Category: Jenayah

  • Lelaki mengamuk tetak isteri, ibu mertua dan dua adik ipar

    Lelaki mengamuk tetak isteri, ibu mertua dan dua adik ipar

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG wanita bersama ibu dan dua adiknya parah apabila ditetak suami dalam kejadian pada pukul 7.11 malam di Kampung Sedili Kecil, Kuala Sedili di Kota Tinggi, kelmarin.

    Keempat-empat mereka kini berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi akibat tragedi yang berlaku ketika sedang menunggu waktu berbuka puasa.

    Polis kini sedang memburu suspek, Mohd. Adi Hashim, 38, yang beralamat di Felda Air Tawar 3 bagi membantu siasatan selepas dipercayai melarikan diri selepas kejadian.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, Pusat Kawalan Daerah Kota Tinggi menerima maklumat awam melalui panggilan MERS 999 berkenaan kes tersebut pada pukul 8.22 malam.

    “Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada pukul 7.11 malam, kelmarin yang secara tiba-tiba suspek telah mengamuk dan menetak empat mangsa yang berada dalam rumah menggunakan parang.

    “Kesemua mangsa iaitu isteri, ibu mertua dan dua adik iparnya mengalami kecederaan parah dan telah mendapat rawatan di Hospital Kota Tinggi,” katanya di sini, hari ini.

    Hussin berkata, punca kejadian tidak diketahui setakat ini dan masih dalam siasatan lanjut pihak polis.

    Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai maklumat terutama mengetahui lokasi suspek berada diminta menyalurkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

    “Orang awam boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Nurul Syafiqah Khalid di talian 019-5121568 atau menghubungi IPD Kota Tinggi di talian 07-8831222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

    Tambah Hussin, kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara 20 tahun dan denda atau sebat.

  • Dua mangsa bot karam ditemukan lemas hari ini

    Dua mangsa bot karam ditemukan lemas hari ini

    DUA mangsa terakhir yang hilang akibat bot karam pada Khamis lalu, ditemui lemas di perairan Kampung Tandoan, pukul 7.50 pagi ini.

    Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Semporna mengambil mayat Noranis Harimalam, 14, dan seorang lagi dikenali sebagai Aiman, 6.

    Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, mangsa ditemui dalam keadaan bersama-sama oleh penduduk kampung di perairan Tandoan iaitu sekitar Pulau Timbu Mata.

    “Susulan penemuan kedua-dua mangsa menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang lemas seramai tujuh orang,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Dalam kejadian Khamis lalu, bot yang dinaiki 21 penumpang karam selepas dipukul ombak dan terbalik.

    Akibat kejadian itu, lima mangsa telah ditemui lemas manakala 14 lagi selamat dan dua dilaporkan hilang.

  • Polis buru pemandu kereta kelabu lawan arus

    Polis buru pemandu kereta kelabu lawan arus

    POLIS Kini sedang giat mengesan dan memburu pemandu sebuah kenderaan yang memandu melawan arus di Jalan Kuala Terengganu – Kuantan, antara Kuala Abang dan persimpangan Tanjung Jara, Dungun, semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Baharudin Abdullah, kejadian dipercayai berlaku pada pukul 7 pagi dan tindakan pemandu kenderaan berwarna kelabu itu dirakam pengguna jalan raya.

    Menurut beliau, rakaman video berdurasi 27 saat yang memaparkan kenderaan dipandu secara melawan arus itu tular dalam media sosial.

    Katanya, tindakan pemandu terbabit berbahaya dan boleh mengundang kecelakaan kepada pengguna jalan raya lain.

    “Oleh itu kita sedang mengenal pasti model serta nombor pendaftaran kereta itu untuk siasatan lanjut,” katanya hari ini, lapor Sinar Harian.

    Baharudin seterusnya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan agar tampil menghubungi balai polis terdekat bagi membantu siasatan.

  • Tiga lelaki ditahan menyamar polis dan samun

    Tiga lelaki ditahan menyamar polis dan samun

    POLIS menahan tiga lelaki yang dipercayai menjalankan kegiatan jenayah mereka dengan menyamar polis, sebelum bertindak mencederakan dan menyamun mangsa, dalam beberapa serbuan di Bayan Lepas dekat sini dua hari lepas.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Rahimi Ra’ais berkata tiga lelaki berusia 24 hingga 30-an itu, ditahan secara berasingan bermula pukul 1 tengah hari, susulan laporan polis dibuat seorang lelaki yang menjadi mangsa mereka.

    “Menurut mangsa yang bekerja di sebuah kedai makan di Jalan Datuk Keramat, di sini pada 11.30 malam 31 Mac lepas, dia didatangi dua lelaki yang mengaku sebagai anggota polis sebelum mereka membawanya ke kawasan gelap di bahagian belakang kedai tersebut.

    “Dua lelaki itu kemudiannya bertindak menumbuk perut mangsa, sebelum memaksanya menyerahkan duit dengan cara pemindahan wang secara dalam talian sebanyak RM1,000 ke satu akaun bank, yang diarahkan suspek,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Katanya siasatan lanjut sedang dijalankan, bagi mengesan sama ada tiga lelaki itu turut terlibat dalam beberapa kes menyamar polis atau jenayah lain, di Pulau Pinang.

    Rahimi berkata ekoran penahanan tiga lelaki itu, polis merampas dua unit telefon bimbit, satu unit beg, satu paket syabu dan sekeping kad bank, untuk siasatan lanjut.

    “Pemeriksaan mendapati mereka yang ditahan bekerja sebagai pengawal keselamatan, penghantar barang dan penganggur itu, mempunyai dua hingga 10 pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah,” katanya.

    Katanya tiga lelaki yang positif dadah itu, kini direman sehingga 19 April bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 395 serta 170 Kanun Keseksaan.

    — BERNAMA

  • 13 individu ditahan seludup kontraban, bunga api, bitcoin bernilai RM10.1 juta

    13 individu ditahan seludup kontraban, bunga api, bitcoin bernilai RM10.1 juta

    POLIS menahan 13 individu dalam 13 serbuan kerana disyaki terlibat kegiatan penyeludupan kontraban, bunga api dan perlombongan bitcoin di sekitar Lembah Klang dalam Op Kontraban mulai 5 April lepas dengan rampasan hampir RM10.1 juta.

    Mereka yang ditahan oleh Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas dan Pasukan Gerakan Khas dalam operasi 10 hari itu terdiri daripada 11 lelaki tempatan dan dua lelaki warga asing berumur lingkungan 20 hingga 50-an.

    Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Hazani Ghazali berkata dalam serbuan pertama pada 5 April lepas, polis menahan seorang lelaki bersama 1,079 karton rokok pelbagai jenis bernilai RM318,634.40 serta sebuah kenderaan di Kajang, Selangor.

    Susulan serbuan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan serbuan kedua di lokasi sama dengan merampas 2,800 karton rokok pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM1.1 juta menjadikan jumlah keseluruhan rampasan kedua-dua serbuan dianggarkan RM1.5 juta.

    “Serbuan ketiga dijalankan di Klang dan polis menahan seorang lelaki dan merampas 264 kotak mercun pelbagai jenis diangggarkan bernilai RM800,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata dalam serbuan keempat pada Rabu lepas, sebuah premis perindustrian di sekitar Lembah Klang dikesan menjalankan kegiatan pengilangan dan pembungkusan rokok yang didapati tidak mendapat kelulusan kastam.

    “Polis menahan dua lelaki warga tempatan yang bertanggungjawab ke atas premis itu dan merampas sejumlah 15,600 karton rokok pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM6.2 juta.

    “Premis itu didapati menyalahgunakan kelulusan sedia ada dengan membuat pembungkusan dan pengedaran rokok tanpa kelulusan kastam,” katanya.

    Sementara itu, Hazani berkata polis meneruskan operasi mengekang kegiatan perlombongan bitcoin dan bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) melancarkan operasi membanteras kegiatan mencuri dan membuat penyambungan tidak sah elektrik.

    Beliau berkata dalam operasi khas itu, sembilan premis diserbu dan polis merampas 515 unit mesin bitcoin yang dianggarkan bernilai melebihi RM1.5 juta dan menahan tujuh lelaki tempatan bersama dua lelaki warga asing.

    “Operasi khas itu berjaya mengekang kerugian berjumlah 374,353.10 kwh per bulan dengan nilai RM190,545.70 per bulan kepada pihak TNB,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Hazani berkata berdasarkan statistik keberhasilan bermula Januari hingga 15 April lepas, polis melancarkan 35 serbuan dan menahan 51 individu manakala nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM38 juta.

    — BERNAMA

  • [VIDEO] Peniaga ikan suspek kes langgar lari serah diri

    [VIDEO] Peniaga ikan suspek kes langgar lari serah diri

    SEORANG peniaga ikan yang dipercayai terlibat dalam insiden langgar lari di dua lokasi berbeza Isnin lepas, menyerah diri di Balai Polis Trafik Iskandar Puteri, awal pagi ini.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Supt Ibrahim Mat Som berkata, lelaki tempatan berusia 31 tahun itu ditahan selepas hadir di balai polis berkenaan pada kira-kira pukul 1.45 pagi.

    Beliau berkata, dua laporan telah dibuat berhubung kejadian itu melibatkan kes langgar lari pertama di Kilometer 16, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, manakala kes kedua berlaku di Persiaran Ledang Iskandar Puteri pada kira-kira 9.30 malam, yang turut tular di media sosial.

    “Pemandu hadir ke balai polis dan ditahan untuk siasatan lanjut, manakala pemilik kereta Toyota C-HR berwarna merah itu telah dikesan dan mendakwa meminjamkan kereta tersebut kepada rakannya.

    “Kita turut merampas kereta terbabit dan suspek telah dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru untuk direman selama dua hari bermula hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.

    Terdahulu, tular dua video berdurasi 34 saat dan 23 saat di laman sosial Facebook yang memaparkan tindakan seorang pemandu memandu secara berbahaya, dipercayai di dua lokasi berbeza, sehingga terlanggar sebuah motosikal sebelum terus memecut laju meninggalkan mangsa. – BERNAMA

  • Mayat lelaki tangan terikat wayar kabel di tepi jalan

    Mayat lelaki tangan terikat wayar kabel di tepi jalan

    MAYAT lelaki tanpa identiti ditemukan di tepi Jalan Sepang-Salak di Sepang pagi tadi, dengan kesan kecederaan di perut serta tangan terikat dengan wayar kabel.

    Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat itu kira-kira pukul 8.32 pagi daripada seorang individu yang menghubungi Balai Polis Sepang.

    Beliau berkata, mayat lelaki berkenaan ditemukan dalam keadaan berpakaian baju kemeja-T warna putih berkolar, berseluar panjang hitam dan pelitup muka di bawah dagu, dan dianggarkan berusia dalam lingkungan 20-an hingga 30-an serta tiada kesan suntikan imunisasi BCG (Bacillus Calmette Guerin) pada bahu.

    Beliau berkata, lokasi kejadian merupakan kawasan yang dikelilingi ladang kelapa sawit dan pemeriksaan di sekitar kawasan penemuan mayat menjumpai satu unit sarung sabit, tiga puntung rokok, gumpalan rambut dan kesan darah berhampiran mangsa.

    Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk tujuan bedah siasat.

    Wan Kamarul Azran turut meminta mereka yang kehilangan ahli keluarga atau rakan untuk tampil membuat laporan bagi membantu siasatan. – BERNAMA

  • 11 vesel penangkapan ikan ditahan, nilai rampasan dianggar lebih RM3.5 juta

    11 vesel penangkapan ikan ditahan, nilai rampasan dianggar lebih RM3.5 juta

    JABATAN  Perikanan menahan 11 vesel penangkapan ikan tempatan dengan anggaran keseluruhan rampasan dan sitaan berjumlah RM3.5 juta dalam tempoh empat hari operasi di perairan Perak dan Pulau Pinang.

    Operasi yang dijalankan melalui Program Pemantauan dan Pengawasan Vesel Penangkapan Ikan Zon Utara Tengah Siri 1 itu bermula pada 11 April dan berakhir semalam.

    Pengarah Bahagian Perlindungan Sumber Bakri Miswan berkata tujuh vesel pukat tunda dan empat sampan tanpa lesen ditahan dalam operasi itu susulan pelbagai kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

    Beliau berkata 76 bubu naga dan 1,250 kilogram hasil laut turut dirampas manakala seramai 38 orang ditahan melibatkan 27 warga tempatan dan 11 warga asing.

    “Buat masa ini, operasi baharu sahaja selesai dijalankan dan siasatan akan diteruskan mengikut kes-kes yang diperoleh.

    “Secara keseluruhan, pelaksanaan program ini telah mencapai objektif yang ditetapkan dan dalam masa sama memberi amaran kepada nelayan agar tidak melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan peraturan-peraturan di bawahnya,” katanya pada sidang media di Jeti Kompleks Perikanan Kampung Acheh di Lumut hari ini.

    Bakri berkata program yang dijayakan dengan kekuatan 39 anggota itu dikoordinasikan oleh Bahagian Perlindungan Sumber Ibu Pejabat Putrajaya dengan kerjasama Pangkalan Perlindungan Sumber Kampung Acheh, Kuala Kurau dan Pulau Pinang.

    Beliau berkata sebanyak empat bot Jabatan Perikanan terlibat dalam operasi berkenaan iaitu P307 dan PL91 dari Pangkalan Perlindungan Sumber Kampung Acheh, PL38 dari Pangkalan Perlindungan Sumber Kuala Kurau serta PL31 dari Pangkalan Perlindungan Sumber Pulau Pinang.

    Dalam pada itu, beliau berkata program berkenaan bertujuan membanteras kegiatan pencerobohan zon penangkapan ikan oleh nelayan tempatan dan aktiviti penangkapan ikan yang melakukan kesalahan di bawah akta tersebut.

    “Program ini juga bagi mengambil tindakan ke atas aduan-aduan yang diterima daripada nelayan tempatan dan penduduk setempat,” katanya. — BERNAMA

  • [VIDEO] Lelaki Myanmar sengaja langgar kereta ditahan

    [VIDEO] Lelaki Myanmar sengaja langgar kereta ditahan

    POLIS menahan seorang lelaki warga Myanmar, yang dipercayai dengan sengaja mencederakan dirinya dalam satu kemalangan jalan raya di sekitar Klang, minggu lepas.

    Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP S. Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima satu laporan polis dari seorang lelaki tempatan pada Khamis lalu (7 April), yang mengatakan semasa sedang memandu dan sampai di sebuah jalan, seorang lelaki tidak dikenali yang berada di tengah jalan secara tiba-tiba berlari meluru ke arah keretanya dan melompat ke arah cermin hadapan.

    “Selepas kemalangan itu berlaku, pengadu memaklumkan kepada pejalan kaki yang melanggar keretanya itu bahawa kenderaannya terdapat rakaman kamera papan pemuka dan pejalan kaki tersebut terus beredar dari lokasi kemalangan, dan hanya mengalami kecederaan kecil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Bertindak atas maklumat, Vijaya Rao berkata, pihak polis telah menahan lelaki berumur 25 tahun itu di Jalan Shahpadu Rantau Panjang, Klang pagi tadi dan kini direman untuk siasatan lanjut.

    “Kes diklasifikasi di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain,” katanya.

    https://youtu.be/S1JL_SHBMnI

    Kejadian kemalangan itu turut tular menerusi satu video berdurasi 45 saat, yang dimuat naik di laman sosial Facebook semalam. – BERNAMA

  • Bapa lapor polis dakwa anak dipukul guru

    Bapa lapor polis dakwa anak dipukul guru

    POLIS mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan seorang murid perempuan Tahun Empat dipukul oleh seorang guru lelaki sehingga mengalami kecederaan tisu lembut.

    Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Zaiham Mohd Kahar berkata, laporan polis dibuat oleh bapa mangsa pada 9.59 malam, Isnin lepas mendakwa guru lelaki berusia 50 tahun telah memukul belakang badan anaknya.

    “Siasatan awal mendapati mangsa dipukul dengan tangan dan pemeriksaan doktor di Hospital Bentong telah mengesahkan kecederaan akibat dipukul tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Zaiham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan yang boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – BERNAMA