Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

POLIS sedia menyiasat laporan artikel berita Reuters yang mendakwa seorang bekas pekerja ATA IMS Bhd. didakwa dipukul polis Jun lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya mengambil maklum kejadian tersebut namun sehingga hari ini tiada sebarang laporan polis dibuat.

“Tiada laporan polis dibuat berkenaan seorang pekerja syarikat tersebut dipukul di balai polis semasa disiasat tentang perkongsian maklumat mengenai keadaan kilang tempatnya bekerja sepertimana dilaporkan.

“Polis Johor akan menjalankan siasatan sekiranya wujud apa yang dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kelmarin Reuters melaporkan, pegawai syarikat berkenaan membawa seorang pekerja warga Nepal ke sebuah balai polis untuk berkongsi maklumat tentang keadaan di kilang berkenaan.

Pekerja asing tersebut yang bimbang dan takut kemudian melarikan diri dari Malaysia selepas kejadian berkenaan dan pengalaman semasa disoal siasat itu kemudian diceritakan kepada peguam Dyson Manufacturing Sdn. Bhd.

Reuters sebelum ini melaporkan Dyson Operations Pte Ltd dan Dyson Manufacturing Sdn Bhd telah menamatkan kontrak dengan syarikat penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS), ATA IMS berikutan audit terhadap amalan buruh yang diterima.

Menerusi artikel berita itu memaklumkan bekas pekerja ATA IMS itu yang ditemu bual, mendakwa telah dibawa ke balai polis untuk disoal siasat sebelum mendakwa dipukul pihak polis dan insiden tersebut dimaklumkan kepada aktivis sosial.

Menurut ATA IMS dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada 25 November lepas, Lembaga Pengarahnya mengambil perhatian mengenai artikel berita itu dan rujukan telah dibuat membabitkan penamatan tiga kontrak dengan anak syarikat milik penuhnya, ATA Industrial (M) Sdn Bhd (ATAIM) yang berkuat kuasa 1 Jun 2022 serta audit amalan buruh syarikat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here