SEORANG ahli perniagaan kerugian RM22,724 selepas diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud selepas tertarik dengan satu iklan pinjaman wang dalam Facebook, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa, 39, diperdaya ahli sindiket terbabit selepas melihat iklan tersebut ketika berada di rumahnya di Bandar Kuantan Puteri, Kuantan.

Mohd Wazir berkata, mangsa kemudian berminat untuk membuat pinjaman sebanyak RM60,000 selepas berhubung dengan ejen pinjaman dikenali Jennifer.

“Selepas itu, mangsa mengemukakan dokumen seperti diminta iaitu penyata gaji dan salinan kad pengenalan untuk proses pinjaman kepada suspek.

“Pada Sabtu lalu, mangsa diberitahu oleh suspek bahawa wang pinjamannya tergendala disebabkan mangsa mempunyai komitmen yang tinggi.

“Susulan itu, mangsa diminta untuk berurusan dengan Anson Chee bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi. Selepas menghubungi Anson Chee, mangsa diminta untuk melakukan pembayaran sebelum pinjamannya boleh diluluskan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd. Wazir berkata, mangsa kemudian membuat sebanyak 12 transaksi pembayaran ke dalam enam akaun bank diberikan suspek berjumlah RM22,724.

Beliau menjelaskan, suspek masih meminta mangsa membuat pelbagai pembayaran bagi membolehkan pinjaman RM60,000 diluluskan, namun mangsa enggan berbuat demikian.

“Mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam selepas merasakan dirinya ditipu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here