Category: Jenayah

  • Mayat mangsa lemas ditemukan tersangkut pada saluran paip penyedut pasir

    Mayat mangsa lemas ditemukan tersangkut pada saluran paip penyedut pasir

    MAYAT seorang lelaki yang lemas ketika mandi di sungai Kampung Rajawali, Dungun petang semalam ditemukan hari ini.

    Mayat Ahmad Solihin Ishak, 22, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 9.25 pagi ini, lapor Harian Metro.

    Menurut Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, ketika ditemui, mayat mangsa didapati tersangkut pada saluran paip penyedut pasir sekitar 700 meter dari tempat mangsa dilaporkan hilang.

    Katanya, sebelum kejadian, mangsa ada memberitahu keluarganya untuk ke sungai pada pukul 4 petang semalam.

    Bagaimanapun katanya, sehingga 7 malam, mangsa tidak pulang menyebabkan ahli keluarganya mencari di kawasan tersebut, namun gagal menemuinya.

    Baharudin berkata, keluarga mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Daerah Dungun.

    “Sebaik menerima laporan, polis, bomba dan penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) segera melancarkan gerakan mencari dan menyelamat.

    “Kita percaya mangsa mandi di kawasan beting pasir dan ketika cuba menyeberang ke sebuah lagi beting pasir, mangsa dipercayai dihanyutkan arus,” ujar beliau.

    Menurut Baharuddin, mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian.

  • 19 PATI ditahan termasuk tekong, pemandu van persiaran

    19 PATI ditahan termasuk tekong, pemandu van persiaran

    SERAMAI 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ditahan bersama-sama seorang lelaki warga Thailand yang bertindak sebagai tekong darat selepas menahan sebuah van persiaran jenis Era Komuter di Kampung Lubok Kawah, Pasir Mas, pukul 5.45 pagi kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, pihaknya turut menahan pemandu van tersebut yang berusia 37 tahun bagi membantu siasatan berhubung penahanan PATI berkenaan.

    “Sekitar pukul 5 pagi pihak polis telah membuat rondaan sejurus menerima maklumat berkait dengan aktiviti penyeludupan migran di kawasan Kampung Siram, Pasir Mas.

    “Semasa melakukan rondaan, anggota berkenaan telah terserempak dengan sebuah van persiaran berwarna putih hijau dan kereta jenis Audi A4 berwarna putih yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan pada jam 5.45 pagi.

    “Menyedari kehadiran anggota polis, kedua-dua kenderaan tersebut cuba melarikan diri. Bagaimanapun van persiaran berjaya ditahan di Kampung Lubok Kawah sementara kereta Audi A4 gagal dikesan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas van persiaran tersebut menemui sembilan wanita dan 10 lelaki warga Myanmar berusia antara 20 hingga 39 tahun.

    Beliau berkata, van persiaran tersebut dipandu oleh seorang lelaki tempatan dari Padang Serai, Kedah.

    Katanya, hasil siasatan terhadap pemandu tersebut pihaknya berjaya menahan seorang warga Thailand berusia 42 tahun dipercayai menjadi tekong yang membawa masuk PATI ke negara ini.

    “Kesemua suspek telah ditahan di bawah Seksyen 51 (3) Akta Imigresen (Pindaan 2002) iaitu peruntukan menahan warganegara asing yang ditangkap untuk siasatan lanjut,” katanya.

  • Bayi ‘terkeluar’ daripada kandungan antara 3 maut nahas motosikal di Pasir Mas

    Bayi ‘terkeluar’ daripada kandungan antara 3 maut nahas motosikal di Pasir Mas

    BAYI lelaki yang “terkeluar” daripada kandungan ibunya dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Kampung Lumpur, Pasir Mas, Kelantan, 7 malam semalam meninggal dunia kira-kira 12 tengah malam tadi.

    Bapanya, Mohd Khairi Hasbullah, 31, sempat mengazankan anak keempatnya itu sebelum bayi berkenaan dilaporkan meninggal dunia, lima jam selepas kemalangan

    “Saya reda apabila anak kami turut pergi bersama ibunya,” katanya lapor Berita Harian.

    Dalam kejadian itu isterinya, Nur Hasliza Yazaib, 25, yang sarat mengandung sembilan bulan, meninggal dunia selepas motosikal ditunggang bertembung sebuah motosikal lain.

    Remaja lelaki yang menunggang motosikal itu turut meninggal dunia di hospital.

    Khairi hanya mampu menangis sebaik dipanggil doktor dan dimaklumkan bayinya gagal diselamatkan.

    Ketika ini, beliau hanya memikirkan anak kedua, Nurul Iman Maisara, 6, yang membonceng bersama isterinya dan dilaporkan parah di kepala serta ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

    “Doakan supaya Nurul Iman selamat dan saya diberi kekuatan demi dua lagi cahaya mata berusia lapan dan tiga tahun,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Mohd Nasaruddin M Nasir, mengesahkan nahas berkenaan kini mengorbankan tiga nyawa dengan kematian bayi itu.

    Katanya, penunggang motosikal, Muhamad Shakim Muhamad Zaki, 18, dilaporkan meninggal ketika menerima rawatan di Hospital Pasir Mas (HPM). “Remaja itu dikatakan gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas dan melanggar motosikal ditunggang mangsa wanita sarat mengandung bersama seorang anak perempuan,” katanya

  • Polis tahan 2 lelaki berpakaian wanita di Laman Mahkota Istana Bukit Serene ditahan

    Polis tahan 2 lelaki berpakaian wanita di Laman Mahkota Istana Bukit Serene ditahan

    POLIS menahan dua lelaki hari ini berhubung dakwaan berpakaian wanita dan mengambil gambar kurang sopan di hadapan Laman Mahkota Istana Bukit Serene di sini serta memuat naiknya menerusi laman sosial Facebook.

    Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata gambar tersebut kemudiannya dikongsikan semula oleh pengendali Facebook Persatuan Bangsa Johor daripada pemilik akaun Facebook Bryan Wee dan Deachon Chai.

    Beliau berkata tangkapan dilakukan kira-kira 12.30 hingga 1.30 tengah hari tadi di sekitar Taman Nusa Bestari dan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di sini.

    “Kedua-duanya akan direman untuk siasatan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang menimbulkan kegusaran awam dan menggugat keharmonian negara, jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    “Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian, jika disabit kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kamarul Zaman berkata ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua lelaki itu positif dadah jenis ketamin dan mereka turut disiasat di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Justeru, polis menyeru orang ramai supaya menggunakan media sosial secara berhemah dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat keselamatan serta ketenteraman awam,” katanya.

    Terdahulu, tular menerusi media sosial beberapa keping gambar kedua-dua lelaki berkenaan berpakaian wanita dan kurang sopan di hadapan Laman Mahkota Istana Bukit Serene.

    — BERNAMA

  • Kes ADUN positif dadah: Polis belum terima arahan PPN

    Kes ADUN positif dadah: Polis belum terima arahan PPN

    POLIS Pulau Pinang telah menyerahkan kertas siasatan kes Ahli Dewan Undangan (ADUN) Perak yang ujian air kencingnya positif dadah ketika ditahan di sebuah pusat hiburan di Perai dekat George Town bulan lepas, kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) untuk tindakan selanjutnya.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, ACP Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, kertas siasatan yang lengkap dengan laporan patologi sampel air kencing ADUN itu diserahkan pada 3 Feb lepas.

    “Setakat ini kami belum mendapat sebarang arahan daripada PPN untuk tindakan lanjut, sama ada untuk mendakwa atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita di George Town, Pulau Pinang hari ini.

    Kertas siasatan berkenaan sebelum ini sudah pun diserahkan kepada PPN Pulau Pinang sekitar hujung bulan lepas, namun ia dikembalikan untuk beberapa tindakan susulan.

    Pada 13 Jan lepas, dalam serbuan kira-kira pukul 9 malam di sebuah pusat hiburan di Perai, 48 individu ditahan dengan 36 daripadanya berkaitan kes narkotik manakala 12 lagi berkaitan kes jenayah, dan seorang daripada yang ditahan ialah ADUN Pasir Bedamar, Terence Naidu apabila ujian air kencing mendapati dia positif dadah.

    Terence Naidu bagaimanapun menafikan beliau mengambil dadah, malah dalam surat penjelasannya kepada DAP beliau memberitahu hasil ujian saringan air kencing yang dibuat di sebuah klinik kemudiannya mendapati beliau negatif dadah. – BERNAMA

  • Warga asing dalang sindiket edar pil kuda

    Warga asing dalang sindiket edar pil kuda

    POLIS Pulau Pinang menahan seramai tiga warga asing termasuk seorang wanita yang disyaki menjadi dalang sindiket pengedaran pil kuda dan merampas 90,000 biji pil kuda bernilai RM900,000.

    Turut dirampas dalam tiga serbuan di sekitar Jelutong, Georgetown semalam dan kelmarin itu adalah dadah jenis syabu bernilai RM69,500 dan 27,000 pil jenis psikotropik (RM9,000).

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd Zain berkata, kesemua suspek yang ditahan itu berusia 34 hingga 47 tahun dan bekerja sebagai kontraktor binaan manakala suspek wanita merupakan teman wanita salah seorang suspek lelaki berusia 36 tahun.

    Katanya, salah seorang suspek telah berada di negara ini sejak 10 tahun lalu serta mempunyai dokumen perjalanan sah dan dipercayai sudah aktif mengedar pil serta dadah berkenaan sejak Mac tahun lalu.

    “Kita percaya pil psikotropik yang dirampas adalah untuk dijual kepada buruh di tapak pembinaan kerana pil itu dapat membantu mengatasi masalah tidur dan kemurungan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Tambah beliau, dalam operasi sama polis turut menyita tiga buah kenderaan, barang kemas dan wang tunai yang keseluruhan rampasan berjumlah RM82,550.

    Sementara itu katanya, dalam operasi berasingan kelmarin dan semalam juga, polis turut menahan tiga lelaki tempatan berusia 39 hingga 53 tahun di Kubang Semang kerana disyaki terlibat dengan kegiatan pengedaran ganja.

    Jelasnya, polis turut menjumpai tiga ketulan mampat plastik lutsinar disyaki ganja seberat 950 gram bernilai RM2,375 di kediaman suspek yang bekerja sebagai buruh dan petani.

    “Selain itu, kita turut merampas wang tunai bernilai RM181,000 di rumah suspek dan risikan mendapati sindiket ini aktif sejak pertengahan tahun lalu,” katanya.

    Tambah beliau, kesemua suspek dalam dua kes tersebut ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta direman selama tujuh hari bermula semalam.

  • Guna perisian cetak rompak, 3 syarikat didenda RM26,000

    Guna perisian cetak rompak, 3 syarikat didenda RM26,000

    TIGA buah syarikat masing-masing syarikat kejuruteraan, hiasan dalaman dan membuat komponen elektronik diserbu kerana disyaki menggunakan perisian cetak rompak bagi menjalankan perniagaan mereka.

    Serbuan secara berasingan itu dilakukan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Timur Laut, Pulau Pinang bermula Selasa hingga semalam.

    Ketua Pegawai Penguat Kuasa PPDNHEP Daerah Timur Laut, Ahmad Ahrazzuddin Ahmad Hamdan berkata, serbuan dijalankan bersama pihak pengadu iaitu Business Software Alliance terhadap penggunaan perisian komputer yang dipercayai salinan langgaran.

    Menurut beliau, kesemua salinan langgaran yang digunakan oleh syarikat terbabit didapati mempunyai hak cipta.

    “Dalam operasi ini, kita menyita lima komputer meja dan tiga komputer riba bagi tujuan siasatan dengan anggaran nilai rampasan bagi ketiga-tiga serbuan kira-kira RM26,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Ahmad Ahrazzuddin berkata, antara salinan langgaran yang digunakan itu termasik Windows 10 Pro; Office Home and Business 2016; Solidware Premium 2020, Illustrator 2019 dan AutoCAD 2019.

    “Kes itu disiasat di bawah Akta Hak Cipta 1987, dan jika disabitkan kesalahan seseorang itu boleh dikenakan denda sebanyak tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak boleh melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

  • Wanita larikan kereta ditahan

    Wanita larikan kereta ditahan

    SEORANG  wanita ditahan kerana disyaki melarikan sebuah kereta milik sepasang suami isteri yang ditinggalkan tanpa mematikan enjin kenderaan di Jalan Genting Klang di Kuala Lumpur, petang semalam.

    Suspek berusia 38 tahun dan memiliki 14 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah bertindak memandu kereta jenis Honda City secara agresif dan kemudian melanggar beberapa kenderaan seperti dipaparkan menerusi rakaman video yang tular di media sosial hari ini.

    Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Ashari Abu Samah berkata hasil siasatan polis mendapati kejadian berlaku pada 2.30 petang di hadapan Kolej Vokasional Setapak, ketika mangsa lelaki bersama isterinya keluar dari kenderaan tanpa mematikan enjin untuk mengangkat barang.

    “Mangsa kemudian mendapati kenderaannya dibawa lari seorang wanita menghala ke pusat bandar. Mangsa kemudian bertindak meminjam motosikal milik pengawal keselamatan yang berada berdekatan untuk membuat laporan polis.

    “Apabila tiba di lampu isyarat hadapan Setapak Central, mangsa mendapati kenderaannya terbabit dalam kemalangan selain suspek telah ditahan oleh orang awam dan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

    Beliau berkata suspek disiasat di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu atau menunggang dengan gopoh di jalan awam.

    — BERNAMA

  • SPRM tahan bekas pengarah kerana terima rasuah

    SPRM tahan bekas pengarah kerana terima rasuah

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas pengarah agensi kerajaan kerana disyaki mengambil rasuah bagi meluluskan tender penyelenggaraan dan pembekalan bernilai RM31,629.

    Sinar Harian hari ini melaporkan, suspek berusia 55 tahun ditahan di Pejabat SPRM Melaka pada pukul 4.55 petang di Melaka, hari ini.

    Suspek yang masih berkhidmat dipercayai menerima wang rasuah ketika berkhidmat sebagai pengarah di sebuah agensi awam di negeri ini antara 2017 hingga 2019 apabila meluluskan tender penyelenggaraan dan pembekalan bernilai RM31,629.

    Difahamkan suspek menerima sebahagian daripada nilai tersebut atas tujuan peribadi.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Tuan Mohd. Shahril Che Saad yang dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

    “Suspek akan dihadapkan di Mahkamah Seksyen Ayer Keroh di Melaka pada Jumaat untuk menjalani pertuduhan,” katanya.

  • 3 pemancing terperangkap bawah Jambatan Pulau Pinang

    3 pemancing terperangkap bawah Jambatan Pulau Pinang

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang berjaya menyelamatkan tiga pemancing yang terperangkap di bawah Jambatan Pulau Pinang dalam kejadian awal pagi tadi. 

    Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang menerima panggilan kecemasan daripada seorang mangsa kira-kira pukul 2 pagi.

    Katanya, salah seorang mangsa memaklumkan mereka mula memancing di bawah jambatan terbabit pukul 7 malam semalam dan bercadang pulang ke darat pukul 7 pagi ini.

    Bagaimanapun katanya, hujan lebat tengah malam tadi menyebabkan laut bergelora serta air pasang besar dan situasi itu membimbangkan mangsa yang kemudian menghubungi bot yang disewa untuk membawa mereka pulang segera. 

    “Namun, bot tersebut tidak dapat mengambil mereka di bawah jambatan disebabkan cuaca buruk dan membahayakan.

    “Mereka terperangkap di bawah jambatan sebelum menghubungi Maritim Malaysia Pulau Pinang pukul 2 pagi untuk mendapatkan khidmat bantuan dan menyelamat,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Tambah beliau, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan itu menggerakkan bot Kilat 26 ke lokasi untuk menyelamatkan mangsa dan kesemua mereka tiba di Jeti PPM Batu Uban kira-kira pukul 4.45 pagi.

    “Mangsa yang berjaya diselamatkan dikenal pasti sebagai Abu Bakar Dollah; Mohd. Khuzairi Azhari dan Siti Nur Fairus Abu Bakar berumur lingkungan 23 hingga 58 tahun serta berasal dari Permatang Pauh,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau mengingatkan mana-mana individu yang ingin keluar ke laut supaya memastikan langkah keselamatan telah diambil seperti memakai jaket keselamatan, membawa ‘Personal Locator Beacon’, menyediakan bekalan makanan dan minuman secukupnya, memaklumkan kepada ahli keluarga tentang perjalanan dan sebagainya. 

    “Sebarang aduan salah laku jenayah maritim di laut atau sebarang kecemasan segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999,” katanya.