POLIS menemui mayat seorang lelaki dengan kesan kelar pada lehernya dan sebilah pisau pemotong daging, di belakang sebuah kilang di Pekeliling Dataran Kledang, Menglembu, Ipoh, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah berkata pihaknya menerima panggilan MERS 999 yang memaklumkan penemuan mayat mangsa berusia 58 tahun itu pada pukul 9.46 pagi sebelum ke lokasi kejadian bagi melakukan siasatan.
“Hasil kecederaan pada tubuh mangsa terdapat kesan kelar pada leher sepanjang 16 sentimeter.
“Kesan kelar dipercayai menggunakan pisau pemotong daging yang dijumpai di sebelah si mati,” katanya lapor BH Online.
Tambah Mohamad Nordin, tiada kesan jenayah lain pada tubuh badan mangsa manakala telefon bimbit dan pengenalan diri masih berada bersamanya.
Beliau berkata, doktor patologi dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mengesahkan punca kematian disebabkan kecederaan pada lehernya menggunakan pisau pemotong daging.
“Bagaimanapun, bedah siasat akan dijalankan bagi mendapatkan punca sebenar kematian mangsa,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa mempunyai perniagaan kilang, pemborong dan pembekal ikan ke pasar sejak 10 tahun lalu.
“Kali terakhir mangsa berhubung dengan isteri dan memberitahu untuk mengambil semua wang dalam bank untuk kegunaan isteri serta anak-anak dan memberi isyarat ‘bye’ seolah-olah mahu meninggalkan mereka,” katanya
Mohamad Nordin berkata, siasatan juga mendapati mangsa mengalami kemurungan kerana perniagaan mempunyai masalah kewangan.