Category: Jenayah

  • Pengurus diperdaya RM9,207 selepas tertarik iklan pinjaman wang

    Pengurus diperdaya RM9,207 selepas tertarik iklan pinjaman wang

    SEORANG pengurus sebuah syarikat kerugian RM9,207 selepas diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud, pada 9 hingga 11 Januari lalu.

    Mangsa, 22, pada mulanya tertarik dengan tawaran iklan pinjaman wang kelihatan seperti milik syarikat wang berlesen tetapi sebenarnya taktik licik digunakan sindiket pinjaman tidak wujud.

    Wanita itu diperdaya seorang individu dikenali Nurul yang mendakwa kononnya mewakili bahagian pinjaman peribadi syarikat berkenaan.

    Ketua Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa sebelum itu dikatakan berminat untuk membuat pinjaman wang RM10,000 dan bersetuju untuk membayar RM323 sebulan dalam tempoh tiga tahun.

    “Suspek minta mangsa bayar RM677 untuk urusan deposit dan wanita itu kemudian membuat pemindahan wang secara dalam talian, semalam.

    “Selepas itu, mangsa diminta untuk membuat pelbagai bayaran berkaitan dengan pinjaman termasuk surat pinjaman, duti setem dan insurans yang dianggarkan berjumlah RM8,530,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau menjelaskan mangsa membuat pembayaran melalui lima transaksi secara dalam talian ke dalam beberapa akaun bank berbeza diberikan suspek.

    Katanya, mangsa gagal menghubungi suspek selepas membuat kesemua transaksi itu antara 9 hingga 11 Januari lalu yang berjumlah RM9,207.

    “Susulan itu, mangsa tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands selepas merasakan dirinya ditipu.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” ujarnya.

    Dalam pada itu, Mohd Wazir berkata, modus operandi digunakan suspek dengan memperdaya mangsa melalui tawaran menawarkan pinjaman wang yang tidak wujud dalam laman Facebook.

    Tambahnya, tawaran itu sebagai taktik untuk mendorong mangsa menyerahkan wang dan mengalami kerugian.

  • Satu tahanan lelaki ditemukan mati dalam lokap

    Satu tahanan lelaki ditemukan mati dalam lokap

    BELUM pun reda kes satu orang kena tuduh (OKT) mati di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping pada 13 Januari lalu, seorang lagi tahanan lelaki ditemukan mati ketika dalam lokap di IPD Kota Bharu semalam.

    Tahanan lelaki yang berusia 37 tahun itu disahkan meninggal dunia pada pukul 5 petang.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd. Suhaimi Ali berkata, suspek sebelum itu ditemukan tidak sedarkan diri di dalam sel semasa pemeriksaan rutin berkala yang dilakukan oleh pihak polis.

    “Suspek disangkakan tidur dan dikejutkan namun tidak bangun menyebabkan polis menghubungi pegawai perubatan.

    “Pegawai perubatan yang tiba dari Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa ke lokap IPD Kota Bharu mengesahkan suspek sudah meninggal dunia,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian, hari ini.

    Sebelum ini polis mengesahkan kematian seorang OKT lelaki berusia 63 tahun di lokap IPD Taiping pada pukul 11 pagi.

    OKT itu adalah tahanan tumpang dari Penjara Taiping yang dituduh pada 18 April tahun lalu.

    Mengulas lanjut, Mohd. Suhaimi berkata, suspek tersebut ditahan pada Sabtu lalu bagi membantu siasatan kes pemilikan dadah mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Ujian saringan awal urin suspek sebelum ini didapati positif dadah jenis metamphetamine.

    “Suspek berada dalam tempoh tahanan reman sebelum didapati meninggal dunia di dalam sel di IPD Kota Bharu,” katanya.

    Tambah beliau, setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

    “Pasukan dari Unit Forensik turut memeriksa mayat di lokasi sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu untuk bedah siasat.

    “Siasatan bagaimanapun masih dijalankan dan mayat dijangka menjalani proses bedah siasat itu pada hari ini,” katanya.

  • Tapak pelupusan sampah terbakar, 400 penduduk dipindahkan

    Tapak pelupusan sampah terbakar, 400 penduduk dipindahkan

    KIRA-KIRA 400 penduduk daripada 86 buah keluarga yang tinggal berdekatan tapak pelupusan sampah di Pulau Burung, Nibung Tebal, Pulau Pinang terpaksa dipindahkan ke kawasan selamat selepas kebakaran di kawasan itu sejak empat hari lalu belum berjaya dipadamkan sepenuhnya.

    Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah dan SK Bakap Indah dibuka bagi menempatkan penduduk dari Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru.

    Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Seberang Perai Selatan dalam satu kenyataan berkata, stesen pengawasan kualiti mudah alih Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang ditempatkan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Byram mendapati terdapat kandungan gas yang boleh memberi risiko kesihatan.

    Menurut kenyataan itu, penduduk yang tinggal di lokaliti Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru dinasihatkan untuk berpindah ke dua PPS buat sementara waktu.

    “JAS melakukan pemantauan kualiti udara di tiga lokasi iaitu Masjid Daerah Seberang Perai Selatan; Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Changkat dan Dewan MPKK Kampung Kebun Baru.

    “JAS akan terus membuat pemantauan kualiti udara dari semasa ke semasa,” katanya.

    Dalam pada itu kenyataan tersebut menambah, orang ramai diingatkan terus mematuhi nasihat kesihatan dengan mengurangkan aktiviti luar, memakai pelitup muka dan segera ke hospital jika mengalami gejala seperti sesak nafas dan tidak sihat.

    Tapak pelupusan sampah berkeluasan 16.2 hektar itu dilaporkan terbakar kira-kira pukul 4.40 petang Rabu lalu membabitkan kawasan seluas 6.5 hektar.

    Kebakaran itu berjaya dikawal kira-kira pukul 9 malam Khamis lalu, manakala kerja-kerja pemadaman masih dilakukan ketika ini.

    Bagaimanapun, asap hitam kesan daripada kebakaran itu masih terhasil sehingga kini dan dapat dilihat menjulang ke udara pada jarak lebih 10 kilometer.

  • Lelaki tetak bekas bapa mentua dengan parang

    Lelaki tetak bekas bapa mentua dengan parang

    SEORANG lelaki tergamak menetak bekas bapa mentuanya menggunakan sebilah parang di sebuah kedai makan di Pandan Jaya di Kuala Lumpur semalam selepas didesak supaya membayar ganti rugi.

    Kejadian pada 11 malam itu menyebabkan mangsa, yang juga seorang warga asing berusia 51 tahun, mengalami luka di belakang kepala, pipi sebelah kiri dan bahagian lengan kiri.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Mohamad Farouk Eshak berkata ketika kejadian, suspek berusia 25 tahun yang merupakan warga tempatan membawa sebilah parang dan menetak mangsa beberapa kali sebelum melarikan diri.

    “Punca kejadian disebabkan mangsa ada meminta sejumlah wang ganti rugi seperti yang dijanjikan oleh suspek kepada mangsa namun akibat desakan itu, suspek bertindak menetak mangsa.

    “Susulan kejadian itu, mangsa kini berada di Hospital Ampang untuk menerima rawatan dan dilaporkan stabil,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Mohamad Farouk berkata kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan polis sedang mengesan suspek yang tidak bekerja untuk membantu siasatan. – BERNAMA

  • Cubaan seludup setan ketum ke negara jiran gagal

    Cubaan seludup setan ketum ke negara jiran gagal

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan menyeludup 103 bungkusan plastik hitam yang mengandungi lebih setan daun ketum ke negara jiran di perairan Kuala Kedah, hari ini.

    Menurut Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak, aktiviti itu dibanteras selepas pihaknya mengesan sebuah bot fiber tanpa nombor sedang menuju keluar dari muara Kuala Kedah dalam keadaan mencurigakan pada 6.45 pagi.

    Katanya, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek bertindak menukar haluan dengan memecut laju ke arah daratan berhampiran dan melarikan diri.

    “Pemeriksaan ke atas bot menemui bungkusan plastik warna hitam disyaki berisi daun ketum dengan anggaran berat 1.03 tan yang disorokkan di dalam bahagian bot yang sudah diubah suai.

    “Kesemua bungkusan hitam daun ketum, bot serta enjin yang dianggarkan bernilai RM505,400, dirampas untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Terdahulu, Noor Azreyanti berkata, pada kira-kira jam 6.20 pagi, empat nelayan bot kelas C ditahan selepas disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan tidak dibenarkan.

    “Bot tempatan itu ditahan di kedudukan 3.1 batu nautika barat daya muara Kuala Kedah. Semasa ditahan mereka enggan bekerjasama dan bertindak memotong pukat dengan tujuan melupuskan bahan bukti.

    “Pemeriksaan lanjut mendapati, bot terbabit dikendalikan oleh tekong bersama seorang kru warga tempatan dan dua kru lagi disyaki warga Thailand yang telah tamat tempoh Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) di Malaysia,” katanya.

    Beliau berkata kes itu disiasat di bawah seksyen 8(b), Akta Perikanan 1985 iaitu memukat ikan kurang dari 15 batu nautika dari pantai.

    “Kami mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon APMM Kuala Kedah di talian 05-7310579,” katanya.

  • Seorang lagi pemilik syarikat ditahan kes penyata bank palsu

    Seorang lagi pemilik syarikat ditahan kes penyata bank palsu

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Seorang pemilik syarikat ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan penyata akaun bank syarikat yang mengandungi butiran palsu.

    Permohonan reman bermula hari ini sehingga 19 Januari depan itu dibenarkan oleh Majistret Nur Nabilah A. Zainudin selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pagi tadi.

    Menurut sumber, suspek lelaki berusia 46 tahun tersebut ditahan kira-kira pukul 3.30 petang, semalam di Pejabat SPRM Kuala Lumpur ketika hadir memberi keterangan.

    Difahamkan, suspek dipercayai telah mengemukakan penyata akaun bank syarikat yang mengandungi butiran palsu kepada sebuah syarikat pembersihan di wilayah utara untuk memasuki tender pada 2018 dan 2019.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Dato’ Shaharom Nizam Abd Manap mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

    Pada 11 Januari lalu,  seramai 21 individu  ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes yang sama.

  • JSJN Bukit Aman rampas ketamin dianggar bernilai RM111.2 juta

    JSJN Bukit Aman rampas ketamin dianggar bernilai RM111.2 juta

    JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman mencatatkan rampasan ketamin terbesar pertama tahun ini selepas merampas dua tan dadah tersebut yang dianggar bernilai RM111.2 juta di sebuah kilang di kawasan perindustrian di Pusing, dekat Batu Gajah.

    Pengarahnya Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata serbuan di premis yang dijadikan makmal memproses dadah itu dilakukan pihaknya bersama JSJN Perak bermula 1.30 tengah hari Khamis lepas hingga 5.45 pagi Jumaat.

    “Dalam serbuan itu, kita menahan tiga lelaki berusia lingkungan 28 hingga 40 tahun yang dipercayai terlibat dengan sindiket memproses dan mengedar ketamin bagi pasaran tempatan,” katanya pada sidang media di Ipoh hari ini.

    Beliau berkata selain ketamin itu, pihaknya turut merampas sejumlah bahan kimia dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah.

    Katanya jumlah dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh seramai 6.7 juta penagih dan siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai mula aktif sejak pertengahan tahun lepas.

    “Modus operandi sindiket ini ialah menjadikan kilang di kawasan perindustrian sebagai makmal untuk memproses dadah bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya.

    Ayob Khan berkata pihaknya turut menyita pelbagai aset sindiket yang dianggarkan bernilai kira-kira RM201,307.50 membabitkan enam kenderaan, barangan kemas dan wang tunai.

    Menurutnya saringan awal air kencing mendapati dua daripada lelaki tersebut positif ketamin selain mempunyai pelbagai rekod jenayah dan dadah.

    Kesemua mereka direman hingga esok bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Beliau berkata pihaknya sedang mengesan tiga lagi lelaki yang disyaki terlibat dalam sindiket tersebut iaitu Azrul Safuan Mohd Puaad, 28, Mohamad Qaiyyum Mohamad Azhar, 23, serta S.Patmanathan, 44.

    “Siasatan awal mendapati mereka memainkan pelbagai peranan antaranya tukang masak yang dilatih, penyewa premis dan ejen sindiket,” katanya dengan menambah orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kesemua lelaki itu diminta menyalurkannya kepada pihak polis.

    — BERNAMA  

  • 78 kg ganja bernilai RM194,000 dirampas dalam 2 serbuan

    78 kg ganja bernilai RM194,000 dirampas dalam 2 serbuan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    POLIS merampas hampir 78 kilogram (kg) dadah jenis ganja bernilai lebih RM194,000 serta menahan empat lelaki dalam serbuan terhadap dua kenderaan di Kodiang, Kubang Pasu pada Rabu lalu.

    Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, tangkapan pertama dibuat di sebuah stesen minyak di Jalan Kodiang membabitkan dua lelaki berusia 54 dan 60 tahun kira-kira jam 6 pagi hasil serbuan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

    “Polis kemudiannya memeriksa dua buah kenderaan iaitu Toyota Previa dan Mitsubishi Triton yang terletak di kawasan berhampiran.

    “Pemeriksaan mendapati terdapat kira-kira 76 kg ganja berada dalam Toyota Previa manakala kira-kira dua kilogram lagi berada dalam Mitsubishi Triton,” katanya pada sidang media,di IPK di Alor Setar hari ini.

    Kesemua dadah itu dipercayai boleh digunakan oleh lebih 300,00 penagih dadah sekiranya terlepas ke pasaran.

    Wan Hassan berkata susulan daripada penahanan dua suspek terbabit, pihaknya turut menahan dua lelaki berusia 27 dan 39 tahun di lokasi berasingan di Kuala Lumpur iaitu di Bangsar dan Sri Hartamas pada hari sama.

    Katanya, daripada kesemua suspek hanya seorang saja yang tidak memiliki rekod lampau iaitu penghantar surat berusia 39 tahun.

    “Hasil ujian saringan air kencing terhadap mereka mendapati mereka negatif dadah,” katanya.

    Katanya, dalam serbuan kedua itu, pihaknya turut menyita dua kenderaan, dua jam tangan berjenama, dua motosikal, wang dalam akaun bernilai RM3,333 dan barangan kemas bernilai RM5,603.23.

    “Mereka dipercayai telah bergerak aktif dalam kegiatan ini sejak enam bulan lalu. Siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

    “Bagaimanapun siasatan sudah dijalankan. Jika benar majikan bersikap kejam dengan menindas pekerja, mereka akan diheret ke mahkamah,” katanya.

  • Long Tiger dituduh di mahkamah 19 Januari

    Long Tiger dituduh di mahkamah 19 Januari

    LELAKI berketurunan Rohingya dikenali sebagai ‘Long Tiger’ yang ditahan semula selepas melarikan diri ketika menunggu proses perbicaraan di Mahkamah Majistret Tangkak, akan dituduh pada 19 Jan ini.

    Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain berkata Abdul Hamim Ab Hamid, 32, akan dituduh di Mahkamah Majistret Tangkak mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan, selepas tamat menjalani reman.

    “Ya, pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Majistret Tangkak pada 19 Jan. Pertuduhan ini kerana melarikan diri,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Johor, di Johor Bahru hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita adakah Long Tiger akan dituduh selepas menjalani reman bermula 5 Jan lepas dan berakhir pada 18 Jan ini, di Penjara Sungai Udang, Melaka.

    Pada 15 Dis lepas, Abdul Hamim meloloskan diri menerusi pintu utama mahkamah sebelum perbicaraan bermula pada pukul 11.55 pagi, namun dia berjaya ditahan semula di Kedah pada 28 Dis.

    Semasa kejadian itu, Abdul Hamim menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

    Sementara itu, ketika diminta pandangan mengenai ramai pihak yang tampil membantu kes remaja curi tabung masjid di Kuang, Rawang pada 8 Jan lepas, beliau berkata pihak polis menyerahkan kepada Mahkamah Tinggi untuk menyemak semula hukuman terhadap remaja berusia 19 tahun itu.

    “Buat masa ini tidak ada apa-apa komen, apa pun siasatan kita telah selesai dan remaja ini telah dituduh sebab mencuri wang tabung masjid. Kita tinggalkan kepada Mahkamah Tinggi untuk menyemak semula keputusan,” katanya.

    Mahkamah Tinggi Shah Alam dijangka menjalankan pendengaran semakan terhadap keputusan Mahkamah Majistret Selayang terhadap remaja itu, esok. – BERNAMA

  • Polis siasat dakwaan minuman Terence Naidu dicampur dadah

    Polis siasat dakwaan minuman Terence Naidu dicampur dadah

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Terence Naidu, kononnya minumannya telah dicampur dengan dadah sebelum ditangkap dalam satu serbuan baru-baru ini di Pulau Pinang.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJ), Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, siasatan akan dijalankan sepenuhnya, sebelum kertas siasatan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

    “Kita telah hantar sampel (urin) ke patologis untuk dapatkan laporan lengkap. Individu itu juga telah membuat laporan polis mendakwa ada yang telah memasukkan sesuatu dalam minuman. Itu pun kita akan siasat.

    “Sesiapa sahaja boleh membuat dakwaan atau membuat laporan polis. Kita akan siasat selengkapnya sebelum kertas siasatan disiapkan, dan dihantar ke DPP untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media berkaitan kejayaan JSJN Bukit Aman merampas dadah bernilai RM111.2 juta di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak hari ini, yang turut dihadiri Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

    Ayob Khan berkata, siasatan juga dilakukan terhadap dua anggota polis, yang turut ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan karaoke pada Khamis.

    Semalam, Terence Naidu dalam satu kenyataan mendakwa dihidangkan minuman ‘aneh’ sebelum ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Perai, Pulau Pinang kelmarin, kerana disyaki positif dadah.

    ADUN DAP itu berkata, sebelum ditahan, beliau diundang bertemu kawan-kawan yang juga pelanggan untuk perjumpaan dan makan sempena Tahun Baharu Cina.

    Menurutnya, ekoran insiden itu, sebaik sahaja dibebaskan, beliau telah membuat laporan polis menyatakan beliau terdedah kepada anasir yang mencurigakan. – BERNAMA