Oleh RIZQI ZABIDI
Seorang pemilik syarikat ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan penyata akaun bank syarikat yang mengandungi butiran palsu.
Permohonan reman bermula hari ini sehingga 19 Januari depan itu dibenarkan oleh Majistret Nur Nabilah A. Zainudin selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pagi tadi.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 46 tahun tersebut ditahan kira-kira pukul 3.30 petang, semalam di Pejabat SPRM Kuala Lumpur ketika hadir memberi keterangan.
Difahamkan, suspek dipercayai telah mengemukakan penyata akaun bank syarikat yang mengandungi butiran palsu kepada sebuah syarikat pembersihan di wilayah utara untuk memasuki tender pada 2018 dan 2019.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Dato’ Shaharom Nizam Abd Manap mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Pada 11 Januari lalu, seramai 21 individu ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes yang sama.