Category: Jenayah

  • SPRM tahan pengurus syarikat beri rasuah dapatkan tender

    SPRM tahan pengurus syarikat beri rasuah dapatkan tender

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Batu Pahat menahan seorang pengurus syarikat bagi membantu siasatan berkaitan kes memberi rasuah.

    Menurut sumber, suspek yang merupakan seorang wanita berusia 44 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Johor pada pukul 6 petang semalam selepas hadir memberi keterangan.

    Difahamkan pada 2021, syarikat suspek yang memiliki lesen kelas G3 disyaki memberikan rasuah bagi mendapatkan kerja di bawah kelas G2.

    Namun semakan Sijil Perolehan Kerja Kerajaan daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Pusat Pembangunan Kontraktor Johor (JCCD) mendapati lesen syarikat itu di bawah kelas G3.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(A) ASPRM 2009.

  • [VIDEO] Pemandu pacuan empat roda kaki buli lebuh raya

    [VIDEO] Pemandu pacuan empat roda kaki buli lebuh raya

    POLIS Pulau Pinang meminta mana-mana pengguna jalan raya yang menyaksikan kejadian buli di jalan raya melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna putih tampil menyalurkan maklumat.

    Kejadian itu yang tular di dalam media sosial dipercayai berlaku di Kilometer 138.7 Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala ke utara berdekatan sebuah kilang di Perai pada Jumaat lalu.

    Rakaman video mengenai kejadian itu dimuat naik ke laman sosial Facebook oleh seorang pengguna yang dikenali sebagai Jebat Maoc kira-kira pukul 2.49 petang semalam.

    Menerusi rakaman video berdurasi lebih satu minit itu menunjukkan pemandu kenderaan pacuan empat roda bewarna putih terbabit memandu secara berbahaya dan cuba menghimpit kenderaan lain.

    Akibatnya, kereta yang cuba dihimpit itu terlanggar kon yang diletakkan di tepi jalan dan hampir melanggar sebuah lori rosak yang diletakkan di bahu lebuh raya.

    Ekoran itu menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad, pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 untuk menyiasat kejadian tersebut.

    “Sehubungan itu, polis memohon mana-mana pengguna jalan raya yang menyaksikan kejadian berkenaan supaya tampil untuk membantu siasatan.

    “Maklumat tersebut boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohd. Firdaus Abdul Ghani di talian 014-3955400 atau 04-5382222,” katanya dalam kenyataan hari ini.

  • Honda Civic selamba redah masuk lorong motosikal

    Honda Civic selamba redah masuk lorong motosikal

    SEORANG pemandu kereta jenis Honda Civic dikesan menggunakan laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan berhampiran Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur, semalam.

    Insiden tersebut yang tular melalui rakaman video dalam media sosial telah mencetuskan reaksi kurang senang dalam kalangan netizen dan mereka mahu tindakan diambil terhadap pemandu berkenaan.

    Lelaki yang memandu Honda Civic terbabit telah ditahan polis petang semalam.

    Memetik laporan FMT, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Sarifudin Mohd Salleh berkata, sebelum itu pihaknya mengesan rakaman video berdurasi 30 saat mengenai kejadian berkenaan.

    Menurut beliau, video berkenaan dimuat naik pemilik akaun Facebook, Mazli Alias dalam halaman Facebook DashCam Owners Malaysia pada 2.41 petang semalam.

    “Hasil siasatan dilakukan mendapati kejadian itu dipercayai berlaku di lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan berhampiran Jalan Pantai Baharu.

    “Bertindak atas aduan itu, kami mengesan pemandu kereta berkenaan dan membuat tangkapan terhadap lelaki berusia 30 tahun terbabit ketika dia hadir di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur pada 6.30 petang,” katanya dalam satu kenyataan.

    Sarifudin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    “Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik (JSPT) Jalan Tun H S Lee di talian 03- 20719999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut,” jelasnya.

  • Persatuan Sahabat OKU Perak buat laporan polis terhadap Kak Long 7E

    Persatuan Sahabat OKU Perak buat laporan polis terhadap Kak Long 7E

    PERSATUAN Sahabat Orang Kelainan Upaya (OKU) Perak hari ini membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook Wan Nor Baizura atau lebih dikenali sebagai ‘Kak Long 7E’ yang didakwa telah menghina golongan itu.

    Timbalan Presidennya, Muhamad Firdaus Ibrahim berkata, laporan dibuat di Balai Polis Sungai Senam di Ipoh pada 5.20 petang tadi bagi menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap wanita itu.

    “Tindakan ini (laporan) dibuat untuk memberi pengajaran bukan sahaja kepada beliau (Kak Long 7E) tetapi rakyat Malaysia, jadi kami harap masyarakat lebih sensitif dan hormat kepada golongan OKU.

    “Perbuatan mempersendakan dan menghina OKU bukan sesuatu yang boleh dijadikan permainan…kami ada perasaan, jadi ia perlu dihentikan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu.

    Muhamad Firdaus berkata, pihaknya berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sekurang-kurangnya mengarahkan Kak Long 7E melakukan kerja amal sebagai pengajaran kepada dirinya dan orang lain.

    Beliau berkata, persatuan itu yang memiliki 150 ahli juga mendesak Kak Long 7E mengakui kesilapannya kerana walaupun telah membuat permohonan maaf, tiada pengakuan bahawa beliau sengaja mempersendakan OKU.

    Wanita itu didakwa menghina dan memperlekeh golongan OKU apabila dengan sengaja memuat naik video yang mengajuk mimik muka serta gaya berjalan golongan berkenaan menerusi laman sosial baru-baru ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan itu. – BERNAMA

  • Lelaki menyamar jadi polis curi motosikal

    Lelaki menyamar jadi polis curi motosikal

    POLIS menahan seorang lelaki di sekitar Mutiara Damansara semalam, yang disyaki mencuri motosikal Yamaha RXZ di sebuah pangsapuri bersama dengan seorang lagi suspek yang masih bebas selepas menyamar sebagai anggota polis, Rabu lepas.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, lelaki berumur 31 tahun yang ditahan pada pukul 11.50 malam itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A/170 Kanun Keseksaan.

    Beliau berkata, hasil soal siasat, lelaki berkenaan mendakwa dia bersama dengan seorang kawannya yang dikenali sebagai ‘Mamat Mulong’ mengangkut motosikal itu dengan menggunakan sebuah lori yang dipandunya.

    “Suspek mendedahkan bahawa dia ditawar oleh ‘Mamat Mulong’ untuk melakukan kerja sambilan iaitu mengambil sebuah motosikal dengan bayaran upah RM100,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya susulan penahanan itu polis merampas sebuah lori, empat buah telefon bimbit pelbagai jenama, sebatang spanar berbentuk ‘T’ yang telah diubah suai.

    Mohamad Fakhrudin, berkata polis sedang berusaha mengesan dua individu termasuk ‘Mamat Mulong’ bagi membantu siasatan, dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung individu itu diminta menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat Sarjan Muhamad Azizi Bajan dengan menelefon 010-5882574.

    Semalam, tular satu video berdurasi 39 saat di Facebok yang dimuat naik pemilik akaun ‘Kaki Restor’ memaparkan dua lelaki yang mendakwa mereka anggota polis sedang mengangkut sebuah motosikal Yamaha RXZ berwarna biru ke dalam sebuah lori.

    Motosikal berkenaan disedari hilang oleh pemiliknya kira-kira pukul 5.20 petang Rabu lepas dan menurut menurutnya pemilik motosikal itu, suspek memasuki pangsapurinya dengan mengaku sebagai anggota polis kepada pengawal keselamatan serta mendaftar nama dan nombor kad pengenalan di pondok pengawal. – BERNAMA

  • Rokok, mercun seludup nilai lebih RM150,000 dirampas

    Rokok, mercun seludup nilai lebih RM150,000 dirampas

    SEORANG pekedai runcit warga tempatan berusia 50 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran rokok tidak bercukai dan mercun di sekitar kawasan Batu Kurau, Kerian, Perak, Rabu lalu.

    Suspek ditahan menerusi operasi Op Kontraband yang digerakkan Unit Risikan Marin (URM) Pulau Pinang yang turut merampas rokok dan mercun tidak bercukai bernilai RM151,345.

    Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komissioner Shamsol Kassim berkata, pihaknya menyerbu dua buah rumah meneruis operasi itu di Kampung Pantai Besar, Batu Kurau, Perak antara pukul 6 petang hingga 7 malam.

    Katanya, dalam serbuan pertama di rumah suspek pihaknya berjaya merampas sebanyak 77,450 batang rokok tidak bercukai.

    “Hasil soal siasat membawa kepada serbuan di lokasi kedua yang mana sebanyak 24,650 batang rokok tidak bercukai dan mercun dijumpai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, secara keseluruhan pihaknya merampas sebanyak 102,100 batang rokok tidak bercukai dengan nilai rampasan sebanyak RM 145,479 berserta 180 kotak mercun pelbagai jenis dengan nilai rampasan sebanyak RM 5,866.

    Tambahnya, suspek dipercayai mulai aktif mengedar rokok tidak bercukai dan mercun itu sejak enam bulan lalu untuk kedai-kedai runcit di kawasan berdekatan.

    “Suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau serta barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah(IPD) Kerian untuk tindakan lanjut.

    “Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.

  • Tiada kes culik, bunuh, pengambilan organ di Johor

    Tiada kes culik, bunuh, pengambilan organ di Johor

    Oleh ABU UBAIDILAH RAHMAN

    POLIS Johor menafikan berlakunya kejadian penculikan, pembunuhan dan pengambilan organ dalaman kanak- kanak seperti audio yang tular dalam laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp ketika ini.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat menegaskan, hasil semakan mendapati audio yang ditularkan itu merupakan audio lama yang tidak benar.

    “Audio berkenaan juga telah ditularkan pada tahun 2019 mendakwa berlaku kejadian penculikan, pembunuhan serta pengambilan organ dalaman kanak-kanak Kahang, Mersing, Kluang dan Masai.

    “Polis Johor mengesahkan kejadian tersebut tidak pernah berlaku. Penyebaran audio itu dilihat sebagai satu cubaan untuk menimbulkan ketakutan dan kebimbangan orang ramai.

    “Perbuatan menyebar dan membuat spekulasi palsu adalah menyalahi undang-undang dan boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kamarul Zaman berkata, mereka yang didapati bersalah boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dakwaan yang diperoleh daripada sumber yang tidak sah dan menggunakan maklumat palsu.

  • Budak lelaki terperangkap dalam kereta terbabas dalam tali air

    Budak lelaki terperangkap dalam kereta terbabas dalam tali air

    SEORANG budak lelaki dikhuatiri terperangkap dalam kereta yang terbabas ke dalam tali air di Kampung Bukit Chawi, Kampung Gajah, Pasir Salak, hari ini.

    Kereta Honda City dinaiki kanak-kanak berusia lima tahun itu bersama-sama ibu dan adik perempuannya berusia empat tahun, terbabas dipercayai ketika mengelak lopak air.

    Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah, Megat Mohd. Dahari Megat Jamaludin, tiga beranak itu dalam perjalanan dari Kampung Gajah menghala ke Seberang Perak.

    Pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.19 petang tadi sebelum anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi untuk tindakan lanjut.

    “Jentera yang tiba di lokasi mendapati sebuah kereta dinaiki tiga mangsa terbabas ke dalam tali air sedalam 3.65 meter.

    “Dua mangsa berjaya diselamatkan orang awam yang berada di lokasi, manakala seorang kanak-kanak lelaki dipercayai masih berada dalam kereta itu,” katanya memetik laporan Berita Harian.

    Katanya, operasi mencari dan menyelamat mangsa bersama kenderaan itu sedang giat dilakukan ketika ini dengan turut dibantu anggota BBP Teluk Intan dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Teluk Intan.

    “Operasi ketika ini agak sukar kerana arus air deras. Kita juga sudah meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menutup laluan air,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

  • Pinjaman RM73,000 untuk ubah suai rumah lesap ditipu sindiket nombor TAC

    Pinjaman RM73,000 untuk ubah suai rumah lesap ditipu sindiket nombor TAC

    SEORANG penjawat awam lelaki kerugian RM73,000 apabila wang pinjaman yang baharu diluluskan untuk ubai suai rumahnya lesap dalam akaun bank selepas ditipu sindiket nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC).

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka, Superintendan E. Sundra Rajan berkata mangsa yang berusia 40 tahun dihubungi suspek lelaki tidak dikenali pada 14 Mac yang memaklumkan isteri suspek telah tersilap mendaftarkan butiran maklumat untuk perbankan dalam talian dengan mendaftarkan nombor telefon mangsa.

    “Mangsa yang bekerja sebagai pemandu jabatan telah diminta oleh suspek untuk memaklum dan menyerahkan kepadanya jika ada menerima mesej menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) nombor TAC daripada pihak bank. Tanpa membuat pengesahan lanjut, mangsa terus memberikan nombor TAC itu kepada suspek.

    “Mangsa telah menerima semula SMS daripada pihak bank yang menyatakan terdapat pindahan wang sejumlah RM50,000 daripada akaunnya sejurus mangsa menyerahkan nombor TAC kepada suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sundra Rajan berkata keesokan harinya, mangsa mendapati terdapat pindahan wang untuk kali kedua berjumlah RM23,000 ke akaun yang tidak dikenali dan mangsa kemudian pergi ke bank bagi membuat pengesahan sekali gus dinasihatkan membuat laporan polis.

    Beliau berkata mangsa membuat laporan berkaitan kes itu di Balai Polis Ayer Keroh dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. 

    Dalam pada itu, Sundra Rajan turut mengingatkan orang awam supaya berhati-hati dengan modus operandi yang baharu dikesan pihaknya dan giat dijalankan oleh ‘scammer’ sehingga mengakibatkan mangsa kehilangan wang daripada akaun bank mereka.

    “Sindiket menggunakan laman Facebook untuk mengiklankan penjualan barang atau tawaran perkhidmatan dan tawaran iklan ini akan sentiasa diubah suai bagi menjerat lebih ramai mangsa.

    “Mangsa yang berminat akan dihubungi melalui aplikasi WhatsApp dan diberikan pautan muat turun dalam telefon mangsa. Aplikasi ini menggantikan sistem SMS sedia ada, mangsa diarahkan untuk mendaftar menerusi aplikasi tersebut dengan memasukkan nama, nombor kad pengenalan, e-mel, butiran kad kredit atau kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) serta butiran perbankan dalam talian,” katanya.

    Beliau berkata selepas semua maklumat dimasukkan dan mangsa menekan butang hantar paparan ‘page error’ akan ditunjukkan kerana aplikasi ini tidak dipautkan kepada sistem perbankan yang sebenar.

    “Hakikatnya pemasangan aplikasi ini adalah dibuat semata-mata untuk sindiket mendapatkan akses terhadap kandungan SMS serta butiran perbankan yang akan digunakan oleh sindiket untuk memindahkan wang daripada akaun mangsa.

    “Pihak JSJK Melaka menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dengan tawaran yang mencurigakan dan dinasihatkan supaya membuat semakan ke atas nombor telefon dan nombor akaun yang meragukan supaya tidak menjadi mangsa penipuan,” katanya.-  Bernama

  • Lepas 3 das tembakan selepas lelaki langgar MPV polis

    Lepas 3 das tembakan selepas lelaki langgar MPV polis

    POLIS melepaskan tiga das tembakan ke arah kereta dipandu seorang lelaki yang merempuh sebuah kereta peronda polis (MPV) pada kejadian di Kampung Tandop Kedabu, Ayer Hitam, Kubang Pasu, semalam.

    Harian Metro melaporkan, dalam kejadian pada pukul 4 petang itu, dua anggota MPV Balai Polis Ayer Hitam sedang melakukan rondaan cegah jenayah sebelum terserempak dengan Honda Accord dipandu dalam keadaan mencurigakan.

    Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, anggota MPV mengekori kereta itu sejauh empat kilometer sebelum suspek berhenti di tepi jalan berdekatan kampung.

    Katanya, bagaimanapun, ketika cuba melakukan pemeriksaan, suspek tiba-tiba mengundurkan kereta dengan laju sehingga hampir melanggar dua anggota polis berkenaan.

    “Pada masa sama, kereta terbabit melanggar MPV berkenaan. Anggota terpaksa menembak tayar kereta suspek untuk memberhentikannya.

    “Suspek memecut dari lokasi manakala anggota MPV terus mendapatkan bantuan daripada unit lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, hari ini.

    Kejadian itu tular dalam media sosial dengan tiga rakaman video menunjukkan MPV polis mengejar sebuah kereta di kawasan sawah di kampung berkenaan.

    Rodzi berkata, hasil risikan, pihaknya menemui Honda Accord terbabit disembunyikan di belakang sebuah rumah di Kampung Tempatan, Air Hitam pukul 7 petang.

    Katanya, pemeriksaan ke atas kereta itu menemui satu paket heroin seberat 0.9 gram, dua paket syabu seberat 95 gram, pisau serta plastik yang banyak dipercayai digunakan untuk membungkus dadah.

    “Bahagian belakang kereta itu turut rosak selain kedua-dua tayar kanannya pancit akibat ditembak anggota MPV berkenaan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Kami masih mengesan suspek,” katanya.

    Beliau berkata, pihaknya percaya suspek menyembunyikan kereta itu di rumah terbabit kerana suspek mahir dengan kawasan berkenaan.

    “Kita sudah mengenal pasti pemilik Honda Accord terbabit yang dipercayai milik seorang lelaki berkemungkinan besar adalah penjenayah atau pengedar dadah.

    “Berdasarkan kesan cap jari pada kereta terbabit, kami sudah mengenal pasti identiti suspek yang berusia 44 tahun yang dipercayai penagih dan pengedar dadah,” katanya.