29 pengawal keselamatan tiada rekod tapisan keselamatan

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) Johor mendapati 50 peratus pengawal keselamatan yang bekerja di sebuah hospital pakar di Muar tiada rekod tapisan keselamatan Pengurusan Industri Keselamatan (eSIMS).

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN Johor, Mohd Nashuddin Daud berkata, perkara tersebut terdedah selepas pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap 49 pengawal keselamatan di daerah itu baru-baru ini.

“Daripada 49 pengawal keselamatan yang diperiksa, 29 daripadanya didapati tiada rekod eSIMS. Menerusi operasi berkenaan kita mendapati majikan pengawal keselamatan berkenaan gagal mematuhi peraturan ditetapkan iaitu gagal mendaftarkan pengawal keselamatan di eSIMS.

“Mereka akan diambil tindakan dan siasatan lanjut akan dilakukan. Pada masa sama, proses mengesahkan status tapisan keselamatan juga akan dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Nashuddin berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat keselamatan yang gagal mendaftar pekerja di eSIMS.

Pihaknya juga akan menjalankan pemeriksaan di lebih banyak premis secara berperingkat-peringkat selepas ini.

Katanya, pemeriksaan itu dibantu pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) cawangan Muar dan Ketua Pengawal Keselamatan Hospital (CGSO) serta menerima kerjasama daripada pengurusan hospital.

Jelasnya, tujuan operasi itu supaya syarikat kawalan keselamatan mematuhi Akta Agensi Persendirian 1971 serta arahan tapisan keselamatan dan pengawal keselamatan tidak terbabit dengan kesalahan seperti penyalahgunaan dadah serta jenayah.

Menurutnya, selain memeriksa pendaftaran pengawal keselamatan di eSIMS, mereka juga menjalani ujian saringan air kencing.

Beliau berkata, seorang pengawal keselamatan disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah dirujuk ke makmal patologi hospital untuk tindakan lanjut.

“Ini bagi memastikan seseorang pengawal keselamatan bebas daripada sebarang rekod jenayah mahupun dadah kerana mereka memikul tanggungjawab menjaga keselamatan premis, pengunjung dan sebagainya,” katanya.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *