Category: Jenayah

  • Warga emas tinggal dalam sampah akan didakwa-MBPJ

    Warga emas tinggal dalam sampah akan didakwa-MBPJ

    MAJLIS Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengeluarkan notis terhadap sebuah rumah penduduk yang dipenuhi barangan lusuh dan sampah sarap di SS 22/20 Petaling Jaya, semalam.

    Menurut MBPJ dalam kenyataan, rumah berkenaan dihuni seorang lelaki warga emas berusia 71 tahun.

    “Hasil pemeriksaan mendapati rumah itu terlalu kotor berikutan penghuninya menyimpan pelbagai barangan yang mengundang pencemaran.

    “Selain barangan lusuh dan sampah-sarap barangan lain ditemui seperti bekas kosong dan kolam takungan air yang menyebabkan jentik-jentik membiak serta terdapat juga pokok liar yang tumbuh di dalam rumah,” menurut MBPJ seperti dilaporkan Sinar Harian, hari ini.

    Kenyataan itu memberitahu, semasa operasi itu dijalankan, penghuni telah dibawa polis ke mahkamah bagi proses perbicaraan.

    Tegas kenyataan itu, Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MBPJ telah mengeluarkan notis di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 sebelum ini.

    Bagaimanapun, kenyataan itu memberitahu, tiada sebarang tindakan daripada pemilik, malah kes mahkamah juga telah difailkan dan dihantar ke Unit Perundangan pada tahun 2021.

    “Pada 21 Jun 2022, satu mesyuarat penyelarasan yang dipengerusikan oleh Unit Perundangan telah diadakan berhubung aduan ini bagi membincangkan tindakan yang perlu diambil oleh setiap jabatan terlibat mengikut skop tugas masing-masing,” kata kenyataan itu.

  • Polis Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.52 juta

    Polis Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.52 juta

    SEBANYAK 252,000 biji pil kuda bernilai RM2.52 juta dirampas Polis Kelantan menerusi dua serbuan berasingan diadakan di daerah Kota Bharu dan Bachok, kelmarin.

    Serbuan pertama dilakukan di kawasan parkir sebuah kedai makan di Kampung Jelujok Banggu, Kota Bharu, pada pukul 3 petang, di mana tiga lelaki berusia 27 hingga 33 tahun ditahan.

    Mengulas serbuan itu, Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata ketika kejadian anggota bertugas mendekati dua suspek yang menaiki kereta jenis Honda Jazz, yang ketika itu sedang berurusan dengan lelaki lain berusia 33 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda Icon.

    Katanya, sebaik memperkenalkan diri sebagai anggota polis, pihaknya membuat pemeriksaan pada kenderaan dan menemui satu kotak berisi 14 bungkusan plastik, yang mana di dalamnya mengandungi pil kemerahan dipercayai dadah jenis pil kuda.

    Katanya, hasil pemeriksaan menemukan sejumlah 84,000 biji pil kuda pada bungkusan terbabit yang dipercayai untuk pasaran seluruh Kelantan.

    “Anggota turut merampas wang tunai RM3,950 disyaki hasil jualan dadah berkenaan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini, lapor Berita Harian.

    Muhamad Zaki berkata, penahanan itu kemudian membawa kepada serbuan kedua di rumah salah seorang suspek di Kampung Takang, dekat Tawang di Bachok, di mana 168,000 lagi pil kuda bernilai RM1.68 juta ditemukan.

    “Semua pil kuda berkenaan ditemukan dalam kotak yang diletakkan di atas kabinet dapur rumah,” katanya.

    Beliau berkata, ketiga-tiga suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 28 Jun sehingga 4 Julai untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Ujian saringan air kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah jenis Methampethamine, manakala seorang daripadanya memiliki rekod lampau membabitkan penyalahgunaan dadah.

    “Jumlah pil dirampas boleh diedarkan kepada 126,000 penagih dan pihak kami percaya suspek ditahan adalah antara pengedar dadah yang aktif di negeri ini sejak awal 2020,” katanya.

  • Lufya sempat tendang muka, alat sulit lelaki cuba culik anaknya

    Lufya sempat tendang muka, alat sulit lelaki cuba culik anaknya

    PENYANYI dan pelakon, Lufya, 37, menafikan bekas suaminya, Dr. Che Muhammad Hafiz Che Baharum terbabit dalam insiden pergelutan dan memukulnya dalam cubaan menculik anak, Laana Haura, 5, di sebuah taman permainan di Kota Damansara, Ahad lalu.

    Beliau berkata, pelakunya membabitkan seorang lelaki berbadan besar yang tidak dikenali dan memukulnya dengan teruk ketika cuba menyelamatkan anaknya.

    “Lelaki itu bukan bekas suami seperti tuduhan netizen. Ia perbuatan lelaki asing yang saya tidak kenal.

    “Ada netizen yang menganggap keterangan gambar yang ditulis dengan menyebut ‘lelaki dayus’ ketika mendedahkan insiden berlaku dalam Instagram (IG) merujuk kepada bekas suami.

    “Itu tidak benar sama sekali. Bagi saya, mana-mana lelaki yang memukul wanita adalah dayus.

    “Saya memang tidak tahu siapa pelakunya. Saya mohon jangan babitkan bekas suami, biar polis buat siasatan,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Lufya mendakwa masih trauma selepas berdepan detik cemas dipukul pada bahagian kepala dan badan dengan kayu, malah, sudah membuat laporan polis di Balai Polis Kota Damansara, pukul 6 pagi tadi.

    “Tiada istilah saya cuba buat drama atau mengada-adakan cerita kerana melengahkan urusan membuat laporan polis. Ini soal nyawa, bukan boleh diperjudikan.

    “Secara jujur, saya dan anak masih dalam keadaan trauma, malah, masih dalam rawatan di hospital. Jadi, saya perlu mengambil masa bertenang, sebelum melaporkannya kepada pihak polis.

    “Saya dan anak ke balai polis selepas selesai rawatan di hospital, pagi tadi. Secara kebetulan, tiada ramai orang, jadi kurang sedikit rasa trauma.

    “Setakat ini, saya serahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan,” katanya.

    “Saya memang risau dengan komuniti masyarakat di Damansara. Sebab itu, saya beranikan diri mendedahkan insiden ini, walaupun saya masih tebal dengan perasaan trauma.

    “Difahamkan, berlaku kejadian sama sebelum insiden membabitkan saya,” katanya.

    Terdahulu, Lufya mendedahkan dirinya mengalami kecederaan agak teruk apabila dipukul pada bahagian kepala dan badan selepas bergelut dengan seorang lelaki yang didakwa cuba melarikan anaknya dalam kejadian Ahad lalu.

    “Selama ini, saya melihat babak atau aksi ganas dalam kaca televisyen dan pawagam.

    “Namun, saya menempuhnya sendiri, dua hari lalu. Lelaki ini memukul saya dengan kayu pada bahagian kepala dan badan menyebabkan saya alami kecederaan agak teruk.

    “Syukur, saya dan anak selamat. Ketika kejadian, Laana sempat menjerit meminta tolong, namun, tiada sesiapa di tempat kejadian dapat membantu.

    “Nasib baik, saya pernah belajar bertinju, jadi boleh mempertahankan diri apabila berlaku situasi tak terduga ini.

    “Saya sempat menendang muka dan menumbuk alat sulit lelaki ini, sebelum berjaya menyelamatkan diri,” dakwa Lufya.

  • Pengasas pusat rawatan Islam ditahan kerana disyaki berkhalwat

    Pengasas pusat rawatan Islam ditahan kerana disyaki berkhalwat

    LELAKI warga emas dipercayai pengasas sebuah pusat perubatan Islam dekat Alor Gajah, dicekup selepas disyaki berkhalwat dengan pekerjanya di sebuah rumah teres di Masjid Tanah, malam tadi.

    Tangkapan dibuat selepas lelaki berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan ketika diminta pihak berkuasa meskipun mendakwa sudah bernikah di negara jiran pada 2012.

    Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata, serbuan pukul 11.30 malam itu dilakukan hasil maklumat orang awam berhubung kegiatan lelaki warga negara jiran berusia 60-an itu bersama pasangannya berusia 40-an.

    Menurut beliau, hasil siasatan JAIM mendapati, lelaki itu mengamalkan kaedah ‘perubatan jarak jauh’ bagi membuang saka serta mempunyai ribuan pengikut di seluruh negara termasuk mempunyai saluran YouTube sendiri.

    “Bertindak atas maklumat itu, sepasukan penguat kuasa JAIM mengesan aktiviti maksiat di sebuah rumah teres di Alor Gajah dan berjaya menahan lelaki itu bersama pasangannya yang merupakan seorang ibu tunggal anak satu.

    “Dia mendakwa sudah berkahwin di negara jiran pada 2012, namun gagal menyerahkan dokumen pernikahan yang sah apabila diminta dan memberi alasan ia sudah diserahkan kepada pihak lain untuk urusan pendaftaran walaupun sudah hampir 10 tahun,” kata Che Sukri kepada media selepas menyertai operasi cegah maksiat yang berakhir pukul 3.30 pagi, mengikut laporan Berita Harian.

    Tambahnya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 53 (1) dan (2) Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 kerana berkurung atau bersekediaman sehingga mendatangkan syak

    Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda maksimum RM3,000 atau 24 bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

    Dalam pada itu, Che Sukri berkata, pihaknya sedang memantau kaedah perubatan jarak jauh diamalkan lelaki terbabit dan merujuk kepada Jawatankuasa Fatwa bagi memastikan ia tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

    “Kita sedang menunggu keputusan terakhir daripada pihak Jawatankuasa Fatwa, jika kaedah rawatan itu disahkan bertentangan dengan Islam, mereka berhak untuk halang dia termasuk menasihatkan pengikutnya supaya tidak mendekati kaedah rawatan itu,” katanya.

  • Polis buru lelaki tunjuk kemaluan depan sekolah

    Polis buru lelaki tunjuk kemaluan depan sekolah

    SEORANG lelaki yang menunjukkan kemaluan di sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Presint 9 (2) di Putrajaya, semalam, kini diburu polis kerana berkelakuan tidak senonoh.

    Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya melancarkan gerakan memburu lelaki terbabit selepas menerima laporan berhubung kejadian itu daripada dua pelajar tingkatan tiga sekolah berkenaan pada hari kejadian.

    “Polis sudah berjaya mendapatkan butiran suspek berdasarkan nombor pendaftaran kenderaan yang dikongsi pelajar berkenaan.

    “Berdasarkan laporan mangsa, kejadian itu berlaku di hadapan tempat letak kereta awam di hadapan kompleks sekolah itu.

    “Menurut laporan, mangsa mendakwa didekati seorang pemuda yang menaiki Proton Persona berwarna kelabu dan bertanyakan sesuatu kepada pelajar itu,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Asmadi berkata, sejurus selepas itu, suspek tiba-tiba membuka zip seluar dan menunjukkan kemaluannya kepada pelajar perempuan berkenaan.

    Katanya, pelajar yang dalam ketakutan itu kemudiannya melarikan diri namun sempat merakam gambar kereta dan nombor pendaftaran kenderaan itu.

    “Polis giat menjejaki suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(a) Akta Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.

  • Suami Isteri bawa dadah tinggalkan mayat anak selepas kereta terlibat kemalangan

    Suami Isteri bawa dadah tinggalkan mayat anak selepas kereta terlibat kemalangan

    SUAMI isteri tergamak meninggalkan mayat anak selepas cemas kenderaan dinaiki yang disyaki membawa dadah terbabit kemalangan di Jalan Sungai Kelamah-Jelai-Gemas, Negeri Sembilan.

    Dalam kejadian kira-kira 11.30 malam kelmarin, pasangan berusia lingkungan 20-an dan 30-an itu melarikan diri dengan menaiki pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

    Portal FMT melaporkan, difahamkan, kenderaan itu milik seorang pengguna jalan raya yang berhenti untuk memberikan bantuan awal kepada mangsa terlibat kemalangan.

    Ketua Polis Tampin, Anuwal Ab Wahab, berkata kemalangan berlaku ketika pasangan terbabit bersama seorang anak berusia dua tahun dalam perjalanan dari Felda Jelai ke Felda Bukit Jalor.

    Sebaik tiba di lokasi kejadian, katanya, suspek lelaki yang memandu kenderaan jenis Proton Iswara Aeroback itu cuba memotong sebuah lori sebelum gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke kanan jalan.

    “Kenderaan itu berpusing beberapa kali sebelum bergesel dengan sebuah lori. Akibat kemalangan itu, kedua-dua penumpang kereta tercampak keluar.

    “Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun tercampak di tengah-tengah jalan raya, kemudian digilis sebuah kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti,” katanya menurut laporan Kosmo.

    Anuwal berkata, pasangan terbabit berjaya ditahan di rumah mereka di Felda Bukit Jalor dan pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan yang dipandu lelaki berkenaan telah menemui dadah.

    Beliau berkata, polis membuka tiga kertas siasatan iaitu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1985.

  • Dua beradik ditahan cuba sogok polis RM25,000 – SPRM

    Dua beradik ditahan cuba sogok polis RM25,000 – SPRM

    DUA  beradik dipercayai anggota sindiket penyeludupan minuman keras ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi membantu siasatan cuba menyogok wang tunai kira-kira RM25,000 kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Menurut sumber, kedua-dua lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan di premis perniagaan mereka di Kuala Lumpur dalam operasi yang dijalankan PDRM dan SPRM, kira-kira 10 pagi.

    Difahamkan, kedua-duanya yang disyaki terlibat dalam aktiviti penjualan minuman keras tanpa cukai telah menyogok wang tunai kepada seorang pegawai kanan PDRM sebagai balasan supaya mereka dilepaskan dan tidak diambil sebarang tindakan di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009.

    Kedua-duanya akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok untuk permohonan reman.

    — BERNAMA

  • Kumpulan Tiger tumpas, senjata Colt M-4 dirampas

    Kumpulan Tiger tumpas, senjata Colt M-4 dirampas

    POLIS menumpaskan kumpulan Tiger yang aktif dalam pelbagai kegiatan jenayah sejak 2009 selepas penahanan seorang peniaga sayur dipercayai ahli terakhir kumpulan itu, Ahad lepas.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, suspek berumur 35 tahun merupakan adik kepada suspek yang ditembak mati dalam serbuan pada malam 18 Jun lepas di Salak Selatan, di sini.

    Beliau berkata, suspek warga tempatan itu ditahan di Kampung Tumbok di Tanjung Sepat, Selangor.

    “Penahanan itu telah memaksa suspek mendedahkan maklumat penyimpanan senjata api jenis Colt M-4 yang telah dipisahkan di dalam sebuah paip PVC di sebuah reban ayam di kampung berkenaan.

    “Turut ditemukan di dalam paip berukuran 150 mm x 94 cm itu ialah dua kelopak dan 69 butir peluru jenis 5.6 mm,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

    Beliau berkata, suspek dan sembilan lagi yang ditahan sejak 18 Jun lepas disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 7 Bahan Letupan 1957.

    Sementara itu, Azmi tidak menolak kemungkinan kesemua empat senjata jenis CZ 75 Compact, CZ 75 D Compact, Smith & Wesson dan Colt M-4 dan sebutir bom yang dirampas telah digunakan kumpulan Tiger dalam tiga kes bunuh dan jenayah lain seperti yang dilaporkan sebelum ini.

    Kumpulan yang dianggotai suspek berumur 28 hingga 67 tahun itu dipercayai telah melakukan 15 kes samun, tiga kes bunuh dan pelbagai kes melibatkan dadah, pecah rumah dan curi kenderaan.

    Pada 18 Jun, polis menahan sembilan suspek dan menembak mati seorang daripadanya dalam operasi di sebuah kondominium di Salak Selatan. – BERNAMA

  • ‘Datuk Yusri’ tipu projek jalan raya RM1.93 juta

    ‘Datuk Yusri’ tipu projek jalan raya RM1.93 juta

    POLIS Sabah sedang mengesan seorang lelaki dikenali sebagai ‘Datuk Yusri Bin Yusoh’ yang terlibat dengan kes penipuan projek naik taraf jalan raya yang tidak wujud di negeri tersebut melibatkan kerugian RM1.93 juta.

    Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, pihaknya telah menerima lapan laporan polis mengenai kes tersebut yang dikatakan berlaku dalam bulan ini.

    Beliau berkata, suspek telah memperdaya mangsa dengan meminta membayar sejumlah wang deposit bagi mendapatkan projek tersebut.

    “Mempercayai kata-kata ini, mangsa telah membayar antara RM30,000 sehingga RM650,000 (setiap pembayaran) dengan keseluruhan kerugian berjumlah RM1.93 juta.

    “Ekoran itu pihak polis sedang mencari lelaki ini bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki itu boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat Insp Tilmanshah Wasli di talian 016-5785962 atau 088-529761. – BERNAMA

  • JPJ sita tujuh kenderaan dipandu pemegang kad UNHCR

    JPJ sita tujuh kenderaan dipandu pemegang kad UNHCR

    JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita tujuh kenderaan dipandu pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) menerusi Op Pemandu Warga Asing (Op PeWA) yang bermula 1 April lepas hingga hari ini.

    Pengarah JPJ Perlis Fatimah Mohamed Ali Piah berkata pihaknya turut mengeluarkan saman ke atas individu terlibat yang terdiri daripada enam warga Myanmar dan seorang warga Pakistan berikutan memandu kenderaan tanpa lesen.

    “Sitaan itu melibatkan tiga motosikal, tiga kereta serta sebuah lori dan tindakan diambil mengikut Seksyen 26(1) dan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    “JPJ turut mengeluarkan notis saman kepada pemilik kenderaan warga tempatan yang membenarkan kenderaan mereka dipandu warga asing tanpa lesen memandu,” katanya selepas Op PeWA Bersepadu yang dilaksanakan di Bulatan Padang Besar hari ini.

    Mengulas mengenai operasi dilaksanakan hari ini, Fatimah berkata sebanyak 33 kenderaan warga asing disaman atas pelbagai kesalahan antaranya melibatkan insurans dan nombor pendaftaran.

    Katanya, JPJ turut mengingatkan pemilik kenderaan tempatan agar tidak menawarkan perkhidmatan sewaan kepada warga asing yang tidak mempunyai lesen sah bagi mengelakkan tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa.

    “Mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 16 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan didenda sehingga RM500,000 jika sabit kesalahan menjalankan perkhidmatan sewa pandu tanpa permit,” katanya. – Bernama