TIGA remaja di sebuah rumah perlindungan di Jalan Kuantan-Pekan di Kuantan melarikan diri dalam satu kejadian pada pada 4.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, remaja berusia 13 hingga 17 tahun berkenaan mempunyai masalah psikiatri.

“Kehilangan ketiga-tiga remaja itu disedari pegawai bertugas ketika mahu mengejutkan mereka di asrama perlindungan itu bagi persiapan sesi persekolahan.

“Usaha mencari remaja terbabit dilakukan di kawasan sekitar, namun tidak menemui mereka.

“Susulan itu, pembantu kebajikan masyarakat rumah kanak-kanak itu melaporkan kejadian berkenaan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut pada pukul 10.29 pagi,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Beliau berkata, berdasarkan laporan, seorang daripada penghuni yang hilang itu merupakan kanak-kanak berusia 13 tahun yang baru keluar daripada menerima rawatan dari Wad Dahlia Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan pada Jumaat.

“Dua kanak-kanak lagi berusia 14 tahun dan 17 tahun yang merupakan pesakit psikiatri juga masih menerima rawatan.

“Justeru, laporan dibuat agar kesemua mereka boleh mendapatkan semula rawatan di Wad Psikatari HTAA tersebut selain untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Wan Mohd. Zahari menjelaskan kejadian itu kali kelima berlaku di pusat jagaan tersebut manakala ketiga-tiga remaja terbabit pernah beberapa kali melarikan diri dan mencederakan diri mereka akibat tekanan perasaan.

“Pihak polis akan menghubungi keluarga remaja terbabit bagi memaklumkan berkenaan kehilangan anak-anak mereka dan usaha mengesan mereka masih lagi diteruskan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here