Category: Jenayah

  • Dua beranak dituduh bunuh kanak-kanak

    Dua beranak dituduh bunuh kanak-kanak

    SEORANG bapa dan anak perempuannya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, bulan lalu.

    Tertuduh, Khalid Redza Shuib, 41, dan anak perempuannya berusia 18 hanya mengangguk faham selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Firdaus Saleh, lapor Harian Metro.

    Menurut pertuduhan, mereka secara bersama-sama pada 3 Mac 2022 kira-kira pukul 7 malam di sebuah rumah di Taman Nee Yan di Seremban menyebabkan kematian Hanan Hasrul Izwan, 5.

    Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

    Khalid Redza turut didakwa membunuh Meriammah Abdullah Basam, 29, pada tarikh antara 15 hingga 17 Mac 2022 di lokasi sama.

    Bagi pertuduhan itu juga tiada pengakuan direkodkan dan tertuduh hanya mengangguk faham selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norzaliza Tesmin.

    Selain itu, di Mahkamah Sesyen pula, Khalid Redza didakwa menyebabkan cedera parah ke atas Siti Syarifah Aibiddin, 35, dengan cara menyimbah air panas sehingga kulitnya melecur yang dilakukan antara 1 Disember 2021 hingga 24 Mac 2022.

    Pertuduhan bagi kes itu dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara 20 tahun dan denda serta sebat.

    Peniaga itu juga didakwa mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 melakukan kesalahan pengabaian Sufiy Hasrul Izwan, 20 bulan, di lokasi sama pada 1 Disember 2020 hingga 23 Mac 2022.

    Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 atau dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

    Kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed dan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Atiqah Abu Hassan.

    Mahkamah menetapkan kesemua pertuduhan berkenaan disebut semula pada 17 Mei ini dan tiada jaminan ditawarkan.

    Dalam pada itu di Mahkamah Majistret, Khalid Redza mengaku bersalah menyebabkan kecederaan parah ke atas Siti Syarifah Aibiddin, 35, yang dilakukan di lokasi sama antara 1 Disember 2021 hingga 23 Mac 2022.

    Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara tujuh tahun dan denda.

    Mengikut fakta kes, pada 23 Mac lalu, doktor di Hospital Tuanku Jaafar yang melakukan pemeriksaan terhadap mangsa mendapati dia mengalami luka melecur baru dan lama di seluruh badan seperti ditekap objek panas selain patah tulang femur sebelah kanan dan luka kecil di muka.

    Media pada Khamis lalu melaporkan polis menemukan rangka dipercayai milik seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di Jalan Bukit Zamrud selepas operasi pencarian dilakukan sejak 28 Mac lalu.

    Pada 28 Mac lalu juga polis membawa seorang wanita yang dipercayai ada kaitan dengan penemuan mayat wanita di kawasan gaung dekat Jalan Lama Bukit Putus ke satu kawasan belukar di Jalan Bukit Zamrud bagi menunjukkan lokasi tempat kanak-kanak itu ditanam.

  • Dua warga Indonesia ditahan bersama syabu, ganja bernilai lebih RM100,000

    Dua warga Indonesia ditahan bersama syabu, ganja bernilai lebih RM100,000

    POLIS menahan dua warga Indonesia bersama dadah jenis syabu dan ganja dengan jumlah berat 7,767 gram bernilai RM109,298, berhampiran parkir kenderaan awam Hospital Tuanku Ja’afar, (HTJ) pada Isnin.

    Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata anggota unit rondaan telah melakukan pemeriksaan terhadap lelaki berumur 38 tahun dan 27 tahun itu yang menaiki sebuah kenderaan mencurigakan di kawasan tersebut.

    Beliau berkata hasil pemeriksaan terhadap kenderaan tersebut telah menjumpai empat bungkusan plastik mengandungi dadah disyaki syabu anggaran berat 2,683 gram serta lima ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja (5,084 gram).

    “Dadah yang dirampas dipercayai untuk diedarkan di kawasan sekitar Seremban dan Port Dickson selain untuk kegunaan sendiri. Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 1,000 penagih,” katanya dalam satu kenyataan di Seremban hari ini.

    Nanda berkata suspek yang juga penganggur itu tiada dokumen pengenalan diri yang sah dan turut disyaki menggunakan nombor pendaftaran palsu.

    Beliau berkata ujian awal air kencing kedua-dua suspek dikesan positif dadah jenis Methamphetamine dan kini ditahan reman selama 14 hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 15(1)(a) ADB 1952, Seksyen 108A Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan di bawah Akta Imigresen.

    — BERNAMA

  • Tiga lagi banduan larikan diri ditahan, seorang masih bebas

    Tiga lagi banduan larikan diri ditahan, seorang masih bebas

    TIGA lagi banduan yang melarikan diri dari Penjara Jelebu, pada Ahad lepas ditahan di kawasan semak Jalan Purun, Kuala Klawang, di Negeri Sembilan, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Maslan Udin berkata, Mohamad Aminuddin Khan Mohd Yusof, 28; Mazlan Samah, 39, dan seorang warga Indonesia dikenali sebagai Zainuddin, 62, ditahan pada pukul 10 malam dan direman empat hari bermula hari ini.

    “Operasi mengesan seorang lagi banduan yang masih bebas iaitu Muhammad Syafiq Rohmat, 32, dipanggil Umai masih lagi diteruskan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Jelebu di talian 06-6136 222 atau pegawai penyiasat Insp Zuria Anis Mahassan di talian 016-6096 996.

    Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang berita tidak tepat yang boleh mengganggu ketenteraman awam dan siasatan polis.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi di Blok Muhasabah 2, Penjara Jelebu, iaitu lokasi kesemua banduan reman terbabit ditempatkan, mereka dipercayai telah melarikan diri melalui lubang siling serta keluar melalui lubang pagar yang disyaki dipotong menggunakan pemotong besi, menuju ke semak di belakang penjara itu. – Bernama 

  • Lelaki Myanmar maut ditikam rakan senegara

    Lelaki Myanmar maut ditikam rakan senegara

    SEORANG lelaki warga Myanmar ditemui mati dipercayai ditikam rakan senegaranya di Jalan Gigih, Seksyen 25 di Shah Alam, kelmarin.

    Seorang saksi yang tinggal di sekitar lokasi terbabit kemudian menghubungi pihak polis. yang tinggal di sekitar lokasi terbabit.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, mangsa berusia dalam lingkungan 20-an ditemui kira-kira jam 6.30 petang dan dipercayai maut akibat kecederaan parah akibat tikaman di perut.

    “Pemeriksaan menemui dua bilah pisau berhampiran mangsa dan berdekatan longgokan sampah di lorong berhampiran.

    “Susulan itu, polis menahan suspek seorang wanita yang bekerja sebagai tukang jahit dan dua lelaki bekerja sebagai penjaga kedai makan yang kesemuanya warga Myanmar,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Sinar Harian.

    Mohd. Iqbal memberitahu, polis masih merakam percakapan beberapa saksi lain dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti motif serta menjejak baki suspek.

    Katanya, kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun kini direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    “Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menyalurkan kepada Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan Mohd. Afandi di talian 03-55202222,” ujarnya.

  • 27 tan organ kerbau sejuk beku dari India disita

    27 tan organ kerbau sejuk beku dari India disita

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    KIRA-KIRA 27 tan pelbagai organ kerbau sejuk beku dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang dalam pemeriksaan di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), Pulau Pinang Sabtu lalu.

    Pengarah Maqis Pulau Pinang, Muhammad Ikram Abd. Talib berkata, pihaknya menyita 2,516 kotak mengandungi produk ruminan sejuk beku dari India seberat 26,988 kilogram (kg) itu selepas dipercayai menggunakan maklumat tidak tepat dan mengelirukan.

    Ujar beliau, hasil pemeriksaan mendapati keseluruhan dagangan diimport itu merupakan bahagian kerbau terdiri daripada 1,000 kg ‘hock tendon’; ekor (2,988 kg); hati (6,000 kg) dan jantung (17,000 kg).

    Maqis menyita 2,516 kotak mengandungi produk ruminan sejuk beku dari India seberat 26,988 kilogram (kg)

    “Kesemua produk berkenaan dianggarkan bernilai RM262,079.63 dan ditahan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Muhammad Ikram berkata, penggunaan maklumat tidak tepat dan mengelirukan akan disiasat di bawah Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

    “Maqis sentiasa melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar selain mematuhi syarat yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

  • 1MDB:Rohana setuju pulangkan USD10 juta wang 1MDB

    1MDB:Rohana setuju pulangkan USD10 juta wang 1MDB

    BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Bhd, Rohana Rozhan dikatakan secara dasarnya bersetuju menyerahkan semula wang USD10 juta diberikan oleh bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc. itu.

    Menurut sumber, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini giat mendapatkan wang terbabit selepas Rohana bersetuju menyerahkan aset dimilikinya daripada Leissner yang menggunakan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

    “Proses mendapatkan aset berkenaan giat dilakukan SPRM ketika ini,” kata sumber itu, menurut laporan Free Malaysia Today (FMT) yang memetik laporan Utusan Malaysia.

    Rohana sebelum ini dikatakan menjalin hubungan dengan Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner yang merupakan saksi utama pendakwaan jenayah berkaitan kes penyelewengan dana syarikat pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Ketika memberi keterangan di mahkamah di New York, Leissner berkata, dia memberi Rohana USD10 juta di mana wanita itu membeli rumah bernilai USD7 juta di Montpelier Street, London.

    Siasatan terhadap 1MDB yang dianggap skandal kewa­ngan terbesar di dunia menyaksikan berbilion dolar dana agensi itu diseleweng pelbagai pihak.

    Keterangan Leissner dalam perbicaraan kes bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng berkaitan 1MDB di Amerika Syarikat (AS) mendorong SPRM mengambil keterangan daripada Rohana, Februari lalu.

    Rohana sebelum ini menyatakan kesediaan untuk membantu pihak berkuasa dan SPRM dalam siasatan kes itu.

    SPRM memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.

    Isu berkaitan rumah di London dan nama Rohana disebut oleh bekas Pegawai Bank Goldman Sachs Group Inc Tim Leissner yang mendakwa mereka mempunyai hubungan sejak 2003 hingga 2013 dan berakhir apabila Leissner berkahwin dengan selebriti Kimora Lee.

    Leissner mengaku bersalah pada 2018 kerana terbabit dalam pelanggaran undang-undang anti-rasuah AS dan konspirasi pengubahan wang.

  • Berdepan bankrap, Mawar Karim dakwa difitnah 

    Berdepan bankrap, Mawar Karim dakwa difitnah 

    MENAFIKAN sekeras-kerasnya dakwaan lari daripada membayar hutang berjumlah RM720,000, usahawan Mawar Karim tampil mempertahankan diri dan menganggap tuduhan tersebut adalah fitnah terhadap dirinya.

    Sejak semalam, nama bekas isteri kepada Fizo Omar ini panas apabila dikatakan berhutang namun enggan melunaskan kembali jumlah tersebut meskipun tindakan mahkamah telah diambil kepadanya.

    Mawar mendakwa difitnah oleh seorang individu dengan gelaran S yang memang berniat untuk memalukan dirinya, lapor Satu Berita.

    “Wahai S, tak habis-habis lagi create cerita fitnah fasal saya. Last year SJR (sekatan jalan raya), cukup setahun fasal lari hutang, tiba-tiba mai bankrup pula dah.

    “Nak bagi saya malu satu Malaysia, jangan ‘one day’ terbalik pula ceritanya. Orang tahu siapa gerangan S ni,” katanya tanpa mendedahkan lanjut siapa gerangan yang dimaksudkan.

    Menurut laporan media tempatan, semalam, Mawar dikatakan berhadapan dengan bankrap apabila tidak membayar wang berjumlah RM720,000 daripada seorang individu.

    Mengikut perjanjian bertulis antara kedua-duanya, Mawar dikehendaki membayar pinjaman itu secara ansuran atau jumlah penuh dalam tempoh tujuh bulan bermula tarikh pinjaman iaitu pada 7 Jun 2021.

    Selepas lebih 10 bulan, usahawan tudung itu gagal untuk melangsaikan hutangnya dan satu notis tuntutan bayaran dihantar kepada Mawar namun tiada sebarang jawapan.

    Pihak tersebut memfailkan tuntutan saman dan mahkamah telah pun mengeluarkan penghakiman ingkar kehadiran kerana tiada sebarang respons yang diterima daripada pihak Mawar.

    Dia dikehendaki membayar semula wang tersebut atau akan memohon pengisytiharan bankrap untuk melelong harta miliknya bagi melunaskan hutang tersebut. 

  • Dakwaan rasuah pemimpin kanan UMNO disiasat

    Dakwaan rasuah pemimpin kanan UMNO disiasat

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang meneliti dokumen secara terperinci berkaitan untuk siasatan terhadap seorang pemimpin kanan UMNO yang dikatakan terlibat skandal rasuah.

    Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM, Timbalan Pesuruhjaya, Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, siasatan masih dilakukan untuk tindakan susulan.

    “Setakat ini SPRM sedang meneliti dokumen-dokumen berkaitan yang mengaitkan pemimpin berkenaan dengan kes rasuah.

    “Kita masih belum menetapkan tarikh untuk beliau hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi direkod keterangan. Berkenaan perkara itu, ia bergantung kepada siasatan kita nanti,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Semalam, media melaporkan satu siasatan telah dimulakan SPRM terhadap seorang pemimpin kanan UMNO yang dikatakan menerima rasuah.

    Siasatan itu dilakukan SPRM selepas satu laporan diterima agensi itu oleh Ketua Penerangan UMNO Cawangan Setapak Jaya 1A, Bahagian Setiawangsa Kuala Lumpur, Datuk Halim Rahmat baru-baru ini.

    Laporan yang dibuat pada 6 April lalu meminta SPRM menyiasat dakwaan oleh sebuah portal berita yang mengaitkan tuduhan rasuah dengan pemimpin berkenaan.

    Dakwaan tersebut membabitkan isu rasuah berkaitan projek pembalakan dan pajakan tanah di Negeri Sembilan sekitar 2008 hingga 2010 di mana wang rasuah didakwa digunakan untuk membeli aset di luar negara.

  • Dua lori kantoi bawa diesel subsidi RM176,539

    Dua lori kantoi bawa diesel subsidi RM176,539

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CUBAAN dua lelaki cuba membawa muatan 5,167 liter diesel bernilai RM176,539 tanpa permit sah di dua buah stesen minyak berasingan di Skudai, Johor Bahru, awal pagi ini gagal.

    Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menahan kedua-dua lelaki warga tempatan itu yang berusia 28 dan 56 tahun pada pukul 2.30 pagi dan 2.45 pagi.

    Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Muhd. Zailani Abdullah berkata, serbuan berkenaan dijalankan selepas pihaknya mendapat maklumat berkenaan penyelewengan diesel di kawasan berkenaan.

    “Sewaktu serbuan dijalankan, kedua-dua lelaki tersebut sedang mengisi diesel ke dalam tangki yang telah diubah suai di bahagian belakang lori tersebut.

    PPM menahan sebuah lori yang sedang melakukan pemindahan diesel tanpa permit yang sah di sebuah stesen minyak di Skudai

    “Pemeriksaan lanjut mendapati suspek gagal menunjukkan sebarang dokumen kebenaran yang sah untuk membawa barang kawalan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, kedua-dua suspek beserta barangan rampasan kemudiannya dibawa ke Markas (PPM) Wilayah Dua untuk tindakan lanjut.

    “Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM176,539 manakala kes akan disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

    “Sehubungan itu, saya turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah agar menyalurkan kepada pihak berkuasa terutamanya PPM Wilayah Dua ditalian 07-2372221 atau 07-2372222,” ujarnya.

  • Maritim tahan empat nelayan asing

    Maritim tahan empat nelayan asing

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan empat nelayan asing bersama bot pada kedudukan 27 batu nautika barat daya Kuala Selangor, pukul 3.30 petang semalam.

    Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, mereka ditahan semasa rondaan rutin penguatkuasaan di sekitar perairan Selangor.

    “Hasil pemeriksaan mendapati bot dikendalikan empat kru termasuk tekong warga Myanmar berumur lingkungan 24 hingga 45 tahun.

    “Kesemua mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri dan permit kerja sah serta bot tersebut didapati melanggar syarat sah lesen,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Rosli berkata, bot bersama hasil tangkapan ikan dianggarkan seberat 400 kilogram itu ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah bagi siasatan lanjut oleh pegawai penyiasat Maritim.

    Jelas beliau, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu melakukan aktiviti penangkapan ikan di luar kawasan yang telah ditetapkan dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

    “Maritim Malaysia memandang serius terhadap operasi penguatkuasaan di laut dan akan mengambil tindakan tegas kepada setiap penjenayah yang melakukan aktiviti jenayah di sepanjang Zon Maritim Malaysia,” ujarnya.