CUBAAN sekumpulan lelaki menyeludup 12 ekor lembu yang dibawa masuk ke negara ini menggunakan perahu dengan menyelusuri Sungai Golok pada pukul 11 malam Sabtu gagal apabial berjaya dihidu Pasukan Gerakan Am (PGA).
Pegawai Pemerintah Medan, Superintendan Azhari Nusi berkata, rampasan lembu itu dilakukan sepasukan anggota Batalion 9 PGA Kuala Terengganu yang melakukan penugasan Op Wawasan di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.
“Nilai rampasan keseluruhan lembu-lembu seludup dalam serbuan di kawasan semak berhampiran Sungai Tok Rusa, Meranti di Pasir Mas itu dianggarkan berjumlah RM67,200.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Batalion 9 membuat intipan di kawasan serbuan dan melihat pergerakan perahu membawa lembu diseludup dari negara jiran ke Malaysia melalui bawah jambatan Jalan Kasban Sungai Tok Rusa yang bersambung dengan Sungai Golok,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.
Menurutnya, sebaik sahaja perahu itu berhenti kelihatan beberapa orang lelaki menarik lembu keluar dari dalam perahu ke atas darat.
Beliau berkata, sejurus menyedari kehadiran pengadu bersama anggota, beberapa lelaki terbabit bertindak melarikan diri ke negara jiran menggunakan perahu bagi mengelakkan daripada dicekup.
Azhari berkata, pemeriksaan menemui 12 ekor lembu di lokasi serbuan.
“Kita tidak menolak kemungkinan lembu-lembu ini dibawa masuk untuk memenuhi permintaan sepanjang bulan Ramadan,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat bawah 11(1) Akta Pekhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011.