SEORANG lelaki menunjukkan sikap kaki buli apabila merampas beg tangan dari kenderaan wanita yang terlanggar keretanya di kilometer 14.6 Lebuhraya Persekutuan dari arah Klang ke Kuala Lumpur, semalam.
Sikap biadabnya mengundang padah apabila dia ditahan oleh polis kira-kira pukul 6.30 petang semalam.
Suspek terbabit ditahan selepas membuat laporan polis berhubung kemalangan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.
“Siasatan mendapati, kemalangan yang tular di media sosial itu berlaku pada 1.33 tengah hari (semalam) membabitkan tiga kenderaan.
“Kejadian berlaku apabila wanita yang memandu kereta BMW terlanggar belakang sebelah kanan kereta Proton Gen 2 dipandu lelaki terbabit di hadapannya.
“Pelanggaran itu menyebabkan kereta lelaki yang berusia 56 tahun itu terlanggar sebuah lagi kereta jenis Honda HRV di hadapan yang dipandu oleh seorang wanita. Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dan kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Video tular berdurasi satu minit 30 saat itu menunjukkan gelagat lelaki terbabit meminta kad pengenalan wanita yang terlanggar keretanya dipercayai untuk membuat laporan polis.
Dia kemudian merampas beg tangan wanita terbabit dan membawanya ke kereta sambil mengarahkan wanita berkenaan mengikutnya membuat laporan polis.
Kejadian dipercayai berlaku berhampiran stesen minyak Shell dan Petron di Lebuhraya Persekutuan sebelum susur ke Seksyen 13 serta Lebuhraya Guthrie.
Selain itu, Baharudin berkata polis turut membuka kertas siasatan berhubung tindakan lelaki berkenaan mengikut Seksyen 379/323 Kanun Keseksaan.
“Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat kemalangan diminta membantu siasatan dengan menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Shah Alam, Sarjan Hafizi Hashim (013-9557042),” katanya.