Category: Jenayah

  • Kosmetik seludup dari Thailand dirampas

    Kosmetik seludup dari Thailand dirampas

    PELBAGAI kosmetik dari Thailand yang dibawa masuk secara tidak sah ke negara ini dalam serbuan di pangkalan haram Kuala Jambu di Tumpat, pada pukul 11.15 malam kelmarin.

    Serbuan dilakukan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu itu dilakukan menerusi rondaan rutin menggunakan motosikal.

    Pegawai Pemerintah Medan, Superintendan Azhari Nusi berkata, semasa melakukan rondaan, anggota bertugas melihat kelibat seorang lelaki sedang memunggah kotak-kotak dari dalam perahu ke tebing sungai,

    “Melihat kehadiran anggota PGA, lelaki berkenaan bertindak melarikan diri ke negara jiran menggunakan perahu.

    “Pemeriksaan di lokasi menjumpai 586 kotak dan 100 peket barangan kosmetik seludup bernilai RM40,170,” katanya memetika laporan Sinar Harian, hari ini.

    Azhari berkata, rampasan itu akan diserahkan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut.

    “PGA tidak menolak kemungkinan kosmetik tersebut disyaki cuba diseludup masuk ke negara ini dari Thailand menggunakan jalan yang tidak diwartakan.

    “Hal ini kerana terdapat tulisan siam pada kotak dan peket kosmetik berkenaan,” katanya.

  • Lelaki warga Malaysia dipercayai dibunuh kartel dadah di Australia

    Lelaki warga Malaysia dipercayai dibunuh kartel dadah di Australia

    MAYAT seorang lelaki warganegara Malaysia yang dipercayai dibunuh, ditemui polis berdekatan Bathurst di New South Wales, Australia.

    Mayat lelaki itu yang dipercayai Jacky Chong, ditemui kira-kira 3.30 petang semalam selepas polis memulakan pencarian di sebuah kawasan luar bandar di Killongbutta.

    Menurut laporan news.com.au, polis berkata, mayat itu akan menjalani pemeriksaan forensik dan ujian DNA untuk koroner menyediakan laporan.

    Penemuan mayat itu menyusul tiga lelaki berusia 22, 28 dan 33 tahun yang didakwa pada hujung bulan lalu berhubung kematian Chong.

    Chong, 24, menetap di Sydney sejak 2016, namun dilaporkan tidak berhubung dengan keluarganya sejak 28 Dis lalu, lapor FMT.

    Keluarganya memberitahu polis, mereka percaya Chong mungkin bekerja di New South Wales sebelum dia hilang.

    Minggu lalu, Komander Skuad Dadah dan Senjata Api, John Watson berkata, Chong didakwa terbabit dalam sindiket jenayah terancang sebelum dia “dibunuh dengan kejam”.

    “Kami tahu Jacky bekerja untuk satu perusahaan jenayah membabitkan penanaman ganja di wilayah NSW (New South Wales) sekitar masa didakwa dia dibunuh. Keadaan kematiannya amat mengerikan.

    “Kumpulan penjenayah ini terkenal menyasarkan individu muda dengan janji wang mudah, yang sering menyebabkan mereka bekerja di rumah penanaman haram di hartanah terpencil.”

  • 29 pengawal keselamatan tiada rekod tapisan keselamatan

    29 pengawal keselamatan tiada rekod tapisan keselamatan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) Johor mendapati 50 peratus pengawal keselamatan yang bekerja di sebuah hospital pakar di Muar tiada rekod tapisan keselamatan Pengurusan Industri Keselamatan (eSIMS).

    Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN Johor, Mohd Nashuddin Daud berkata, perkara tersebut terdedah selepas pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap 49 pengawal keselamatan di daerah itu baru-baru ini.

    “Daripada 49 pengawal keselamatan yang diperiksa, 29 daripadanya didapati tiada rekod eSIMS. Menerusi operasi berkenaan kita mendapati majikan pengawal keselamatan berkenaan gagal mematuhi peraturan ditetapkan iaitu gagal mendaftarkan pengawal keselamatan di eSIMS.

    “Mereka akan diambil tindakan dan siasatan lanjut akan dilakukan. Pada masa sama, proses mengesahkan status tapisan keselamatan juga akan dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mohd Nashuddin berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat keselamatan yang gagal mendaftar pekerja di eSIMS.

    Pihaknya juga akan menjalankan pemeriksaan di lebih banyak premis secara berperingkat-peringkat selepas ini.

    Katanya, pemeriksaan itu dibantu pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) cawangan Muar dan Ketua Pengawal Keselamatan Hospital (CGSO) serta menerima kerjasama daripada pengurusan hospital.

    Jelasnya, tujuan operasi itu supaya syarikat kawalan keselamatan mematuhi Akta Agensi Persendirian 1971 serta arahan tapisan keselamatan dan pengawal keselamatan tidak terbabit dengan kesalahan seperti penyalahgunaan dadah serta jenayah.

    Menurutnya, selain memeriksa pendaftaran pengawal keselamatan di eSIMS, mereka juga menjalani ujian saringan air kencing.

    Beliau berkata, seorang pengawal keselamatan disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah dirujuk ke makmal patologi hospital untuk tindakan lanjut.

    “Ini bagi memastikan seseorang pengawal keselamatan bebas daripada sebarang rekod jenayah mahupun dadah kerana mereka memikul tanggungjawab menjaga keselamatan premis, pengunjung dan sebagainya,” katanya.

  • Sindiket penipuan lesen memandu:Pelajar tingkatan lima antara ditahan

    Sindiket penipuan lesen memandu:Pelajar tingkatan lima antara ditahan

    DUA individu ditahan termasuk seorang pelajar tingkatan lima selepas dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan lesen memandu dalam talian menerusi serbuan di sebuah rumah di Durian Tunggal, Melaka, kelmarin.

    Pihak polis sebelum ini menerima laporan daripada seorang individu yang mendakwa mengalami kerugian RM490 apabila mahu mendapatkan lesen memandu dengan cara mudah tanpa melalui proses Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Selasa lalu.

    Timbalan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, mangsa sebelum itu telah melayari iklan dalam Facebook yang menawarkan perkhidmatan membuat lesen memandu tanpa melalui proses yang sah.

    “Mangsa kemudian menghubungi nombor tertera melalui aplikasi WhatsApp dan dalam urusan tersebut, mangsa dijanjikan lesen memandu dengan bayaran RM490.

    “Bagaimanapun, setelah bayaran dibuat suspek masih meminta bayaran tambahan daripada mangsa dengan pelbagai alasan. Curiga dengan tindakan suspek, mangsa kemudiannya tampil membuat laporan polis,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Katanya, berdasarkan maklumat diterima, sepasukan anggota dan pegawai polis dari Bahagian Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, IPK Kuala Lumpur serta Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras Kuala Lumpur membuat serbuan di sebuah rumah sekitar Durian Tunggal.

    “Serbuan yang dijalankan pukul 10.05 malam Sabtu itu berjaya memberkas dua lelaki warga tempatan berumur 17 dan 22 tahun dipercayai terlibat dalam penipuan tersebut.

    “Turut dirampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses lesen palsu tersebut,” katanya.

    Menurutnya, kedua suspek direman tiga hari untuk siasatan lanjut.

    “Kes disiasat di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

  • Penjenayah bentuk kumpulan pecah rumah ketika dalam penjara

    Penjenayah bentuk kumpulan pecah rumah ketika dalam penjara

    SERAMAI enam individu yang membentuk kumpulan ketika berada di dalam penjara untuk melakukan jenayah pecah rumah di beberapa negeri akhirnya tumpas selepas mula aktif pada awal Januari lalu.

    Kesemua lelaki tempatan berusia antara 34 hingga 47 tahun itu dengan ada yang mempunyai sebanyak 45 rekod jenayah serta seorang dalam buruan polis Selangor berkait kes dadah tumpas selepas memecah masuk sekurang-kurangnya 14 buah rumah.

    Kesemua kes jenayah itu dilakukan di sekitar Pulau Pinang; Kuala Lumpur; Pahang; Perak dan Kedah.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, suspek berjaya ditahan polis dalam operasi berasingan di Kulim, Kedah dan Kuala Lumpur baru-baru ini.

    Jelasnya, operasi itu susulan satu laporan kejadian pecah rumah melibatkan seorang ejen pelaburan berusia 61 tahun di Air Itam, Pulau Pinang pada 26 Februari lalu membabitkan kerugian bernilai RM50,000.

    Bertindak daripada laporan itu jelas beliau, polis melancarkan Op Pintu Mutiara dan berjaya menahan empat lelaki warga tempatan di sebuah rumah di Kulim, Kedah pada 25 Mac lalu.

    Polis turut merampas dua buah kereta; 12 unit telefon bimbit; 11 utas jam tangan, beberapa keping wang tunai serta mata wang asing.

    “Susulan itu juga, kita kemudian berjaya menahan dua lelaki termasuk dalang kumpulan ini berusia 45 tahun yang mempunyai 42 rekod jenayah membabitkan pecah rumah dan tiga rekod membabitkan dadah di Kuala Lumpur pada 30 Mac lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Rahimi, kumpulan itu menyasarkan rumah didiami warga emas yang tinggal berseorangan di kawasan bandar untuk dipecah masuk.

    Jelasnya, suspek yang antaranya bekerja sebagai kontraktor, penjual pakaian online, mekanik dan pengecat kereta menggunakan peralatan seperti kuku kambing, pengumpil mangga dan sebagainya ketika menjalankan aktiviti jenayah mereka.

    Dalam operasi sama ujarnya, polis turut merampas dua buah kereta; 12 unit telefon bimbit; 11 utas jam tangan, beberapa keping wang tunai serta mata wang asing.

    Tambah beliau, dengan penahanan kesemua suspek, polis percaya dapat menyelesaikan lapan kes pecah rumah di Pulau Pinang membabitkan kerugian RM200,000 manakala enam kes lagi yang dilaporkan di Kedah, Perak, Pahang dan Kuala Lumpur.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek direman hingga esok bagi membantu siasatan,” katanya.

    Sementara itu tambah Rahimi, polis juga sedang mengesan dua lagi suspek yang dipercayai mempunyai peranan penting dalam kumpulan terbabit termasuk yang dikenali sebagai Lo Bin Son atau nama gelarannya Vincent berusia 39 tahun.

  • Polis serbu premis barang lusuh di ‘ceruk’ kampung

    Polis serbu premis barang lusuh di ‘ceruk’ kampung

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    BEROPERASI di kawasan ceruk kampung dan tidak meletakkan papan tanda perniagaan antara taktik perusahaan barangan lusuh yang cuba mengaburi mata pihak berkuasa.

    Bagaimanapun, kelicikan mereka tidak bertahan lama apabila diserbu polis yang melakukan operasi bersepadu bersama beberapa agensi di Kota Tinggi, hari ini.

    Seramai tujuh orang suspek terdiri daripada tiga penduduk tempatan, manakala empat lagi merupakan warga asing ditahan dipercayai pemilik premis dan pekerja di perusahaan terbabit.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, hasil risikan mendapati mereka melakukan perniagaan dengan membeli barangan daripada penduduk tempatan atau keluar membeli barang untuk aktiviti perniagaan mereka.

    “Kita juga dapati mereka terima barang seperti tembaga, meter elektrik, meter air yang merupakan satu kesalahan. Siasatan ke atas suspek mendapati mereka melakukan aktiviti itu sejak setahun lalu,” katanya hari ini.

    Selain polis, operasi turut melibatkan Kementerian Kesihatan, Syarikat Air Johor (SAJ), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Majlis Perbandaran Pengerang.

    Kata Hussin, dalam operasi bermula pukul 9 pagi dan hingga 1 petang itu, sebanyak enam kompaun dikeluarkan dibawah Seksyen 6 Akta Peniaga Sekendhend 1946 kerana tidak memiliki lesen perniagaan barangan lusuh.

    Empat warga asing ditahan dikenakan kompaun mereka dan turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

    Beliau berkata, sebanyak 10 premis di kawasan Kampung Batu Ampat, Kota Tinggi, Sungai Rengit dan Pengerang telah diperiksa dalam operasi berkenaan.

    Jelasnya kesemua warga asing akan ditahan selama 14 hari dibawah Akta Imigresen manakala suspek warga tempatan akan dilepaskan dengan jaminan polis setelah selesai mengambil keterangan.

    Sementara itu, Kementerian Kesihatan turut mengeluarkan empat kompaun dibawah Akta Pemusnah Serangga Pembawa Penyakit 1975 dengan denda sebanyak RM500 dikenakan ke atas pemilik premis.

  • Raih pendapatan lumayan proses ketum belakang rumah

    Raih pendapatan lumayan proses ketum belakang rumah

    SEORANG lelaki yang memproses dan menjual air ketum di belakang rumahnya di Kampung Banggol Kambing, Pendang ditahan dalam serbuan dilakukan pihak polis pada pukul 12 tengah malam tadi.

    Semasa serbuan dilakukan lelaki berusia 30-an itu dipercayai baru selesai memproses air ketum sebelum membungkusnya untuk dijual kepada pelanggannya di sekitar kampung itu.

    Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, dalam serbuan itu pihaknya merampas dua bungkusan plastik lutsinar berisi daun hijau disyaki daun ketum dianggarkan seberat tiga kilogram dan 20 bungkusan plastik lutsinar yang berisi cecair disyaki air rebusan daun ketum yang dianggarkan seberat 5,000 mililiter (ml).

    Turut dirampas, peralatan untuk memproses air ketum iaitu tong gas, sebuah periuk besar, sebuah dapur gas memasak yang disyaki digunakan untuk memasak air daun ketum dan tiga bungkusan plastik lutsinar yang berisi paket plastik lutsinar yang disyaki digunakan untuk membungkus air daun ketum.

    “Selain itu, turut dirampas wang tunai berjumlah RM7,120 yang disyaki adalah wang hasil daripada penjualan air ketum. Lelaki terbabit mengaut untung lumayan dengan menjual air ketum.

    “Siasatan awal mendapati lelaki itu dipercayai memproses air ketum berkenaan di belakang rumahnya itu dan menjual kepada pelanggan tetap di kampungnya dengan sebungkus RM5,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Suspek kini direman di lokap Balai Polis Pendang dan kes disiasat di bawah kesalahan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

    “Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya,” katanya.

  • Lelaki Bangladesh ceroboh tadika alasan mahu beri anak roti

    Lelaki Bangladesh ceroboh tadika alasan mahu beri anak roti

    SEBUAH tadika di Telok Panglima Garang, Kuala Langat, berdepan detik cemas apabila seorang lelaki warga Bangladesh disyaki mengalami masalah mental menceroboh masuk dan cuba mendekati kanak-kanak dengan memberi roti.

    Kejadian itu berlaku pukul 7.50 pagi Jumaat selepas suspek menceroboh tadika terbabit dengan alasan mahu memberikan roti kepada anaknya.

    Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, apabila guru tadika itu memberitahu ibu bapa tidak dibenarkan masuk, suspek bertindak merampas topi keledar pelajar tadika yang dipegang oleh guru sebelum meluru masuk ke dalam kelas.

    “Ibu bapa yang menyedari kejadian itu bertindak menahan lelaki berkenaan dan semasa tangkapan dibuat, suspek tidak berhenti membacakan ayat Al-Quran sebelum dia dilepaskan oleh orang awam,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Beliau berkata, siasatan mendapati suspek tiada mengeluarkan kata ugutan serta tidak mendatangkan kecederaan kepada sesiapa malah pihak tadika juga tidak menerima kemasukan pelajar warga asing.

    Katanya, bertindak hasil maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat telah menahan suspek berusia 23 tahun di Taman Pahlawan, Telok Panglima Garang, pukul 10.30 malam Ahad.

    Tambahnya, semasa tangkapan dibuat, suspek gagal memberikan dokumen pengenalan diri.

    “Siasatan awal mengesyaki suspek mempunyai masalah mental dan tiada anak suspek berada di tadika berkenaan. Ujian saringan air kencing terhadapnya juga negatif dadah,” katanya.

    Tegas Ahmad Ridhwan, suspek yang tidak bekerja itu kini direman empat hari untuk siasatan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

    Semalam, tular dalam media sosial Facebook satu video berdurasi satu minit memaparkan seorang lelaki yang menceroboh masuk sebuah tadika di Telok Panglima Garang, Banting.

  • Kantoi seludup 12 lembu guna perahu di sempadan

    Kantoi seludup 12 lembu guna perahu di sempadan

    CUBAAN sekumpulan lelaki menyeludup 12 ekor lembu yang dibawa masuk ke negara ini menggunakan perahu dengan menyelusuri Sungai Golok pada pukul 11 malam Sabtu gagal apabial berjaya dihidu Pasukan Gerakan Am (PGA).

    Pegawai Pemerintah Medan, Superintendan Azhari Nusi berkata, rampasan lembu itu dilakukan sepasukan anggota Batalion 9 PGA Kuala Terengganu yang melakukan penugasan Op Wawasan di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.

    “Nilai rampasan keseluruhan lembu-lembu seludup dalam serbuan di kawasan semak berhampiran Sungai Tok Rusa, Meranti di Pasir Mas itu dianggarkan berjumlah RM67,200.

    “Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Batalion 9 membuat intipan di kawasan serbuan dan melihat pergerakan perahu membawa lembu diseludup dari negara jiran ke Malaysia melalui bawah jambatan Jalan Kasban Sungai Tok Rusa yang bersambung dengan Sungai Golok,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Menurutnya, sebaik sahaja perahu itu berhenti kelihatan beberapa orang lelaki menarik lembu keluar dari dalam perahu ke atas darat.

    Beliau berkata, sejurus menyedari kehadiran pengadu bersama anggota, beberapa lelaki terbabit bertindak melarikan diri ke negara jiran menggunakan perahu bagi mengelakkan daripada dicekup.

    Azhari berkata, pemeriksaan menemui 12 ekor lembu di lokasi serbuan.

    “Kita tidak menolak kemungkinan lembu-lembu ini dibawa masuk untuk memenuhi permintaan sepanjang bulan Ramadan,” katanya.

    Menurutnya, kes disiasat bawah 11(1) Akta Pekhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

  • Pihak berkuasa agama negeri perlu banteras sindiket nikah

    Pihak berkuasa agama negeri perlu banteras sindiket nikah

    MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad mahu pihak berkuasa agama negeri digesa mengambil tindakan sewajarnya bagi membanteras kegiatan sindiket nikah di Thailand.

    Jelas beliau, ini kerana sindiket itu kembali ‘beroperasi’ susulan pembukaan semula sempadan.

    Namun katanya, sebarang tindakan bergantung kepada bidang berkuasa agama negeri masing-masing.

    “Ini adalah bidang kuasa pihak kerajaan negeri atau pihak berkuasa agama negeri yang ada undang-undang tersendiri. Ada sesetengah negeri memberi kelonggaran (berhubung undang-undang nikah di sempadan), sesetengahnya pula ada yang ambil tindakan.

    “Kita harapkan pihak berkuasa agama negeri akan ambil tindakan,” katanya memetik laporan Berita Harian.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Bank Simpanan Nasional (BSN) Dana Wakaf Al-Ikhlas membabitkan kerjasama antara Permodalan BSN Berhad dan Yayasan Waqaf Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

    Media hari ini melaporkan ada sindiket nikah di Thailand yang menawarkan semula ‘pakej VIP’dengan caj sehingga RM50,000 kepada pasangan Malaysia yang ingin berpoligami.

    Idris menasihati orang ramai supaya tidak mudah terjerat dengan kegiatan sindiket pernikahan yang dibimbangi akan memberi implikasi jangka panjang bukan sahaja kepada pasangan tetapi anak-anak.

    “Apa yang paling penting, waktu mereka hendak buat perkara begini (nikah di sempadan menggunakan khidmat sindiket), kena fikirkan jangka panjang.

    “Kita harapkan ia tidak berikan masalah terutama kepada anak-anak. Kena fikirkan dari semua sudut, jangan nanti yang menjadi mangsa adalah anak-anak.

    “Oleh itu, saya berharap perkara ini dapat dirujuk ke pihak berkuasa agama negeri,” katanya.