Oleh RAHIMI MOHAMAD

BEROPERASI di kawasan ceruk kampung dan tidak meletakkan papan tanda perniagaan antara taktik perusahaan barangan lusuh yang cuba mengaburi mata pihak berkuasa.

Bagaimanapun, kelicikan mereka tidak bertahan lama apabila diserbu polis yang melakukan operasi bersepadu bersama beberapa agensi di Kota Tinggi, hari ini.

Seramai tujuh orang suspek terdiri daripada tiga penduduk tempatan, manakala empat lagi merupakan warga asing ditahan dipercayai pemilik premis dan pekerja di perusahaan terbabit.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, hasil risikan mendapati mereka melakukan perniagaan dengan membeli barangan daripada penduduk tempatan atau keluar membeli barang untuk aktiviti perniagaan mereka.

“Kita juga dapati mereka terima barang seperti tembaga, meter elektrik, meter air yang merupakan satu kesalahan. Siasatan ke atas suspek mendapati mereka melakukan aktiviti itu sejak setahun lalu,” katanya hari ini.

Selain polis, operasi turut melibatkan Kementerian Kesihatan, Syarikat Air Johor (SAJ), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Majlis Perbandaran Pengerang.

Kata Hussin, dalam operasi bermula pukul 9 pagi dan hingga 1 petang itu, sebanyak enam kompaun dikeluarkan dibawah Seksyen 6 Akta Peniaga Sekendhend 1946 kerana tidak memiliki lesen perniagaan barangan lusuh.

Empat warga asing ditahan dikenakan kompaun mereka dan turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Beliau berkata, sebanyak 10 premis di kawasan Kampung Batu Ampat, Kota Tinggi, Sungai Rengit dan Pengerang telah diperiksa dalam operasi berkenaan.

Jelasnya kesemua warga asing akan ditahan selama 14 hari dibawah Akta Imigresen manakala suspek warga tempatan akan dilepaskan dengan jaminan polis setelah selesai mengambil keterangan.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan turut mengeluarkan empat kompaun dibawah Akta Pemusnah Serangga Pembawa Penyakit 1975 dengan denda sebanyak RM500 dikenakan ke atas pemilik premis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here