Category: Jenayah

  • Lelaki curi tiang besi ditahan di bangunan kosong

    Lelaki curi tiang besi ditahan di bangunan kosong

    SEORANG lelaki yang dirakam sedang mencuri tiang besi di kawasan perumahan di Ipoh dan tular dalam media sosial ditahan polis semalam.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, suspek yang merupakan warga tempatan, 41, ditahan di sebuah bangunan kosong di Manjoi sekitar pukul 12.15 tengah malam selepas polis menerima laporan daripada orang awam.

    “Menerusi tangkapan itu polis turut menemui beberapa barangan kes. Siasatan awal menunjukkan suspek melakukan perbuatan mencuri tiang besi di sekitar kawasan Manjoi dan Jelapang.

    “Semakan lanjut mendapati, suspek ini memiliki 11 rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kesalahan termasuklah jenayah narkotik.

    “Ujian saringan air kencing yang dilakukan mengesahkan lelaki terbabit positif dadah jenis morfin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, lelaki itu ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

    Dalam pada itu, Yahaya berkata, terdapat dua video berkaitan kes itu telah dimuat naik ke dalam akaun Facebook bernama ‘Acai D Raja’ dan ‘Info Santai Anak Utara’ memaparkan seorang lelaki mencuri tiang besi walaupun tindakan itu telah ditegur orang awam.

    Susulan daripada video dan laporan dibuat, polis berjaya melakukan tangkapan ke atas suspek, katanya.

    “Polis Daerah Ipoh mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang prihatin dan tampil menyalurkan maklumat berkaitan pelakuan jenayah tersebut sehingga tertangkapnya suspek dalam masa yang singkat,” ujarnya.

    Dua video berdurasi 34 saat dan satu minit lima saat itu tular di aplikasi TikTok memaparkan gelagat seorang lelaki merosakkan tiang disyaki milik syarikat telekomunikasi sambil ditegur seorang lelaki.

    Difahamkan, kejadian itu masing-masing dirakam pada Khamis lalu dan semalam.

  • Op Benteng:45 Pati Indonesia ditahan

    Op Benteng:45 Pati Indonesia ditahan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 45 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia ditahan dalam tiga siri tangkapan Op Benteng di Teluk Punggai, Kota Tinggi semalam dan hari ini

    Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia Angkatan Tentera Malaysia dalam satu kenyataan memberitahu, kesemua 45 PATI tersebut yang terdiri daripada 33 lelaki dan 12 wanita berusia lingkungan 17 hingga 56 tahun.

    Menurut kenyataan itu, Radar Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) telah mengesan pergerakan bot yang mencurigakan menghala ke arah Teluk Punggai pada pukul 8 malam.

    Katanya, anggota petugas Pos Pemerhati juga turut mengesan pergerakan bot yang mencurigakan di perairan tersebut serta mengesan kelibat orang sedang menuruni bot menuju ke arah pantai sekitar jam 9.30 malam.

    Seramai 30 PATI dipercayai baru saja tiba ke negara ini melalui jalan yang tidak sah

    “Hasil serbuan yang dilakukan pada pukul 11 malam, Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia telah berjaya menangkap seramai 30 PATI dipercayai baru saja tiba ke negara ini melalui jalan yang tidak sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut kenyataan itu lagi, Pasukan Tindakan Pantas (QRF) bersama-sama pasukan Angkatan Tentera Malaysia telah diaturgerakkan bagi menjejaki dan mencari kemungkinan saki baki PATI yang masih bersembunyi.

    Katanya, pasukan QRF telah berjaya menangkap tujuh lagi PATI berhampiran kawasan tangkapan pertama dan lapan lagi PATI turut ditahan sekitar pukul 11 pagi.

    “Kesemua mereka telah dibuat saringan Covid-19 di Pos Tanjung Sepang. Hasil ujian saringan mendapati kesemuanya negatif Covid-19.

    Kesemua 45 PATI tersebut yang terdiri daripada 33 lelaki dan 12 wanita berusia lingkungan 17 hingga 56 tahun

    “Mereka akan diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia Setia Tropika, Kempas. Laporan Polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai.

    “Hasil penahanan kesemua suspek, sejumlah wang tunai RM2,838.70 dan matawang rupiah 38.1 juta (RM 11,316.54), beberapa matawang asing yang lain, 38 buah telefon bimbit serta barangan perhiasan turut dirampas.

    “Pasukan meneruskan atur gerak pasukan QRF dan pasukan Dron ATM dan dibantu pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan,” ujarnya.

  • Empat penguat kuasa ditahan terlibat samun barang kes

    Empat penguat kuasa ditahan terlibat samun barang kes

    EMPAT penguat kuasa antara tujuh yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes samun di tempat penyimpanan barang kes di Dengkil Sepang pada Rabu lalu.

    Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kesemua tangkapan berusia 25 hingga 49 tahun itu ditahan di Shah Alam dan Sepang pada hari sama.

    “Hasil soal siasat empat lelaki penguat kuasa itu, kita berjaya menahan tiga lagi individu lain termasuk seorang lelaki berperanan sebagai orang tengah selaku pengantara ‘orang dalam’ dengan kumpulan penjenayah tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, hari ini.

    Pihaknya tidak menolak kemungkinan ada kebocoran maklumat daripada ‘orang dalam’ agensi penguatkuasaan memaklumkan barang kes jenis arak yang berada di lokasi tersebut.

    “Dalam kejadian pukul 2.30 pagi itu, seramai tiga lelaki menggunakan sebuah lori menyamun barang kes berkenaan dan suspek turut mengikat pengawal keselamatan.

    “Kumpulan penjenayah itu mengambil masa kira-kira dua jam untuk menyamun barang kes ke dalam sebuah lori,” katanya.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya berjaya menjumpai sebuah lori yang digunakan kumpulan penjenayah itu di Shah Alam dan merampas 234 kotak arak di dalam lori terbabit.

    “Selain itu, kita turut merampas dadah jenis pil captagon seberat dua kilogram, 47 biji pil erimin 5 dan kokain 4.9 gram bernilai RM559,899 serta wang tunai RM111,100 dalam sebuah kereta milik salah seorang anggota penguat kuasa berbabit,” katanya.

    “Kita masih mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

  • Polis Singapura tahan lelaki rempuh pengawal keselamatan di KSAB

    Polis Singapura tahan lelaki rempuh pengawal keselamatan di KSAB

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS Singapura sudah menahan seorang lelaki yang memandu sebuah kereta dan merempuh pengawal keselamatan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri, kelmarin sebelum melarikan diri.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kejadian langgar lari itu berlaku pada pukul 4 pagi melibatkan mangsa yang berusia 38 tahun mengalami kecederaan ringan selepas dirempuh kereta Proton Iswara dipandu suspek.

    “Siasatan dibuat mendapati suspek bertindak melarikan diri mengikut laluan eksport lori selepas enggan memberikan kerjasama semasa pemeriksaan dijalankan pihak keselamatan.

    “Suspek kemudiannya ditahan polis Singapura dan akan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia setelah proses dokumentasi selesai,” katanya dalam satu kenyataan pada malam tadi.

    Katanya, pemeriksaan lanjut dibuat terhadap suspek mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau.

    “Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 307, Seksyen 186, Seksyen 427 dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh, menghalang penjawat awam menjalankan tugas, melakukan perbuatan khianat dan ceroboh.

    “Suspek yang berusia 47 tahun itu juga akan disiasat 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan melulu dan merbahaya,” ujarnya.

    Ketika ini katanya, pihak polis Johor sedang menunggu siasatan polis Singapura sama ada suspek mabuk pada semasa kejadian.

  • Sindiket ‘pau’ PATI Myanmar hingga RM5,000 seorang

    Sindiket ‘pau’ PATI Myanmar hingga RM5,000 seorang

    POLIS Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket pemerdagangan manusia yang membabitkan penyeludupan warga Myanmar susulan serbuan berasingan yang dijalankan menerusi ‘Op Pintas’ pada Sabtu lalu.

    Operasi hasil daripada risikan polis itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) serta  Bahagian Siasatan Khas (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais, operasi itu berjaya menahan dua lelaki tempatan serta seorang wanita tempatan dan wanita Myanmar dipercayai dalang aktiviti tersebut.

    Menurutnya, kesemua mereka yang berusia antara 43 hingga 66 tahun yang ditahan secara berasingan itu dipercayai bertanggungjawab membawa masuk kesemua pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan jalan darat menerusi sempadan Bukit Kayu Hitam, Kedah.

    “Menerusi operasi tersebut, 21 lelaki dan lima wanita warga Myanmar yang berusia antara 20 hingga 35 tahun berjaya ditahan polis.

    “Siasatan awal yang dijalankan juga mendapati setiap PATI telah membayar antara RM4,000 hingga RM5,000 kepada dalang terbabit untuk dibawa masuk ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook PDRM Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Rahimi, dalam serbuan itu polis turut merampas empat buah kereta, telefon bimbit dan sejumlah wang tunai.

    Tambahnya, kesemua individu yang ditahan serta PATI telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara untuk tindakan lanjut.

    Ujar beliau, kesemua dalang yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 ( Kesalahan Penyeludupan Migran).

    Jika disabitkan kesalahan ujarnya, kesemua dalang itu boleh dihukum penjara tidak lebih 15 tahun atau boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.

    “Bagi PATI yang ditahan pula disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 ( Kesalahan tidak memiliki permit yang sah).

  • Ahli perniagaan rugi RM22,724 diperdaya sindiket pinjaman wang

    Ahli perniagaan rugi RM22,724 diperdaya sindiket pinjaman wang

    SEORANG ahli perniagaan kerugian RM22,724 selepas diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud selepas tertarik dengan satu iklan pinjaman wang dalam Facebook, kelmarin.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa, 39, diperdaya ahli sindiket terbabit selepas melihat iklan tersebut ketika berada di rumahnya di Bandar Kuantan Puteri, Kuantan.

    Mohd Wazir berkata, mangsa kemudian berminat untuk membuat pinjaman sebanyak RM60,000 selepas berhubung dengan ejen pinjaman dikenali Jennifer.

    “Selepas itu, mangsa mengemukakan dokumen seperti diminta iaitu penyata gaji dan salinan kad pengenalan untuk proses pinjaman kepada suspek.

    “Pada Sabtu lalu, mangsa diberitahu oleh suspek bahawa wang pinjamannya tergendala disebabkan mangsa mempunyai komitmen yang tinggi.

    “Susulan itu, mangsa diminta untuk berurusan dengan Anson Chee bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi. Selepas menghubungi Anson Chee, mangsa diminta untuk melakukan pembayaran sebelum pinjamannya boleh diluluskan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mohd. Wazir berkata, mangsa kemudian membuat sebanyak 12 transaksi pembayaran ke dalam enam akaun bank diberikan suspek berjumlah RM22,724.

    Beliau menjelaskan, suspek masih meminta mangsa membuat pelbagai pembayaran bagi membolehkan pinjaman RM60,000 diluluskan, namun mangsa enggan berbuat demikian.

    “Mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam selepas merasakan dirinya ditipu.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

  • Taktik licik kongsi gelap guna nama NGO tumpas

    Taktik licik kongsi gelap guna nama NGO tumpas

    TINDAKAN licik sebuah kongsi gelap di Pulau Pinang untuk menghidupkan kembali pertubuhan itu dengan berselindung di sebalik nama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak berhasil selepas berjaya dihidu polis.

    Akibatnya, seramai 40 lelaki dipercayai ahli kongsi gelap itu yang berusia antara 22 hingga 56 tahun ditahan polis dalam serbuan di sebuah restoran mewah di Seberang Jaya, kira-kira pukul 9.30 malam pada Sabtu lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, mereka yang berasal dari Pulau Pinang, Kedah dan Perlis itu ditahan ketika menghadiri majlis pengenalan dan pendaftaran ahli baharu kongsi gelap terbabit di restoran mewah tersebut.

    Jelasnya, operasi itu digerakkan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama Bahagian Siasatan Jenayah, ibu pejabat polis daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) hasil maklumat awam.

    Tambah beliau, serbuan itu dilakukan selepas polis mengesyaki satu kumpulan kongsi gelap cuba mengaburi pihak berkuasa dengan berselindung di sebalik nama sebuah NGO bagi menghidupkan kembali pengaruh mereka di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

    “Pemeriksaan yang dijalankan mendapati lapan daripada lelaki yang ditahan mempunyai “tatoo” sebuah pertubuhan haram.

    “Dalam serbuan sama, polis turut merampas sebanyak 56 buah telefon bimbit, dua bentuk cincin, seutas rantai serta sepasang subang yang mempunyai lambang sebuah pertubuhan haram,” katanya menerusi kenyataan di laman sosial Facebook PDRM Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Rahimi, kesemua yang ditahan dibawa ke IPD SPT dan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 (Kesalahan menganggotai pertubuhan yang menyalahi Undang-Undang) yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

    “PDRM mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang memberikan maklumat dan bekerjasama baik dalam bersama-sama membenteras jenayah,” katanya.

  • Kaki buli jalan raya rampas beg tangan pemandu wanita

    Kaki buli jalan raya rampas beg tangan pemandu wanita

    SEORANG lelaki menunjukkan sikap kaki buli apabila merampas beg tangan dari kenderaan wanita yang terlanggar keretanya di kilometer 14.6 Lebuhraya Persekutuan dari arah Klang ke Kuala Lumpur, semalam.

    Sikap biadabnya mengundang padah apabila dia ditahan oleh polis kira-kira pukul 6.30 petang semalam.

    Suspek terbabit ditahan selepas membuat laporan polis berhubung kemalangan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

    “Siasatan mendapati, kemalangan yang tular di media sosial itu berlaku pada 1.33 tengah hari (semalam) membabitkan tiga kenderaan.

    “Kejadian berlaku apabila wanita yang memandu kereta BMW terlanggar belakang sebelah kanan kereta Proton Gen 2 dipandu lelaki terbabit di hadapannya.

    “Pelanggaran itu menyebabkan kereta lelaki yang berusia 56 tahun itu terlanggar sebuah lagi kereta jenis Honda HRV di hadapan yang dipandu oleh seorang wanita. Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dan kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

    Video tular berdurasi satu minit 30 saat itu menunjukkan gelagat lelaki terbabit meminta kad pengenalan wanita yang terlanggar keretanya dipercayai untuk membuat laporan polis.

    Dia kemudian merampas beg tangan wanita terbabit dan membawanya ke kereta sambil mengarahkan wanita berkenaan mengikutnya membuat laporan polis.

    Kejadian dipercayai berlaku berhampiran stesen minyak Shell dan Petron di Lebuhraya Persekutuan sebelum susur ke Seksyen 13 serta Lebuhraya Guthrie.

    Selain itu, Baharudin berkata polis turut membuka kertas siasatan berhubung tindakan lelaki berkenaan mengikut Seksyen 379/323 Kanun Keseksaan.

    “Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat kemalangan diminta membantu siasatan dengan menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Shah Alam, Sarjan Hafizi Hashim (013-9557042),” katanya.

  • Tiga lelaki tempatan ditahan, jadi ‘transporter’ bawa 17 PATI Myanmar

    Tiga lelaki tempatan ditahan, jadi ‘transporter’ bawa 17 PATI Myanmar

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Tiga lelaki tempatan ditahan di Kedah kerana bertindak sebagai ‘transporter’ bagi membawa masuk 17 pendatang asing tanpa izin (PATI), kelmarin.

    Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari berkata, penahanan tiga lelaki itu bersama kesemua PATI tersebut dilakukan di Plaza Tol Hutan Kampung, arah selatan kira-kira pukul 9.30 pagi, Jumaat lalu.

    “Tiga lelaki tempatan itu didapati memandu tiga kenderaan tersebut yang membawa 212 perempuan dan lima lelaki warganegara Myanmar.

    “Kesemua PATI tersebut yang berusia 21 hingga 44 tahun didapati tidak memiliki dokumen perjalanan sah dengan kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Tambahnya, ketiga-tiga lelaki tempatan tersebut dipercayai ditawarkan upah sebanyak RM200 oleh ejen untuk setiap PATI yang dibawa mereka.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Pemerdagangan Migran 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.

    “Tangkapan kini direman di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2021 (Sosma).

  • Maritim Malaysia Pulau Pinang rampas 39 set bubu naga di Pulau Aman

    Maritim Malaysia Pulau Pinang rampas 39 set bubu naga di Pulau Aman

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang merampas sebanyak 39 set bubu naga di tiga lokasi berasingan di sekitar 3.4 batu nautika barat daya Pulau Aman kelmarin.

    Rampasan itu dilakukan hasil aduan awam serta rondaan rutin agensi berkenaan menerusi Op Pertiwi antara pukul 6.45 petang hingga 7.55 malam.

    Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, pihaknya melakukan pemerhatian khusus terhadap lokasi aduan sebelum menjumpai 39 set bubu naga yang dipasang di perairan berhampiran Pulau Aman.

    Kesemua bubu naga dengan anggaran nilai RM4,680 itu dirampas serta dibawa ke jeti Polis Marin Batu Uban

    “Kesemua bubu naga dengan anggaran nilai RM4,680 itu dirampas serta dibawa ke jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurut Abd. Razak, penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain.

    Tambahnya, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan yang mana jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

    Penggunaan bubu naga diharamkan kerana boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain

    “Sehubungan itu, nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukkan,” ujarnya.

    Tambah beliau, Maritim Malaysia akan terus memantau aktiviti haram itu dari semasa ke semasa dan meminta kerjasama orang ramai segera melaporkan sebarang kejadian dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.

    Jelasnya, sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh menghubungi Maritim Malaysia menerusi talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.