POLIS menahan empat lelaki tempatan selepas dipercayai memecah masuk sebuah gudang di Bercham, Perak dan mencuri peralatan pembinaan membabitkan kerugian kira-kira RM800,000 dalam serbuan pada Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata dalam serbuan pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu, kesemua suspek berumur lingkungan 42 hingga 58 tahun yang menyamar sebagai pengawal keselamatan sedang memindahkan barangan curi ke dalam lori dan trak.

“Turut dirampas ialah kenderaan dan peralatan yang digunakan untuk melakukan jenayah serta barangan besi seberat 7.3 tan metrik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, gudang itu berada di kawasan terpencil yang jarang dilalui orang awam. Ini memudahkan lagi suspek melakukan kegiatan haram tersebut.

Kesemua suspek direman hingga 22 Feb bagi membantu siasatan.

Yahaya berkata polis juga sedang mengesan seorang lagi suspek utama yang tidak berada di lokasi kejadian dikenali sebagai S.Yogentheran, dipercayai dalang kes berkenaan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi ASP Norshaharah Marzuki di talian 0174817800 atau mana-mana balai polis berhampiran.  – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here