AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak merampas sebanyak 42 set bubu naga di perairan Tanjung Kepah, Lumut pada pukul 1.30 petang semalam.

Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata, rampasan berkenaan dilakukan di kedudukan kira-kira 4.5 batu nautika barat daya Tanjung Kepah menerusi rondaan Op Pintas dan Op Sayong dilakukan pihaknya.

“APMM Perak telah mengesan penggunaan bubu naga di sekitar perairan tersebut. Siasatan menemui kesemua 42 set bubu naga dan diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM Perak untuk tindakan lanjut.

“Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.

Sementara itu jelasnya penggunaan bubu naga secara berleluasa oleh pihak yang tidak bertanggungjawab boleh mengganggu habitat marin bagi tempoh masa panjang.

Tambahnya lagi ini kerana, bubu naga boleh mengancam habitat marin terutamanya ikan-ikan kecil di pesisir pantai dan mengakibatkan kepupusan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan pantai.

“Justeru, APMM Negeri Perak menyeru agar kegiatan perikanan jenis ini dihentikan dan sebarang maklumat berkaitan penggunaannya boleh disalurkan kepada Pusat Operasi (PUSOP) Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999,” ujarnya.

8)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here