SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang meneliti dokumen secara terperinci berkaitan untuk siasatan terhadap seorang pemimpin kanan UMNO yang dikatakan terlibat skandal rasuah.

Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM, Timbalan Pesuruhjaya, Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, siasatan masih dilakukan untuk tindakan susulan.

“Setakat ini SPRM sedang meneliti dokumen-dokumen berkaitan yang mengaitkan pemimpin berkenaan dengan kes rasuah.

“Kita masih belum menetapkan tarikh untuk beliau hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi direkod keterangan. Berkenaan perkara itu, ia bergantung kepada siasatan kita nanti,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

Semalam, media melaporkan satu siasatan telah dimulakan SPRM terhadap seorang pemimpin kanan UMNO yang dikatakan menerima rasuah.

Siasatan itu dilakukan SPRM selepas satu laporan diterima agensi itu oleh Ketua Penerangan UMNO Cawangan Setapak Jaya 1A, Bahagian Setiawangsa Kuala Lumpur, Datuk Halim Rahmat baru-baru ini.

Laporan yang dibuat pada 6 April lalu meminta SPRM menyiasat dakwaan oleh sebuah portal berita yang mengaitkan tuduhan rasuah dengan pemimpin berkenaan.

Dakwaan tersebut membabitkan isu rasuah berkaitan projek pembalakan dan pajakan tanah di Negeri Sembilan sekitar 2008 hingga 2010 di mana wang rasuah didakwa digunakan untuk membeli aset di luar negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here