SAHABAT Alam Malaysia (SAM) menggesa Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengambil tindakan segera terhadap peniaga di Tumpat, Kelantan yang menjual burung merpati yang dicat dalam warna pelangi untuk melariskan jualan.
Presiden SAM, R. Meenakshi berkata, tindakan peniaga mewarnakan bulu burung merpati dengan pelbagai warna itu disifatkan sebagai satu bentuk keganasan dan kezaliman terhadap haiwan.
Jelas beliau, SAM membantah sekeras-kerasnya amalan peniaga itu kerana burung merpati secara semula jadi mempunyai pigmen di seluruh badan haiwan tersebut.
Selain itu tambahnya, meletakkan cat sintetik pada bulu burung merpati akan menjejaskan persekitaran semula jadi haiwan berkenaan.
“Burung merpati yang dicat tidak berpeluang untuk menyertai kawanan merpati lain secara bebas, malah tindakan menyapu pewarna kimia pada merpati menggangu keadaan semula jadi haiwan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan seorang peniaga burung merpati dan ayam serama di Kampung Kepulau di Tumpat, Kelantan menyembur cat di badan haiwan terbabit yang kemudian digelar merpati pelangi untuk melariskan jualan.
Bagaimanapun, tindakan peniaga itu dikecam banyak pihak yang menganggapnya satu bentuk kezaliman terhadap haiwan.
Dalam pada itu, Meenakshi turut menggesa pemilik haiwan bertanggungjawab terhadap kebajikan dan keperluan haiwan mereka di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 722).
Tegas beliau, para peniaga tidak akan berhenti mewarnakan bulu burung merpati dalam pelbagai warna jika tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa.
“Kita mesti membenarkan merpati hidup dalam keadaan persekitaran semula jadi tanpa sebarang gangguan,” katanya.