SEORANG lelaki menikam isterinya selepas berlaku pertengkaran di rumah mereka di Kampung Pondo, Pulau Gaya, Kota Kinabalu, 11.30 malam Ahad lalu.

Isterinya yang berusia 40 tahun cedera akibat disimbah air panas oleh suaminya, 41, sebelum bertindak menikam perut sendiri.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd. Rakman berkata, pihaknya menerima laporan yang memaklumkan sepasang suami cedera dan dihantar ke Hospital Quen Elizabeth I oleh orang awam.

Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada pertengkaran mengenai masalah kewangan yang dihadapi pasangan terbabit.

“Ketika kejadian, mangsa sedang menjerang air di dapur dan berlaku pertengkaran antara keduanya.

“Pertengkaran semakin buruk apabila mangsa mengungkit perkara lalu dan disebabkan gagal mengawal emosi, suspek mengambil cerek air berkenaan dan menyimbah ke arah mangsa sehingga terkena pada bahagian bahu dan tangan kiri mangsa.

“Suspek kemudian mengambil sebilah pisau pemotong sayur dan menikam perutnya sendiri,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

George berkata, hasil siasatan lanjut juga mendapati, mangsa mempunyai dua anak hasil perkahwinan pertamanya dan berkahwin dengan suspek beberapa bulan yang lalu serta tidak mempunyai anak.

“Pertengkaran mengenai masalah kewangan sering berlaku sebelum ini selepas suspek kehilangan pekerjaan.

“Selama berkahwin dengan mangsa, suspek juga dikatakan sering ditendang dan ditampar oleh mangsa apabila bertengkar mengenai kewangan,” katanya.

George berkata, mangsa dan suspek kini masih dalam rawatan namun berada dalam keadaan stabil dan siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 326A dan 309 Kanun Keseksaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here