bersama kakak dan abang iparnya bergegas ke rumah tersebut dan setiba di lokasi mereka menjumpai seorang lelaki sedang tidur dalam kereta jenis Hyundai Sonata di belakang rumah berkenaan. 

    “Pengadu bertindak mematikan enjin dan mengambil kunci kereta tersebut,” katanya kepada pemberita, hari ini. 

    Tambahnya, dengan bantuan jiran, suspek berkenaan ditangkap dan dipercayai dalam keadaan khayal bawah pengaruh dadah. 

    Mengulas lanjut, beliau berkata, pengadu kemudian ternampak pintu bahagian dapur rumah terbabit dalam keadaan terbuka dan dua lelaki dilihat sedang cuba melarikan sebuah televisyen.

    “Menyedari kehadiran pengadu, kedua-dua suspek bertindak melarikan diri. 

    “Hasil pemeriksaan, barang-barang yang hilang adalah sebuah kamera lama beserta beg coklat dengan anggaran kerugian RM300,” katanya. 

    Katanya lagi, suspek yang dicekup kemudian diserahkan kepada pihak polis yang datang memberikan bantuan dan kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. 

    “Pasukan khas Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah telah digerakkan untuk mengesan dan menangkap dua lagi suspek yang disyaki terlibat dalam kes pecah rumah berkenaan,” katanya.

  • Langgar belakang sebelum pukul mangsa, larikan kenderaan

    Langgar belakang sebelum pukul mangsa, larikan kenderaan

    MELANGGAR belakang kereta sebelum memukul mangsa dan melarikan kenderaan mangsa di Jalan Besar Kepong, Kuala Lumpur semalam.

    Itu taktik yang digunakan dua penjenayah dalam kejadian pada pukul 11.20 malam itu yang turut menyebabkan mangsa, 30-an, cedera.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kenderaan jenis Mitsubishi ASX yang dipandu mangsa dirempuh sebuah kenderaan dari bahagian belakang.

    “Seorang suspek bertindak menghampiri mangsa dan menumbuk mata kiri dan kepala mangsa sebanyak dua kali sehingga menyebabkan mangsa terjatuh di jalan.

    “Suspek kemudian bertindak melarikan kereta milik mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Eng Lai berkata, ketika kejadian laluan berkenaan gelap kerana tiada lampu jalan.

    “Mangsa dibantu oleh orang awam yang kebetulan melalui jalan berkenaan sebelum dihantar ke Hospital Desa Park City, Kepong untuk mendapatkan rawatan lanjut.

    “Polis kini sedang giat memburu dua suspek berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Guru wanita berputih mata RM140,000 lesap angkara ‘pegawai polis’

    Guru wanita berputih mata RM140,000 lesap angkara ‘pegawai polis’

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    GURU sambilan wanita rugi RM140,000 apabila ditipu dua lelaki menyamar polis yang memperdaya mangsa kononnya sebagai bayaran untuk mengurangkan hukuman terhadap abangnya yang disabit kes dadah.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa berusia 38 tahun itu hanya menyedari ditipu setelah suspek meminta bayaran tambahan RM50,000 lagi beberapa hari selepas bayaran pertama.

    Polis menerima laporan dibuat mangsa pada pukul 12.52 tengah hari, kelmarin yang memaklumkan dia ditipu dua suspek.

    “Kejadian berlaku pada 11 November lalu ketika mangsa berada di rumah telah didatangi seorang suspek lelaki menaiki kereta yang mempunyai lambang polis.

    “Suspek itu kemudian meminta pengesahan sama ada wanita itu mengenali individu bernama Woon Kim Foo iaitu abang kepada mangsa yang telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes pengedaran dadah,” katanya dalam kenyataan.

    Raub berkata, suspek telah mengarahkan mangsa untuk berhubung dengan seorang lelaki iaitu suspek kedua yang dikenali sebagai Tuan Nazri dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di talian 016-4420728.

    “Ketika menghubungi suspek kedua itu, mangsa dimaklumkan sekiranya ingin mengurangkan hukuman terhadap abangnya, mangsa perlu membuat bayaran sebanyak RM100,000 ke akaun yang telah diberikan sebagai syaratnya.

    “Keesokkan harinya, mangsa telah membuat pemindahan wang tersebut dan memaklumkan kepada suspek mengenai perkara itu,” katanya.

    Tambah Raub, selepas menerima bayaran RM100,000, suspek meminta mangsa untuk membuat pemindahan wang tambahan sebanyak RM40,000 sebelum mangsa melakukannya pada hari sama.

    Setelah kesemua transaksi dibuat, mangsa telah ke IPK Johor dan berhubung dengan suspek kedua semula namun tiada sebarang jawapan yang diterima dari suspek.

    Namun, katanya, mangsa telah menerima panggilan semula dari suspek tidak lama kemudian menggunakan nombor 07-2254422 yang memintanya untuk pulang ke rumah.

    “Selang beberapa hari kemudian, suspek telah menghubungi mangsa dan meminta mangsa untuk membuat pembayaran tambahan berjumlah RM50,000.

    “Namun kali ini, mangsa enggan membuat sebarang bayaran kerana mengesyaki dirinya ditipu suspek,” ujarnya.

    Kes disiasat dibawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

  • Gagal seludup 1.3 tan daun ketum ke negara jiran

    Gagal seludup 1.3 tan daun ketum ke negara jiran

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Sebanyak 1,322 kilogram (kg) daun ketum berjaya dirampas oleh sepasukan anggota tentera ketika barangan terlarang itu dipercayai cuba diseludup ke negara jiran, kelmarin.

    Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.03 petang apabila sepasukan anggota tentera melakukan rondaan di trek menghala ke Batu Sempadan 29/190, Sektor Op Benteng Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia di Kuala Nerang.

    “Di lokasi tersebut, tim ronda yang melakukan rondaan telah berjaya merampas sebuah Mitsubishi Pajero, sebuah Isuzu Trooper serta tiga buah motosikal jenis Honda Wave, Yamaha Spark dan Honda EX5.

    “Sejumlah guni serta plastik ditempatkan dalam kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Pajero dan Isuzu Trooper tersebut. Di dalamnya didapati daun ketum seberat 1,322 kg ditemukan,” katanya.

    Selain daun ketum dan semua kenderaan itu, kenyataan tersebut memaklumkan pasukan berkenaan turut merampas sejumlah mata wang Malaysia dan Thailand selain telefon bimbit.

    Katanya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM77,384.

    “Kesemua suspek disyaki bertindak melarikan diri ke arah kawasan hutan apabila menyedari kehadiran tim ronda di kawasan tersebut.

    “Kesemua barang rampasan dibawa ke Balai Polis Kuala Nerang untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

  • Siasatan 1MDB: PAS minta penjelasan SPRM, PDRM

    Siasatan 1MDB: PAS minta penjelasan SPRM, PDRM

    PAS menuntut penjelasan terperinci daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung siasatan aset dana milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan akaun Iron Rhapsody Ltd dan Cutting Edge Industries Ltd.

    Ketua Penerangannya, Khairil Nizam Khirudin berkata, kedua-dua syarikat tersebut telah dikaitkan dengan suami kepada bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Tawfiq Ayman dan Samuel Goh.

    Menurut beliau, PDRM wajar tampil menjelaskan hasil siasatan memandangkan ia telah bermula sejak awal tahun 2021.

    “PDRM juga mengakui bahawa siasatan telah dijalankan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Penjelasan harus segera dilakukan kerana ia melibatkan wibawa institusi awam.

    “PAS turut merakamkan ucapan terima kasih kepada SPRM dan agensi penguatkuasan antarabangsa susulan kejayaan membantu memulihkan pemulangan aset dana 1MDB yang kini berjumlah RM20.5 bilion kepada kerajaan Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Pada Februari lalu, Free Malaysia Today melaporkan Tawfiq dan anak-anaknya menguruskan akaun bawah nama Cutting Edge Industries Ltd, yang menerima wang yang dikaitkan dengan 1MDB.

    Menurut pendedahan MalaysiaToday, wang dalam akaun itu disalurkan daripada Iron Rhapsody Ltd yang ditubuhkan untuk menerima wang daripada ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho atau Jho Low.

    Menurut laporan The Edge, Iron Rhapsody menerima USD16.22 juta daripada syarikat atau akaun bank yang dikaitkan dengan Jho Low pada 2008 dan 2009.