Category: Jenayah

  • Jenayah bitcoin haram meningkat secara drastik tahun lalu – Bukit Aman

    Jenayah bitcoin haram meningkat secara drastik tahun lalu – Bukit Aman

    JENAYAH  melombong bitcoin haram menunjukkan peningkatan drastik pada tahun lepas apabila 570 kertas siasatan dibuka selain penahanan 528 orang dengan nilai rampasan berjumlah RM54 juta, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan.

    Beliau berkata jumlah itu amat tinggi apabila dibandingkan dengan statistik tahun sebelumnya yang merekodkan 20 kertas siasatan dibuka dan penahanan 26 orang dengan nilai rampasan RM1.26 juta.

    “Majoriti mereka yang ditahan merupakan golongan muda iaitu antara 18 hingga 30 tahun yang dipercayai mudah terjebak kerana tertarik dengan pendapatan lumayan secara mudah manakala suspek paling tua berusia 61 tahun.

    “Polis juga telah membuka 20 fail di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) pada tahun lepas dan daripada jumlah itu, 10 individu dikenakan sekatan setakat ini,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan pelupusan barang kes kecurian elektrik bagi kegiatan bitcoin oleh Polis Kontinjen Pahang di Rompin hari ini.

    Turut hadir Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf, Ketua JSJ Pahang SAC Mohd Yusri Othman, Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian Tenaga Nasional Berhad (TNB) Wan Nazmy Wan Mahmood dan Majistret Rompin Wahidah Zainal Abidin.

    Berdasarkan statistik, Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang merekodkan jumlah kes melombong bitcoin haram paling tinggi, kerana dapat berselindung di sebalik jumlah kawasan perindustrian yang banyak memandangan kegiatan itu banyak menggunakan tenaga elektrik.

    “Kebanyakan suspek menggunakan premis perniagaan terpencil atau tersorok kerana kegiatan itu akan mengeluarkan bunyi bising dan haba panas selain akan kerap menyebabkan berlaku gangguan bekalan elektrik disebabkan penggunaan arus elektrik yang tinggi,” katanya.

    Abd Jalil berkata polis juga akan berbincang dengan Pejabat Peguam Negara supaya pendakwaan terhadap kesalahan bitcoin haram lebih dibuat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara berbanding Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990 yang membawa hukuman denda atau penjara, jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, Wan Nazmy berkata sebanyak 7,209 kes kecurian elektrik melibatkan premis bitcoin direkodkan selama tiga tahun bermula 2018 selain menyebabkan banyak kebakaran memandangkan aktiviti itu tidak mematuhi spesifikasi Suruhanjaya Tenaga dan TNB.

    “TNB juga kini menggunakan dron yang berkeupayaan mengesan haba panas dari udara di premis yang disyaki mejalankan aktiviti mencuri elektrik bagi melombong bitcoin secara haram selain memantau kawasan yang merekodkan penggunaan elektrik terlalu banyak namun bacaan meter adalah rendah,” katanya.

    Pasukan Special Engagement Against Losses (SEAL) TNB yang ditubuhkan sejak 10 tahun lepas juga menurut Wan Nazmy lebih diperkasakan sejak tiga tahun lepas, untuk membanteras kegiatan mencuri elektrik bagi kegiatan bitcoin haram.

    — BERNAMA

  • Beg dilarikan 5 suspek kes samun berisi barang kemas bernilai RM500,000

    Beg dilarikan 5 suspek kes samun berisi barang kemas bernilai RM500,000

    POLIS sedang memburu lima lelaki bersenjatakan parang yang melakukan samun dan melarikan satu beg berisi barang kemas dianggarkan bernilai RM500,000 di sebuah stesen minyak di Lukut, Pert Dickson, semalam.

    Ketua Polis daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian pukul 10.15 pagi itu suspek menyamun mangsa yang merupakan pemilik kedai emas.

    Menurutnya, suspek mengambil tiga buah beg berisi barang kemas, sebuah telefon bimbit, wang tunai dan dokumen peribadi milik mangsa sebelum melarikan diri.

    “Bagaimana pun dua daripada tiga beg itu telah dijumpai semula di dalam Honda CRV yang terbalik di hadapan deretan kedai.

    “Siasatan awal mendapati tiada unsur penglibatan orang dalam walaupun ada pihak yang mengatakan seolah-olah kes samun itu telah dirancang,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

    Menurutnya, kumpulan suspek ini dipercayai telah mengekori mangsa sejak dari awal sehingga berhenti di stesen minyak.

    “Usaha mengesan kesemua suspek yang dipercayai bukan penduduk Port Dickson itu giat dilakukan dan orang awam atau saksi yang mempunyai sebarang maklumat diminta membantu siasatan.

    “Maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Inspektor Fatiha Nur Hamidus di talian 013-6217365 atau Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di talian 06-6462999,” katanya.

  • Pegawai khas ADUN diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud

    Pegawai khas ADUN diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud

    SEORANG pegawai khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerugian RM9,345 selepas diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud.

    Sinar Harian melaporkan, mangsa, 52, mendapat maklumat berhubung pinjaman berkenaan di laman sosial Instagram pada Selasa lepas.

    Ketua Polis daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, lelaki tersebut ingin membuat pinjaman sebanyak RM10,000 kemudiannya berurusan dengan dua ejen pinjaman dikenali sebagai Tony 011-17856169 dan Daniel Heng 011-72212382 melalui aplikasi WhatsApp.

    “Percaya dengan urusan yang dijalankan mangsa telah diminta untuk melakukan bayaran disebabkan ‘scoring’ akaun bank mangsa tidak layak untuk melakukan pinjaman.

    “Mangsa membuat pembayaran sebanyak RM9,345.92 untuk menguruskan akaun bank tersebut termasuk bayaran cukai bagi meluluskan pinjaman di tiga akaun berbeza atas nama Sapiah Mohd Yusof, Vynielly Deli dan Jordan Choo Tai Syn.

    “Bagaimanapun, mangsa masih lagi diminta untuk melakukan bayaran tambahan untuk meluluskan pinjaman ini. Menyedari dirinya ditipu, mangsa membuat laporan polis pada Rabu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Sementara itu dalam perkembangan lain, Chang Hook berkata, seorang pelajar perempuan berusia 18 tahun juga mengalami kerugian RM1,950 selepas ditipu dengan tawaran pembelian sebuah komputer riba menerusi Instagram.

    “Dia melihat iklan jualan komputer riba itu pada 2 Februari lepas bernilai RM1,950 lalu berurusan dengan seorang lelaki dan barang itu akan sampai dalam masa dua hari sekiranya pembayaran penuh di buat.

    “Mangsa bersetuju dengan tawaran berkenaan lalu membuat pembayaran dalam sebuah akaun bank atas nama Viknesh Chandran sebanyak RM1,400 pada 3 Februari secara dalam talian seterusnya RM550 pada 9 Februari atas nama K. Prabu.

    “Sehingga ke hari ini mangsa tidak menerima komputer riba seperti mana yang di janjikan malah lelaki berkenaan juga gagal dihubungi. Hasil Siasatan awal nombor akaun yang digunakan mempunyai rekod penglibatan penjenayah penipuan,” ujarnya.

    Tambahnya, mangsa membuat laporan polis pada Rabu kedua-dua kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

  • Sindiket curi Proton Wira tumpas, sembilan ditahan

    Sindiket curi Proton Wira tumpas, sembilan ditahan

    SEMBILAN individu ditahan termasuk seorang wanita selepas polis menumpaskan sindiket curi Proton Wira yang aktif di Lembah Klang.

    Kesemua suspek berusia antara 24 hingga 38 tahun itu berjaya diberkas oleh Bahagian Risikan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul dalam beberapa siri serbuan Op Lejang Wira sejak 9 Februari sehingga kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, siasatan dan risikan dilakukan selepas menerima laporan kes kecurian kenderaan.

    “Seramai lapan lelaki dan seorang wanita tempatan berjaya ditahan di beberapa lokasi berasingan di Sentul, Petaling Jaya dan Rawang, Selangor.

    “Hasil penahanan itu, polis menemui empat kereta Proton Wira yang pernah dilaporkan hilang. Turut dirampas sembilan telefon bimbit, tiga kunci Allen(allen key ) ditajamkan dan dua jenis spanar yang diubahsuai disyaki digunakan untuk mencuri kenderaan.

    “Kesemua rampasan itu dianggarkan bernilai lebih RM24,000,” katanya memetika laporan Harian Metro, hari ini.

    Terdahulu, beliau mengadakan lawatan mesra bertemu peniaga dan pengunjung di Pasar Pagi Taman Kok Doh, Sentul, di sini.

    Mengulas lanjut, Beh berkata, soal siasat dilakukan mendedahkan modus operandi kumpulan berkenaan yang menyasarkan kenderaan berkenaan bagi mendapatkan komponen untuk dijual.

    “Komponen dijual kepada individu berminat dan pemilik kedai alat ganti kenderaan dikenali di sekitar kawasan Gombak, manakala bateri kereta pula dijual di kedai barangan lusuh,” katanya.

    Katanya, semakan mendapati kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau dengan suspek utama adalah bekas tahanan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) yang baru selesai menjalani hukuman.

    Kata beliau, enam suspek masih dalam tahanan reman manakala dua suspek dibebaskan dengan jaminan dan dijadikan saksi polis.

    Beliau percaya, dengan tertumpasnya kumpulan curi kenderaan itu, ia berjaya menyelesaikan lima kes kecurian di Lembah Klang.

  • Motif lelaki tetak leher ibu tiri hingga putus masih disiasat

    Motif lelaki tetak leher ibu tiri hingga putus masih disiasat

    MOTIF pembunuhan seorang wanita yang ditetak leher hingga putus oleh anak tirinya di Kampung Dalam Senduk, Jerek, Gua Musang, Kelantan petang semalam kini dalam siasatan polis.

    Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, suspek yang tampil menyerah diri di Balai Polis Bertam sejurus selepas kejadian pada pukul 4.55 petang itu ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 22 Februari.

    Beliau berkata, tangkapan sudah dibuat semalam dan siasatan awal mendapati lelaki berusia 39 tahun itu kurang siuman dan ketika kejadian dia berada di bawah pengaruh dadah.

    Justeru katanya, polis akan membuat siasatan lanjut untuk mengetahui motif kejadian sama ada terdapat salah faham atau mempunyai perasaan tidak puas hati.

    “Kita percaya ia mungkin turut membabitkan kes antara keluarga,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Semalam media melaporkan seorang wanita berusia 54 tahun ditemukan mati dengan keadaan leher putus dipercayai dibunuh oleh anak tirinya menggunakan parang.

    Mangsa ditemukan dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu rumahnya manakala senjata yang digunakan juga dijumpai di lokasi.

    Terdahulu, Shafien hadir di perumahan pegawai kanan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di Kampung Terbak di sini, melawat empat pegawai dan anggota polis yang cedera diserang lelaki kurang siuman dalam kejadian malam Sabtu lalu.

  • Empat menyamar pengawal keselamatan ditahan pecah masuk gudang

    Empat menyamar pengawal keselamatan ditahan pecah masuk gudang

    POLIS menahan empat lelaki tempatan selepas dipercayai memecah masuk sebuah gudang di Bercham, Perak dan mencuri peralatan pembinaan membabitkan kerugian kira-kira RM800,000 dalam serbuan pada Selasa lepas.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata dalam serbuan pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu, kesemua suspek berumur lingkungan 42 hingga 58 tahun yang menyamar sebagai pengawal keselamatan sedang memindahkan barangan curi ke dalam lori dan trak.

    “Turut dirampas ialah kenderaan dan peralatan yang digunakan untuk melakukan jenayah serta barangan besi seberat 7.3 tan metrik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, gudang itu berada di kawasan terpencil yang jarang dilalui orang awam. Ini memudahkan lagi suspek melakukan kegiatan haram tersebut.

    Kesemua suspek direman hingga 22 Feb bagi membantu siasatan.

    Yahaya berkata polis juga sedang mengesan seorang lagi suspek utama yang tidak berada di lokasi kejadian dikenali sebagai S.Yogentheran, dipercayai dalang kes berkenaan.

    Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi ASP Norshaharah Marzuki di talian 0174817800 atau mana-mana balai polis berhampiran.  – Bernama

  • Wanita mati, leher putus ditetak dengan parang oleh anak tiri di Gua Musang

    Wanita mati, leher putus ditetak dengan parang oleh anak tiri di Gua Musang

    SEORANG wanita ditemukan mati dengan leher putus dipercayai dibunuh oleh anak tirinya menggunakan parang di Kampung Dalam Senduk, Jerek di Gua Musang, petang tadi.

    Dalam kejadian jam 4.55 petang itu, mayat mangsa berusia 54 tahun ditemui di ruang tamu rumahnya.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata suspek berusia 39 tahun yang juga pesakit mental selain penagih dadah tampil ke balai polis menyerah diri selepas kejadian.

    “Suspek hadir di Balai Polis Bertam memaklumkan sudah membunuh ibu tirinya di rumah menggunakan parang. Pemeriksaan di sebuah rumah di lokasi kejadian menemui seorang wanita dalam keadaan berlumuran darah dengan leher putus akibat tetakan menggunakan parang.

    “Suspek seorang penagih dadah selain pesakit mental dan kini ditahan untuk siasatan lanjut. Pihak polis turut menemui parang dipercayai yang digunakan suspek di lokasi kejadian,” katanya lapor Berita Harian.

    Beliau berkata, mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    “Kita masih menyiasat punca kejadian sama ada berlaku pergaduhan atau sebaliknya,” katanya.

  • Polis tahan lima lelaki terlibat kes tetak di Benut

    Polis tahan lima lelaki terlibat kes tetak di Benut

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    LIMA suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian menetak tangan seorang lelaki di sebuah restoran di Bandar Benut, Pontian kelmarin ditahan polis.

    Penahanan kelima-lima suspek lelaki itu berjaya dilakukan dalam tempoh 48 jam di tiga lokasi berasingan di daerah itu dan Batu Pahat.

    Tangkapan pertama melibatkan dua suspek dilakukan di tepi jalan di bandar Pontian pada pukul 10 pagi, semalam bersama kenderaan jenis Toyota Alphard berwarna putih.

    Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, siasatan lanjut oleh polis membawa kepada penahanan dua lagi lelaki pada pukul 12.15 tengah malam tadi di Pekan Yong Peng, Batu Pahat .

    “Selepas itu, seorang lagi lelaki ditahan di Benut pada pukul 6.30 pagi ini, menjadikan kesemua lima orang terlibat dengan kejadian tersebut berjaya ditahan untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Tambah Mohammad Shofee, kelima-lima suspek yang ditahan berusia antara 21 hingga 53 tahun dengan dua daripadanya mempunyai rekod kesalahan lampau.

    “Turut dirampas tiga bilah pedang yang digunakan dalam kejadian tersebut dan mereka telah ditahan reman selama enam hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut.” ujarnya.

    Jelas beliau, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan.

    Dalam kejadian pada Isnin lalu, seorang lelaki mengalami kecederaan parah di tangan kanan apabila ditetak di sebuah restoran di Bandar Pontian oleh dua lelaki yang menaiki kereta Toyota Alphard berwarna putih.

    Bagaimanapun ketika pasukan polis tiba di lokasi kejadian, mangsa yang mengalami kecederaan parah telah dihantar ke hospital dan semakan nombor pendaftaran kenderaan mewah tersebut adalah palsu.

    Sementara itu, Mohammad Shofee turut menghargai bantuan orang awam serta saksi-saksi yang melihat kejadian tersebut sehingga suspek berjaya ditangkap oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Pontian dalam masa singkat.

  • Op Benteng:11 PATI warga Indonesia ditahan

    Op Benteng:11 PATI warga Indonesia ditahan

    Oleh ABU UBADILLAH RAHMAN

    TENTERA Darat Malaysia (TDM) menahan 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia di pinggir Hutan Tenggaroh, Kota Tinggi, hari ini selepas mendapat maklumat penduduk setempat.

    Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam satu kenyataan memberitahu, pada pukul 4.20 pagi anggota petugas Pos Pemerhati mengesan dan melihat pergerakan orang yang mencurigakan di pinggir hutan itu.

    “Pada jam 5.10 pagi, Tim Quick Reaction Force (QRF) telah diaturgerakkan ke lokasi kejadian dan seterusnya berjaya menahan dan membuat penangkapan ke atas 11 PATI.

    Kesemua empat PATI yang berusia sekitar 19 hingga 50 tahun telah diserahkan ke Markas Taktikal Pos Tanjung Sepang

    “Kesemua empat PATI yang berusia sekitar 19 hingga 50 tahun telah diserahkan ke Markas Taktikal Pos Tanjung Sepang untuk disoal siasat dan proses dokumentasi,” jelas kenyataan tersebut.

    Ujian saringan Covid-19 dibuat ke atas mereka di Klinik Kesihatan Sungai Rengit dan hasilnya mendapati semua PATI negatif sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia, Johor Bahru.

    Semua PATI dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Rengit dan hasilnya mendapati semua PATI negatif sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia, Johor Bahru

    Menurut kenyataan tersebut, laporan kejadian tersebut dibuat di Balai Polis Sungai Ambat pada pukul 8 pagi.

    Tambah kenyataan itu, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM413 melibatkan RM208, matawang Indonesia IDR 18,000 (RM 5.27), matawang Vietnam VND1,000 (RM0.18), empat buah telefon bimbit pelbagai jenama bernilai RM200.

    “Pasukan meneruskan atur gerak Tim QRF dan Tim Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) serta bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI sekitar kawasan tangkapan,” katanya.

  • Tikam perut sendiri selepas simbah isteri dengan air panas

    Tikam perut sendiri selepas simbah isteri dengan air panas

    SEORANG lelaki menikam isterinya selepas berlaku pertengkaran di rumah mereka di Kampung Pondo, Pulau Gaya, Kota Kinabalu, 11.30 malam Ahad lalu.

    Isterinya yang berusia 40 tahun cedera akibat disimbah air panas oleh suaminya, 41, sebelum bertindak menikam perut sendiri.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd. Rakman berkata, pihaknya menerima laporan yang memaklumkan sepasang suami cedera dan dihantar ke Hospital Quen Elizabeth I oleh orang awam.

    Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada pertengkaran mengenai masalah kewangan yang dihadapi pasangan terbabit.

    “Ketika kejadian, mangsa sedang menjerang air di dapur dan berlaku pertengkaran antara keduanya.

    “Pertengkaran semakin buruk apabila mangsa mengungkit perkara lalu dan disebabkan gagal mengawal emosi, suspek mengambil cerek air berkenaan dan menyimbah ke arah mangsa sehingga terkena pada bahagian bahu dan tangan kiri mangsa.

    “Suspek kemudian mengambil sebilah pisau pemotong sayur dan menikam perutnya sendiri,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    George berkata, hasil siasatan lanjut juga mendapati, mangsa mempunyai dua anak hasil perkahwinan pertamanya dan berkahwin dengan suspek beberapa bulan yang lalu serta tidak mempunyai anak.

    “Pertengkaran mengenai masalah kewangan sering berlaku sebelum ini selepas suspek kehilangan pekerjaan.

    “Selama berkahwin dengan mangsa, suspek juga dikatakan sering ditendang dan ditampar oleh mangsa apabila bertengkar mengenai kewangan,” katanya.

    George berkata, mangsa dan suspek kini masih dalam rawatan namun berada dalam keadaan stabil dan siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 326A dan 309 Kanun Keseksaan.