DUA  beradik dipercayai anggota sindiket penyeludupan minuman keras ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi membantu siasatan cuba menyogok wang tunai kira-kira RM25,000 kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut sumber, kedua-dua lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan di premis perniagaan mereka di Kuala Lumpur dalam operasi yang dijalankan PDRM dan SPRM, kira-kira 10 pagi.

Difahamkan, kedua-duanya yang disyaki terlibat dalam aktiviti penjualan minuman keras tanpa cukai telah menyogok wang tunai kepada seorang pegawai kanan PDRM sebagai balasan supaya mereka dilepaskan dan tidak diambil sebarang tindakan di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009.

Kedua-duanya akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok untuk permohonan reman.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here