Category: Jenayah

  • ESSCom tahan 3 PATI terlibat ajaran sesat Wali Tujuh

    ESSCom tahan 3 PATI terlibat ajaran sesat Wali Tujuh

    KAWASAN Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) menahan tiga lelaki yang merupakan pendatang tanpa izin disyaki terlibat dengan kegiatan ajaran meragukan ‘Wali Tujuh’, malam tadi.

    Komander ESSCom, DCP Hamzah Ahmad berkata, suspek ditangkap dalam satu serbuan oleh ESSCom di sebuah rumah pekerja Ladang Bukit Kertam, Kota Kinabatangan di sini.

    “Individu tersebut ditahan untuk siasatan lanjut oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan kerana disyaki terlibat dengan kegiatan ajaran meragukan dikenali sebagai ‘Wali Tujuh’.

    “Beberapa barang peribadi milik seorang daripada individu terbabit antaranya kalendar ramalan, pisau, senjata jenis lastik dan pelbagai tangkal telah dirampas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Wali Tujuh
    Kalendar ramalan ajaran sesat Wali Tujuh yang dirampas oleh ESSCom. – Gambar: ESSCom

    Menurut Hamzah, berdasarkan risikan awal, kumpulan itu diketuai oleh seorang guru dibantu dua individu dan mula bergiat aktif sejak tiga bulan lepas dengan membawa ajaran ilmu batin dan kebal yang telah berkembang pantas serta menarik minat penyertaan pekerja ladang, khususnya warga asing di sekitar Lahad Datu dan Kinabatangan.

    Menurutnya, setakat ini, kumpulan tersebut mempunyai seramai 20 orang pengikut terdiri daripada warga asing yang merupakan pekerja ladang di sekitar daerah tersebut.

    ESSCom
    Barangan yang dirampas. – Gambar: ESSCom

    “ESSCom ingin menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan ajaran atau dakyah baharu yang boleh menimbulkan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat setempat.

    “Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu dan kumpulan yang sengaja mengganggu-gugat ketenteraman awam dan keselamatan di ESS Zone,” katanya. – BERNAMA

  • 19 tahun diburu polis, penjenayah dikehendaki akhirnya tumpas

    19 tahun diburu polis, penjenayah dikehendaki akhirnya tumpas

    POLIS merampas sepucuk pistol semi auto jenama Zaroki serta dua kelopak peluru berisi 10 butir peluru selepas menahan seorang lelaki dalam keadaan khayal berdekatan dengan keretanya di tepi jalan Kampung Kubang Endang, Bechah Keranji dekat Melor di Kota Bharu Isnin lepas.

    Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, siasatan mendapati bahawa penarik kereta berumur 38 tahun yang ditahan pada pukul 9.30 pagi itu merupakan penjenayah yang diburu polis sejak 2003.

    Beliau berkata, polis turut menemukan dua bilah pedang samurai dan plastik putih mengandungi dua liter cecair disyaki dadah, selain dua unit telefon bimbit jenama Nokia dan Iphone 5s selepas memeriksa kereta Honda Civic milik suspek.

    Katanya, pistol berkenaan ditemukan dalam poket seluar hadapan sebelah kanan suspek bersama dua kelopak berisi 10 butir peluru, yang dikatakan dibeli lelaki itu dari seorang lelaki Thailand awal Sept lepas dengan harga RM2,200.

    “Serbuan turut dilakukan di rumah suspek kira-kira 200 meter dari tempat kejadian, dan polis turut merampas 10,000 pil jenis Epam bernilai RM30,000 serta wang tunai RM54,000 dipercayai wang hasil dadah,” katanya pada sidang sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang pada hari ini.

    Shafien berkata, pada tahun 2003 suspek pernah meloloskan diri ketika Sekatan Jalan Raya (SJR) di Gua Musang, selain turut meninggalkan kad pengenalannya selepas diminta pihak polis.

    Katanya, suspek ditahan reman selama seminggu bermula semalam dan disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali. – BERNAMA

  • Lelaki pandu lawan arus tiada lesen, positif dadah

    Lelaki pandu lawan arus tiada lesen, positif dadah

    POLIS menahan seorang lelaki kerana memandu secara berbahaya, termasuk memandu melawan arus trafik, selepas lelaki itu enggan memberikan kerjasama semasa diminta memberhentikan kereta ketika pemeriksaan Op Selamat di Kilometer 15 Seremban-Port Dickson dekat sini, semalam.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, DSP Muhamad Mustafah Hussin berkata, kejadian berlaku pada pukul 11 pagi semasa lelaki berumur 25 tahun itu cuba melarikan diri dengan memecut menghala susur keluar ke Lukut, dipercayai kerana takut, berikutan tidak mempunyai lesen memandu serta cukai jalan telah tamat tempoh.

    Beliau berkata, lelaki bersama isteri dan tiga anaknya itu dikatakan sedang dalam perjalanan dari Kedah ke Port Dickson semasa kejadian.

    “Lelaki yang turut memandu secara melawan arus itu berjaya ditahan di tepi jalan di Taman Sentosa, Lukut, dan polis mengeluarkan saman atas kesalahan cukai jalan tamat tempoh serta tiada lesen memandu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Katanya, ujian saringan air kencing mendapati lelaki yang memiliki lapan rekod jenayah lampau itu positif dadah jenis metamfetamina, dan dia dibawa ke Mahkamah Seremban pagi ini untuk permohonan reman.

    Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam. – BERNAMA

  • JHS rampas 717 batang balak hasil aktiviti pembalakan haram

    JHS rampas 717 batang balak hasil aktiviti pembalakan haram

    KEGIATAN aktif pembalakan haram di kawasan Batu 36, Jalan Oya, Tamin, Selangau berjaya dihentikan oleh Jabatan Hutan Sarawak semasa melakukan rondaan penguatkuasaan di Sibu semalam.

    Pengarahnya, Datu Hamden Mohammad berkata, Pejabat Hutan Wilayah Sibu merampas kayu-kayu balak tersebut untuk siasatan lanjut serta membuat laporan polis di Balai Polis Selangau.

    “Apabila tiba ke lokasi berkenaan, pasukan penguatkuasaan ini telah menjumpai tujuh longgok kayu balak yang sebanyak 717 batang kayu balak pelbagai spesies dan saiz dipercayai telah ditebang secara haram kerana tidak mempunyai tanda Tukul JH, Tukul Hak Milik dan Tag LPI pada kedua hujung kayu balak berkenaan.

    “Satu kertas siasatan berkaitannya akan dibuka dalam waktu terdekat agar pihak yang terlibat tidak terlepas begitu sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Nilai rampasan keseluruhan kayu balak tersebut belum dapat dipastikan sehingga siasatan lanjut berkaitannya dilaksanakan.

    Hamden menegaskan pihaknya akan terus melakukan rondaan penguatkuasaan tanpa mengira cuti umum atau hujung minggu bagi mematahkan cubaan kegiatan haram ini.

  • 20 ditahan berpesta liar di inap desa

    20 ditahan berpesta liar di inap desa

    POLIS menahan 20 individu yang mengadakan parti liar dalam serbuan di sebuah inap desa di Jalan Presint 1, Darulaman Perdana, Sungai Petani, pukul 3 pagi tadi.

    Semua mereka yang ditahan masing-masing 18 lelaki dan dua wanita dikatakan baru mahu memulakan acara ‘goyang kepala’.

    Difahamkan, mereka berkongsi wang untuk menyewa inap desa terbabit selain turut mengenakan bayaran tertentu kepada setiap peserta yang hadir ke parti liar berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, dalam serbuan terbabit semua yang ditahan didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan sosial dan dikenakan kompaun.

    “Semua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk tindakan dan pemeriksaan lanjut.

    “Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan, enam daripada mereka yang kesemuanya lelaki berusia 18 hingga 24 tahun positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan.

    Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan tindakan mengikut Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

  • Gajah liar mati sebelum dipindahkan

    Gajah liar mati sebelum dipindahkan

    GAJAH yang ditangkap di Kampung Padang Tapong, Jertih, Sabtu lalu didapati mati di kebun getah pada di kampung berkenaan, petang semalam.

    Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya mendapati gajah berusia lingkungan 15 tahun itu mati kira-kira jam 2.30 petang.

    “Saya menerima berita sedih itu daripada kakitangan yang bertugas di lapangan, dan bedah siasat dilakukan oleh doktor veterinar Perhilitan pagi ini bagi mengetahui punca sebenar kematian gajah itu.

    “Setakat ini saya masih menunggu laporan rasmi punca kematian gajah tersebut, manakala bangkai gajah itu ditanam di lokasi ia dirantai,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Tambah Loo, gajah seberat kira-kira dua tan tersebut sebelum ini dijadual akan dipindahkan ke lokasi yang ditetapkan dengan bantuan gajah denak pada Rabu.

    Ahad lepas Bernama melaporkan, Perhilitan Terengganu berjaya menangkap seekor gajah jantan di Kampung Padang Tapong dekat Kampung Padang Luas, di sini selepas menerima aduan orang awam berhubung gajah liar yang berkeliaran sekitar kampung termasuk menghampiri kawasan taman perumahan.

    Kakitangan Perhilitan Terengganu berjaya menangkap gajah tersebut dengan menggunakan kaedah tembak ubat pelali dan haiwan itu dirantai kakinya pada pokok getah sementara menunggu ia dipindahkan. – Bernama

  • Peniaga ditipu arkitek, guna cop palsu PBT

    Peniaga ditipu arkitek, guna cop palsu PBT

    SEORANG peniaga kerugian RM4,000 selepas arkitek yang dibayar untuk membuat pelan pengubahsuaian rumah teresnya di Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lmmpur, menghilangkan diri.

    Kejadian bermula selepas mangsa, Abdul Razak Peer Muhammad, 50, mendapatkan khidmat dengan arkitek tersebut untuk pelan pengubahsuaian rumahnya termasuk kerja permohonan bagi mendapatkan kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

    Dia melakukan dua transaksi pemindahan wang pada pada 3 November dan 28 Disember tahun lalu sebagai pendahuluan bagi kerja membuat pelan itu.

    “Saya memindahkan wang sebanyak dua kali berjumlah RM2,500 dan RM1,500 ke dalam akaun bank arkitek berkenaan. Jumlah keseluruhan bayaran adalah RM5,000.

    “Ketika kerja pengubahsuaian rumah sedang dijalankan, saya menerima surat amaran daripada DBKL yang mengarahkan ia dihentikan serta-merta kerana tidak mempunyai kebenaran,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian, hari ini.

    Razak berkata, tindakan itu agak pelik kerana pelan tersebut sudah diluluskan pihak berkuasa tempatan (PBT) berdasarkan cop rasmi DBKL yang tertera di atas pelan itu.

    “Saya cuba hubungi semula arkitek berkenaan yang dikenali sebagai Nizam untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara itu namun gagal,” jelasnya.

    Razak berkata, dia terus ke Jabatan Bangunan DBKL dan pegawai bertugas memberitahu cop rasmi yang digunakan adalah palsu.

    Berasa dirinya tertipu, mangsa kemudian membuat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

    “Sekarang jiran sebelah rumah pula tidak berpuas hati kerana kerja ubah suai tergendala menjadikan kawasan itu tidak terurus dan boleh jadi tempat pembiakan nyamuk dan binatang berbisa,” ujar Razak.

    Sementara itu, sumber polis ketika dihubungi mengesahkan siasatan kes berkenaan sedang berjalan.

  • Bot karam, tekong dikhuatiri lemas

    Bot karam, tekong dikhuatiri lemas

    SEORANG tekong warga Indonesia dikhuatiri lemas di laut selepas bot lantingan dinaikinya karam di perairan Sibogo, Pulau Banggi, Kudat, semalam.

    Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kemudian mengaktifkan Operasi Carilamat selepas menerima aduan tekong bot lantingan yang gagal dihubungi sejak 5 pagi semalam.

    Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, mangsa, Rijal Idris, 47, dilaporkan berada di lokasi terakhir sekitar Utara Pulau Malawali.

    “Operasi Carilamat kemudian diaktifkan 1.45 tengah hari semalam dan mangsa Rijal Idris, 47, dilaporkan berada di lokasi terakhir sekitar Utara Pulau Malawali.

    “Aset maritim, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diatur gerak ke lokasi kejadian bagi melaksanakan pencarian awal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Boon Chin berkata, bot nelayan di kawasan berkenaan turut membantu dalam operasi.

    “Kawasan pencarian dibahagikan kepada empat sektor dengan keluasan 61 batu nautika persegi.

    “Turut membantu dalam usaha pencarian iaitu sebuah aset daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.

    Sementara itu, pihaknya memohon masyarakat untuk melaporkan sekirannya terdapat maklumat atau menemui sebarang petunjuk kepada Pusat Operasi Kudat di talian 088-611858 dan MERS 999.

  • 16 PATI Myanmar di berkas dalam lori

    16 PATI Myanmar di berkas dalam lori

    SERAMAI 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang bersembunyi dalam lori bersama-sama dua tekong darat warga tempatan diberkas di Kampung Batu Karang, Pasir Mas, Ahad lalu.

    Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) menahan mereka pada pukul 6 petang selepas lori berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan.

    Pegawai Pemerintah PGA8 Superitendan Mat Shukor Yusof berkata, PATI berkenaan terdiri daripada dua wanita dan 14 lelaki berusia antara 20 hingga 30-an.

    “Kes mula dikesan selepas sepasukan anggota PGA8 melakukan pemerhatian ke atas sebuah lori yang mencurigakan di Kampung Batu Karang di sini yang dipandu seorang lelaki tempatan bersama kelindannya.

    “Pemeriksaan lanjut di bahagian belakang lori bertutup itu mendapati ada 16 pendatang warga Myanmar terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mat Shukor berkata, kedua-dua lelaki tempatan berusia 30-an itu ditahan dipercayai bertindak sebagai tekong darat dengan menyediakan perkhidmatan pengangkutan haram dan disyaki terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia.

    Katanya, kedua-dua suspek dipercayai menerima upah dengan bayaran tertentu dan bertindak sebagai ‘penghantar’ dengan menggunakan lori bertutup bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

    “Kumpulan warga asing ini kemungkinan memasuki negara ini melalui pangkalan haram dan bersembunyi di mana-mana kawasan terlebih dahulu sebelum dibawa menaiki lori tersebut.

    “Kesemua yang ditahan termasuk sebuah lori diserahkan kepada Ibu Pejabat Daerah Polis Pasir Mas untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/1963,” katanya.

  • Lelaki maut ditembak 10 das di Bukit Mertajam

    Lelaki maut ditembak 10 das di Bukit Mertajam

    SEORANG lelaki maut selepas ditembak lebih 10 das tembakan dalam kejadian di kawasan tempat letak kenderaan di sebuah kondominium mewah di Jalan Baru, di Bukit Mertajam malam tadi.

    Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata  polis menerima laporan berhubung kejadian tembakan membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun itu pada pukul 9.30 malam sebelum sepasukan polis terus ke lokasi tersebut.

    “Mayat lelaki dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah itu ditemukan di tingkat tiga kawasan parkir dan polis tidak menolak kemungkinan suspek yang menembak mangsa lebih daripada seorang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya setakat ini polis menjumpai sebanyak 12 kelongsong peluru di lokasi kejadian namun jumlah das tembakan yang terkena tubuh mangsa masih disiasat.

    Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan dan polis tidak menolak kemungkinan kejadian tembakan itu bermotifkan dendam berikutan mangsa mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.

    Shuhaily berkata siasatan mendapati lelaki itu tinggal di kondominium mewah tersebut sejak lima bulan lepas dan pihaknya akan mendapatkan rakaman kamera liter tertutup (CCTV) di sekitar lokasi bagi membantu siasatan kes tersebut.

    Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.

    “Usaha mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian itu giat dijalankan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh,” katanya menambah berdasarkan siasatan, mangsa turut dikehendaki polis.